Showing posts with label Am. Show all posts
Showing posts with label Am. Show all posts

Saturday, October 1, 2011

Chin Peng dilaporkan tenat

Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan dalam keadaan tenat selepas dimasukkan ke sebuah hospital di Thailand.

chin peng interview 021209 02Menurut akhbar berbahasa Sin Chew edisi utara, Chin Peng telah dimasukkan ke hospital tersebut dua hari lalu.

Menurut laporan itu, doktor telah meminta anggota keluarga Chin Peng untuk menziarahinya secepat mungkin, termasuk mereka yang tinggal di Malaysia.

Difahamkan bahawa Chin Peng kerap mendapatkan rawatan perubatan dalam tempoh dua bulan lalu.

Chin Peng akan mencapai usia 87 pada 21 Oktober ini.

Tuesday, August 16, 2011

Genting beri ganjaran besar kepada pengarah pada 2010


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Genting Bhd. menerajui senarai pembayaran besar sebanyak RM111.48 juta kepada lembaganya, naik 21 peratus daripada RM92.11 juta sebelumnya.

Syarikat itu juga mempunyai ganjaran tertinggi antara RM106.65 juta hingga RM106.70 juta bagi seorang pengarah tunggal, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menamakan siapa pengarah tersebut.

Eksekutif atasan yang tersenarai ialah pengerusi eksekutif merangkap ketua eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.

Menurut kaji selidik tahunan “Pengarah Yang Dibayar Paling Tinggi” majalah perniagaan itu, syarikat tersenarai membayar ganjaran besar kepada pengarah mereka tahun lepas berbanding 2009 susulan keadaan persekitaran ekonomi yang bertambah baik.

Bagaimanapun, sesetengah syarikat mengurangkan ganjaran kepada lembaga pengarah mereka tahun lepas, termasuk CIMB Group Holdings Bhd.

Bank kedua terbesar itu membayar RM18.51 juta atau kurang 13 peratus kepada ahli lembaganya dan ganjaran rendah kepada pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.

Beliau menerima RM12 juta tahun lepas berbanding RM14.5 juta pada 2009.
IOI Corporation Bhd berada di tempat kedua dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.29 juta, kata Malaysian Business.

Sementara itu, dengan tiga syarikat — YTL Corp, YTL Power International dan YTL Cement — Tan Sri Yeoh Tiong Lay menerima gabungan ganjaran sebanyak RM13.10 juta.

Apa yang menarik, daripada 630 syarikat, 95 syarikat dengan kerugian besar masih memberi ganjaran kepada pengarah mereka dengan pembayaran yang tinggi.

Kaji selidik itu menyenaraikan sejumlah 630 syarikat dengan ganjaran sebanyak RM300,000 ke atas seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.

Daripada jumlah ini, hanya sebilangan kecil syarikat yang telus dalam menyatakan ganjaran sebenar kepada eksekutif-eksekutif utama mereka. - Bernama

Wednesday, August 3, 2011

Surat cuti tanpa gaji ditarik balik, bayar gaji minimum

PUTRAJAYA 3 Ogos – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam hari ini memberi jaminan kepada lebih 400 pekerja Dawama Sdn Bhd (Dawama) bahawa mereka masih terikat dengan syarikat percetakan itu dan surat cuti tanpa gaji yang dikeluarkan kepada mereka ditarik balik.

Beliau berkata, ini kerana tindakan Dawama yang mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji adalah tidak sah di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, Dawama dinasihatkan melakukan pemberhentian sementara dengan perlu membayar gaji minimum sebanyak 12 hari sebulan sementara melakukan penstrukturan semula syarikat itu.

Pekerja yang terbabit pula boleh bekerja di tempat lain sehingga kemelut syarikat itu selesai kelak, katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.

""Di dalam perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheik Mohd, Dawama bersetuju membayar gaji minimum sebanyak 12 hari bagi sebulan sehingga syarikat itu meneruskan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menstruktur semula dan memulihkan pernigaan,” katanya. – Bernama

Tuesday, August 2, 2011

PKR bawa isu pekerja Dawama ke Dewan Rakyat

PKR akan membangkitkan isu 380 pekerja Dawama Sdn Bhd - penerima konsesi Dewan Bahasa dan Pustaka - yang mendakwa dicutikan tanpa gaji untuk tempoh tidak pasti ke Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (bawah) berkata, beliau akan mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa pemotongan gaji untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar oleh majikan. 

NONE"Ini adalah jenayah serius yang perlu diambil tindakan yang tegas," katanya yang juga anggoa parlimen Gombak.

Beliau juga berkata, PKR memberi tanggungjawab kepada aktivis kesatuan sekerja parti itu Abdullah Sani bagi mengangkat isu itu ke Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.

"Di harapkan agar masalah ini dapat diselesaikan segera dan pekerja-pekerja terbabit mendapat keadilan serta kebajikan mereka terjamin," katanya.

Sebelum itu, Azmin pada pagi ini menerima memorandum daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dawama Zainal Awit di hadapan Kompleks Dawama di Hulu Kelang berkenaan arahan cuti tanpa gaji. 

Notis berkenaan bertarikh 29 Julai dan arahannya berkuat kuasa pada 1 Ogos.

4 kali memo pada TPM

Dalam kenyataannya petang ini, Azmin menyifatkan tindakan itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, khususnya apabila notisnya dikeluarkan tatkala umat Islam menyambut Ramadan. 

"Hal ini sudah tentu memberi kesan dan tekanan emosi kepada keluarga pekerja-pekerja ini," kata Azmin.

NONEBeliau juga menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak melayan atau memberikan respons walaupun sudah empat kali diberikan memorandum oleh kesatuan sekerja.

"Perkara ini juga membuktikan bahawa projek pengswastaan tajaan kerajaan BN telah gagal untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian serta menjamin kebajikan pekerja," katanya.

Katanya, sudah menjadi amalan BN apabila sesuatu projek pengswastaan gagal, pengurusan syarikat terus dilindungi dan menikmati kemudahan dan keuntungan yang besar manakala kebajikan pekerja terus diabaikan.

"Saya berpandangan bahawa alasan yang diberikan oleh Dawama bahawa syarikat sedang mengalami masalah kewangan untuk membiayai operasi harian adalah tidak munasabah. 

"Hal ini memandangkan syarikat mempunyai konsesi yang besar daripada pihak kerajaan melalui Perjanjian Konsesi Pengswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka bertarikh 19 Jun 2002," katanya.

Saturday, July 30, 2011

Lelaki gagal tukar nama kepada perempuan meninggal dunia

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya, beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam beliau berkata, doktor mengesahkan anaknya mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ”unstable angina with cardiogenic shock”.

Katanya, Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. – Bernama

Wednesday, July 6, 2011

Bandar Pusat Jengka jadi “Bandar Tun Abd Razak” Khamis ini

KUALA LUMPUR 5 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengisytiharkan Bandar Pusat Jengka, Pahang dikenali sebagai Bandar Tun Abdul Razak sempena dengan sambutan Hari Peneroka Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan majoriti penduduk di kawasan tersebut adalah kalangan warga Felda yang telah berusaha dan memajukan kawasan rancangan itu.

"Ia juga adalah selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bahawa selain membasmi kemiskinan... Felda juga ingin mewujudkan kawasan-kawasan bandar yang sebelum ini tidak pernah difikirkan setiap orang dan ia merupakan satu manifestasi.

"Selain Bandar Pusat Jengka, Pahang... kita juga sedia maklum bahawa Felda telah membangunkan beberapa bandar antaranya Felda Jaya Trolak, Perak, Felda Jaya Mempaga, Bentong, Pahang, Felda Jaya Raja Alias, Negeri Sembilan dan Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor.

“Ini membuktikan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak menjadikan kawasan pedalaman menjadi bandar melalui Felda, semakin memperlihatkan kemajuannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Bernama

Wednesday, June 15, 2011

Pelarasan harga belum muktamad, KPKK masih bincang dengan Astro

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai depan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang, berkata penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad."Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad.

"Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisa apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat. 

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga. 

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 
 
"Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan pemantauan SKMM didapati Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersil, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersil dalam sehari. 

Katanya, kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro mengikut syarat lesen yang membenarkannya menyiarkan iklan komersil tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran. 

"Kebanyakan iklan di saluran Astro adalah berbentuk promosi saluran-saluran atau rancangan-rancangan Astro lain. 

"Ini tidak dianggap sebagai iklan komersial kerana masa penyiaran tersebut tidak memberi pulangan kepada Astro," katanya. 

Selain itu, beliau berkata kerjaan turut menetapkan syarat lesen Astro untuk menyiarkan Pengumuman Khidmat Awam (Public Service Announcement-PSA) selama satu minit setiap jam siaran di 10 saluran. - BERNAMA 

Wednesday, May 4, 2011

Gempa bumi lemah dikesan di Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan berlaku berdekatan Lahad Datu, Sabah pada jam 3.43 petang ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, berkata pusat gegaran itu dikesan di 4.9 darjah Utara dan 117.6 darjah Timur iaitu 79 kilometer dari barat daya Lahad Datu.



Katanya, gegaran mungkin dapat dirasai di beberapa kawasan di bahagian Tawau dan Lahad Datu. - BERNAMA

Friday, April 15, 2011

Tanah mendap di Kampung Baru, 40 keluarga pindah

Kuala Lumpur 15 April - Sebanyak 40 keluarga terpaksa dipindahkan ke asrama Wisma Belia ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru di sini, malam tadi.

Sebuah lubang sedalam kira-kira tiga kaki ditemui oleh para penduduk pada pukul 8.00 malam selepas banjir kilat akibat hujan lebat yang turun sejak pukul 6.00 petang semalam.

Kejadian tanah mendap seperti itu dipercayai pertama kali berlaku di kawasan berkenaan. - Utusan

Friday, April 8, 2011

SPRM jalan soalsiasat di aras bawah sahaja

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggariskan beberapa langkah keselamatan termasuk arahan supaya soalsiasat hanya dijalankan di aras bawah bangunan SPRM, berkuatkuasa serta-merta.
Di bawah arahan terbaru itu, orang luar hanya dibenarkan masuk hingga ke ruang tamu sahaja.

Perkara itu diumumkan oleh timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (pengurusan dan profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar dalam satu sidang akhbar di ibupejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, bahagian keselamatan telah diarahkan mengambil langkah maksimum, dengan tertuduh hendaklah selesai ditemuduga di aras bawah sahaja.
Bagi SPRM di negeri yang tidak mempunyai aras bawah, iaitu pejabat yang disewa, pula diarahkan supaya mengambil langkah keselamatan yang maksimum

Saturday, April 2, 2011

Seri Bayu meninggal dunia

KUALA LUMPUR 2 April – Penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik meninggal dunia di Hospital Besar Port Dickson, Negeri Sembilan malam ini kerana menghidap sakit saraf.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 malam pada usia 46 tahun. - Utusan

Friday, April 1, 2011

Persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dilaksana

PUTRAJAYA 1 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"SPR dah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam temuramah dengan Bernama dan RTM di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, setelah lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh perlembagaan dilakukan SPR.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN. - Bernama

Jumlah anak luar nikah di Selangor ”sangat besar” - Dr Hasan

SHAH ALAM 1 April – Masalah kewujudan anak tidak sah taraf di Selangor adalah ”sangat besar” dan jumlah sebenar tidak diketahui kerana ada kes kelahiran anak luar nikah ini tidak didaftarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, berdasarkan statistik yang ada sehingga 2008, seramai 257,000 anak luar nikah didaftarkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Abdul Rani Osman (Pas-Meru) mengenai jumlah anak luar nikah yang didaftarkan dari 2007 hingga 2010 pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Hassan berkata, bahagian penguatkuasaan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pendaftaran anak tidak sah taraf kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, beliau berkata, JAIS tidak mempunyai jumlah penguat kuasa yang cukup untuk membanteras gejala maksiat yang menjurus kepada kelahiran anak luar nikah di negeri ini. – Bernama

Thursday, March 31, 2011

Dr Asri: Poco-poco harus, bukan haram

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbeza pandangan dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memutuskan bahawa tarian poco-poco haram.

Beliau berhujah, semua urusan harian manusia, termasuk tarian, adalah harus diamalkan kecuali terdapat dalil yang jelas mengharamkannya.

NONEBagaimanapun, tambahnya, jika terdapat unsur yang tidak baik, perkara itu hendaklah ditapis dengan membuang unsur yang buruk, bukan mengharamkan perkara itu secara menyeluruh.

"Atas asas ini, pada pandangan saya, tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah," katanya yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian berkenaan sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain dan pemujaan roh.

Pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

NONEDalam kenyataan pada Selasa malam, Dr Mohd Asri juga menegaskan, masyarakat Islam hendaklah tahu tentang keluasan Islam, apatah lagi dalam masyarakat yang serba rencam hari ini.

"Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam," katanya.

Menurut Dr Mohd Asri lagi, jika pengharaman dibuat berdasarkan asal-usulnya yang tidak islamik, ia akan mewujudkan kecenderungan pengharaman pelbagai lagi aktiviti seperti Tai Chi, Taekwondo dan senaman Qiqong.

Beliau bagaimanapun menegaskan menghormati pandangan Harussani dan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian tersebut dan cuma memberikan pandangan berbeza.

Malek Noor masuk ICU rebah semasa main bola

Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor, dimasukkan ke sebuah hospital di Ipoh malam tadi selepas sesak nafas semasa menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak.

Malek, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di Ipoh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Malek, yang menjadi penjaga gol, rebah secara tiba-tiba selepas lima minit perlawanan bermula, kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Amal Menteri Besar Datuk Azhar Ahmad.

Perlawanan berkenaan menemukan pasukan pilihan menteri besar Perak dengan pasukan Lagenda Negara yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan seperti K Gunalan, Hassan Sani, Karim Pin, Khalid Ali, Shahrin Majid, Ahmad Yusof, Shukor Salleh dan Bakri Ibni.

Malek, yang mewakili pasukan Lagenda Negara, pada mulanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai.

"Kita sama-samalah berdoa supaya beliau cepat sembuh," kata Azhar.

Perlawanan persahabatan itu adalah antara bekas pemain kebangsaan era 60-an hingga 90-an menentang pasukan veteran Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pasukan Lagenda Negara menang 1- 0 pada perlawanan itu hasil jaringan Sharin Majid.

Pasukan Menteri Besar dibarisi beberapa bekas pemain Perak seperti Azizul Abu Haniffa, Ramli Talib, A. Elangovan, Roafandi Yusof, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Kok Heng dan P. Umaparam.

Lebih 1,000 penonton menyaksikan perlawanan itu. Sebanyak RM10,000 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

MB: Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco

Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

NONEBeliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

Wednesday, March 30, 2011

Elia Suhana sah isteri Sultan Ismail Petra

Cik Puan Elia Suhana Ahmad disahkan kekal sebagai isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, setelah Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu hari ini menolak rayuan permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap beliau. 

Panel Hakim Mahkamah Syariah yang dipengerusikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Datuk Daud Muhammad, serta Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat, dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, membuat keputusan itu setelah perayu, Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, tidak hadir ke mahkamah hari ini.

azlanPanel hakim itu juga menolak rayuan kes itu disebabkan peguam Nik Rorhana, Zainul Rijal Abu Bakar telah menarik diri daripada kes itu tiga hari lepas dan penarikan itu dimaklumkan kepada pihak mahkamah melalui sepucuk surat.

Daud berkata penolakan rayuan permohonan pengesahan lafaz cerai diputuskan mengikut Seksyen 121 (C) Enakmen Tatacara Syariah 2002. 

Pada 5 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan Ismail Petra terhadap Elia Suhana, 32, yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac tahun lepas.

Dua minggu selepas itu, Elia Suhana melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan, mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana.

Sultan Ismail Petra, yang ketika itu masih Sultan Kelantan, didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Feb tahun lepas di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Elia Suhana berkata beliau gembira dan bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan serta menganggapnya sebagai satu hadiah buat suaminya sempena hari keputeraan baginda esok.

"Saya amat gembira, sekarang ini saya boleh tumpukan kes tuntutan hak lawatan ke atas suami saya," katanya.

Pada 4 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Ismail Petra tetapi pihak Istana Mahkota di Kubang Kerian menghalang beliau daripada bertemu suaminya dan kes itu tertangguh berikutan permohonan pengesahan lafaz cerai berkenaan yang dibuat oleh pihak ketiga, iaitu Nik Rorhana.

Saturday, March 19, 2011

Adeno: seorang lagi pelatih Pulapol dimasukkan ke ICU HKL

KUALA LUMPUR 19 Mac — Seorang lagi pelatih Inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus ”Adeno”.

Pelatih itu dimasukkan ke ICU kira-kira 8.30 pagi tadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih Konstabel lelaki dan dua pelatih Inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga semalam.

Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih Inspektor lelaki, 11 pelatih Inspektor wanita dan empat pelatih Konstabel lelaki, manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang.
Untuk maklumat lanjut, anggota keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas Pulapol. — Bernama

Bank Negara catu kad kredit

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan beberapa peraturan drastik bagi pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Peraturan baru itu dijangka memberi kesan kepada lebih 480,000 pemilik kad kredit di negara ini yang berada dalam segmen pendapatan itu.
Antara syarat yang dikuatkuasakan serta-merta itu ialah kadar kelayakan gaji minimum bagi setiap permohonan baru kad kredit dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.
Pada masa yang sama, mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun hanya dibenarkan memiliki kad kredit daripada dua buah bank sahaja.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jika seseorang itu mempunyai kad kredit daripada banyak bank, individu itu perlu memilih dua bank sahaja dan membatalkan kad kredit yang lain menjelang akhir tahun ini.
"Kepada mereka yang terpaksa membatalkan kad masing-masing di bawah syarat ini, mereka diberi masa dua tahun untuk melangsaikan baki kredit tanpa sebarang syarat daripada bank," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, syarat umur sekurang-kurangnya 21 tahun untuk memohon kad kredit dikekalkan.

BNM menyemak semula syarat permohonan dan pemilikan kad kredit bagi mengelak orang ramai terjerumus dalam kancah hutang. - Gambar hiasan

Sunday, March 13, 2011

Kartun tsunami Berita Minggu cetus bantahan




Akhbar Berita Minggu hari ini mencetuskan kontroversi apabila ia menyiarkan sebuah kartun mengenai kejadian tsunami di Jepun yang meragut nyawa ribuan rakyatnya.

berita harian ultraman cartoon japan earthquakeKartun lukisan Zoy yang disiarkan di muka dalam Berita Minggu - edisi 
hari Ahad Berita Harian - memaparkan superhero popular Jepun - Ultraman - lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan rasa kesal dan kemarahan mereka - melalui lamanweb sosial dan Twitter - terhadap Berita Minggu, malah ada yang menggesa supaya memboikot akhbar tersebut.

NONESatu laman petisyen online turut diwujudkan untuk membantah kartun tersebut, dan dalam beberapa jam sahaja, telah mengumpul 571 tandatangan.

Beberapa ahli politik dari kedua belah pihak turut mengecam kartun 
yang menurut mereka sebagai tidak sensitif.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam Twitter, menulis bahawa BH perlu memohon maaf kerana menyiarkan kartun tersebut yang menurutnya tidak sensitif langsung terhadap apa yang menimpa rakyat Jepun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...