Friday, September 19, 2008

Ahli MT desak PM jangan bertanding... MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Sep 19, 08 1:05pm

Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan bertanding jawatan presiden Disember ini.

Mereka membuat desakan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, kerana bimbangkan Abdullah tidak akan mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatan presiden.

umno 2007 pak lah abdullah ahmad badawi 061107Ini bermakna, Abdullah perlu meletakkan jawatan perdana menteri lebih awal daripada 2010.

Difahamkan, mereka mahu Abdullah meletak jawatan sebelum 9 Oktober ini - tarikh bermulanya mesyuarat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 9 November.

Seramai 193 bahagian Umno akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta kerusi MT untuk bertanding dalam pemilihan parti Disember depan.

Abdullah memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian untuk layak bertanding jawatan presiden. Sebelum ini beliau memegang jawatan presiden tanpa bertanding.

Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai, desakan tersebut dibuat oleh sekurang-kurang tiga ahli MT ketika bercakap mengenai pergolakan dalam Umno sekarang.

Perhimpunan agung

Manakala dua lagi ahli MT difahamkan telah meminta Abdullah meletak jawatan selewat-lewatnya semasa perhimpunan agung tersebut.

Difahamkan ahli-ahli MT yang lain juga mahu menyuara pandangan mereka tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencelah dan berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Abdullah.

Abdullah kemudiannya berkata, beliau juga akan membincangkan perkara yang sama dengan Najib selepas ini.

Antara yang membangkitkan perkara tersebut termasuk ahli MT yang terdiri daripada menteri kabinet.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT - ketika dihubungi Malaysiakini - turut mengesahkan bahawa ada anggota yang membangkitkan perkara itu semalam.

Bagaimanapun, katanya, MT kemudiannya menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan tarikh sebenar peralihan kuasa itu.

Katanya, ini kerana MT berpendapat mereka berdua memahami kehendak ahli dan penyokong Umno.

"Dalam mesyuarat MT itu, Abdullah juga berkata, beliau memahami yang berlaku di kalangan ahli Umno di peringkat akar umbi sekarang," katanya.


Penulis Blog "Kickdefella" Ditahan Reman Sehingga Sabtu - BERNAMA

19 September, 2008 18:51 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz, sehingga 5 petang hari Sabtu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Syed Azidi, 38, Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bahru mengikut Akta Hasutan pada 17 Sept.

Menerusi blog Kickdefella, beliau dikatakan pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Syed Azidi menerusi peguam belanya Amrit Pal Singh, yang ditemui pemberita di luar mahkamah, turut menyampaikan pesanan kepada pihak media.

Antara lain pesanan berbunyi:

"Saya masih bersemangat dan mendoakan yang terbaik kepada semua penulis blog, saya akan meneruskan blog saya esok".

-- BERNAMA

Teresa Kok Dibebaskan Daripada Penahanan ISA - BERNAMA

19 September, 2008 15:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay," kata Setiausaha Penyelaras DAP itu kepada pemberita ketika dibebaskan di Balai Polis Jalan Travers di sini pada 1.30 tengah hari tadi.

"Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan".

Antara yang berada di balai polis itu ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong serta peguam N.Sankara Nair.

Kok, yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor, adalah antara tiga orang yang ditahan mengikut ISA pada Jumaat lepas. Dua lagi ialah penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan telah dibebaskan Sabtu lepas.

Kok ditahan mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Kok semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...