Saturday, February 5, 2011

Polis bebas tujuh peserta demo anti-Mubarak

Polis Kuala Lumpur hari ini membebaskan tujuh lelaki yang ditahan semalam dalam satu perhimpunan di Kedutaan Amerika Syarikat.

Bernama melaporkan, kesemua lelaki berkenaan dibebaskan setelah selesai proses dokumentasi.

Kesemua tujuh lelaki berkenaan sebelumnya ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967, menurut laporan itu lagi.

Laporan itu juga memetik Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman sebagai berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana bertindak agresif dengan membaling botol dan pelbagai lagi benda keras.

Lelaki berkenaan juga enggan bersurai apabila diminta berbuat demikian oleh polis, menurut laporan itu lagi.

Hampir 3,000 orang menyertai perhimpunan tersebut yang bertujuan menyerahkan memorandum membantah campur tangan Amerika Syarikat dalam urusan kerajaan Mesir kepada kedutaan negara itu.

Pejabat Al Jazeera di Kaherah dibakar

DUBAI 5 Feb. - Stesen televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar mendakwa pejabatnya di Kaherah telah dibakar dan dimusnahkan oleh 'kumpulan samseng'.

Saluran berita itu yang diarah menghentikan operasinya awal minggu ini di Mesir, menuduh pihak berkuasa Mesir atau kumpulan penyokongnya cuba menghalang rangkaian itu daripada membuat liputan mengenai pergolakan politik di negara tersebut.

"Rangkaian Al Jazeera telah melaporkan bahawa pejabat mereka di Kaherah telah diserang oleh kumpulan samseng. Pejabat itu dibakar bersama-sama dengan kelengkapan di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan. - REUTERS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...