Monday, April 18, 2011

BN semakin sukar raih undi Cina

SHAH ALAM – Majoriti undi kaum Cina akan terus memihak kepada DAP dan Pakatan Rakyat (PR) sehingga pilihan raya umum akan datang, melainkan jika parti MCA, Gerakan dan SUPP boleh melawan hujah pihak pembangkang. 

Penganalisis politik, Datuk Dr Zainal Keling berkata, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya umum 2008 lalu sehingga Pilihan Raya Negeri Sarawak kelmarin seperti hilang arah dan terikut-ikut dengan permainan DAP. 

Menurutnya, jika parti komponen BN berasaskan kaum Cina masih gagal mendapatkan sokongan, maka undi kaum tersebut selama-lamanya akan memihak kepada DAP dan sekali gus merugikan semua pihak. 

“Pola undian ini pasti akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang, walaupun pelbagai bantuan diberikan, undi kaum Cina tetap terus memihak kepada DAP. 

“Sepanjang kempen, DAP sering menggunakan isu konon-kononnya kaum Cina di negara ini ditindas, kezaliman dan sebagainya, jadi tugas MCA, Gerakan dan SUPP memperbetulkan persepsi yang tidak tepat ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Ditanya mengenai kemungkinan tiada wakil kaum Cina dalam Kerajaan Negeri Sarawak, Zainal berkata BN perlu ‘menghukum sedikit’ kaum Cina kerana itu adalah kehendak mereka sendiri. 

“BN patut utamakan pengundi yang telah menyokong mereka, kerana ia adalah mandat rakyat, jadi BN perlu buat sesuatu sama ada mahu hukum atau pun tidak,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian berkata, BN perlu memastikan ada wakil kaum Cina dalam kerajaan walaupun jelas undi kaum terbabit tidak menyebelahi mereka. 

Menurutnya, ia adalah peluang terbaik bagi BN menunjukkan keikhlasan mereka bahawa walaupun majoriti kaum Cina menolak, namun wakil kaum tersebut tetap ada dalam kerajaan demi menjaga kepentingan mereka. 

“Mungkin dengan cara ini, kaum Cina akan melihat semula kejujuran BN dan tidak mustahil memilih mereka nanti,” katanya. 

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kelmarin, BN memperolehi 55 kerusi DUN, DAP 12 DUN, PKR 3 DUN dan Bebas satu. Paling mengejutkan apabila Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri tewas di DUN Piasau kepada calon DAP, Ling Sie Kiong.

Hina Sultan Kelantan dalam Facebook

SHAH ALAM – Polis diminta bertindak tegas terhadap kenyataan berbaur hasutan seorang individu di laman sosial ‘Facebook’ yang didakwa menghina Sultan Kelantan dan rakyat negeri itu.

Perantau Kelantan di sini, Izwan Abdul Hadi mewakili seluruh rakyat Kelantan di Lembah Klang berkata, polis diminta memandang serius isu yang boleh mencetuskan provokasi kenegerian, kedaulatan raja dan perkauman kerana kesemua perkara itu adalah sangat sensitif dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, individu yang didakwa dari Perak itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan melampaui batas sehingga menyentuh ketua negeri terutama raja atau sultan, sedangkan ia hanya perlawanan bola sepak (merujuk kepada kekalahan Kelantan kepada Perak Selasa lalu).

“Kami benar-benar kesal dengan kenyataan dia sebab itu hanya sukan dan permainan, janganlah keterlaluan. Jangan membusukkan negeri Perak dengan tindakan seperti itu sebab kami juga mempunyai ramai kenalan dari Perak. 

“Dia kena ingat Perak pun bernaung di bawah Raja Melayu, janganlah menghina Raja Melayu negeri lain. Saya juga berharap perkara ini mendapat perhatian Majlis Raja-Raja Melayu demi kebaikan seluruh rakyat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama Kelab Penyokong Kelantan FA, Ultras Kelantan, Kelab Anak-anak Kelantan Di Perantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.

Izwan berkata, kemarahan rakyat Kelantan tidak akan tercetus sekiranya tidak ada provokasi kenegerian dan perkauman dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab seperti itu.
Beliau tidak mahu keakraban rakyat Malaysia di negeri Perak dan Kelantan menjadi renggang disebabkan kenyataan itu.

Izwan juga berharap rakyat negeri lain terutama peminat bola sepak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Selasa lalu, Perak menewaskan Kelantan 4-0 dalam perlawanan Liga Super 2011 di Stadium Ipoh, Perak.

Sementara itu di Manjung, Perak, lebih 20 ahli NGO Kelantan di daerah itu berhimpun membantah tindakan individu terbabit.

Mereka turut membuat laporan polis.

Pengerusi Persatuan Anak Kelantan Perantauan (Perakan) Manjung, Muhd Fadzli Saud (gambar) berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan individu itu mencaci rakyat dan Sultan Kelantan.

“Kenyataan itu mungkin boleh mencetuskan perbalahan sesama kita,” katanya.
Wakil Kelab Dikir Barat Seri Perantau, F Azman Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan perbuatan individu terbabit.

“Harap polis ambil tindakan segera,” katanya.

Antara NGO menyertai perhimpunan itu Anak Kelantan TLDM, Kumpulan Dikir Barat Seri Perak, Peniaga-peniaga Kelantan Daerah Manjung dan Kelab Muay Thai Manjung.

PKR cabar keputusan kerusi Senadin

Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin setelah calonnya Dr Michael Teo Yu Keng (bawah) kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada Barisan Nasional (BN). 

NONENaib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi malam tadi.

"Kami tidak puas hati, beliau (Chai) tidak memberi kami sebarang alasan yang kukuh berikutan keengganannya itu," kata beliau kepada pemberita. 

Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi dan mengalahkan Dr Teo yang meraih 7,276 undi.

Penyokong PKR, termasuk anggota Exco Selangor Elizabeth Wong, yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, enggan meninggal stadium tiga jam selepas keputusan diumumkan untuk mendesak Chai melakukan kiraan semula.

Khidmat Murugiah sebagai timbalan menteri tamat esok

Perkhidmatan Datuk T Murugiah sebagai Ahli Dewan Negara berakhir esok, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Sehubungan itu, perkhidmatan Murugiah sebagai timbalan menteri persekutuan juga tamat esok, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NONEMurugiah, 47, merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Murugiah telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 19 April 2008 dan seterusnya sebagai timbalan menteri persekutuan pada 10 April 2009.

"Bagi pihak kerajaan, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Senator Datuk Murugiah a/l Thopasamy di atas sumbangan, khidmat bakti dan perkhidmatan beliau sebagai Ahli Dewan Negara dan timbalan menteri persekutuan," kata Sidek.

Murugiah merupakan bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Rakyat (PPP) dan kini anggota MIC setelah menyertai parti itu tahun lepas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...