Saturday, June 11, 2011

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebentar tadi mengisytiharkan esok sebagai cuti umum di Kelantan. 

Beliau berkata, perisytiharan itu untuk keselesaan penyokong Kelantan pulang selepas menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

"Besok diisytiharkan cuti umum di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa. Semoga penyokong dapat menjaga tata tertib sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini," katanya menerusi laman Facebooknya.

Tiada lagi monopoli penyiaran program TV: Rais

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan melaksanakan dasar baru yang memastikan program televisyen yang digemari rakyat, terutama sukan popular, tidak lagi dimonopoli oleh satu badan penyiar atau badan media sahaja. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perkara itu sudah disampaikan kepada pihak berkenaan, termasuk Astro.

"Kita mahu Astro, misalnya, supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang produktif dan adil dengan Media Prima dan apatah lagi dengan RTM.


"Mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro tidak dapat (mengikuti siaran TV sukan) sedangkan RTM adalah badan penyiar kerajaan, dan dalam hal ini saya memohon maaf bagi pihak kementerian," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran serentak Komuniti 1Malaysia peringkat negeri Sabah dan Pos Bergerak serta penghargaan kepada petugas pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi (Sandakan) di sini hari ini. 

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat, khususnya mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro, yang tidak dapat menonton siaran Sukan Malaysia ke-14 yang diadakan di Kuala Lumpur tahun ini. 

"Kita mahu laksanakan dasar baru ini dan di bawah lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita akan ubah kedudukan tersebut. 

"Dengan lain perkataan tiada lagi monopoli. Sesuatu projek atau program sukan, misalnya bola sepak, kita cuba agihkan saluran dengan cara muafakat demi kebaikan semua pihak," katanya. 
Beliau berkata mengikut undang-undang sedia ada, lesen penyiaran boleh ditambah baik atau ditokoh tambah sekiranya kerajaan memikirkan sedemikian. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...