Sunday, February 13, 2011

FLOM: Najib perlu jawab kekeliruan

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru untuk menerangkan kekeliruan kenyataannya mengenai Jabatan Wanita Pertama Negara (FLOM) di Pejabat Perdana Menteri yang ditubuhkan khas buat isteri kesayangan beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Merujuk kepada jawapan Najib di Parlimen pada November 2010, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tiada staf tetap mahupun staf kontrak yang didedikasikan kepada isterinya, Rosmah.
Namun begitu, kenyataan Najib terbukti bercanggah apabila laman web direktori Pejabat Perdana Menteri sendiri menunjukkan bahawa terdapat lima pegawai yang berkhidmat di bawah FLOM, yang diketuai Siti Azizah Sheikh Abod seperti yang dilaporkan Harakahdaily di sini.
“Apabila maklumat itu dibongkar dan dijadikan pengetahuan umum oleh sebilangan media dan juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, maklumat tersebut telah hilang secara misterinya daripada laman web tersebut. Kebenaran mengenai peruntukan kepada jabatan tersebut masih belum dimaklumkan.
Bahkan, penemuan baru ‘Jabatan Wanita Pertama Malaysia’ langsung tidak disebutkan dalam empat jilid Senarai Perjawatan Persekutuan, yang merupakan sebahagian daripada kertas Bajet Persekutuan 2011.
Persoalannya sekarang ialah bagaimana dan berapa banyak peruntukan telah diberikan kepada jabatan ini dan apakah fungsi jabatan ini,” ujar Liew dalam kenyataannya.
Semakan Harakahdaily baru-baru ini juga mengesahkan bahawa laman web directori Pejabat Perdana Menteri yang menyenaraikan jabatan FLOM telah dibuang seperti yang didakwa Liew.
Selain FLOM, Liew berkata dalam laman directori yang dipadamkan tersebut terdapat banyak lagi jawatan-jawatan berupa penasihat untuk isu-isu tertentu yang tidak dinyatakan dalam kertas Bajet Persekutuan 2011.
Ini meliputi Datuk Seri Dr Abdullah bin Md Zin sebagai penasihat hal-ehwal agama Islam, Datuk Shahidan Kassim sebagai penasihat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Jalaludin bin Bahaudin sebagai penasihat media, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya sebagai penasihat perhubungana antarabangsa dan Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abd Hamid sebagai penasihat sains.
Menurut Liew, setiap penasihat diberikan sekurang-kurangnya satu staf untuk membantu tugas mereka.
Liew turut mengingatkan bahawa Jabatan Perdana Menteri merupakan pihak yang paling besar perbelanjaannya jika dibandingkan dengan kementerian yang lain, dan disasarkan akan menerima RM 15.8 billion tahun ini yang tidak termasuk peruntukan kepada Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Dengan rekod perbelanjaan tertinggi berbanding dengan tahun-tahun yang lepas dan lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan pada tahun 2007… dengan ini, saya menyeru Perdana Menteri untuk menyajikan jawapan yang jujur tentang isu ini dan bertanggungjawab kepada rakyat.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui bagaimana duit rakyat digunakan,” ujar Liew.

FAM beri imbuhan RM50,000 setiap pemain

PETALING JAYA 13 Feb. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memberikan insentif RM50,000 seorang kepada 22 pemain dan jurulatih skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember lalu.

Presiden FAM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, menyampaikan ganjaran lumayan itu pada majlis meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini.

"Pencapaian mereka sangat membanggakan bukan sahaja kepada saya malah seluruh rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang kami selama ini,” titah baginda kepada pemberita selepas majlis tersebut.
"Kejayaan ini mesti ada kesinambungan... ini hanya permulaan era baru bola sepak Malaysia,” titahnya.

Baginda bertitah pasukan kebangsaan tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sebagai juara Asia Tenggara sahaja, sebaliknya terus berjuang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 dan Piala Dunia 2014.

Kerdau: BN cari pengganti yang sesuai, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN akan mencari pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau.

Beliau berkata mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil DUN Kerdau perlu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

"Masa depan tempat ini akan terus dimajukan, kami akan cari pengganti untuk teruskan perjuangan Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Zaharuddin di Temerloh hari ini.

Perdana Menteri turut menunaikan solat sunat jenazah di rumah Allahyarham di Kerdau.

Allahyarham dilaporkan terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di kediamannya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) pada 7.15 petang semalam.

Sebelum ini, Zaharuddin pernah dua kali dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami komplikasi buah pinggang dan jantung serta tekanan darah tidak stabil pada Mei dan November tahun lepas.

Zaharuddin juga pernah menerima rawatan lebih dua bulan di Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HOSHAS pada Mei tahun lepas.

Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya kecil DUN itu akan ditentukan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita akan hadapi pilihan raya itu secara terbuka dan kita akan mencari calon yang sesuai untuk memberikan khidmat yang berkesan di kawasan ini,"
katanya.

Dalam perkembangan sama, perdana menteri berkata beliau secara peribadi menyifatkan kematian Zaharuddin sebagai satu kehilangan besar bagi dirinya.

"Allahyarham merupakan sahabat saya selama 30 tahun, beliau amat rapat dengan saya, secara peribadi saya kehilangan sahabat yang akrab," katanya.

Najib berkata, Allahyarham banyak membantunya ketika beliau (Najib) menjadi Menteri Besar Pahang dari segi pemikiran, idea, dan bertukar-tukar pandangan dalam membangunkan negeri Pahang.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi jurulatih Biro Tata Negara, penolong pegawai daerah di Bentong, sebelum dipilih menjadi wakil rakyat kawasan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya umum itu, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. 

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.


Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Allahyarham adalah, bagi beliau, kehilangan besar seorang rakan peribadi setia. 

Adnan berkata beliau sudah mengenali Zaharuddin selama 40 tahun. 

"Saya kehilangan seorang rakan yang baik dan setia, semoga Allah merahmati rohnya," kata beliau dalam satu kenyataan di Kuantan hari ini. 

Adnan mengucapkan takziah kepada keluarga Zaharuddin. 

"Buat ketika ini, sebagai menghormati Allahyarham, saya tidak berhasrat mengulas mengenai pilihan raya kecil yang bakal diadakan berikutan kematiannya," kata Adnan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zaharuddin.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negeri Pahang khususnya di DUN Kerdau. Saya yakin pemergian beliau bukan sahaja dialami oleh kaum keluarga beliau malah juga turut dirasai oleh para penduduk," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dan isteri berharap anggota keluarga Allahyarham akan bersabar menghadapi kehilangan insan tersayang. 

"Doa kami semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya.

PAS Pahang ucap takziah

TEMERLOH, 12 Feb: PAS Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam mesej ringkasnya berharap keluarga Allahyarham bersabar menghadapi ujian dan ketentuan Ilahi.
Sebelum ini, Zaharuddin telah banyak kali berulang-alik ke hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan banyak spekulasi PRK.

Bagaimanapun pada tahun lalu beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru Kemas daripada Jengka 23.

Sementara itu kematian Zaharuddin memungkinkan negara terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil (PRK) iaitu ke-16 selepas Merlimau pada 6 Mac ini.

Pada PRU 2008 Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS, Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 4,135 undi berbanding Hasanuddin sebanyak 2,520.
N.28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana Yang Dipertua PAS kawasannya ialah Tuan Ibrahim.

DUN Merlimau: Harapan PAS menang tipis

Hasrat Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi dewan undangan negeri kawasan Merlimau di Melaka pada pilihan raya kecil 6 Mac depan boleh diibaratkan bermimpi di siang hari.

Meskipun beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat seperti, mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dijangka menggempur Merlimau, namun BN diramal akan tetap menang dengan selesa.

merlimau, melaka townSebahagian besar daripada kira-kira 10,471 pengundi terdiri daripada 64.69 peratus pengundi Melayu, 21.11 peratus Cina, 14.16 peratus India manakala selebihnya kaum lain 0.04 peratus dikatakan amat berpuas hati dengan prestasi BN setakat ini. 

Mereka juga menjangka rezeki akan datang mencurah-curah dan segala kemudahan diperolehi.

Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) parlimen Jasin antara agensi yang awal-awal lagi mengumumkan hasrat mengagihkan pinjaman perniagaan berjumlah RM800,000 tahun ini.

upgrading road in merlimau melakaBiarpun terdapat dakwaan kemudahan itu hanyalah sekadar gimik pilihan raya namun, di sebaliknya peluang itu wajar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh masyarakat peniaga.

Di samping itu, menjelang pilihan raya kecil ini beberapa peruntukan diluluskan kerajaan untuk manfaat penduduk Merlimau keseluruhannya.


Baik pulih 100 rumah

Sebanyak RM500,000 telah diluluskan menerusi Dana Satu Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menampung projek membaik pulih rumah rakyat kurang berkemampuan di Merlimau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, peruntukan di bawah dana 1 MDB itu akan digunakan bagi membaik pulih kira-kira 100 buah rumah terpilih seluruh kawasan Merlimau.

Menjelang pilihan raya kecil ini juga, masyarakat nelayan turut menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak meluluskan peruntukkan sebanyak RM5.6 juta bagi menaik taraf jeti nelayan ketika melakukan lawatan ke Jeti Pengkalan Samak baru-baru ini.

fisherman jetty at Kampung Pengkalan Samak, merlimauMohd Ali berkata, perancangan kerajaan negeri, dengan pembinaan jeti berbumbung berkenaan merupakan yang pertama di Melaka dan di negara ini.

Jelasnya, bumbung sepanjang 150 meter itu akan dibina di kiri dan kanan jeti berkenaan bagi membantu kira-kira 53 nelayan di lokasi berkenaan meningkatkan pendapatan mereka.

Lebih menarik lagi apabila Jeti Muara Sungai Merlimau itu juga sekaligus akan menjadi salah sebuah taman rekreasi di negeri ini.
Taman Kucing dan Taman Monyet
Idea kreatif ketua menteri Melaka itu juga turut merencanakan pembinaan Taman Monyet dan Taman Kucing di situ bagi memastikan haiwan terbiar itu menjadi tarikan kepada pelancong luar.

Jelasnya, pembinaan taman itu merupakan idea daripada nelayan-nelayan memandangkan mereka prihatin dengan nasib kucing yang menjadikan kawasan itu habitat mereka.

merlimau by election Said BakarSelain itu, sebuah menara tinjau juga akan dibina bagi kemudahan dan keselamatan nelayan di muara berkenaan.

Sementara salah seorang nelayan, Said Bakar, 46 berkata, dia terkejut kerana pelan yang dilukis mengenai pembinaan jeti itu diterima oleh Mohd Najib dan Mohd Ali.

"Idea ini dihasilkan oleh pera nelayan bersama-sama dan kami sangat terharu kerana ia mendapat perhatian.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit kerana memberi ruang kepada para nelayan menaikkan rezeki.

"Semoga impian kami untuk mendapat penempatan nelayan yang tercanggih di Melaka dapat direalisasikan," katanya.

merlimau by election Kamedah Md ZinDi samping itu, masyarakat peniaga turut melahirkan harapan sama, mahu pendapatan mereka meningkat sempena Merlimau menjadi tumpuan oleh pelbagai masyarakat luar.

Antara yang melahirkan harapan itu, seorang peniaga warung di tepi jalan, Kamedah Md Zin, 53, yang mengharapkan peniaga putu piringnya meningkat dari segi permintaan sekaligus beroleh pendapatan berganda.

"Memanglah, mak cik harap orang ramai akan mengunjungi Merlimau ini sepanjang proses kempen pilihan raya nanti. Mak cik juga ingin melihat pendapat meningkat daripada biasa," katanya.
Semakin dapat sambutan

Tidak ketinggalan turut meluahkan hasrat sama, seorang peniaga makanan tradisional, Puttree Md Jani, 41, yang mengharapkan hasil jualannya semakin mendapat sambutan.

merlimau by election Puttree Md Jani"Dengan adanya ramai pengunjung luar, diharapkan hasil jualan termasuk kuih-kuih tradisional akan semakin mendapat sambutan sekaligus meningkatkan pendapatan kami sekeluarga," katanya.

PRK Dun Merlimau juga turut menyaksikan kerajaan tetap menitik beratkan soal pendidikan apabila mengumumkan peruntukan kira-kira RM4 juta bagi pembinaan dua buah sekolah baru iaitu Sekolah Kebangsaan Ayer Merbau dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Merlimau.

Selain itu, beberapa batang jalan dan pelbagai kemudahan awam kini dalam proses dinaikkan taraf bagi manfaat semua masyarakat khususnya di dalam Dun Merlimau.

Meskipun penamaan calon belum diadakan, namun rata-rata pengundi dikatakan sudah membuat pilihan mereka.

Lebih 600 banduan lari dari penjara Kaherah

KAHERAH 13 Feb. - Lebih kurang 600 orang banduan melepaskan diri dari penjara di Kaherah selepas rusuhan berlaku, hari ini.

Menurut pegawai keselamatan, beberapa orang terbunuh dan cedera ketika banduan-banduan tersebut membuat rusuhan dan orang yang tidak dikenali di luar Penjara Marg menembak kearah pengawal.

Ia merupakan kali kedua banduan melarikan diri secara beramai-ramai sejak 28 januari lalu di Penjara Abu Zaabal ketika demonstrasi besar-besaran yang mahu Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Antara mereka yang berjaya melarikan diri ketika itu termasuk militan Pakistan dan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...