Wednesday, August 3, 2011

Surat cuti tanpa gaji ditarik balik, bayar gaji minimum

PUTRAJAYA 3 Ogos – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam hari ini memberi jaminan kepada lebih 400 pekerja Dawama Sdn Bhd (Dawama) bahawa mereka masih terikat dengan syarikat percetakan itu dan surat cuti tanpa gaji yang dikeluarkan kepada mereka ditarik balik.

Beliau berkata, ini kerana tindakan Dawama yang mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji adalah tidak sah di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, Dawama dinasihatkan melakukan pemberhentian sementara dengan perlu membayar gaji minimum sebanyak 12 hari sebulan sementara melakukan penstrukturan semula syarikat itu.

Pekerja yang terbabit pula boleh bekerja di tempat lain sehingga kemelut syarikat itu selesai kelak, katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.

""Di dalam perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheik Mohd, Dawama bersetuju membayar gaji minimum sebanyak 12 hari bagi sebulan sehingga syarikat itu meneruskan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menstruktur semula dan memulihkan pernigaan,” katanya. – Bernama

SPR tukar status 'Mismah' dalam draf senarai pemilih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengubah status Mismah, yang namanya telah dimasukkan dalam draf senarai pendaftaran pemilih.

Ini berdasarkan kepada semakan pada sistem pengesahan dalam talian SPR pada jam 2 petang hari ini.

NONE'Status rekod' (rujuk rajah) menyatakan permohonannya untuk mendaftar sebagai pengundi adalah 'dalam proses pengesahan daftar pemilih'.

Namanya terdapat dalam draf daftar pemilih tambahan yang telah dibuka untuk penelitian awam.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, ketika dihubungi, menjelaskan bahawa tempoh bantahan berakhir semalam.

"Mereka yang tidak menerima apa-apa bantahan akan diwartakan (sebagai pengundi). Mereka yang menerima bantahan akan tertakluk kepada proses pengesahan," katanya.

Sewaktu proses tersebut, siasatan awam akan diadakan untuk mendengar kedua-dua pihak - bakal pengundi dan pengadu.
Semalam Malaysiakini mendapati Mismah telah dikategorikan sebagai seorang penduduk tetap (PR) dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sistem pengesahan JPN dalam talian, yang membolehkan pengguna untuk menyemak status individu, menunjukkan Mismah adalah pemegang MyPR kad No 640704715238.

Kira-kira empat jam selepas laporan itu disiarkan semalam, status Mismah dalam sistem pengesahan dalam talian JPN, telah 'dinaik taraf' kepada warganegara.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, ketika dihubungi kemudiannya, berkata ia mungkin berpunca daripada kecuaian teknikal di pihak JPN, serta menegaskan bahawa hanya warganegara layak didaftarkan sebagai pengundi.

SPR nafi penduduk tetap didaftar sebagai pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menafikan penduduk tetap (PR) telah didaftarkan sebagai pengundi.

Sebaliknya, kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof kesilapan itu mungkin berpunca akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

NONE"Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini,” kata Abdul Aziz dalam SMS kepadaMalaysiakini malam semalam.

Katanya, hanya rakyat Malaysia yang boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

"PR tidak dibenarkan kecuali Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mereka sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak permohonan mereka sebagai pengundi secara automatik akan ditolak oleh sistem saringan SPR selepas menyemak status mereka dengan sistem JPN - Agency Link Up System (Alis)," katanya.

Namun, kata Abdul Aziz SPR akan mempamerkan daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan setiap empat bulan untuk tatapan umum selama seminggu.

"Pengundi di kawasan itu boleh membantah (jika mendapati ada penyelewengan),” katanya.

Abdul Aziz mengulas kontroversi di mana terdapat dakwaan bahawa penduduk tetap didaftarkan sebagai pengundi dan nama mereka tersenarai pada daftar pemilih tambahan yang baru. Status penduduk tetap itu kemudiannya 'dinaik-taraf' sebagai warganegara dalam beberapa jam, mengikut sistem pengesahan online JPN.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...