Sunday, August 31, 2008

Gerakan gesa Ketua Umno Bukit Bendera dikenakan tindakan - MSTAR ONLINE

31-08-2008 07:28:03 PM

KUALA LUMPUR: Gerakan, parti komponen Barisan Nasional (BN), hari ini mahu tindakan diambil ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berhubung kenyataannya yang bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk seri Chia Kwang Chye berkata, ramai rakyat Malaysia kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila mengulas mengenai kenyataan Datuk Ahmad Ismail.

"Mereka menjangka satu kecaman yang kuat, terutama pada 31 Ogos, hari di mana semua rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

"Selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, sebarang kesangsian mengenai kesetiaan mana-mana penduduk etnik Malaysia dan tindakan mempersoal kewarganegaraan adalah melampaui usaha menyemai persefahaman di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh minggu lepas, Ahmad didakwa membuat kenyataan itu dan semalam, ketika mengulas mengenai perkara itu Abdullah berkata, beliau akan "memberitahu Ahmad jangan mengulangi lagi perkara itu."

"Anda tahu semasa berkempen pelbagai perkara boleh timbul. Saya tidak fikir beliau bermaksud sedemikian. Saya akan pastikan untuk memberitahu dia jangan gunakan perkataan itu lagi," kata Abdullah semalam.

Chia berkata kenyataan Ahmad sudah lapuk dan menimbulkan provokasi perkauman sambil menambah sebarang petanda bahawa BN bertolak ansur dengan mereka yang jelas bersikap perkauman dan mengeluarkan pendapat yang bersifat provokasi akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

"Ahmad Ismail bukan sahaja patut menarik balik apa yang diucapkannya tetapi perlu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan juga dikenakan tindakan disiplin bagi mengelak perkara itu daripada berulang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan dalam satu kenyataannya mendesak pimpinan UMNO dan BN untuk mengkaji semula pendirian terhadap Ahmad.

Beliau meminta polis menyiasat perkara itu memandangkan MCa dan Gerakan telah pun membuat laporan terhadap Ahmad.

Apabila jentera Pemuda Umno mengamuk... - HARAKAHDAILY

Mohd Sabri Said
Sun | Aug 31, 08 | 6:59:37 am MYT

PERMATANG PAUH, 31 Ogos (Hrkh) - Walaupun Pilihan raya Kecil Permatang Pauh sudah enam hari berlalu namun bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) masih banyak lagi tidak dibuang.

Senario itu dapat dilihat di merata tempat terutamanya di mana sahaja bekas bilik gerakan parti itu dan di hadapan Pejabat Umno Bahagian di Sungai Semambu, Bukit Mertajam.

Banyak bendera yang digantung merentasi jalan masih berkibar seperti biasa manakala yang jatuh meleret di bawah dan ada yang diterbangkan angin ke dalam longkang di tepi jalan.

ImageHarakahdaily dimaklumkan, semua kejadian itu dikatakan berpunca dari rasa tidak puas hati jentera pemuda Umno kerana tidak memdapat 'habuan' pilihan raya sedangkan peruntukan terlalu banyak dilonggokkan di parlimen itu dulu.

Akibat tidak mendapat habuan tersebut, sekumpulan jentera pemuda Umno mengambil keputusan membaling batu ke arah Pejabat Umno Bahagian Permatang Pauh sehari selepas mengalami kekalahan yang mengaibkan pada 26 Ogos lalu.

Perbuatan itu sekaligus mengakibatkan beberapa keping cermin pejabat berkenaan pecah.

Seorang penduduk, Samad Chik dari Penanti ketika ditemui menyifatkan, tindakan itu membuktikan jentera Umno bagaikan 'hantu raya' yang memakan tuanya sendiri sebab tidak cukup makan.

Bagi Salmah Din pula, mungkin Umno rasa malu setelah bertungkus lumus akhirnya terpaksa akur dengan kematangan penduduk Permatang Pauh.

Zulhasnan Hanafi, 25, mengatakan, sebenarnya jentera pemuda Umno telah hilang sabar kerana di permainkan oleh orang atasan yang mengambil kesempatan menyorok peruntukan untuk kepentingan peribadi.

"Saya tahu wang memang berlonggok diagihkan kepada semua bilik gerakan tapi sayang mereka yang bekerja bermatian-matian tidak mendapat habuan yang mencukupi, " jelasnya yang pernah menjadi jentera Umno dalam pilhan raya umum 2004 lalu. - mks. _

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Esok - BERNAMA

31 Ogos, 2008 20:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) --

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok iaitu 1 September.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong dan selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 1 Sept 2008.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...