Dari Blog Amin Iskandar@Black

Jika Anwar di dapati bersalah oleh mahkamah rakyat tidak akan percaya. Apabila Najib dikatakan tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya orang ramai pun tidak percaya.

Percaya atau tidak percaya? Betul atau tidak betul? Najib betul ke atau Anwar yang betul? Raja Petra betul ke? Balasubramaniam betul ke?

Semua persoalan-persoalan ini sedang berada dalam fikiran semua warga negara ini sekarang. Anak semua bangsa, warga semua derjat sedang bertanya-bertanya dan berfikir kuat. Apa yang berlaku pada akhir bulan Jun ke awal Julai 2008 ini telah membawa kita semua kembali 10 tahun ke belakang – kembali ke September 1998. Mungkin ramai generasi muda tidak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku 10 tahun dahulu. Mungkin ada juga generasi yang bukan muda tetapi telah kabur-kabur ingatan.

Hakikatnya sejarah sedang berulang. Berulang berputar jelas di hadapan mata kita semua.

Hakikatnya – semua soalan-soalan ini adalah manifestasi. Manifestasi ini hanya dapat kita fahami jika kita mengurut kembali ke belakang dan melihat sebab dan musabab yang melahirkan manifestasi-manifestasi ini.

Tidak dapat tidak sejarah akan membuktikan yang manifestasi-manifestasi ini adalah hasil dari 22 tahun Malaysia di perintah Mahathir Muhamad. Gaya, cara, tenik, pendekatan dan taktik pemerintahan Mahathir selama 22 tahun yang lalu telah melahirkan apa yang kita hadapi sekarang. Manifestasi hari ini lahir setelah ia ditanam selama 22 tahun. Seperti pokok durian ianya akan berbuah setelah 10 atau 15 tahun bijinya ditanam.

Yang kita tuai hari ini adalah biji dan benih-benih realpolitik yang telah ditanam dan dibajai oleh Mahathir Muhamad. Sama seperti durian jika benih yang baik maka buahnya pasti baik. Dalam realpolitik Mahathir Muhamad, dia telah berjaya menanam biji politik yang tidak sihat untuk Malaysia

Betul – Mahathir Muhamad kini telah menjadi bekas Perdana Menteri. Betul – setelah bersara tidak mungkin susuk yang bernama Mahathir ini akan terus memiliki kuasa. Tetapi kuasa wujud bukan dalam bilik yang kosong. Kuasa wujud dengan memiliki alat-alat bantuan. Kuasa daulah dibantu oleh lembaga-lembaga daulah. Wujudnya kuasa kerana wujud bersama badan-badan penguat kuasa.

Lembaga-lembaga daulah ini diwakili oleh manusia yang bekerja, bergerak dan berkepentingan. Di sinilah Mahathir Muhamad telah merentas masuk. Dia telah menebas dan menebang beberapa akar umbi lembaga-lembaga daulah dan menanam benih baru. Kerana Mahathir ingin berkuasa lama maka dia telah memagari dirinya dengan pelbagai bentuk undang-undang. Dia telah mengubah perlembagaan. Dia telah meluluskan pelbagai akta. Malah dalam partinya sendiri dia telah beberapa kali membuat perubahan dan pindaan perlembagaan parti. Semua ini untuk memastikan yang dirinya terus berkuasa.

Lembaga-lembaga ini juga di duduki dan dipimpin atau di kepalai oleh manusia biasa yang berkepentingan. Orang-orang dipilih diwajibkan bertaat setia kepada Mahathir Muhamad. Sebenarnya taktik dan pendekatan realpolitik setia kepada Mahathir Muhamad ini bukan sesuatu yang baru. Di Mesir 3000 tahun dahulu Firaun telah menggunakannya, di Iran Ahmad Reza Pahlavi telah menggunakan nya, di Chile Jeneral Pinochet telah menggunakan nya, di Indonesia Jeneral Haji Ahmad Suharto telah menggunakannya.

Kepala-kepala dan pemimpin lembaga daulah - dari badan kehakiman, kepolisian, persuratkhabaran, keilmuan, perniagaan yang jujur, ikhlas dan ingin menjaga kepentingan ramai telah di buang kerja, di air batukan, di gantung atau di takut-takutkan dengan pelbagai cara.

Untuk sesiapa sahaja yang sedia bertaat setia mereka akan dinobatkan dengan limpah kurnia yang lumayan dari Mahathir Muhamad. Nikmat dunia ini tidak ada sempadan untuk mereka. Harta kekayaan datang mencurah-curah sehinggakan mereka sendiri pun terperanjat.

Inilah hakikat realpolitik 22 tahun Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir Muhamad.

Hari ini apa yang berada di hadapan mata kita adalah bau haprak dan kelongsong politik yang telah ditinggalkan oleh Mahathir Muhamad. Abdullah Badawi adalah pewaris yang kelihatan masih tidak dapat tanggal dari kelongsong ini.

Ada dua lembaga yang amat-amat penting dalam semua lembaga daulah – Badan Kehakiman dan Badan Kepolisian. Satu berkuasa untuk mentakrif, mencipta dan menilai undang-undang dan satu lagi untuk penguatkuasaan undang-undang. Dua badan ini begitu penting sekali untuk semua negara.

Adalah salah jika ada warga yang menganggap bahawa badan kehakiman dan kepolisian boleh bergerak bersendirian. Dua lembaga ini wajib bergerak seirama dalam satu tempo. Tetapi jangan lupa ada lagi satu lembaga yang maha penting yang akan menilai lembaga-lembaga ini. Lembaga ini adalah orang ramai. Orang ramai ini ialah kita rakyat biasa ahli warga negara ini. Orang ramailah akhirnya akan menjadi juru penilai akhir.

Hukum dan undang-undang ini semuanya didirikan untuk memastikan kepentingan hak individu terjamin, untuk memastikan kebaikan bersama didahulukan, untuk memastikan kepentingan ramai dijaga bukan kepentingan kroni yang didahulukan. Ertinya undang-udang di buat untuk kepentingan kita – rakyat.

Kita - orang ramai wajib memiliki keyakinan terhadap lembaga-lembaga ini. Kita wajib yakin terhadap mahkamah dan hakim. Kita wajib yakin terhadap polis. Keyakinan terhadap lembaga- lembaga daulah tidak boleh dipaksa-paksa. Tidak boleh melalui ugutan. Tidak boleh melalui ISA, tidak boleh melalui tangkapan. Polis memang boleh menangkap tetapi apakah tangkapan polis itu diyakini ramai. Hakim boleh menjatuhkan hukum tetapi apakah hukuman itu diyakini orang ramai.

Pada masa perang dunia ke dua dahulu Tanah Melayu telah diduduki oleh Jepun dengan kekuatan senjata. Jepun juga telah meluluskan pelbagai macam undang-undang. Jepun juga ada mahkamah dan hakim. Jepun juga telah menahan ramai orang. Jepun juga telah memenjarakan ramai warga. Malah Jepun juga telah mengeluarkan Duit Jepun Pokok Pisang.

Kerajaan hari ini sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat. Ini sama seperti tahun1998 dahulu. Sepuluh tahun dahulu apa sahaja yang keluar dari mulut Mahathir Muhamad akan di anggap sandiwara. Kini keadaan sedang berulang lagi. Rakyat tidak memiliki keyakinan terhadap badan kehakiman dan badan kepolisan.

Justeru, kunci untuk apa sahaja bentuk kerajaan dan daulah ialah keyakinan orang ramai. Tanpa keyakinan orang ramai kerajaan dan lembaga-lembaga daulah ini tidak akan dihormati dan akan luruh. Rakyat untuk sementara waktu mungkin boleh dipaksa. Untuk sementara waktu rakyat boleh dihukum. Inilah manifestasi krisis yang benihnya telah ditanamkan oleh Mahathir Muhamad kerana dia lama menjadi Perdana Menteri.

Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1941-45) TIDAK di yakini. Mahkamah Jepun tidak di yakini. Hakim Jepun tidak diyakini. Tahun 2008 rakyat Malaysia melihat lembaga-lembaga daulah hari ini telah sampai ke tahap Duit Jepun Pokok Pisang – boleh dilihat tetapi tidak bernilai.