Friday, June 20, 2008

"Yong arah bayar ejen RM5 juta"

Oleh Berita Harian
Jumaat, 20 Jun 2008

KK: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri mengarahkan pembayaran lebih RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri kepada ejen pilihannya pada 1996, Mahkamah Tinggi diberitahu, semalam.

Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said, berkata ketika beliau menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa Yong di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik LKTNS.

Wasli berkata, peguam yang mewakilinya William Cheah mencadangkan penubuhan syarikat (Briskmark) untuk dijadikan wadah bagi dana politik dan peguam itu memintanya memberikan taklimat kepada ketua menteri berhubungnya.

“Saya memberikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai perkara itu dan memberitahunya mengenai keuntungan daripada langkah penyenaraian membabitkan saham Sapi dalam PPB Oil Palms,” katanya.

Katanya, selepas perjumpaan pertama itu, beliau bertemu Yong beberapa kali lagi iaitu bukan saja di pejabat tetapi juga di tempat lain di mana bekas Ketua Menteri itu mengarahkannya membayar sebahagian keuntungan penjualan saham itu kepada ejen pilihannya.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria, Wasli berkata Yong akan menghubunginya menerusi telefon bimbit untuk memaklumkan bila bayaran itu akan dibuat, lokasi dan nombor pendaftaran kereta ejen terbabit.

Beliau memberikan keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi LKTNS untuk kepentingan peribadi dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Sapi kepada Briskmark.

Kasitah, 60, juga didakwa memperdayakan LKTNS dengan menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms untuk memperuntukkan lima saham bagi setiap saham Sapi dalam cadangan penyenaraian itu.

Kepada soalan lain, Wasli berkata satu daripada pembayaran kepada ejen Yong dibuat menjelang pilihan raya umum 1999.

Katanya, selain Yong, beliau membayar wang tunai RM500,000 kepada setiap daripada lapan anggota lembaga Briskmark sebagai derma kepada mereka.

Mereka ialah Datuk Salleh Otik, Datuk Ismail Jook, Abdul Kader Pateh, Laimun Laikim, Michael Emban, Talib Aning, John Liaw dan Catherine Yong.

Wasli memberitahu mahkamah yang beliau tidak menerima resit bagi pembayaran kepada ejen Yong atau yang lain.

Kepada soalan lain, katanya, kebanyakan surat itu yang dialamatkan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap LKTNS iaitu Datuk Joseph Kurup (kini Tan Sri), bekas Ketua Menteri dan LKTNS didraf oleh peguamnya (William Cheah) dan beliau hanya menandatanganinya.

“Pada asasnya beliau (peguam) merancang semuanya dan saya melaksanakannya,” kata Wasli.

Katanya, sebelum penjualan saham itu, peguamnya menasihatkan beliau supaya berjumpa Kasitah yang juga Pengerusi LKTNS dan memaklumkan kepadanya menerusi surat bahawa lapan peratus daripada 40 peratus saham Sapi akan dijual kepada Kasitah.

Wasli berkata, beliau menyerahkan surat itu kepada Kasitah pada 5 Oktober 1996 dan Kasitah hanya menganggukkan kepalanya selepas membaca kandungan surat berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah, Kasitah memintanya berjumpa seorang pegawai RHB Bank, Rossana Annizah mengenai penjualan lapan peratus saham itu yang bersamaan dengan 16 juta saham biasa PPB Oil Palms.

Perbicaraan di hadapan Hakim Suraya Othman disambung hari ini

"Saya tinggalkan Anwar kerana prinsip Islam" Ezam

Oleh Mohamad Mukhreez
Jumaat, 20 Jun 2008

KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor semalam bersumpah atas nama Allah SWT dan Rasul akan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri kerana 'prinsip seorang Muslim".

Ezam yang berceramah di sini, semalam dilaporkan berkata, beliau sedia untuk 'all-out' bagi menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri 'atas sebab-sebab tertentu'.

"Saya bukan jenis orang yang suka mengaibkan orang lain, tapi jangan cabar saya," kata Ezam di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini.

Dalam ceramah bertajuk 'Mempertahankan Perjuangan Pengasas Bangsa' itu, Ezam menjelaskan politik cara Anwar Ibrahim akan menghancurkan kestabilan negara dari segi keselamatan dan ekonomi.

Dalam ceramah sulung di pentas UMNO itu, Ezam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar berkata, tindakan beliau meninggalkan bekas boss nya itu semata-mata atas dasar prinsip.

Menurut beliau, biarpun ada dakwaan kononnya beliau disogok jutaan ringgit serta jawatan tertentu oleh UMNO, namun hakikat sebenarnya adalah beliau hilang kepercayaan pada perjuangan PKR.

"Dengan nama ALLAH saya tinggalkan Anwar atas prinsip sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak membenarkan saya membantu beliau menjadi pemimpin dalam apa cara sekalipun," kata Ezam.

Jelas Ezam, sejak mengumumkan menyertai UMNO, beliau menjadi mangsa fitnah pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak gentar sama sekali dengan fitnah-fitnah tersebut bahkan beliau memberi amaran bahawa kesabarannya ada batas.

"Saya tidak suka aibkan orang, tapi kalau terus memfitnah saya akan gempur habis-habisan," katanya.

Turut hadir dalam ceramah tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid Wan Salleh.


petikan klpos

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong

Tarmizi Mohd Jam
Fri | Jun 20, 08 | 10:05:12 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.

Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.

Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.

"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

"Raja berperlembagaan sebenarnya lebih merujuk kepada seorang raja yang bertindak selaras dengan tuntutan dan semangat demokrasi bukan mengikut nasihat membuta tuli", tambah beliau.

Mengenai pilihan raya mengejut Aziz berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Aziz berkata di bawah Perlembagaan kuasa itu adalah kuasa baginda dan Perdana Menteri tidak boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong. "Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ia adalah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi.

Dua minggu lalu Aziz berkata bahawa di dalam senario sekarang adalah tidak wajar untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Beliau menjelaskan, meskipun kuasa itu kuasa budibicara baginda diberi tanggungjawab untuk menilai keadaan dan mempastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Inilah sebabnya mengapa Suruhanjaya Reid meminta Yang di-Pertuan Agong melihat pengalaman negara-negara Komanwel yang lain," tegas beliau.

Aziz menjelaskan di dalam keadaan sekarang pembubaran dewan adalah tidak perlu kerana dua sebab.

"Yang pertama kita sudah mendengar hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong mesti menunggu sehingga usul itu dikemukakan dan melihat hasilnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan dewan maka baginda akan dilihat menyebelahi kepentingan Barisan Nasional dan ini tidak selaras dengan ideal Perlembagaan yang mahukan baginda bebas dari politik dan melindungi proses Perlembagaan," tegas Aziz.

Sebab yang kedua, bahasnya, wujudnya potensi pembentukan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya. Beliau menjelaskan sama ada melalui undi tidak percaya atau lompat parti, sebuah kerajaan baru sebenarnya boleh dibentuk.

"Cara ini jelas lebih murah dan lebih menjimatkan masa. Lagipun pilihan raya baru sahaja diadakan," ujarnya.

Bagaimanapun, Aziz berasa ragu sekiranya pilihan raya adalah satu pilihan yang sesuai ekoran kenaikan harga minyak kerana isu itu menyebabkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi popular.

Mengenai pemerintahan darurat di bawah Perkara 150, Aziz berkata ia adalah tidak baik kerana krisis politik yang ada sekarang boleh ditangani melalui proses dan prosedur biasa yakni undi tidak percaya dan seterusnya.

"Dalam soal ini Yang di-Pertuan Agong mesti menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan digantung dan kerajaan yang ada diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa ke parlimen. Ini berbahaya", tegas Aziz. - mr _

Harakah Daily

Dipukul dan dipaksa lakukan seks oral sesama sendiri

Anis Nazri
Fri | Jun 20, 08 | 6:17:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Pegawai polis Kajang didakwa memukul empat tahanan, termasuk dua daripadanya dipaksa melakukan sek oral sesama mereka sambil diperhatikan pihak polis.

Selain dipukul dan dipaksa melakukan seks oral, mereka juga mendakwa disembur dengan penyembur serangga dan dipaksa menjilat kasut anggota polis dalam tempoh tahanan reman mereka.

Dakwaan tersebut disampaikan peguam tahanan tersebut, Kartigesan Shamugam, di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam, di pejabat Suhakam, petang tadi.

Menurut Kartigesan, mereka ditahan pada 29 Mei lalu, di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tarikh mereka didera tidak dimaklumkan kepada Suhakam, namun dipercayai kejadian itu berlaku ketika tempoh tahanan reman tujuh hari mereka.

Mereka kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret untuk disambung reman selama tiga hari lagi, dan berpeluang mengadu kepada Majistret mengenai deraan tersebut.

Difahamkan, mereka kemudiannya dibawa semula ke Balai Polis Kajang untuk lanjutan tahanan reman dan sekali lagi didakwa didera kerana mengadu kepada Majistret mengenai deraan sebelum itu.

Sehubungan itu, bapa kepada seorang mangsa, bertindak membuat laporan berhubung deraan seksual tersebut di Suhakam pada 11 Jun lalu.

Sementara itu, Dato' Siva dalam responsnya, berkata Suhakam telah memberikan surat kepada Ketua Polis Daerah Kajang setelah menerima aduan tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan tersebut.

"Setelah Suhakam mendapat jawapan dari Ketua Polis Daerah Kajang, Suhakam akan meneruskan siasatan kerana dakwaan ini adalah sesuatu yang serius jika dibuktikan, dan ia jelas melanggar prinsip asasi yang dijamin perlembagaan," tegas beliau.

Dalam pada itu, Siva berkata surat tersebut juga telah dihantar salinannya kepada Ketua Polis Negara untuk makluman dan tindakan pihak terbabit. - mns_

Harakah Daily

PM tetap akan berhadapan usul undi tidak percaya - Setiausaha Agung PAS

Azamin Amin
Fri | Jun 20, 08 | 11:03:10 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap akan dibawa ke Dewan Rakyat meskipun tidak akan dibentangkan pada hari Isnin seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata pihaknya menafikan ada dakwaan usul bakal dibuat pada hari tersebut namun semua parti komponen Pakatan Rakyat termasuk daripada PAS, KeADILan dan DAP akan hanya berbuat demikian pada masa yang difikirkan sesuai.

"Hari Isnin ini 'sah' tidak ada tetapi selepas hari itu atau pada-pada bila-bila masa kita pasti akan bentangkan usul tersebut.

"Ya...pada tahun ini kita akan usulkan undi tidak percaya setelah berbincang dan mendapat persetujuan sepakat dengan semua parti komponen Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi mendapat reaksi segara berhubung isu terbabit.

Beliau merupakan ahli Parlimen berpengalaman turut menjelaskan sesuatu usul seperti undi tidak percaya perlulah diberikan notis awal terlebih dahulu kepada Parlimen dan tidak boleh dikategorikan sebagai usul tergempar yang boleh diberi notis selama 24 jam.

Dalam pada itu itu, beliau menyatakan pandangan senario terkini merupakan antara kemuncak krisis ketidak-percayaan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah yang selama ini dilihat lemah dan tidak sensiritif kepada masalah yang menghimpit rakyat.

Katanya undi tidak percaya parti kompenen Barisan Nasional(BN) seperti Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan permulaan yang penting dalam mencorakkan politik negara yang dilihat terumbang-ambing pasca 8 Mac lalu.

"Selepas 100 hari Abdullah dilihat makin lemah dan tidak berupaya untuk mengurus tadbir negara dengan baik khususnya dalam hal ehwal kewangan dan ekonomi yang juga berkait rapat dengan krisis kenaikan harga minyak.

"Ini tidak termasuk kucar-kacir dan pecah-belah yang berlaku pada Umno yang tidak memungkinnya menjadi parti contoh dalam komponen BN dan kepada negara amnya," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Justeru tindakan yang diambil oleh SAPP dianggap tepat dan wajar dicontohi oleh parti-parti komponen BN yang lain.

Ia penting demi mengolahkan kembali ekonomi dan politik negara ke arah masa depan yang lebih terjamin dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya, kata Kamarudin./wann _

harakah daily

Remaja didakwa rogol jiran

KLANG 19 Jun - Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol jirannya hingga menyebabkan mangsa kini mengandung.

Remaja berusia 18 tahun itu mohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun pada pukul 11 malam, September tahun lalu di sebuah rumah di Telok Gadong di sini.

Penolong Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (pindaan September 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Menurut Aimi Syazwani meskipun mangsa kini telah berpindah ke tempat lain selepas kejadian namun beliau tetap membantah jaminan diberikan.

Ujar beliau, pendakwaan khuatir tertuduh akan mengganggu mangsa yang masih belajar di tingkatan empat dan sedang mengandung.

Peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kerana anak guamnya yang berhasrat melanjutkan pelajarannya.

"Faktor mangsa mengandung tidak boleh dijadikan alasan untuk membantah jaminan disebabkan pada peringkat ini, belum dapat disahkan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi siapakah yang sedang dikandung mangsa," tegas Azzizul sambil menyatakan mahkamah tidak boleh bergantung kepada andaian semata-mata.

Beliau menambah, ibu tertuduh yang tidak bekerja hanya mampu mengemukakan wang jaminan RM5,000.

Ketika Aslam membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, beliau memberi amaran supaya tertuduh tidak menganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 23 Julai ini.

utusan online

MT SAPP sokong undi tidak percaya terhadap PM

20/06/2008 5:42pm

KOTA KINABALU 20 Jun – Majlis Tertinggi (MT) Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini sebulat suara menyokong cadangan menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, dua ahli Parlimen parti itu juga mungkin akan mengemukakan sendiri usul tersebut di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, SAPP akan kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk mengambil tindakan,’’ katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT parti itu di sini.

MT SAPP bermesyuarat selama empat jam bermula 10 pagi ini.

Menurut Teck Lee, parti itu menyerahkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk menentukan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri SAPP dalam kerajaan negeri.

SAPP mempunyai empat orang ADUN di Sabah dengan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Raymond Tan merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah. - Utusan

Penunggang motosikal dibenar guna lebuh raya bertingkat Ampang-Kuala Lumpur

20/06/2008 4:08pm

KUALA LUMPUR 20 Jun – Penunggang motosikal pelbagai kelas kini dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd. Zin Mohamed.

Beliau berkata, ini adalah lebuh raya kedua yang dibuka kepada motosikal pada bulan ini.

Pada 5 Jun lepas penunggang motosikal pelbagai kelas telah dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya atau yang kini dikenali sebagai Maju Expressway, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan harga minyak yang menyebabkan rakyat, terutama sekali golongan berpendapatan rendah di bandar raya, yang kini lebih cenderung menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk ke tempat kerja.

“Tindakan ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat terutama ketika berhadapan dengan krisis harga minyak global dan kenaikan sara hidup,” katanya. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...