Showing posts with label Sports. Show all posts
Showing posts with label Sports. Show all posts

Wednesday, July 6, 2011

Tottenham Hotspur pilih Malaysia sebagai pangkalan di Asia

PETALING JAYA 5 Julai - Malaysia dipilih sebagai pangkalan Kelab Liga Perdana England (EPL), Tottenham Hotspur dalam meningkatkan program pembangunan bola sepaknya di rantau Asia.

Duta kelab berkenaan, Gary Mabbutt berkata, program yang dijalankan dengan usaha sama syarikat Football Focus Asia itu, akan menggilap pemain bola sepak berpotensi di negara ini dan juga Asia.

"Menerusi program ekstensif ini, yang bakal membawa jurulatih Tottenham ke Malaysia, bola sepak akan dibangunkan setaraf standard EPL, dari peringkat akar umbi, bagi menjana kejayaan sukan berkenaan di Malaysia bagi tahun-tahun akan datang.

"Alangkah bagusnya jika kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia yang pertama beraksi dalam EPL dan bermain untuk Tottenham,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Tottenham Hotspur Membangunkan Bola Sepak Malaysia di sini hari ini. - Bernama

Sunday, June 26, 2011

Chong Wei juara Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, meraih gelaran Terbuka Indonesia untuk kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade, 21-11 21-7 dalam perlawanan akhir di Istora Senayan, sebentar tadi. 

Ia adalah kejuaraan keenam untuk pemain nombor satu dunia itu tahun ini.

Saturday, June 11, 2011

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebentar tadi mengisytiharkan esok sebagai cuti umum di Kelantan. 

Beliau berkata, perisytiharan itu untuk keselesaan penyokong Kelantan pulang selepas menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

"Besok diisytiharkan cuti umum di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa. Semoga penyokong dapat menjaga tata tertib sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini," katanya menerusi laman Facebooknya.

Tiada lagi monopoli penyiaran program TV: Rais

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan melaksanakan dasar baru yang memastikan program televisyen yang digemari rakyat, terutama sukan popular, tidak lagi dimonopoli oleh satu badan penyiar atau badan media sahaja. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perkara itu sudah disampaikan kepada pihak berkenaan, termasuk Astro.

"Kita mahu Astro, misalnya, supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang produktif dan adil dengan Media Prima dan apatah lagi dengan RTM.


"Mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro tidak dapat (mengikuti siaran TV sukan) sedangkan RTM adalah badan penyiar kerajaan, dan dalam hal ini saya memohon maaf bagi pihak kementerian," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran serentak Komuniti 1Malaysia peringkat negeri Sabah dan Pos Bergerak serta penghargaan kepada petugas pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi (Sandakan) di sini hari ini. 

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat, khususnya mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro, yang tidak dapat menonton siaran Sukan Malaysia ke-14 yang diadakan di Kuala Lumpur tahun ini. 

"Kita mahu laksanakan dasar baru ini dan di bawah lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita akan ubah kedudukan tersebut. 

"Dengan lain perkataan tiada lagi monopoli. Sesuatu projek atau program sukan, misalnya bola sepak, kita cuba agihkan saluran dengan cara muafakat demi kebaikan semua pihak," katanya. 
Beliau berkata mengikut undang-undang sedia ada, lesen penyiaran boleh ditambah baik atau ditokoh tambah sekiranya kerajaan memikirkan sedemikian. - BERNAMA 

Friday, March 25, 2011

Malaysia perlu wujud liga badminton: Chong Wei

BAGI memajukan sukan badminton tanah air, satu liga badminton perlu diwujudkan di negara ini. 

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata dengan adanya liga berkenaan pemain akan lebih kompetitif. 

Menurutnya, beliau sendiri merasai perubahan selepas menyertai liga badminton di China dan Indonesia. 

“Banyak saya pelajari ketika beraksi dalam liga badminton China mahupun Indonesia. Semestinya banyak perbezaan antara liga Indonesia dan China. 

“Contohnya di China penontonnya lebih ramai dan pemain lebih agresif. Liga juga berlangsung selama empat bulan, berbanding Indonesia hanya satu minggu sahaja,” katanya selepas sidang media program amal Hope & Smile, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, Chong Wei yang bersimpati dengan nasib mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun berazam membantu mereka terlibat melalui program Hope & Smile. 

“Idea ini tercetus sebaik saja saya menonton siaran berita televisyen luar negara CNN ketika di Birmingham dan mahu menyumbang sesuatu kepada mereka. 

“Jadi selepas berbincang dengan perunding saya,mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan amal dan saya akan menjemput kawan baik saya Taufik Hidayat supaya orang ramai boleh datang sekali gus menyalurkan sumbangan mereka. 

“Bagaimanapun, Taufik masih belum memberi kata putus. Selain itu, saya juga akan menjemput rakan lain termasuk Hafiz Hashim bagi membantu menjayakan program ini. 

Majlis amal ‘Hope & Smile’ akan diadakan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) pada 2 April dan di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur (3 April). 

Chong Wei turut berbesar hati menyumbang dua raket, jersi hitam dan kuning serta sepasang kasut digunakan ketika menjuarai All England 13 Mac lalu pada acara lelong program amal itu. 

“Saya menyasarkan sebanyak RM1 juta dapat dikumpulkan. Hasil lelongan dan sumbangan akan disalurkan terus kepada mangsa gempa bumi dan tsunami melalui kedutaan Jepun di Malaysia,” katanya.

Wednesday, March 23, 2011

Platini kekal sebagai presiden UEFA

PARIS, 23 Mac - Bekas pemain bola sepak antarabangsa Perancis, Michel Platini dipilih semula untuk menjadi Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) awal pagi semalam.

Platini, 55, yang pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh empat tahun lagi. AFP

Tuesday, March 15, 2011

Juara All England: Lee terima saham RM100,000

Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, hari ini menerima RM100,000 unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada kerajaan Malaysia atas kejayaannya mempertahankankan kejuaraannya pada Kejohanan Badminton Seluruh England awal pagi Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyampaikan hadiah tersebut kepada Lee, yang tiba dari London pada 6.45 pagi tadi, pada majlis sarapan pagi di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Sementara, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyampaikan hadiah peribadinya, sebuah jam tangan, atas kejayaan Lee itu.

Lee pada kejohanan itu mengalahkan musuh ketatnya Lin Dan dari China 21-17, 21-17 dengan mengambil masa 52 minit pada pertandingan perseorangan lelaki Kejohanan Seluruh England di Birmingham Indoor Arena, England.

Berucap pada majlis itu, Najib berkata beliau begitu yakin Lee akan berjaya menumpaskan Lin Dan pada pertandingan itu kerana mendapati permainan Lee lebih fokus dan lebih berkeyakinan, berbanding semasa bertemu Lin Dan di temasya Olimpik yang lalu.

Beliau berkata, hadiah kerajaan Malaysia itu adalah hasil perbincangannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan "kita telah bersetuju untuk memberi hadiah yang istimewa kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas kejayaan Datuk Lee Chong Wei."

Perdana Menteri juga berkata, sebelum bertanding Lee menelefon Rosmah, satu tabiatnya sebelum bertanding, untuk mendapatkan kata-kata semangat.

"Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang dan saya juga dapat bercakap dengan Lee Chong Wei turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang.

"Pada ketika itu, dia (Chong Wei) tidak menganggap Lin Dan sebagai penentang yang tidak boleh diatasi. Chong Wei juga telah menunjukkan pemainan yang begitu hebat sekali dan tidak pernah rasa tertekan tetapi sentiasa mengatur permainannya berdasarkan kepada pelan permainan.

"Pada saya, bila dia mempunyai keyakinan dan komited kepada pelan permainannya, pada masa itu dia boleh mengatasi pencabarnya yang menjadi penghalang besar kepadanya untuk mencapai kejayaan," katanya.

Najib berharap kejayaannya itu dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun depan, yang juga "impian kita yang masih belum tercapai."

"Ini adalah harapan saya dan juga 27 juta rakyat Malaysia. Inilah harapan yang kita anggap sebagai cita-cita besar dan impian agung yang menuntut usaha semua pihak untuk menjadikannya satu kenyataan," katanya.

Perdana Menteri berkata, namun untuk mencapai kejayaan itu, semua pihak termasuk pemain, jurulatih, BAM, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu terus memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan perancangan pelan yang telah disusun rapi ke arah mencapai matlamat tersebut.

Bagi pemain yang tidak berjaya, Najib turut menasihatkan mereka supaya tidak mudah putus asa, malah sebaliknya menjadikan kekalahan sebagai satu pengalaman untuk mereka lebih matang dan berkemampuan di masa hadapan.

"Sebagai ahli sukan, segala kekalahan atau kemenangan yang dikecapi perlu dijadikan pengalaman untuk memperkayakan kekuatan diri, di samping sentiasa menyemai sikap positif dalam diri," katanya.

Najib berkata, bagi pasangan beregu negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang gagal mengulangi kejayaan 2007 apabila kecundang pada Mathias Boe dan Carsten Mogensen dari Denmark pada kejohanan itu, jangan terlalu kecewa.

"Tetapi gunakan kekalahan itu sebagai pengalaman dalam kita membuat persediaan supaya bila sampai kepada pertandingan di Olimpik nanti, kita akan menjadi pemain yang berkemampuan dan berpengalaman berdasarkan pengalaman kita."

"Yang penting ialah untuk menguatkan diri kita. Kita mesti jangan pesimistik atau negatif, tetapi sentiasa positif. Dengan itu, insyaAllah kita akan jadi pemain yang lebih hebat pada masa akan datang," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan sentiasa menyokong dan mendokong segala usaha yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dalam usaha mencapai matlamat memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Najib juga turut menjelaskan kenapa beliau tidak mengisytiharkan cuti umum berikutan kemenangan Lee menjuarai Seluruh England, ketika melayari laman sosial Twitternya pada malam pertandingan kerana ia akan menyebabkan negara menanggung kos yang besar walaupun cuti sehari.

"Apa yang penting kita bekerja kuat supaya meraih kemenangan yang lebih banyak pada masa depan.

"Kalau Chong Wei menang, dialah yang dapat hadiah, kita dapat cuti buat apa. Kita patut rasa bangga dengan kemenangan dia. Sekali sekala dapat cuti umum tidak mengapa, jangan jadikan ia sebagai habit. Nanti orang kata kita tidak serius dalam menjalankan tugas-tugas harian kita untuk negara," katanya. 

- Bernama

Thursday, March 3, 2011

Keputusan pelik tuan rumah Sukan SEA

KUALA LUMPUR- 'Satu pembohongan besar'. Itu rumusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sejurus mengetahui keputusan penuh 18 acara basikal yang akan dipertandingkan di Sukan Sea 2011 di Indonesia hujung tahun ini.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab menegaskan Komite Olimpik Indonesia (KOI) dan Persatuan Berbasikal Indonesia (ICA) tidak melakukan sebarang rombakan semula terhadap acara membabitkan trek dan basikal bukit, sekali pun pada mesyuarat 25 Februari lalu.

Tambah melucukan, Indonesia menyenaraikan acara 10 kilometer perlumbaan mata lelaki elit dan 25km perlumbaan mata wanita, yang membayangkan sikap tidak jujur negara tuan rumah.

"KOI dan ICA bukan saja tidak menghormati tindakan ACC (Persatuan Berbasikal Asia) yang telah menghantar surat jawapan balas meminta agar mereka menyenarai semula acara bersesuaian dengan Kejohanan Sedunia.

"Misalnya dalam disiplin trek, mereka perlu senaraikan keirin dan 200 meter ujian masa individu.

"Bagaimanapun, Indonesia hanya senaraikan 10km scratch race, 4 km individual pursuit dan 10km perlumbaan mata.

"Sedangkan dalam surat asal kepada ACC, mereka minta nasihat daripada badan Asia itu. Namun setelah diberikan nasihat, mereka sama sekali tolak mentah-mentah pandangan ACC.

"Paling melucukan ialah apabila mereka adakan acara 10km perlumbaan mata untuk lelaki dan 25km perlumbaan mata untuk wanita.

"Adakah mereka ingin beritahu kita pelumba lelaki lemah berbanding pelumba wanita?. Saya benar-benar bingung dengan keputusan ini. Ia sangat melucukan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Friday, February 25, 2011

Claudio Borghi, jurulatih baru Chile

SANTIAGO 25 Feb. - Bekas penyerang Argentina, Claudio Borghi dinamakan jurulatih baru Chile menggantikan Marcelo Bielsa, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Chile.

Borghi yang pernah membimbing kelab Chile, Colo Colo antara tahun 2007 dan 2008, telah berada di sana semenjak melepaskan jawatan di Boca Juniors pada pertengahan November.

Tugasan pertama Borghi di peringkat antarabangsa akan bermula pada Copa America yang akan berlangsung dari 1 hingga 24 Julai depan.
Chile akan berada sekumpulan dengan Uruguay, Peru dan Mexico di dalam kumpulan C. - Reuters

Sunday, February 20, 2011

Malaysia dan Thailand Tuanrumah Piala AFF 2012

Februari 19, 2011 - Malaysia dan Thailand telah dinamakan sebagai dua tuanrumah pusingan awal AFF Piala Suzuki 2012.

Ini berikutan mesyuarat ke 18 Majlis AFF untuk sesi 2007/2011 pagi ini di Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuanrumah adalah pada 2004 bersama Vietnam, manakala Thailand menjadi tuanrumah pada 2006 bersama Indonesia.

Malaysia, Indonesia, Vietnam, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand adalah enam pasukan yang layak ke kejohanan utama. 

Ini berdasarkan ranking AFF iaitu Vietnam (20 mata) ditempat teratas, Indonesia (19.3 mata), Malaysia (18 mata), Singapura (16 mata), Thailand (16 mata) dan Filipina (12 mata).

Manakala Myanmar, Laos, Cambodia dan Timor Leste akan bermain di pusingan kelayakan.

Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun akan diadakan di Myanmar pada September 1-10, 2011
Kumpulan A: Thailand, Singapura, Filipina, Malaysia
Kumpulan B: Myanmar, Indonesia, Laos dan Vietnam

Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun akan diadakan di Laos pada Julai 7-17, 2011
Kumpulan A: Laos, Thailand, Malaysia, Timor Leste, Indonesia
Kumpulan B: Myanmar, Vietnam, Singapura, Cambodia, Filipina

Kejohanan Futsal AFF akan diadakan di Indonesia pada April 11-17, 2011
Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Thailand

Kejohanan AFF Bawah 23 dijangka akan diadakan di Palembang pada Julai 18-24, 2011. Kejohanan ini adalah sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2011 akan menyaksikan lima pasukan mengambil bahagian Indonesia, Singapura, Filipina, Myanmar dan Timor Leste.

Kejohanan Bolasepak AFF Wanita akan diadakan di Laos pada minggu kedua Oktober, 2011
Pasukan (8): Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Myanmar, Malaysia, Laos dan Vietnam

Sementara itu, calun untuk Majlis AFF telah diumumkan.

Calun Jawatan Presiden:

  • H. A. M. Nurdin Halid dari Indonesia
  • Sultan Haji Ahmad Shah dari Malaysia
  • Dato’ Worawi Makudi dari Thailand

Calun Naib Presiden (empat Posisi):
  • Pengiran Matusin Matasan dari Brunei
  • Brigadier General Khiev Sameth dari Cambodia
  • H. A. M. Nurdin Halid dari Indonesia
  • Viphet Sihachakr dari Laos
  • Juan Miguel Romualdez dari Philippines
  • Francisco Kalbuadi dari Timor Leste
  • Duong Vu Lam dari Vietnam

Pemilihan untuk Majlis AFF berikutnya akan diadakan pada Kongres AFF di Bangkok pada April 10, 2011

Friday, February 18, 2011

Raja Ahmad tak putus-putus minta FAM kaji ‘Awang Import’

IPOH 18 Feb. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta menimbangkan semula cadangan membenarkan setiap pasukan dalam Liga Super mendapatkan khidmat pemain import.

Anggota Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, langkah itu adalah lebih berkesan dalam membangunkan mutu bola sepak negara kerana ia melibatkan keseluruhan pasukan.

"Adalah lebih baik memberikan kebenaran kepada pasukan Liga Super mendapatkan khidmat pemain import kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain muda dalam pasukan untuk terus maju,” katanya.

Beliau berkata, ia lebih sesuai dalam keadaan sekarang di mana banyak pasukan Liga Super mempunyai pemain muda yang berbakat dan mereka memerlukan pendedahan dalam sukan itu.

Katanya, sekiranya pemain muda mendapat pendedahan yang cukup maka mereka akan lebih berani untuk mencuba nasib mereka di liga Eropah seperti pemain dari benua Afrika. - Bernama

Tuesday, February 15, 2011

Bekas pemain bola sepak Kelantan meninggal

KOTA BHARU - Bekas penyerang Johor FC dan Kelantan, Sairozi Daud, 32, meninggal dunia di hospital pakar di sini kira-kira pukul 9.30 pagi semalam setelah menderita penyakit barah tengkuk sejak setahun lalu.

Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan 'Abe' di kalangan rakan-rakan meninggalkan isteri, Aisyah Norehan Azhari, 25.
Semasa arwah menghembuskan nafas terakhir, isteri dan kedua-dua orang tuanya ada di sisi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Pangkal Nering Timur, Machang untuk dikebumikan selepas solat zuhur.

Utusan Malaysia 14 Disember tahun lalu melaporkan penderitaan dialami pemain tersebut yang menghidap penyakit barah tengkuk.
Penyakit dihidapinya mula dikesan awal Februari tahun lalu dan menjalani pembedahan di hospital pakar di Johor.

Selain itu, Allahyarham Sairozi menerima tujuh kali rawatan kemoterapi selain 36 kali radioterapi di hospital tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui, semalam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut Annuar, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Kelantan.

"Arwah merupakan bekas pemain cukup dedikasi, pernah mengharumkan nama Kelantan suatu ketika dahulu," katanya.

Sairozi memulakan kerjayanya selaku pemain bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 2004.
Setahun kemudian, beliau membantu Kelantan muncul juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya.

Pada 2007, beliau bersama-sama seorang lagi pemain, Azlan Ismail mengambil keputusan berhijrah ke Perlis sebelum ke Gurun, Kedah bermain bersama kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana.

Musim 2009 menyaksikan beliau sekali lagi berhijrah ke Johor serta membantu negeri tersebut layak beraksi dalam Liga Super sebelum menamatkan perjalanan bola sepaknya bersama Johor FC.

Monday, February 14, 2011

Sultan Ahmad Shah terima pencalonan

PETALING JAYA - Sultan Ahmad Shah bersedia bertanding untuk jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang kini disandang oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sejak 1996.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, semalam mendedahkan yang baginda ada menerima tawaran pencalonan tersebut bagi menjawat jawatan penting itu.

"Saya ada menerima pencalonan untuk menyandang jawatan sebagai Presiden, jika AFF mahukan saya berkhidmat, maka saya bersedia untuk menerimanya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF di Wisma FAM di sini, semalam.
Menurut Sultan Ahmad Shah, jawatan tersebut bakal diiringi dengan tanggungjawab yang besar bagi membangunkan bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, baginda enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan tersebut kerana ia masih lagi di peringkat cadangan.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut mengumumkan Jawatankuasa Kewangan FAM telah bersetuju menambah jumlah peruntukan bagi geran pasukan-pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Namun, saya tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang yang akan kita salurkan buat masa ini," titah baginda yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM sebelum majlis tersebut berlangsung.

Baginda menjelaskan, bagi memastikan prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk membelanjakan sejumlah peruntukan bagi membolehkan perlawanan persahabatan dapat diadakan dengan lebih kerap terutamanya beraksi di luar negara.
Sultan Ahmad Shah turut mendedahkan FAM bersedia untuk mengkaji secepat mungkin berhubung rayuan bagi meningkatkan jumlah elaun pengadil.
Pada mesyuarat itu juga, FAM telah melantik seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai Bendahari Kehormat FAM. Beliau merupakan presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).
Sebelum ini, jawatan pemangku bendahari dipegang oleh V. Ampega.

Sunday, February 13, 2011

FAM beri imbuhan RM50,000 setiap pemain

PETALING JAYA 13 Feb. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memberikan insentif RM50,000 seorang kepada 22 pemain dan jurulatih skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember lalu.

Presiden FAM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, menyampaikan ganjaran lumayan itu pada majlis meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini.

"Pencapaian mereka sangat membanggakan bukan sahaja kepada saya malah seluruh rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang kami selama ini,” titah baginda kepada pemberita selepas majlis tersebut.
"Kejayaan ini mesti ada kesinambungan... ini hanya permulaan era baru bola sepak Malaysia,” titahnya.

Baginda bertitah pasukan kebangsaan tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sebagai juara Asia Tenggara sahaja, sebaliknya terus berjuang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 dan Piala Dunia 2014.

Thursday, February 10, 2011

Harimau Malaya mengaum lagi

SHAH ALAM - Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan rentak konsisten selepas menjuarai Piala Suzuki AFF apabila garang menumpaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Satu gol dalam setiap separuh masa oleh kapten, Safiq Rahim pada minit ke-44 dan Mohd. Amirulhadi Zainal pada minit ke-91 sudah cukup memastikan 5,000 penonton yang hadir pulang dengan senyuman dalam perlawanan yang 
menyaksikan penguasaan penuh skuad negara.

Tiada banyak perubahan pemain dalam kesebelasan utama yang diturunkan oleh K. Rajagobal, kecuali Mohd.Aidil Zafuan kembali mendapat tempat yang meletakkan Mohd. Muslim Ahmad di bangku simpanan.

Selain itu, Mohamad Ashari Samsudin menjadi pilihan K. Rajagobal untuk diletakkan di posisi sayap kiri sementara K. Gurusamy mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Amar Rohidan yang digugurkan kerana mengalami demam campak.

Harimau Malaya memberi amaran seawal minit ke-12 apabila rembatan padu penyerang sensasi, Safee Sali diselamatkan penjaga gol Hong Kong, Yapp Hung Fai sebelum singgah mengenai palang.

Selepas mengasak bertubi-tubi, gol pembakar semangat Malaysia akhirnya hadir pada minit ke-44.

Malaysia harus berterima kasih kepada kesilapan pertahanan Hong Kong, Deng Jinghuang yang terjatuh semasa cuba melakukan sepakan keluar di bahagian kiri pintu gol.

Safiq yang berada berhampiran Jinghuang pantas menyambar bola sebelum melarikan diri di hadapan pintu gol Hong Kong dan melepaskan rembatan leret yang menewaskan Hung Fai untuk gol pertama Malaysia.

Pada separuh masa kedua, Hong Kong yang tidak menghadirkan sebarang ancaman kepada kubu negara menampilkan perwatakan yang lebih agresif.
Hong Kong hampir mendapatkan gol penyamaan pada awal minit ke-47 menerusi rembatan padu Ye Jia, namun Khairul Fahmi tangkas menafikan hasrat lawan.

Harimau Malaya memperoleh kesempatan terbaik menjarakkan kedudukan pada minit ke-60 berpunca menerusi hantaran silang sebelah kiri Ashari tetapi tandukan Safee sekadar sipi di bahagian kanan pintu gol Hong Kong.

Percubaan Aidil menerusi percubaan leret menerusi sepakan percuma juga gagal membuahkan hasil walaupun Hung Fai sudah tertewas.

Malaysia terus kempunan apabila tiang pula menjadi penghalang kepada hasrat S. Kunanlan pada minit ke-70 walaupun sudah berjaya melepaskan rembatan di dalam kotak penalti tanpa sebarang tekanan dikenakan oleh pertahanan lawan.

Namun, kemasukan Amirulhadi yang menggantikan Ashari membuahkan hasil yang melakukans gerakan secara solo dan melepaskan rembatan dari arah tepi untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-91.

Sunday, January 30, 2011

Liga Super 2011: Kelantan beri amaran awal

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan memberikan amaran awal dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2011 setelah menumpaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan sumbangsih dalam meneruskan saingan Liga Super musim ini.

Sepakan penalti penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan bebas ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi pada setiap babak permainan, turut memastikan tiga mata sulung liga buat Wira Merah di Stadium Shah Alam.
Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan pula mengorak langkah kanan dalam Liga Super 2011 dengan menumpaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Tiga mata turut digenggam satu lagi tuan rumah, Pahang selepas menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan Saiful Nizam minit ke-14, sepakan penalti R. Surendren (42) dan Mohd. Alafi Mahmud (73).
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah terlepas tiga mata apabila diikat Perak 1-1 biarpun mendahului menerusi Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-12 sebelum disamakan oleh Shafiq Jamal, minit ke-66.

Tiga keputusan seri tanpa jaringan pula tercatat dalam perlawanan Terengganu-Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Johor FC-Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang dan Kedah-T-Team di Stadium Darulaman, Alor Setar. - Utusan

Keputusan
Selangor 0 Kelantan 2
Terengganu 0 SABAH 0
Kuala Lumpur 1 Perak 1
Johor FC 0 Felda United 0
Kedah 0 T-Team 0
Negeri Sembilan 1 Harimau Muda A 0
Pahang 3 Perlis 1

Friday, January 28, 2011

Karathu kembali warnai Liga Malaysia

KOTA BHARU - Selepas menyepi selama setahun daripada kancah bola sepak tempatan, bekas jurulatih Perak musim 2008-2009, Datuk M. Karathu kembali mewarnai saingan Liga Malaysia dengan melatih juara Piala Malaysia musim lalu Kelantan.

Kembalinya Karathu ke pangkuan Kelantan diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah melatih skuad yang terkenal dengan laungan 'gomo kelate gomo' itu pada 1993.
Menurut Karathu, kesediaannya kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan dirinya selepas hampir 18 tahun meninggalkan pasukan tersebut.
"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutamanya Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.

"Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma KAFA, Kampung Chicha dekat sini, semalam.
Tambah Karathu, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.
"Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain berbakat. Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan," ujarnya yang mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan Kelantan.

Karathu sebelum ini berjaya membimbing skuad Seladang menjulang Piala FA pada 1990, selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Malaysia pada 1993.
Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka dan kelab Woodlands Wellington FC (Singapura).
Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sideek Samsuddin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

"Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.
"Sasaran saya musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya yang memulakan tugas semalam.
Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini menentang Selangor, Karathu menanggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.

"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.
"Untuk itu, Saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetitif bermula Sabtu ini," katanya.

Thursday, January 27, 2011

FAM kaji bayaran penampilan pemain

PETALING JAYA - Jika mendapat kelulusan pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Persatuan Bola Sepak (FAM) pada 13 Februari ini, setiap pasukan yang beraksi dalam perlawanan Liga Super yang disiarkan secara langsung di televisyen, akan menerima bayaran penampilan.

Selain itu, satu lagi syor yang akan dibentangkan dalam mesyuarat yang bakal dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah nanti, iaitu kemungkinan setiap pasukan menerima imbuhan mengikut ranking terakhir masing-masing dalam tangga liga apabila berakhirnya saingan.
Ini bermakna, pasukan tercorot yang menghuni tangga ke-14 liga pun tetap akan menerima bayaran mengikut skala yang ditetapkan.

Jumlah imbuhan wang tunai yang diperuntukkan bagaimanapun tidak dinyatakan kerana ia masih di peringkat perancangan.
Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, ia merupakan syor yang difikirkan baiknya untuk memberi ganjaran berdasarkan merit sesebuah pasukan.
Tegas Annuar, meskipun FAM mendapat tajaan lumayan bernilai RM120 juta daripada Astro untuk tempoh empat tahun, pihaknya tidak bercadang untuk sewenang-wenangnya mengagihkan geran tahunan dalam jumlah besar sekaligus.
"FAM mungkin ada banyak duit sekarang, tapi ini tidak bermakna kalau tahun lepas kita berikan subsidi RM300,000, tahun ini kita bagi terus RM1juta...tidak, bukan begitu.

"Kita nak bagi, tapi secara berkaedah. Kaedahnya iaitu berdasarkan merit, mengambil kira ranking dalam Liga Super, berapa penampilan dalam siaran langsung dan apa-apa saja program yang dilakukan sesebuah negeri atau kelab itu menambah baik liga dan bola sepak tempatan."
Annuar memberi jaminan, geran tahunan yang bakal dinikmati semua pasukan bertanding dalam Liga Super, tidak akan mendapat kurang daripada tahun sebelumnya.

Karathu ganti Sathia latih Kelantan

KUALA LUMPUR - Kelantan kembali mendapat sentuhan bimbingan M. Karathu setelah terpaksa melupakan khidmat B. Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kerana mengkritik penjadualan perlawanan Liga Malaysia musim lalu.

Pelantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta di sini, semalam.
"Dia akan mula melatih Kelantan bagi menghadapi Liga M, Khamis ini (hari ini)," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL).

Selain pernah melatih Kelantan pada 1993, Karathu turut mencipta kegemilangan dengan negeri kelahirannya, Perak sebagai juara Piala FA 1990, naib juara Divisyen Dua 1989 dan Piala Sultan Ahmad Shah 2001.
Karathu juga pernah melatih Negeri Sembilan, Akademi Belia Malaysia, Woodlands Wellington (Singapura) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka.

Kini misi sulungnya ialah membawa Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi merampas Piala Sultan Ahmad Shah daripada juara bertahan, Selangor sekali gus membuka tirai aksi Wira Merah dalam Liga M 2011, Sabtu ini.

Wednesday, January 26, 2011

FAM lantik Stuart sebagai CEO Liga Super Malaysia

PETALING JAYA 26 Jan. – Liga Super Malaysia (MSL), cabang komersial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah melantik Konsultan (FIFA) Profesionalisasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Stuart Ramalingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, Stuart akan bertanggungjawab dengan usaha penyusunan semula dan komersialisasi produk bola sepak Persatuan Anggota (MA).

"Stuart, yang bermula dengan jawatannya sebagai CEO November lepas, siap sedia menerajui inisiatif baru yang termasuk membangun dan menyusun semula Liga Profesional dan Kelab serta melancar dan meneruskan inisiatif bola sepak peringkat akar umbi FIFA MA,” kata Annuar selepas melancarkan logo baru MSL 2011 di Wisma FAM di sini hari ini.
Stuart telah bertugas dengan FIFA sejak 2008 dan merupakan pengasas Intergrated Marketing and Communications Agency, Kumpulan Brainchild. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...