Thursday, July 31, 2008

Pilihan raya kecil hujung Ogos atau awal September?

mStar Online
31-07-2008 06:50:29 PM

Oleh G. MANIMARAN

BILA pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh? Ia bakal menjadi pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Selepas sembilan tahun menjadi wakil rakyat bagi menggantikan suaminya Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail mengosongkan kerusi itu demi suaminya.

Anwar telah menjadi wakil rakyat kerusi itu sejak 1982 sehingga 1999. Anwar menyertai Umno pada 1982. Pada 1998 beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Tiada pilihan raya kecil diadakan ketika itu, sebaliknya pengundi kawasan berkenaan memberi sokongan kepada Dr. Wan Azizah dalam pilihan raya tahun berikutnya dan disusuli 2004 dan 2008.

Undang-undang memerlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan wujud.

Berdasarkan kenyataan Dr. Wan Azizah beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.

Justeru, bila pilihan raya akan diadakan?

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa "saya telah mengetahui secara informal" mengenai kekosongan tetapi masih menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sehingga dihubungi petang tadi, beliau belum menerima makluman secara rasmi.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu wujud tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Suruhanjaya itu akan mengambil kira pelbagai aspek sebagai pertimbangan apabila menentukan tarikh pilihan raya.

Ini termasuklah soal logistik dan sumber tenaga kerja untuk menguruskan pilihan raya.

"Perkara ini juga akan dibincangkan dengan Pengarah Pilihan Raya (Pulau Pinang), siapa pengurus pilihan raya.

"Ini di antara aspek yang perlu diteliti dalam menentukan tarikh yang sesuai," katanya.

Mengambil kira tempoh 60 hari daripada sekarang, Ramadan dijangka bermula 1 September.

Lazimnya pilihan raya kecil diadakan selepas dua hingga tiga minggu apabila sesuatu kekosongan wujud dengan diambil kira tempoh pengeluaran notis pilihan raya, tempoh minimum untuk penamaan calon dan tempoh minimum untuk berkempen.

Oleh itu pilihan raya kecil diadakan pada minggu terakhir Ogos? Ini perlu untuk mengelakkan kempen dan hari pengundian pada bulan puasa!

Ketika ditanya sama ada bulan Ramadan akan diambil kira dan pilihan raya akan dipercepatkan, Abdul Rahsid memberitahu:

"Bulan berpuasa tidak menjadi halangan. Kita pernah mengadakan pilihan raya pada bulan Ramadan sebelum ini."

Apakah kemungkinan pilihan raya kecil boleh jatuh awal September?

Permatang Pauh dikosongkan: Reaksi pelbagai pihak

mStar Online
31-07-2008 10:20:54 PM

REAKSI PELBAGAI PIHAK:

Keputusan Dr. Wan Azizah baik

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalualukan keputusan yang dibuat oleh Dr. Wan Azizah itu. Kami juga mengalualukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh."
- Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ketua Penerangan PAS, Pusat Mahfuz Omar

Anwar bakal Ketua Pembangkang

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan.
"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh."
- Penasihat DAP, Kit Siang


Tindakan Dr. Wan Azizah diragui

“Saya tidak pasti dengan motifnya yang meletak jawatannya.
“Kita berhujah untuk meyakinkan rakyat untuk mengundi kita semasa pilihan raya umum akan tetapi hanya empat bulan selepas pilihanraya beliau telah meletak jawatan.
“Tindakan beliau boleh dikatakan telah mengecewakan penaruhan rakyat terhadapnya.”
- Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan

PAS sokong Anwar di Permatang Pauh

“Ya, saya amat bersetuju dan meyokong Datuk Seri Anwar bertanding (pilihan raya kecil).
“Kita akan tolong mana yang perlu agar kemenangan berpihak kepada kita (Pakatan Rakyat).”
- Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pengorbanan seorang isteri

"Sesungguhnya... itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang."
- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad

Wan Azizah khianati pengundi

"Tindakan ini dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.
"Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan."
- Ketua Wanita MCA dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen

Khianati rakyat dan pembaziran

"Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.
"Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan."
- Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid

Lambang kasih dan cinta seorang isteri

"Perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.
"Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar)."
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar

Umno patut letak Mohamad Ezam Mohd Nor di Permatang Pauh

"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak."
- Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


PKR Pulau Pinang isytihar Anwar calon Permatang Pauh Sabtu ini

"Peluang untuk Anwar memenangi kerusi ini juga cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.
"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau. Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu."
- Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed

Azizah undur Anwar tanding, pilihan raya Permatang Pauh hujung Ogos?

mStar Online
31-07-2008 10:25:54 PM

Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang pernah disandangnya dari 1982 hingga 1999, dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan dalam 60 hari lagi.

Ia berikutan tindakan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di sini pukul 3.15 petang tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sehingga petang ini SPR belum menerima makluman secara rasmi.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu wujud tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kawasan itu sejak 1999 iaitu selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil diadakan secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah dengan ditemani suaminya di Ibu Pejabat PKR.

Dr. Wan Azizah merupakan Presiden PKR manakala Anwar pula penasihatnya.

Dengan keputusan itu, yang telah dijangkakan ramai, Dr. Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sejak April lalu secara automatik melepaskan jawatan tersebut.

Pada April lalu, Dr. Wan Azizah mencatatkan wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut dan ketua pembangkang pertama memegang jawatan bagi tempoh yang singkat.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu, Wan Azizah menang besar dengan majoriti 13,388 undi.

Beliau memperoleh 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Datuk Pirdaus Ismail.

Baru-baru ini, Anwar telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen termasuk di Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai pula anak mereka, Nurul Izzah dan Gombak pula diwakili oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Dr. Wan Azizah berkata, sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Jelas Dr. Wan Azizah, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

“Saya meraskan inilah masa yang terbaik bagi Anwar bertanding kerana di kawasan tersebut kami mendapat majoriti yang selesa,” kata Azizah dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Dr. Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh dengan tindakannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Menurut Anwar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

Sementara itu menurut Anwar, PAS tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimennya, Anwar berkata:

“Kami akan berbincang mengenainya dan akan mengumukannya pada minggu depan.”

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Anwar berkata:

“Petisyen yang dikemukakan di kawasan Parlimen akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.”

Ditanya adakah beliau bersedia menghadapi cabaran daripada bekas Setiausaha Politiknya, Ezam Mohd Nor jika Ezam dipilih oleh Umno, Anwar menjawab:

"Itu anda kena tanya Umno. saya tak tahu."

Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sebelum dipecat dari Kabinet dan Umno pada 1998.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...