Friday, September 12, 2008

Tiga akhbar terima surat tunjuk sebab - MALAYSIAKINI

Sep 12, 08 12:11pm Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada tiga buah akhbar berhubung laporan mereka mengenai perkembangan politik semasa.

Tiga akhbar bekenaan ialah akhbar berbahasa Inggeris, The Sun; akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Che Din Yusof ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, pihak kementerian mengeluarkan surat tunjuk sebab tersebut semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga akhbar berkenaan diberi masa seminggu untuk menjawabnya.

Menurutnya, surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada akhbar the Sun kerana didakwa "memanipulasi dan memainkan banyak isu-isu sensitif".

Manakala Sin Chew pula diberi surat tunjuk sebab kerana melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan pemimpin Umno, Datuk Ahmad Ismail.

Katanya, Suara Keadilan pula menerima surat tunjuk sebab berhubung laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan lumpuh selepas menjalani pembedahan jantung.

Mengikut undang-undang, menteri dalam negeri mempunyai hak budibicara untuk menggantung atau membatalkan permit penerbitan jika mereka gagal memberi penjelasan yang memuaskan.

Semalam, menteri berkenaan, Datuk Syed Hamid Albar berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada beberapa buah akhbar yang lebih menjurus untuk menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat, tetapi tidak menamakan akhbar-akhbar tersebut.

Menurutnya, KDN juga mengeluarkan surat peringatan kepada semua pengamal media di negara ini supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Syed Hamid berkata, surat peringatan itu dikeluarkan sejurus selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menarik balik sekatan terhadap beberapa laman web termasuk "Malaysia Today" hari ini.

Pilihanraya awal jika Pakatan ambil alih kuasa - MALAYSIAKINI

Sep 11, 08 6:58pm Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk mengadakan pilihanraya umum awal jika ia mengambil alih kuasa untuk mengikis kebimbangan ianya tidak demokratik dan tidak beretika.

Naib PresidenPKR, R Sivarasa memberitahu Malaysiakini bahawa pilihanraya baru akan diadakan dalam tempoh enam bulan hingga setahun selepas Pakatan menguasai Parlimen.

"Kita mahu memastikan pilihanraya yang adil dan bebas. Untuk melakukannya kita perlu memberi kebebasan kepada media, membersihkan senarai pemilih dan memperbetulkan Suruhanjaya Pilihanraya," kata Sivarasa yang juga ahli Parlimen Subang.

"Ini boleh mengambil masa antara enam bulan hingga setahun," tambahnya.

Pakatan yang dianggotai PKR, DAP dan PAS, mempunyai 81 daripada 222 kerusi Parlimen. Walaupun Barisan Nasional kini mempunyai kerusi majoriti, tetapi Pakatan yakin dapat mengubah keadaan itu.

Pakatan memerlukan 31 lagi ahli Parlimen menyertainya untuk mendapatkan majoriti mudah sebanyak 112 - sesuatu yang dilihat oleh pemerhati politik sebagai bukan mustahil untuk diperolehi.

Menurut mereka, apa yang diperlukan ialah 31 ahli Parlimen BN melompat menyertai Pakatan atau alternatifnya, jika 30 ahli Parlimen Barisan dan seorang ahli Parlimen bebas, memilih untuk bersama Anwar.

Ramlang saksi sumpah Saiful bukan lagi imam Masjid Wilayah - MSTAR ONLINE

11-09-2008 06:56:25 PM
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN dan LEE YAN XIU

PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan bulan lalu telah ditukarkan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa kelmarin.

Menurut peguam Ramlang, Ahmad Nizam Hamid, surat pertukaran tersebut diterima oleh anak guamnya kelmarin .

"Anak guam saya menerima surat tersebut 9 September," katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, Ramlang sudah tidak lagi bergelar imam kerana beliau telah ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jakim di Putrajaya.

Ahmad berkata, anak guamnya itu agak kecewa dengan pertukaran tersebut.

"Anak guam saya kecewa dengan pertukaran ini. Saya rasa beliau tidak wajar ditukarkan ke Jakim hanya kerana beliau menyuarakan kenyataan untuk menegakkan kebenaran," katanya.

Ramlang ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut.

"Ya memang betul saya sudah ditukarkan ke Jakim pada 9 September lalu," katanya.

Ketika ditanya sama ada pertukarannya ke Jakim merupakan satu bentuk tindakan yang dikenakan ke atasnya, Ramlang berkata:

"Saya tidak tahu. Saya hanya menurut perintah dan menerima apa yang ditetapkan."

Sebelum ini, Ramlang yang memegang jawatan sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam telah muncul semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 24 Ogos lalu dengan menyatakan sumpah yang dilakukan oleh Saiful tidak sah.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Ramlang masih menjadi imam, Ahmad berkata:

"Beliau sudah tidak lagi menjadi imam kerana diberi tugas menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran."

Tambah beliau, surat pertukaran Ramlang ke Jakim ditandatangani oleh pengarah bahagian berkenaan, Abdul Murat Abdul Wahab.

Bagaimanapun menurut Ahmad, status dan jawatan Ramlang kekal gred S17.

Ditanya sama ada anak guamnya itu sudah menerima apa-apa surat tindakan disiplin terhadapnya, Ahmad berkata:

"Setakat ini belum ada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Ramlang. Pihak kami pun tidak menerima sebarang surat dari mana-mana pihak."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...