Saturday, August 16, 2008

AMK: Kenyataan Saiful bercanggah - MALAYSIAKINI

Aug 16, 08 3:08pm Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos 2008 lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding merungkai kekeliruan, kata
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

shamsul iskandar"Beliau secara terbuka menegaskan bahawa beliau tidak rela diliwat dan diliwat secara paksa, sedangkan dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu dakwaan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful secara sukarela.

"Justeru dalam kes ini, yang mana satu terpakai, suka-sama-suka ataupun secara paksa?" soal Shamsul dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kenyataan bahawa 'Saiful diliwat kali pertama pada 26 Jun 2008' sekaligus melengkapkan keraguan munasabah episod dakwaan terhadap Anwar, apabila akhbar utama melaporkan pada akhir Jun dan awal Julai lalu, bahawa Saiful mendakwa diliwat beberapa kali oleh penasihat PKR itu, kali terakhir pada 26 Jun lalu, di sebuah kondominium di Damansara.

saiful bukhari azlan 040708"Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengakui Saiful datang bertemunya pada 25 Jun 2008 untuk melaporkan mengenai Saiful diliwat beberapa kali.

"Keraguan juga timbul, apakah tujuan sebenar Saiful menemui Najib pada 25 Jun 2008 tersebut sekiranya beliau hanya diliwat pada 26 Jun 2008 sebagaimana didakwa semalam?" soal Shamsul lagi.

Persoalan, tambahnya, timbul mengapa wujud percanggahan ketara dalam dua fakta utama kes ini.

Hukum qazaf


"AMK berpegang teguh atas prinsip yang ditegaskan oleh Ulama' tersohor dunia, Sheikh Taha Jabir melalui fatwanya bahawa 'persoalan sumpah langsung tidak disebut oleh para ahli Fekah'.

"Adalah lebih tepat bagi Saiful untuk membawa kes ini mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 berbanding sumpah laknat yang tidak boleh digunapakai dalam kes ini," tambahnya.

Shamsul berkata, pendakwaan yang dibuat oleh Anwar di bawah hukum qazaf yang dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah lebih menepati kehendak syariat sepertimana firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4 dan ayat 11 hingga ayat 19.

"AMK juga percaya sepenuhnya bahawa sumpah laknat Saiful ini lebih bersifat politik, meskipun beliau menafikannya.

"Malah jelas terbukti di blog Saiful sendiri pada tarikh 1 Ogos 2008 bagaimana beliau mengucapkan 'selamat bertanding' kepada Anwar.

"Justeru adalah sangat memualkan tatkala Islam terus disalahguna untuk tujuan mengaibkan sesama insan demi menyempurnakan perencanaan siasah songsang caturan pihak tertentu," tambahnya.

Shamsul yakin bahawa gelombang kebangkitan rakyat akan terus menang akhirnya, sekaligus menyanggah konspirasi politik yang dicatur untuk menjatuhkan Anwar.

Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, Kata Nik Aziz - BERNAMA

16 Ogos, 2008 16:05 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Ogos (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci Al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.

Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung Al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

"Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tetapi bukanlah dengan memegang kitab suci Al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah," katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi penamaan calon penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Saiful Bukhari bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Semalam Saiful Bukhari membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar telah meliwat dirinya dalam keadaan paksaan.

Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.

-- BERNAMA

Pertandingan Tiga Penjuru Di Permatang Pauh - BERNAMA

16 Ogos, 2008 12:43 PM
BUKIT MERTAJAM, 16 Ogos (Bernama) -- Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Arif Shah Omar Shah daripada Barisan Nasional (BN), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya mengumumkan nama ketiga-tiga calon yang layak pada pukul 11.45 pagi ini selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi.

Proses penamaan calon pilihan raya itu diadakan di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.

Beliau berkata lima bantahan diterima dan tiada pencalonan yang ditolak.

Semasa ditanya pemberita kemudian mengenai kedudukan calon keempat, Dr Mansor Othman yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, Roslan berkata beliau menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman dibuat.

Akibat daripada penarikan diri itu, Mansor kehilangan depositnya kerana keputusan itu dibuat selepas pukul 10 pagi, selepas waktu penyerahan borang pencalonan tamat.

"Malah mana-mana calon (yang bertanding pada pilihan raya kecil itu) masih boleh menarik diri dalam tempoh tiga hari," kata Roslan.

Sementara itu, Mansor yang enggan mengulas lanjut berkata beliau menarik diri setelah pencalonan Anwar diterima dan mengakui beliau masih anggota PKR dan menyokong Anwar.

Terdahulu, para pemimpin BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi Arif Shah, 51, ke pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi ini, sementara Anwar, 61, diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin gabungan Pakatan Rakyat.

Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 58,459 pengundi terdiri daripada 69 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina, enam peratus India dan lain-lain bangsa selepas Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi itu.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1982 hingga 1999, sebelum melepaskannya apabila dijatuhi hukuman penjara kerana penyalahgunaan kuasa.

Anwar, yang kembali aktif dalam politik selepas layak untuk bertanding pilihan raya pada April lepas, kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selain berhadapan dengan anak didiknya, Arif Shah yang pernah bersamanya ketika beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Anwar juga akan menghadapi tentangan daripada calon parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi, 61.

AKIM didaftarkan sebagai parti politik pada 16 Feb 1995 kini mempunyai 10,000 anggota di seluruh negara.

Sebaik pusat penamaan calon dibuka, Arif Shah merupakan calon pertama mengemukakan borangnya pada pukul 9.03 pagi, dicadangkan Abdul Kalam Ahmad dan disokong Normala Abdul.

Anwar, yang pencalonannya dicadangkan Ibrahim Ahmad dan disokong Mohd Hamdan Abdul Rahman, menyerahkan borangnya pada pukul 9.12 pagi manakala Hanafi, yang mengemukakan borang pada pukul 9.40 pagi, dicadangkan oleh Lockman Abdul Rahman dan disokong oleh Romli Musa.

Sebaik pengumuman dibuat oleh Roslan, para penyokong parti-parti yang bertanding bersorak gembira setelah calon mereka diterima.

Lebih 10,000 para penyokong calon yang bertanding membanjiri perkarangan institut perguruan itu sejak pukul 6.30 pagi. Polis yang mengerahkan 3,000 anggotanya untuk memantau keadaan dari udara dan darat, berjaya mengawal keadaan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...