Thursday, July 24, 2008

Adnan setuju kos senggara Perdana V6 lebih mahal berbanding Mercedes

Utusan Online
24/07/2008 5:48pm

KUANTAN 24 Julai — Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif adalah lebih mahal daripada Mercedes.

Memberi contoh kereta Mercedes yang digunanya sejak era Menteri Besar terdahulu, Tun Khalil Yaakob iaitu sejak berbelas tahun lepas, Adnan berkata kos penyenggaraan kereta itu untuk tahun lepas ialah RM42,000.

Beliau berkata sebaliknya ada antara kos penyenggaraan Proton Perdana yang diguna anggota exco kerajaan negeri sejak beberapa tahun lepas mencecah RM57,500 setahun.

“Dari segi hakikatnya Menteri Besar Terengganu betul apabila menyatakan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif lebih tinggi daripada Mercedes,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan cek kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Seramai 41 pelajar UiTM dalam jurusan Perancang Bandar menjalankan kajian mengenai perancangan pelan tempatan bagi daerah Lipis sejak Januari lepas dan kajian itu akan dilakukan dalam tempoh 2008-2020.

Adnan berkata dari sudut praktikal memang sukar menggunakan kereta yang mempunyai kuasa enjin rendah terutama bagi perjalanan ke destinasi yang jauh.

Beliau bagaimanapun mengambil langkah tidak menyokong mahupun menentang keputusan pembelian 14 kereta Mercedes E200 kerajaan negeri Terengganu itu.

“Segala keputusan yang hendak dibuat pada masa kini sepatutnya mengambil kira situasi semasa dan kehendak rakyat. Sekarang rakyat lebih suka macam saya (Menteri Besar) naik kereta Kancil atau motosikal pun boleh (jika ke lokasi dekat),” katanya. Beliau menegaskan kerajaan negeri Pahang akan mengambil keputusan untuk mengikut arahan dan keputusan yang ditetapkan kerajaan pusat berhubung pemakaian kereta nasional walaupun ia boleh dipertikai.

Mengenai tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang bertindak memasuki Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adnan berkata itu hak bekas wakil rakyat berkenaan.

— BERNAMA


Pelik tul.... mahal-mahal kan kos selanggaraan kereta tok-tok menteri ni. Setahun RM42K, maknanya purata dalam sebulan RM3,500 dibelanjakan hanya tuk selenggara kereta. Tiap-tiap bulan ke fully servis?? mentang-mentanglah duit kerajaan, suka hati jer nak hantar servis sama macam tu sekali punya kos. Sedar sikit, duit kerajaan tu bukannyer duit BN, tu duit hasil kutipan cukai, termasuklah dari duit aku yang tiap-tiap bulan kena potong cukai.

Aku yang ada waja ni pun purata kos servis sebulan tak lebih RM200.

"Ubah Gaya Hidup" --- dari Perdana ubah ke Mercedes.



Umno disekat pilih pemimpin

Harakah Daily
Subky Abdul Latif

Thu | Jul 24, 08 | 6:08:32 pm MYT

Arus bagi Umno supaya menukar pimpinannya bertambah kencang. Ia sudah bermula lama tetapi kecenderungan itu kian deras sekarang.

Pimpinan sekarang regu Abdullah Badawi � Najib melanjutkan taktik Dr. Mahathir mengecualikan Presiden dan Timbalan Presiden dari pertandingan dan peruntukan kuota yang perlu diperolehi oleh calon juga dikekalkan.

Justeru tawaran Tengku Razaleigh untuk menjadi calon Presiden Umno tidak mendapat sambutan. Tengku Razaleigh membuat tawaran lagi kali ini. Arus supaya digalakkan pertandingan bagi pemilih pemimpin Umno itu seperti payah disekat.

Kalaupun bukan Tengku Razaleigh yang jadi pencabar pemegang jawatan, Presiden sekarang dirasakan perlu diganti. Justeru itu pertandingan dituntut dan siapa saja calon tidak penting asal Abdullah Badawi digantikan. Itulah kelibat mood dan suasana.

Dr. Mahathir dan pemujanya mahukan ia jadi begitu, bukan sekadar mahu melihat Presiden Umno bertukar, malah itu saja keadaan bagi membolehkannya menjadi ahli Umno semula dan boleh mati dalam Umno.

Abdullah tidak dapat menyekat gesaan itu, maka beliau menolak cadangan menangguhkan lagi pemilihan pimpinan. Ia akan diadakan hujung tahun ini.

Tengku Razaleigh segera menawarkan diri menjadi calon tetapi minta kuota pencalonan dihapuskan. Ada di kalangan menteri dan Majlis Tertinggi parti menyokongnya. Yang berani berterangan Rais Yatim dan Muhyidin Yasin pula tidak menyebut kuota itu wajar dibatalkan tetapi mahukan ada pertandingan.

Hishamuddin Hussein yang selalunya jadi hulubalang pemimpin acap menyebut perlembagaan Umno tidak menghalang pertandingan.

Payah bagi Abdullah menolak kemahuan itu tetapi tidak memberikan reaksi terhadap desakan membatalkan kuota pencalonan.

Tengku Razaleigh terus berjumpa ahli-ahli Umno di mana-mana. Meminta secara terbuka dia dicalonkan.

Ketika yang sama Najib yang digalakkan oleh penyokong-penyokongnya setuju dengan kemahuan Dr. Mahathir supaya mencabar ketuanya bagi mengelakkan pimpinan jatuh kepada Tengku Razaleigh.

Selepas menemui Dr. Mahathir, Najib dipercayai bertambah galak untuk mencabar ketuanya. Dia dikatakan hampir pasti mencabarnya. Banyak pendapat yakin dia akan menghalang peluang Tengku Razaleigh bagi mendapatkan pencalaonan. Dan dia dirasakan menang selesa atas Abdullah.

Abdullah menyedari masalahnya segera tertarik dengan cadangan menyerahkan kuasa kepada timbalannya. Mula-mula tidak menyebut tarikh tetapi tiba-tiba mengumumkan pada Jun 2010.

Ia dikatakan bagi mengelakkan dia dicabar Najib. Setakat ini tidak ada kerugian bagi Najib menerima kerelaan Abdullah itu, tetapi ada risiko kalau Tengku Razaleigh dapat melepasi kuota pencalonan dan ada pula calon Timalan Presiden yang mendapat kuota.

Kalau Najib sedia mencabar Presiden, dia dipercayai boleh mendapat kuota yang dikehehendaki dan dipercayai boleh menang selesa. Ia boleh menggagalkan hasrat Tengku Razaleigh. Jika dia tidak bertanding, Tengku Razaleigh boleh dapat cukup pencalonan.

Usaha terakhir Abdullah ialah mengumumkan Najib menjadi Perdana Menteri dan pemangku Presiden Umno mulai Jun 2010 dengan harapan Najib tidak mencabarnya dalam pemilihan ini. Membisu terhadap desakan menghapuskan kuota pencalonan dan menggalakkan Perhubungan Umno negeri mengekalkan Presiden dan Timbalan Presiden dicalonkan semula tanpa pertandingan.

Bermulakan dengan Umno Pulau Pinang, maka rata-rata perhubungan negeri mula membuat keputusan itu walaupun cawangan dan bahagian belum mengadakan mesyuarat. Malah Majlis Tertinggi juga dikatakan suka kepada kemahuan itu.

Rafidah Aziz dan Ali Rustam sudah menyokong supaya Abdullah dan Najib dicalonkan semula tanpa bertanding.

Ia satu percubaan supaya cawangan dan bahagian yang bakal bersidang tidak mencalonkan Tengku Razaleigh. Jika isyarat itu diterima oleh Umno akar umbi, maka ia bakal melihat peralihan kuasa secara lisin dua tahun lagi.

Dan bagi Abdullah dan penyokongnya, ia adalah usaha Najib tidak mencabarnya, kerana kemenangan mereka nanti akan memberi laluan mudah bagi Najib mengambil alih pimpinan negara dan Umno.

Itulah yang manusia dapat rancang dan rancangan Allahlah yang hakiki.

Maka semuanya menunggu apakah Tengku Razaleigh akan menjadi calon Presiden Umno kali ini dan Najib tidak akan mencabar Abdullah?

Apa pun percubaan Abdullah itu adalah lanjutan tradisi Umno sejak era Tunku Abdul Rahman tidak menyerahkan hak memimpin parti itu kepada ahli-ahli Umno.

Ahli-ahli Umno tidak diberi hak untuk menentukan siapakah yang wajar memimpin parti itu. Hanya Dato Onn sebagai pemimpin dan pengasas Umno ketika meletakkan jawatan menyerahkan kepada ahli menentukan penggantinya. Dia tidak menamakan pemangku jawatannya bakal menjadi penggantinya.

Tunku Abdul Rahman yang dipercayai digulingkan, ketika mengumumkan pengunduran dirinya mencalonkan timbalannya Tun Razak sebagai penggantinya. Hussein Onn yang memangku Presiden atas kematian Tun Razak dicabar Haji Sulaiman Palestin. Tun Razak tidak sempat mengumumkan wasiat menjadikan Hussein sebagai penggantinya.

Tetapi Hussein Onn dan Dr. Mahathir tidak memberi kesempatan kepada Umno untuk menentukan pilihan mereka kerana mereka menamakan ganti masing-masing.

Maka Abdullah juga mengikut tradisi itu menentukan gantinya. Tidak memberi peluang kepada Umno apakah ganti yang dinamakan itu disukai Umno atau tidak. Yang terbaik dalam keadaan sekarang, Abdullah yang dipersoal parti itu wajar menyerahkan kepada Umno menentukan gantinya secara demokrasi.- tajdid _

Tiada penyata, 23 cawangan Umno Putrajaya hadapi masalah adakan AGM

mStar Online
24-07-2008 05:48:42 PM

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Kesemua 23 cawangan dalam Bahagian Putrajaya, antara bahagian terbaru dalam struktur Umno, dipercayai berhadapan dengan 'masalah' untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing ekoran kegagalan mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kesemua cawangan dalam Umno Putrajaya tidak menghantar Borang 9 seperti yang disyaratkan, sejak lima tahun lalu.

“Sememangnya mereka tidak mengemukakan Borang 9 itu sejak awal lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tempoh ‘sejak awal lagi’ yang dimaksudkan.

mStar Online difahamkan tempoh itu melibatkan sejak Bahagian Putrajaya mula ditubuhkan.

Difahamkan soal menghantar Borang 9 kepada Pendaftar Pertubuhan biasanya diuruskan oleh sekretariat bahagian.

Di bawah peruntukan Akta Pertubuhan, sesebuah pertubuhan akan berhadapan dengan masalah - tidak sah jika gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Borang 9 adalah maklumat yang perlu diberi setiap tahun oleh pertubuhan dan cawangan-cawangan pertubuhan berdaftar mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

Antara maklumat yang perlu dinyatakan dalam borang berkenaan ialah minit mesyuarat agung tahunan, salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira untuk tahun kewangan, penjelasan mengenai harta tak alih yang dimiliki pertubuhan dan penjelasan mengenai sebarang wang, harta, faedah atau keuntungan yang diterima oleh pertubuhan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan menghantar notis 30 hari mengikut Seksyen 14(2) bagi meminta sesuatu pertubuhan itu mengemukakan Borang 9 jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh setahun.

Jika masih gagal mengemukakan borang tersebut dalam tempoh itu, maka notis pembatalan atau bubar sementara berdasarkan Seksyen 14(5) akan dikemukakan kepada pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Umno Bahagaian Putrajaya, Syokri Shafee ketika dihubungi berkata, kesemua 23 cawangan itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti dijadualkan mulai Sabtu ini.

“Tiada apa-apa masalah mengenai itu (Penyata Tahunan). Cawangan-cawangan dalam Putrajaya akan mula bermesyuarat pada 26 Julai ini dan dijangka selesai sepenuhnya 9 Ogos depan,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan ketua bahagian tersebut.

mStar Online cuba mendapatkan penjelasan terperinci daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, namun mereka enggan memberi sebarang penjelasan rasmi.

Liwat: Rice bertegas isu Anwar bukan isu dalaman, mahu ditangani telus

mStar Online
24-07-2008 01:41:27 PM

DR. RAIS Yatim bersama Dr. Condoleezza Rice ketika tiba untuk untuk menghadiri Forum Serantau ASEAN di Singapura pagi tadi. - fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan yang kemungkinan menyinggung Malaysia sekali lagi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice hari ini menggesa Malaysia supaya bertindak telus dan mematuhi lunas undang-undang apabila mengendalikan tuduhan meliwat, yang kedua membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 10 tahun.

"Amerika Syarikat telah lama bercakap (mengenai isu ini) dan akan terus bercakap mengenai kes-kes yang kami merasakan perlu disentuh dari segi kedudukan politik," kata Rice yang berada di Singapura untuk menghadiri persidangan keselamatan serantau sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.

"Kami hendak melihat ketelusan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya di sini," kata beliau hari ini.

Beliau yang dipetik AP menambah, AS sentiasa bercakap mengenai hak asasi manusia dan politik tetapi dilakukan dalam semangat menghormati Malaysia.

Dalam ulasannya itu Rice menolak pendirian tegas Malaysia bahawa kes Anwar adalah isu dalaman negara ini.

"Amerika Syarikat tidak menganggap ini sebagai hal ehwal dalaman apabila keadaan seperti ini muncul, tetapi kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia," katanya.

Ia merupakan respons Rice yang pertama sejak Malaysia mengemukakn nota bantahan kepada AS awal bulan ini ekoran campur tangannya dalam isu terbaru Anwar ini.

Pada 4 Julai lalu, Rais berkata,Kementerian Luar telah menghantar surat bantahan kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menurut Rais, surat yang dikeluarkan oleh Wisma Putra itu telah dihantar kepada Rice.

Surat tersebut dihantar bagi menyatakan rasa dukacita Kuala Lumpur berhubung kenyataan yang dibuat oleh jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey mengenai dakwaan liwat ke atas Anwar.

Kelmarin Anwar telah memberi taklimat kepada 38 orang duta asing berhubung dakwaannya bahawa kerajaan Malaysia mahu mengekang penglibatannya dalam politik.

Semalam laporan Bernama yang memetik Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, AS bersetuju dengan pandangan Malaysia berkenaan kedaulatan undang-undang.

"Sewaktu mesyuarat dengan Amerika Syarikat hari ini, Malaysia membangkitkan fakta bahawa kami mengiktiraf peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia dan kami menghargai apa yang diberikan dari segi bantuan, dan apa yang bermakna kepada kebebasan, persamaan, demokrasi dan sebagainya.

"Bagaimanapun kami menekankan kepada kedaulatan undang-undang - sistem di setiap negara yang perlu dihormati. Ini kami nyatakan dengan jelas kepada Setiausaha Negara Amerika (Dr Condoleeza) Rice dan beliau memberi maklum balas dengan berkata itu adalah hak setiap negara dan demokrasi mestilah dilihat dilaksanakan berdasarkan hak sesebuah negara," katanya.

Zaid Sekali Lagi Enggan Umum Bayaran Ex-gratia Kepada Bekas Hakim

24 Julai, 2008 21:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Zaid Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengumumkan jumlah bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain.

Beliau berkata tindakan itu sebagai menghormati permintaan hakim-hakim berkenaan yang memohon supaya jumlah berkenaan dirahsiakan daripada umum.

"Mereka (bekas hakim itu) bimbang jika jumlah itu disebut akan menimbulkan pelbagai persoalan. Mereka cakap boleh tak kalau tak umum dan kerajaan bersetuju. Bukan niat nak rahsiakan (jumlah ex-gratia)...sekarang nak tunai janji dengan hakim tersebut.

"Ini bukan soal takut nak dedahkan berapa jumlah bayaran ex-gratia yang diterima... tapi nak lindungi maruah dan menghormati permintaan mereka yang tercapai semasa perbincangan dengan mereka sebelum keputusan pembayaran itu dibuat," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 di Dewan Negara, Khamis.

Antara mereka yang mendesak untuk mengetahui jumlah bayaran itu ialah Senator Datuk Abd Rashid Ngah, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 itu kemudiannya diluluskan Dewan Negara, yang antaranya bagi membolehkan seseorang hakim itu dihitung tempoh perkhidmatannya bermula dari tarikh beliau memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, bagi maksud perkiraan jumlah pencen.

Bekas hakim yang menerima pembayaran ex-gratia ialah bekas Hakim Mahkamah Agung iaitu Datuk George Seah dan Tan Sri Suleiman Pawanteh, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.

Pada persidangan Dewan Rakyat 15 Julai lepas, Zaid yang didesak Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) turut enggan mendedahkan jumlah bayaran itu atas alasan sama.

-- BERNAMA

BPR Ambil Keterangan Daripada Empat Pemandu Exco Kerajaan Terengganu

24 Julai, 2008 18:15 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang terlalu tinggi.

Enam pegawai BPR berkenaan telah datang ke Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, sejak petang semalam dan pagi tadi bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk diteliti.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya mengesahkan pegawai BPR telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Exco berhubung perkara berkenaan dan pada hari ini mereka selesai berbuat demikian kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pegawai BPR berkenaan turut mengambil keterangan daripada pegawai-pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dua hari lepas, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta nasional itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Pembelian kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah adalah untuk kegunaan 10 Anggota Exco kerajaan negeri, sebuah untuk Speaker Dewan Undangan Negeri dan tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

Ketika ditanya sama ada BPR akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lagi, Mokhtar berkata: "saya tidak tahu...(bagaimanapun) kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR bagi memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.

"Jika ada penyelewengan, kerajaan negeri tiada mempunyai masalah dengan BPR untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau menjelaskan kereta Proton Perdana V6 Executive itu, telah dihantar sendiri oleh pemandu exco atau pegawai kanan kerajaan negeri itu untuk diselenggara di bengkel-bengkel yang dilantik dan pihaknya akan membuat bayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.

Mokhtar berkata setiap exco kerajaan negeri mempunyai dua pemandu iaitu seorang yang merupakan kakitangan tetap dan seorang lagi yang dilantik sendiri oleh mereka secara kontrak.

Beliau berkata kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sementara menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan kereta berkenaan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Sebanyak 15 buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu masih digunakan untuk kegunaan bersama (pool)," katanya.

-- BERNAMA

Kajian Kadar Tol Dalam Peringkat Akhir, Kata Mohd Zin

24 Julai, 2008 00:44 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya kini dalam proses akhir untuk mengemaskinikan segala data mengenai kajian menyeluruh tentang terma perjanjian sedia ada dengan syarikan konsesi tol bagi mengurangkan atau memansuhkan kadar tol di seluruh negara.

"Kita dalam peringkat mutakhir mengemaskinikan segala data dan kita telah buat beberapa opsyen serta satu unjuran trafik yang baru yang berasaskan kepada kapasiti infrastruktur yang sedia ada.

"Kita juga kaji apakah kalau kita bagi pengurangan tol, apakah nilai syarikat konsesi tanggung untuk hari ini dan apakah nilai tanggungan pada masa depan," kata Menterinya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dalam wawancara 60 Minit Bersama Menteri yang disiarkan di RTM 1 Rabu malam.

Kementerian katanya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Kajian Kadar Tol yang diketuai oleh pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan menjemput pakar akademik, pakar perunding serta firma yang berpengalaman tentang perjanjian konsesi untuk mengkaji dan menilai semula terma sedia ada.

Katanya beliau akan membentangkan kepada jemaah menteri hasil kajian itu dalam waktu terdekat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Mohd Zin berkata kajian itu meliputi data trafik pada sesebuah lebuh raya dan juga bagaimana kutipan itu digunakan oleh pihak konsesi.

"Mana-mana perjanjian konsesi yang sedia ada saya menilai semula supaya mana-mana terma yang boleh dirunding semula kita akan ambil peluang supaya akhirnya pihak konsesi akan berdaya maju, rakyat akan mendapat keuntungan dan kerajaan tak tanggung bebanan terhadap infrastruktur ini," katanya.

Beliau berkata tumpuan kajian juga diberikan kepada pengguna yang bergantung kepada laluan lebuhraya bertol di kawasan bandar.

Mengenai pemberian 10 peratus daripada semua kontrak melebihi RM10 juta kepada kontraktor Kelas F, Mohd Zin mahukan polisi itu diteruskan supaya kontraktor itu terus meletakkan pembinaan sebagai karier dan bukan kerja sebagai sampingan.

"Tugas utama kita di kementerian yang berurusan dengan kontraktor ialah kita mahu mereka ini berjaya di tapak pembinaan walaupun menghadapi pelbagai tekanan.

"Sebagaimana Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sektor pembinaan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)" katanya.

Beliau berkata dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 itu industri pembinaan menyumbang 5.21 peratus daripada 6.1 peratus KDNK.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...