Sunday, July 6, 2008

SUPP-Gerakan Akan Bergabung?

06 Julai, 2008 15:13 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Betulkah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan bergabung?

Berdasarkan spekulasi pemerhati politik dan cakap-cakap anggota kedua-dua parti itu berikutan rentetan peristiwa yang dilalui parti berkenaan akhir-akhir ini, perkembangan ke arah itu nampaknya sedang berlaku.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi SUPP dan Gerakan menolak andaian itu dan menegaskan bahawa perkara sedemikian tidak mungkin berlaku, walaupun kedua-dua pihak mempunyai hubungan erat kerana mengamalkan pendekatan politik pelbagai kaum serta sama-sama menganggotai Barisan Nasional (BN).

Walaupun isu penggabungan bukan perkara baru bagi dua parti berkenaan, namun spekulasi tentang penggabungan mereka semakin hebat diperkatakan selepas Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon terbang ke Bumi Kenyalang bagi mengadakan perjumpaan dengan Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam di Kuching Isnin lepas.

Dr Chan bagaimanapun cuba mengelak timbulnya pelbagai andaian tentang perjumpaan itu apabila beliau berkata "ia hanya pertemuan biasa antara pemimpin parti untuk bertukar pendapat dan bersantai kerana kami pun sudah lama tidak bertemu," semasa ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia selepas perjumpaan itu.

Keenganan Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, menjelaskan secara panjang lebar tentang pertemuan mereka, mendorong anggota media membuat andaian bahawa kedua-dua pemimpin itu telah berbincang tentang penggabungan antara SUPP dan Gerakan.

Isu penggabungan itu menarik perhatian ramai di Sarawak apabila pemerhati politik berkata kemungkinan dua parti berkenaan akan bergabung tidak boleh ditolak memandangkan SUPP dan Gerakan kini menghadapi masalah yang hampir sama.

Gerakan mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, manakala SUPP pula tewas lapan kerusi pada pilihan raya negeri kesembilan pada Mei 2006.

"Ini mendorong mereka untuk berfikir secara mendalam dan oleh itu, kemungkinan tersebut tidak boleh diketepikan memandangkan kedua-dua parti itu berkongsi persamaan iaitu mempunyai anggota yang terdiri daripada majoriti kaum Cina dan memiliki asas kekuatan di kawasan bandar dan separa bandar," kata seorang pemerhati politik.

SUPP, parti komponen BN kedua terbesar di Sarawak, bertanding bagi 19 kerusi pada pilihan raya negeri 2006 dan kalah sembilan daripadanya -- Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Maradong, Bukit Assek dan Kidurong -- kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Nasional Sarawak (SNAP).

Pada pilihan raya umum 8 Mac, SUPP kalah satu daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu kerusi Bandar Kuching.

Bagi Gerakan, pilihan raya umum 8 Mac mencatat titik hitam apabila parti itu hilang kuasa di Pulau Pinnag, yang selama ini menjadi kubu kuatnya, setelah memenangi hanya dua daripada 15 kerusi Parlimen yang ditandinginya serta empat daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Inilah yang menyebabkan isu penggabungan ini timbul semula kebelakangan ini. Kedua-dua parti itu meneroka semua kemungkinan kerana mereka perlu mencari jalan untuk membolehkan mereka terus bernafas pada pilihan raya umum akan datang," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi SUPP, yang percaya bahawa penggabungan antara kedua-dua parti itu antara langkah yang boleh memastikan kelangsungan hidup mereka.

"Suka atau tidak, keadaan sudah berubah. SUPP tidak boleh lagi mengehadkan pergerakannya sebagai sebuah parti Sarawak semata-mata, manakala Gerakan pula tidak boleh lagi wujud sebagai sebuah parti yang memberi penekanan di Pulau Pinang sahaja," katanya.

Pemimpin itu berkata beliau yakin perkembangan politik terkini di Sarawak seperti penggabungan antara Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)serta kemungkinan entiti yang digabungkan itu menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada masa akan datang, merancakkan lagi cakap-cakap tentang penggabungan antara SUPP dan Gerakan.

Penggabungan antara PRS dan SPDP akan memberi kesan besar terhadap SUPP kerana ini bererti ia akan menjadi parti komponen BN paling kecil di Sarawak, sedangkan pada masa ini, SUPP adalah parti komponen BN kedua terbesar di negeri itu, selepas PBB.

Malah, apabila diminta mengulas tentang penggabungan PRS-SPDP, Dr Chan berkata parti komponen BN di Sarawak sepatutya melangkah setapak lagi dengan tidak menolak kemungkinan kesemua empat parti komponen BN di negeri itu bergabung menjadi sebuah entiti suatu masa nanti.

"Jika boleh, kenapa tidak! Sekiranya langkah ini lebih baik bagi kami semua, maka kami patut melakukannya.

"Juga, kerana saya fikir, politik perkauman sudah kurang pentingnya hari ini. Orang tidak lagi jadikan isu perkauman sebagai isu penting dan mereka menjadi semakin terbuka serta tidak merasakan bahawa politik perkauman begitu penting lagi di Malaysia sekarang, khususnya di Sarawak," kata beliau.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui memberi beberapa penjelasan tentang pertemuan antara Dr Chan dan Dr Koh Isnin lepas dengan berkata bahawa SUPP telah menjemput Dr Koh mengadakan dialog berhubung beberapa perkara berkaitan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Kata Sim: "Kami berbincang tentang suasana politik semasa di Sarawak, seperti sentimen rakyat dan kenapa mereka tidak berpuas hati, keputusan pilihan raya umum 8 Mac serta cara bagi menangani dan mengatasi masalah politik kami sebagai parti komponen."

Setiausaha Pengelola SUPP Datuk Peter Chin Fah Kui pula berkata walaupun perkara berkaitan penggabungan kedua-dua parti berkenaan tidak ditimbulkan pada perjumpaan anatara Dr Koh dan Dr Chan, ini tidak bererti perkara itu tidak akan dibincangkan pada masa akan datang.

"Seperti yang anda sedia maklum, politik adalah sesuatu yang dinamik, apa saja boleh terjadi. Inilah politik. Apabila dua parti bergabung, ia menunjukkan mereka boleh bergerak seiringan. Dalam kes ini, kenapa SUPP tak boleh?", tanya beliau.

Chin, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata beberapa anggota parti mengusulkan perkara itu memandangkan SUPP dan Gerakan berkongsi platform sebagai parti pelbagai kaum, walaupun setakat ini belum ada perbincangan secara serius dan rasmi tentang perkara itu dalam parti berkenaan sendiri atau dengan Gerakan.

Bagaimanapun, spekulasi tentang rundingan berkaitan penggabungan itu reda apabila Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye menafikan wujudnya perbincangan sedemikian walaupun, kata beliau, SUPP dan parti itu memang menjalin hubungan kerja yang rapat sejak sekian lama.

"Bagaimanapun, buat masa ini, tidak ada perbincangan tentang penggabungan," katanya.

Penganalisis politik Datuk Seah Chee Kim pula berkata beliau percaya penggabungan Gerakan-SUPP tidak akan berlaku kerana kedua-dua parti itu amat mementingkan "status quo" masing-masing.

"SUPP parti sosialis. Mereka lebih mementingkan manfaat bagi rakyat Sarawak. Gerakan pula langsung tidak wujud di Sarawak. Oleh itu, amat ganjil bagaimana mereka boleh bergabung walaupun mereka berkongsi idea serupa.

"Lagipun, perjuangan dan struktur mereka berbeza. SUPP ada agenda berlainan. Saya kenal pemimpin Gerakan dan SUPP. Daripada apa yang saya faham, tidak wujud idea tentang penggabungan dua parti itu. Dalam perkataan lain, perkara ini tidak akan terjadi kerana mereka mempunyai perbezaan yang terlalu banyak," katanya.

Seorang penganalisis politik yang rapat dengan Gerakan, Khoo Kay Peng pula berkata walaupun kemungkinan tentang pengabungan dua parti berkenaan tidak boleh ditolak, namun hakikat yang ada ialah SUPP dan Gerakan sukar untuk bergabung kerana langkah itu tidak akan menghasilkan sinergi.

"Bagi saya, penggabungan (Gerakan) dengan MCA kelihatan lebih mungkin terjadi pada masa akan datang. Walaupun kedua-dua pihak (SUPP dan Gerakan) menyokong pendekatan pelbagai kaum, bagi saya, gabungan MCA-Gerakan lebih mempunyai sinergi berbanding penggabungan Gerakan-SUPP," katanya.

"Sekiranya kedua-dua mereka bergabung bagi menjadi sebahagian daripada parti politik tidak berasaskan kaum yang lebih besar, maka saya bersetuju. Tapi, pada masa sekarang, penggabungan antara parti yang tidak berasaskan kaum, terutama dalam kalangan parti komponen BN, tidak mungkin berlaku. Apa lagi antara SUPP-Gerakan," katanya.

-- BERNAMA

2000 orang di Stadium MBPJ setakat ini; Sekatan Jalanraya Di Merata Tempat; Brickfields Dilanda Wabak Merah

Petikan: Suara Keadilan Online


Pada pagi ini sahaja, lebih 2000 orang berhimpun di Stadium MBPJ Kelana untuk Protes Sejuta Rakyat Membantah Kenaikan Minyak. Keadaan tenang dan aman tanpa sebarang gangguan. Pihak polis pada pagi ini memberi kerjasama yang baik kepada penganjur.

Desas-desus mengatakan askar akan dikerah juga tidak terbukti setakat ini.

Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan MemPROTES Kenaikan Harga Minyak (Protes) menggemblengkan segenap warga Malaysia yang prihatin dan terkesan dengan tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak. Ia diadakan bermula jam 10 pagi hingga 12 malam dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti taklimat umum, persembahan muzik dan seni.

Protes adalah hasil kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), gerakan sivil, KeADILan, Pas dan DAP. Protes kehadapan dalam mengadakan siri-siri perhimpunan aman membantah kenaikan minyak sejak 2006. Protes komited kepada Artikel 10 Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun di tempat awam. Protes menolak pendekatan ganas.

Kuala Lumpur dan Lebuhraya Persekutuan pagi ini lengang tidak seperti hari Ahad yang biasa di minggu-minggu lain. Jalanraya kosong dari kereta persendirian mahupun motorsikal.

Polis mengadakan sekatan jalanraya di merata-tempat, dipercayai menanti kehadiran Sejuta Rakyat yang akan turun berhimpun secara aman di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini. Lalulintas menghadapi sedikit kesulitan di Gerbang Kuala Lumpur-Petaling Jaya, Damansara menuju Kelana Jaya, dan Kelana Jaya menuju Damansara.

Selain dari sekatan jalanraya, van-van hitam bercermin gelap kelihatan berbondong-bondong bergerak menuju kearah Petaling Jaya dari Kuala Lumpur. Balai Polis Brickfields juga kelihatan sibuk dengan kehadiran trak dan kenderaan polis yang lebih banyak dari kebiasaan.

Di Brickfields pula, keadaan ceria dengan wabak merah kelihatan dimana-mana. Orang-ramai berbaju merah terang dan merah gelap, Melayu, Cina, India, orang tua dan muda kelihatan di kedai-kedai makan dan gerai nasi lemak.

Kelana Jaya rally begins without a hitch

Petikan daripada MalaysiaKini:

There is a carnival sort of atmosphere at the Kelana Jaya stadium this morning at the day-long anti-fuel hike rally.

People started trickling into the 50,000 capacity stadium since early morning, to be greeted by vendors selling Pakatan Rakyat party mementos, T-shirts, cassettes and posters.

About 17 stalls had set up business since yesterday with traders reporting brisk business.

The rally is organised by the Coalition Against Inflation (Protes).

Protes coordinator Dr Hatta Ramli told Malaysiakini yesterday that the programme, which would see musical and artistic performances in between political speeches, would start at 10am until midnight.

When the rally kicked off at 10am, about 5,000 people have arrived at the stadium with more on their way. Most of them are in red T-shirts, turning the grandstand into a sea of red.

Hatta, who is PAS Kuala Krai parliamentarian, was the first speaker, followed by Hindraf S Jayathas, DAP Selangor executive councillor Ronnie Liu and PKR's Irene Fernandez.

According to programme schedule released by Hatta this morning, representatives from rights movements Jerit and Hindraf are scheduled to give speeches at 12 noon.

At 2pm, representative of NGOs and Pakatan parties would have their say.

Pakatan members of parliament and state representatives would be making their appearance at 3pm, and at 5pm a number of Pakatan mentri besar and chief minister are expected to be at the stadium.

The Pakatan bigwigs are scheduled to appear before the crowd at 9pm with PKR de facto leader Anwar Ibrahim being the star of the show.

Police and military 'intimidation'

Meanwhile, the nearby Kelana Jaya LRT station is busy with many protestors using the public transport to get to the stadium.

At the station, a small band of uniformed police personnel have been stationed to monitor the crowd.

Vendors at the stadium told Malaysiakini that late last night they saw several police patrol cars and about seven military trucks in the area, but the convoy did not stop at the stadium.

In addition to the palpable police and military intimidation, organisers have to fight off persistent rumours that event would be cancelled.

"Any contrary information that is being disseminated whether by SMS or email are patently false and misleading and are meant to confuse the public." said a statement from Protes.

"The planned programme will not be cancelled under any circumstances to ensure that the people are able to express their dissatisfaction at the government's decision to drastically increase the price of petrol and other fuels without strong and reasonable justification."

Peserta Himpunan Kecewa, Bas Lari

Petikan: Laman Marhaen


PARIT BUNTAR , 6 Julai : Sebuah bas yang sepatutnya membawa peserta Himpunan Sejuta Rakyat telah lari tanpa membawa penumpang kerana takut di tahan oleh polis. Bas yang pada mulanya setuju ke Kuala Lumpur membawa peserta dari PAS Kawasan Parit Buntar telah tiba di Pusat Tarbiyyah PAS di Titi Serong. Namun, tiba-tiba pemandu bas menukar keputusan apabila melihat peserta perhimpunan yang sedia menunggu untuk menaiki bas.

Akibatnya, 40 peserta perhimpunan terpaksa pulang hampa tidak dapat bersama program anjuran PROTES itu. Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Sdr Khairulzami Muhammad, kesal dengan tidakan syarikat bas berkenaan yang sudah menerima deposit pembayaran dari DPP Parit Buntar.

Walaubagaimanapun masih ramai peserta dari Parit Buntar yang dapat pergi kerana peserta bas berkenaan hanya sebahagian dari peseta yang akan pergi ke perhimpunan. Seorang peserta yang di temui begitu kecewa dengan tindakan syarikat bas berkenaan kerana telah lama merancang untuk ke perhimpunan berkenaan.

"Dewan Pemuda pada masa depan kena berhati-hati mencari syarikat bas, jangan jadi macam malam ni". tegasnya.

http://paritbuntar.pas.org.my

Kiriman Webmaster Laman PAS Parit Buntar

Dakwaan meliwat: Anwar enggan jawab cadangan bersumpah

Petikan: mStar Online
06-07-2008 09:34:52 AM


BUTTERWORTH: Ketika dakwaan meliwat terbaru yang dihadapi masuk minggu kedua, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya 'bermubahalah' atau bersumpah.

Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria yang meminta supaya bersumpah dilakukan jika tiada bukti.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berpendapat "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau sudah jemu bercakap dan mengulas berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

"Seminggu yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kisah itu (tuduhan liwat) dan saya tak nak, menyampah dan meluat dengan cerita kotor itu. Saya pernah dituduh dengan tuduhan yang sama dulu. Tuduhan daripada mereka yang kecewa dengan politik," kata Anwar dipetik Bernama.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mencabar kerajaan membuktikan bahawa beliau ada berhubung dengan wakil dari kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meminta bantuan daripada negara itu.

Kata Anwar, sekiranya kerajaan mempunyai bukti bahawa beliau ada berbuat demikian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sedia untuk tampil ke mahkamah.

"Saya tidak buat panggilan, saya tidak menulis surat dan (isterinya Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sendiri pun tidak menghubungi mana-mana pihak dari kerajaan AS. Tetapi ada beberapa pemimpin Islam dari luar negara yang menghubungi saya dan meminta saya bersabar serta mereka mendoakan keselamatan saya.

"Saya sudah beritahu saya akan hadapi perkara ini, kalau mereka (kerajaan) ada bukti, bawalah saya ke mahkamah. Saya bersedia," kata beliau dalam ceramah perdananya.

Publisiti Murahan Boleh Menjahanamkan MIC, Kata Samy Vellu

06 Julai, 2008 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini membidas sikap pemimpin tertentu dalam sayap pergerakan Pemuda parti itu yang hanya berminat untuk mencapai cita-cita politik melalui publisiti murahan.

Katanya pemimpin sedemikian enggan menyelesaikan masalah membabitkan parti dan masyarakat melalui meja perundingan tetapi memilih untuk mendapat perhatian ramai melalui publisiti murahan yang akan merosak dan melemahkan parti.

"Mereka hanya mahukan publisiti untuk mencapai impian politik," katanya semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC di sini, Ahad.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, Samy Vellu berkata mereka gagal untuk memahami matlamat parti yang mengarahkan kesemua pemimpin Pemuda yang mencapai umur 41 untuk mengosongkan kerusi masing-masing.

"Kita mahu memberi peluang kepada generasi muda yang lebih layak dan berkemampuan dalam sayap Pemuda di peringkat negeri dan bahagian supaya mereka dapat menyumbang kepada kejayaan parti pada keseluruhannya, " katanya.

Samy Vellu berkata MIC berpendapat timbul keperluan untuk menyuntik semangat baru di semua peringkat dalam parti itu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dengan peraturan had umur 41 tahun itu, Ketua Pemuda MIC S.A.Vigneswaran, 43, bertindak keluar parti kerana membantah peraturan itu dan dituruti oleh Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar bersama tiga anggota jawatankuasa walaupun sebahagian daripada mereka masih dibawah umur 41 tahun.

Timbalan Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang dan Exco Pemuda MIC Pusat Vincent David turut meletakkan jawatan.

Samy Vellu berkata niat murni parti disalah tafsir oleh sesetengah daripada mereka sehingga enggan berbincang dengan pimpinan parti tetapi bertindak menentang parti.

Katanya peraturan had umur itu tidak bermakna karier politik seseorang itu akan berakhir kerana mereka akan diberi peluang untuk memimpin di peringkat bahagian atau cawangan dengan bertanding dalam pemilihan parti tahun depan.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa MIC bukan sebuah parti untuk kemegahan peribadi kerana ia adalah wadah perjuangan bagi membela nasib kaum India di negara ini dan jangan gunakannya untuk kepentingan peribadi," katanya.

Di KULIM, Ketua Penerangan MIC Datuk M.Saravanan berkata isu perletakan jawatan tunggak Pemuda MIC di Kedah, Pulau Pinang dan Perak tidak akan menjejaskan perpaduan parti keseluruhannya.

MIC sedang dalam proses penjenamaan semula dan memerlukan pemimpin yang lebih radikal dan optimis untuk membela masyarakat India, katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Majlis Jasamu Dikenang" anjuran Pertubuhan-Pertubuhan NGO Kedah bersama Persatuan Karate Negeri Kedah di sini, malam tadi.

"Wujudnya isu itu memudahkan pucuk pimpinan parti memilih pemimpin pelapis sebenar memandangkan politik MIC bukanlah politik demonstrasi jalanan tetapi untuk meletakkannya sebagai wadah pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat India," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Setiausaha MIC Kedah S.Anantha berkata bahawa MIC Kedah menyokong jika Saravanan menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan penting dalam hiraki MIC Pusat.

"Saravanan adalah adalah bintang baru yang perlu diketengahkan sebagai salah seorang pemimpin pelapis MIC kerana beliau mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...