Sunday, August 2, 2009

530 orang dibebaskan, 59 masih ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 530 daripada 589 orang yang ditahan semalam kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram mansuhkan ISA di ibu negara dibebaskan hari ini.

Antara baki 59 orang yang masih ditahan ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R.Sivarasa.

Mereka kini ditempatkan di Balai Polis Bukit Jalil untuk menunggu sama ada akan dikenakan perintah reman atau dibebaskan.

Suasana di balai polis itu sedikit kecoh apabila ibu kepada seorang yang ditahan merayu di perkarangan balai itu untuk bertemu dengan anak lelaki dan menantunya yang ditahan dalam insiden semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman dalam sistem pesanan ringkasnya (SMs) kepada media hari ini berkata mereka dibebaskan selepas keterangan mereka selesai diambil.

Katanya kesemua yang ditahan semalam disiasat mengikut Seksyen 43 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 27 (5) Akta Polis. Syahredzam Johan, antara peguam dari Majlis Peguam yang bertindak mewakili mereka yang ditahan, ketika ketika ditemui di balai itu berkata proses menanti pembebasan atau dikenakan tahanan reman mengambil masa kerana ia melibatkan proses dokumentasi yang rumit selain melibatkan jumlah yang ramai ditahan.

Mereka yang ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara semalam termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun.

Beberapa kawasan utama di ibu kota menjadi kelam kabut semalam apabila lebih 10,000 penyokong Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meneruskan perhimpunan dan perarakan haram itu untuk menyerahkan memorandum kepada kepada Yang diPertuan Agong bagi pemansuhan akta itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Khalid menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa penasihat Undangundang Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berjaya menyerahkan memorandum kekalkan ISA di Istana Negara petang semalam.

Menurut Abdul Bari, Mohd Khairul Azam gagal menyerahkan memorandum terbabit kerana tiada pegawai istana yang layak menerima memorandum berkenaan. BERNAMA

Pilihan raya kecil Permatang Pasir bulan Ramadan?

SPR adakan mesyuarat khas pada 10 Ogos tentukan tarikh

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 10 Ogos ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di sebalik spekulasi kempen kemungkinan jatuh pada bulan Ramadan.

"Kami dah putuskan untuk mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini, tarikh mesyuarat juga sudah ditentukan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online hari ini.

SPR mempunyai tempoh 10 hari sejak kekosongan wujud untuk memanggil mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil yang merangkumi hari keluar notis, penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.

Tempoh 10 hari itu berakhir 10 Ogos.

Mengikut Perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh wujudnya kekosongan.

Oleh itu, SPR mempunyai masa sehingga 29 September untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam kes DUN Permatang Pasir, hari kekosongan bermula sehari selepas wakil rakyatnya meninggal dunia pada 31 Julai.

"Kekosongan kerusi ini (Permatang Pasir) dikira wujud bermula 1 Ogos memandangkan 31 Julai (hari ADUN Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman) meninggal dikira setengah hari," katanya.

Kelmarin, laporan Bernama menyebut SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipetik berkata, pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Hamdan, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir daripada Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini (esok) dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN berkenaan," katanya.

Hamdan yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kelmarin kerana sakit jantung.

KEMPEN BULAN RAMADAN?

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada bulan Ramadan, di mana umat Islam akan berpuasa, Wan Ahmad enggan mengulas soal itu.

"Perkara itu terserah kepada panel SPR (yang akan bermesyuarat 10 Ogos ini) untuk memutuskan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, semua pihak perlu memahami dan menerima hakikat bahawa pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut lunas perundangan.

"Jika pilihan raya kecil diadakan pada bulan Ramadan dan bulan puasa, ia satu perkara yang kita tidak dapat elakkan... harus kita terima," katanya.

Bulan Ramadan dijangka bermula 22 Ogos manakala 1 Syawal pula dijangka jatuh pada 21 September.

Jika SPR bermesyuarat pada 10 Ogos bermakna masa adalah terlalu singkat untuk mengadakan pilihan raya kecil sebelum 21 atau 22 Ogos.

Hari penamaan calon hanya boleh diadakan selepas empat hari notis pilihan raya dikeluarkan manakala tempoh minimum kempen pula ialah tujuh hari.

Pada perkiraan minimum ia memerlukan 11 hari iaitu sehari sebelum bermulanya bulan Ramadan.

Pun begitu, jika diadakan secara maraton, pilihan raya kecil 'kilat' masih boleh diadakan pada 21 Ogos ini.

Begitu juga untuk mengadakan penamaan calon dan hari pengundian sebelum 29 September jika 1 Syawal jatuh pada 21 September.

Tempoh itu merupakan hari-hari awal musim perayaan.

Bagaimanapun pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir jika diadakan dalam bulan Ramadan, ia bukan kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini.

"Pilihan raya kecil DUN Lunas (tahun 2000), misalnya pernah berlangsung semasa bulan puasa," kata Wan Ahmad.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir adalah pilihan raya kecil kelapan sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...