Tuesday, August 19, 2008

Doa Tok Guru iringi kempen Anwar di Permatang Pauh - HARAKAH DAILY

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Tue | Aug 19, 08 | 10:32:02 am MYT

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa agar Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim diberikan kemenangan oleh Allah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos depan.

Di sebalik keuzuran dan kesibukan beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Ipoh, Tok Guru bergegas ke Permatang Pauh seusai menunaikan solat subuh, untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar.

Menteri Besar Kelantan itu tiba di Pusat Penamaan Calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun yang terletak di sisi Lebuhraya Butterworth-Kulim Express (BKE) kira-kira jam 9.30 pagi, disambut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Akibat kesesakan lalu lintas, kenderaan rasmi yang membawa Tok Guru terpaksa diletakkan berjauhan daripada pusat penamaan dan beliau dibawa masuk dengan menaiki proton wira milik seorang penyokong PAS.

"Ambo (saya) terlekat dalam jam (kesesakan lalulintas) lama, dari pukul berapa tadi tak boleh masuk," ujarnya yang datang bertongkat ketika disambut penulis.

Image "Ya Tok Guru, sejak subuh tadi, jam 6.30 pagi orang dah mula berkumpul," kata penulis.

"Pelik ni, ramai sungguh ore (orang)," kata Tok Guru merujuk kepada sambutan yang diberikan kepada calon Pakatan Rakyat.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dengan jadual beliau yang begitu padat, beliau berasa amat letih untuk berjalan jauh.

Namun katanya di sebalik kekangan jadual dan kesihatan, beliau tetap berkunjung ke Permatang Pauh kerana amat komited dengan agenda Pakatan Rakyat.

Selain Tok Guru, pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan ialah Naib-naib Presiden, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu; Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Lo'lo Mohd Ghazali, Dr Siti Mariah Mahmood dan Dr Mujahid Yusof yang juga Pengarah PAS untuk pilihan raya kecil tersebut.

Image Mereka disertai oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Bagi pihak KeADILan, Anwar diiringi isteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden KeADILan serta keluarga, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta lain-lain pemimpin utama mereka.

Turut sama ialah veteran DAP, Dr Chen Man Hin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta lain-lain.

Solidariti rakyat

Image Permatang Pauh menyaksikan lebih 50,000 penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berhimpun menyatakan sokongan padu kepada Anwar.

Jumlah ini jauh mengatasi kumpulan penyokong Barisan Nasional yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang dianggarkan kira-kira 5000 orang sahaja.

Penyokong Pakatan Rakyat, berhimpun dan mengibarkan bendera ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat sejak jam 6.30 pagi, menyebabkan kesesakan di sepanjang jalan lebuhraya BKE, dari arah Penanti dan Berapit, sepanjang beberapa km menuju ke pusat penamaan calon.

Image Sehingga pemimpin dan penyokong BN terpaksa berarak melintasi kiri kanan jalan yang telah dipenuhi penyokong Pakatan Rakyat.

Situasi ini menyebabkan ramai kalangan pemimpin BN yang diteriak dengan pelbagai sorakan terpaksa menerima hakikat yang getir hingga 'merah padam muka'.

Sorakan 'Altantuya', 'Hutang 200 juta (saman terhadap BN) poster tak bayar, 'Rasuah', 'Correct, correct, correct' (ditujukan kepada Dato' Seri Adnan Mansor, 'Pengkhianat (kepada Ezam Mohd Nor), bergema berulang-ulang kali.

Kegusaran pemimpin-pemimpin BN jelas kelihatan. Wajah-wajah cemas mereka melihat segerombolan besar penyokong Anwar tidak dapat disembunyikan lagi.

"Rakyat sudah bosan dengan BN, penuh dengan fitnah dan penipuan," kata David Leong yang datang bersama beberapa orang rakan dari Alor Star dengan sebuah bas.

Image "Makin dia bawa budak tu (saiful) sumpah, makin kami tak percaya," ujar seorang imam surau yang ditemui berhampiran Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir.

Sekumpulan anak muda berbangsa India juga turut berarak dengan memukul gendang sambil melaungkan 'Makkal Sakhti' sambil mengibarkan bendera KeADILan.

Perhimpunan rakyat di Permatang Pauh merupakan perhimpunan terbesar yang mencatatkan paling ramai penyokong berhimpun dalam satu-satu pilihan raya.

"Perhimpunan ini amat besar, walaupun orang boleh kata penyokong yang ramai ini belum tentu memberikan undi (kepada Anwar) tetapi round pertama ini kita sudah menang," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, beliau turut berbangga dengan rakyat Pulau Pinang daripada PAS, DAP dan KeADILan yang hadir beramai-ramai di pusat penamaan calon tersebut.

"Hari ini rakyat berbilang kaum menunjukkan solidariti yang amat luar biasa, saya harap ia terus kekal," kata Setiausaha Agung DAP itu.

Guan Eng turut mengambil kesempatan berbual mesra dengan Tok Guru bersama Tan Sri Khalid dan berkongsi pandangan bagi mempererat dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Image Kegusaran BN

Kepulangan Anwar ke Permatang Pauh diibaratkan sebagai 'bagaikan sirih pulang ke gagang'. Kawasan Parlimen yang 'terpaksa dilepaskan' sejak sepuluh tahun lalu akibat kezaliman BN masih segar di kalangan rakyat.

BN amat gusar kerana bilangan penyokong Anwar, yang pernah mengetuai Umno Bahagian Permatang Pauh begitu besar. Penyokong bekas TPM itu selepas krisis pemecatannya pada tahun 1998 masih ramai dalam Umno.

Hakikat sokongan mereka diterjemahkan dengan sokongan terhadap Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Permatang Pauh selepas pemecatan Anwar.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah meraih 30,338 undi menewaskan calon BN, Dato' Pirdaus Ismail yang mendapat hanya 16950 undi. Majoriti 13,398.

Manakala di ketiga-tiga DUN, Seberang Jaya, calon BN Dato' Arif Shah Omar Shah mendapat 9395 undi menewaskan calon KeADILan yang mendapat 8862 undi, kelebihan majoriti 533 sahaja.

Image Di Dun Permatang Pasir, calon PAS, Mohd Hamdan meraih 11004 undi menewaskan BN, Ahmad Sahar Shuib yang memperolehi 5571 undi. Majoriti 5433 undi.

Di Dun Penanti, calon KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin meraih 7346 undi menewaskan calon BN Abdul Jalil Abdul Majid yang mendapat 5127 undi. Majoriti 2216 undi.

Jika dihimpunkan undi yang diperolehi calon Pakatan Rakyat iaitu 27,745, memperlihatkan Wan Azizah mendapat lebih 2575 undi.

Kelebihan undi ini dipercayai datangnya dari kalangan ahli Umno yang menyokong Wan Azizah serta Anwar secara tersembunyi.

Kalangan mereka dikatakan secara zahirnya menentang pembangkang (KeADILan) tetapi dijangka memberikan undi secara diam-diam kepada Anwar.

Jika sokongan media arus perdana terhadap calon BN dijadikan ukuran, ia akan menjadi pertaruhan sia-sia BN. Arif Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat bukan tandingan sebenar Anwar.

Hanafi yang ditemui penulis memberitahu, beliau adalah Presiden Akim yang menggantikan Allahyarham Cikgu Musa Salleh.

Katanya, Akim adalah sekumpulan serpihan ahli PAS yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Image "Perjuangan kami tidak ada kena mengena dengan PAS atau mana-mana parti pembangkang, kami berdiri sendiri memperjuangkan ideologi kami," ujarnya, yang datang bersama seorang pencadang dan seorang penyokong.

"Apa yang tuan harapkan daripada penyertaan dalam pilihan raya ini," soal penulis.

"Kami mahu supaya rakyat Malaysia sejahtera," jawab Hanafi, ringkas.

Penentu masa depan politik negara

Siapa pun yang menyertai pilihan raya kecil ini bukan menjadi persoalan. Malaysia negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri bertanding kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan wartawan di Ipoh, Ahad lepas.

Sudah tentu rakyat yang menjadi pengundi di Permatang Pauh sudah membuat keputusan untuk memilih siapa bakal Ahli Parlimen mereka.

Pilihan raya kecil ini sebenarnya amat penting bagi negara. Ia bakal menentukan masa depan politik negara dan menjadi pertaruhan sama ada pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya atau pun tidak.

Image Harus diingat bahawa, Anwar menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh bukan semata-mata hendak menggantikan Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau mempunyai agenda yang amat besar. Agenda sebagai calon PM dari Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil ini juga menjadi titik tolak atau asas yang boleh membawa tumbangnya kerajaan BN setelah berkuasa selama lebih 50 tahun.

Undi rakyat di Permatang Pauh sebenarnya adalah mewakili 27 juta rakyat Malaysia bagi menentukan masa depan negara.

Tekanan BN di kepada rakyat Permatang Pauh amat hebat. Mereka terpaksa all out untuk menyelamatkan bahtera yang hampir karam. Mereka terpaksa melakukan apa sahaja untuk menyekat kemasukan Anwar ke Parlimen.

Kemasukan Anwar ke Parlimen bakal mengundang bahaya yang amat besar yang bakal menguburkan masa depan politik BN.

Jika rakyat memberikan kemenangan kepada Anwar, impian majoriti rakyat untuk meletakkan Umno dan BN ke dalam muzium semakin hampir.

Hakikatnya ramai berpendapat bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh tetap menjadi milik Anwar. Cumanya besar mana majoriti untuk membawa beliau ke Parlimen sedang menjadi congakan.

Cukuplah...sudah 50 tahun Umno/BN berkuasa, kali ini berilah kepada Pakatan Rakyat pula.

(Laporan penuh Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh boleh diperolehi melalui akhbar Harakah yang akan mula berada di pasaran hari Khamis, 21 Ogos ini - Editor)

Ke mana pergi calon Akim? - HARAKAH DAILY

Mohd Sabri Said
Tue | Aug 19, 08 | 12:22:20 pm MYT

PERMATANG PAUH, 19 Ogos (Hrkh) - "Mana dia calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang kalut masuk bertanding sama. Kami nak jemput dia bagi ceramah atau penerangan kenapa dia turut bertanding melawan calon Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim," demikian reaksi spontan orang kampung sekitar Parlimen Permatang Pauh yang ingin bersemuka dengan calon berkenaan, Hanafi Hamat.

Tinjauan Harakahdaily semalam mendapati rata-rata para pengundi terutamanya penyokong Pakatan Rakyat tertanya-tanya ke mana perginya calon Akim itu.

Dengar khabar beliau merupakan orang upahan Umno-Barisan Nasional (BN) yang dibayar tunai untuk kos pencalonan dan sedikit habuan sebagai wang saku yang datang dari Pasir Puteh, Kelantan.

Saudara Ramli Hasan 56 berkata, jika terserempak dengan individu bernama Hanafi Hamat pastinya beliau sendiri akan menjemput mengadakan ceramah di halaman kediamanya di Taman Guar Perahu dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada bila-bila masa.

Sekurang-kurangnya ia boleh memberinya peluang ujar beliau, sebagai penerangan khas kenapa beliau masuk bertanding atau adakah PAS yang ada sudah jauh menyimpang dari dasar Islam sebenarnya.

"Kalau saya jumpa pasti saya ajak bagi ceramah di depan rumah saya. Masalahnya tak jumpa mungkin dah cunggik balik Kelantan," tegasnya.

Puan Umi Kalthum Ali 50 pula menyifatkan, kemasukan calon Akim itu umpama kacau daun dalam pergelutan antara BN dan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh.

Jika dia benar-benar ingin bertanding kenapa sampai hari ini gagal dikesan di mana beliau berada. Adakah beliau bersembunyi setelah mendapat sedikit habuan untuk makan sebulan dua atau lari terus ke Kelantan setelah di 'boo' penyokong Pakatan Rakyat semasa penamaan calon di Maktab Perguruan Tungku Bainun, Bukit Mertajam pada 16 Ogos lepas, katanya.

"Kami penduduk Seberang Jaya ingin melihat kelibatnya di sini bukannya masuk bertanding lepas itu cabut lari," jelasnya.

Beliau pasti, calon sebegini akan hilang wang pertaruhan dan malu sendiri hasil perbuatan yang tidak bertanggungjawab. - mns_

Shahidan Kassim Umum Tawar Diri Tanding Jawatan Naib Presiden Umno - BERNAMA

19 Ogos, 2008 18:13 PM

ALOR STAR, 19 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa mendapat sokongan beberapa buah negeri bagi jawatan naib presiden UMNO hari ini secara terbuka menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu pada pemilihan parti peringkat kebangsaan Disember ini.

Menurut Shahidan beliau telah mencapai kompromi dan kata sepakat dengan pengerusi badan Perhubungan UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Perak sebagai calon mewakili negeri-negeri kawasan utara untuk merebut jawatan itu.

"Selain itu rakan-rakan sejawatan (pengerusi badan Perhubungan Negeri) Pahang, Terengganu dan beberapa lagi telah saya hubungi... mereka menyatakan sokongan padu," kata Shahidan.

Beliau yang ditemui pemberita semasa singgah di sini dalam perjalanan ke Permatang Pauh berkata ketiadaan calon negeri-negeri di utara menawarkan diri bertanding naib presiden kecuali Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi (Perak) adalah wajar untuknya bertanding.

Katanya jumlah yang ramai menawarkan diri bertanding jawatan itu tidak menjadi masalah kerana antara pemimpin dalam UMNO terdapat aliran pemikiran perlu ada keseimbangan antara kawasan.

Beliau yang menang tanpa bertanding ketua UMNO bahagian Arau berkata keseimbangan kuasa antara kawasan adalah baik untuk parti itu bagi menggambarkan UMNO tidak diwakili oleh satu-satu kelompok pemimpin sahaja.

Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau yakin UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik untuk rakyat negara ini.

"Mereka (pembangkang) berjuang atas semangat perkauman yang kecil tidak seperti UMNO dan BN atas dasar kepentingan bersama".

Beliau berkata BN Perlis menghantar seramai 1,000 ahlinya bagi membantu jentera parti itu di Permatang Pauh.

"Kita tidak berkempen kerana saya tidak percaya kepada ceramah dalam pilihan raya kecil seperti ini. Saya lebih yakin dengan menjalin hubungan kemanusiaan dan mengenali pengundi supaya mudah kita memberi penerangan," tambahnya.

-- BERNAMA

Jeffrey Dakwa 13 Anggota Parlimen Sabah Akan Sertai Pakatan Rakyat - BERNAMA

19 Ogos, 2008 15:34 PM

BUKIT MERTAJAM, 19 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendakwa 13 anggota Parlimen dari Sabah akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Menurutnya kesemua 13 anggota Parlimen itu sebenarnya telah menemui beliau secara peribadi dan menyatakan sokongan terhadap Anwar.

"Kita bercakap benar, saya bercakap mengenai 13 MP (anggota Parlimen) yang akan sertai Pakatan Rakyat selepas Anwar menang pilihan raya kecil ini (Permatang Pauh)...sekarang mereka sedang menunggu sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Jalan Berapit di sini malam tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dua anggota Parlimen adalah dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan bakinya wakil rakyat Umno.

Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 30 anggota Parlimen lagi untuk membentuk kerajaan pusat dan Sabah mempunyai 24 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).

-- BERNAMA

Samy Vellu Peroleh Injunksi Ad-interim - BERNAMA

19 Ogos, 2008 14:30 PM

SHAH ALAM, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mendapatkan perintah injunksi ad-interim terhadap bekas ketua pemuda MIC, M.Vigneswaran dan tiga yang lain bagi menghalang mereka daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah mengenai beliau.

Hakim Rosnaini Saub yang membuat perintah itu dalam kamarnya turut mengarahkan pihak plaintif dan kesemua defendan menyediakan hujahan bertulis dalam masa enam minggu sebelum permohonan inter-parte didengar pada 23 Okt depan.

Pada 29 Julai, Samy Vellu memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi yang sama bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau. Perintah injunksi interim itu berakhir hari ini.

Presiden MIC itu pada 24 Julai memfailkan writ saman terhadap Vigneswaran, editor syarikat akhbar harian Tamil iaitu Malaysia Nanban, M.Maryanandy, penerbit akhbar Malaysia Nanban Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd dan syarikat percetakan akhbar itu Aslita Sdn Bhd dan menamakan mereka sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Samy Vellu memohon gantirugi RM10 juta bagi libel, gantirugi untuk tort konspirasi, gantirugi teruk, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Samy Vellu mendakwa defendan pertama Vigneswaran dan defendan ketiga iaitu Penerbitan Sahabat telah menerbitkan kenyataan fitnah berkaitan dirinya (Samy Vellu).

Defendan keempat Aslita Sdn Bhd, pula telah mencetak artikel berbentuk fitnah itu dan defendan kedua pula merupakan pengarang akhbar berkenaan yang seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel terbabit.

Samy Vellu berkata artikel berkenaan diterbitkan pada 9 Julai lepas pada muka surat satu dan sambungan artikel itu di muka surat empat akhbar Malaysia Nanban.

Samy Vellu berkata artikel itu mempunyai unsur-unsur fitnah dan telah menjejaskan kredibiliti dan nama baiknya.

Beliau juga mendakwa tindakan para defendan bukan sahaja mencemarkan imejnya sebagai presiden parti tetapi juga mengubah tanggapan orang ramai terhadap keupayaan parti dalam melindungi kepentingan masyarakat India.

Vigneswaran pada 13 Ogos lepas pula memfailkan afidavit jawapan dengan mendakwa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau adalah benar dan bukan fitnah.

Katanya kenyataan yang dikeluarkan adalah untuk menjalankan tanggungjawab beliau membela nasib golongan belia India.

Samy Vellu diwakili peguam S.Selvam sementara Vigneswaran diwakili peguam A.Vasanthi dan A.Kumar dan tiga defendan lain diwakili peguam C.S.Arumugam dan Khairun Niza Husnin.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...