Friday, June 19, 2009

Kes Nurin: Peniaga, adik ipar saman polis

Jun 19, 09

Seorang peniaga dan adik iparnya yang ditahan dua tahun lalu berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, memfailkan
saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap polis yang didakwa telah menangkap dan menahan mereka secara salah.

nurin jazlin jaziminMohamad Zamri Ibrahim, 35, seorang pemilik kedai pakaian, dan bekas jurutera Mohd Suhaimi Yusoff, 30, masing-masing memfailkan writ saman berasingan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil melalui firma guaman Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli.

Mereka menamakan ASP Loh Pei Pei, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan, lapor Bernama

Mereka menuntut gantirugi am, ganti rugi khas, gantirugi teladan, gantirugi hukuman, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutan mereka.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin - pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak - dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam
berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui pada 17 September tahun yang sama, iaitu 27 hari kemudian, dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya.

Bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Mahu bersih nama

Mengikut pernyataan tuntutan Mohamad Zamri dan Mohd Suhaimi, mereka mendakwa mereka telah dipukul, dipijak dan ditendang dan dihentak oleh polis. Mereka berkata mereka kemudiannya telah disoal siasat dan ditahan reman sebelum dibebaskan.

Mohamad Zambri dan Mohd Suhaimi mendakwa anggota polis kemudiannya telah bertanyakan bertalu-talu dengan nada keras dan kasar di mana Nurin dikurung serta di mana VCD lucah diletakkan tetapi kedua-dua mereka itu telah memaklumkan kepada polis bahawa mereka tidak tahu menahu berkenaan dengan perkara itu.

Kedua-dua mereka berkata akibat daripada tindakan polis, mereka mengalami kecederaan, tekanan, kehinaan dan rasa malu yang amat sangat.

Mohamad Zambri mendakwa dia sedang memandu kereta bersama isterinya,

dan tiba-tiba dihalang tiga kereta dan beberapa lelaki berpakaian biasa di mana seorang telah mengacu pistol ke arahnya sebelum dia ditarik keluar dan digari sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kereta manakala isterinya dimasukkan ke dalam kereta berlainan.

Mohd Suhaimi, dalam pernyataan tuntutannya, berkata dia ditangkap polis ketika beliau berada dalam kedai milik Mohamad Zambri.

Mohamad Zambri yang hadir di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta hari ini bersama-sama isterinya Norhaniyah Yusof, 35, memberitahu pemberita bahawa mereka mahu membersihkan nama mereka dan meminta supaya maruah mereka dikembalikan kepada mereka.

Mohd Suhaimi bagaimanapun tidak hadir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...