Wednesday, August 27, 2008

Tindakan disiplin: Imam tidak kempen untuk Anwar - MALAYSIAKINI

Jimadie Shah Othman |
Aug 27, 08 3:05pm

Ramlang Porigi, imam yang menjelaskan kehadirannya di acara sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan atas pentas PKR Ahad lepas, tidak pernah berkempen untuk calonnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang peguam imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini:

"Beliau tidak pernah mengatakan undilah PKR walaupun satu patah perkataan. Beliau hanya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku."

Beliau diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini untuk mengambil tindakan terhadap Ramlang jika didapati berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

ramlang permatang pauh ceramah 250808 02Ahmad Nizam berkata mereka akan mempertahankan imam Masjid Wilayah Persekutuan itu jika dikenakan tindakan disiplin.

"Jika perlu, kita akan membawa kes ini ke mahkamah," katanya yang mengetuai kumpulan khidmat guaman Ramlang (foto, kanan).

Menurut satu sumber masjid di Jalan Duta itu, Ramlang kini sedang bercuti mulai Isnin. Bagaimanapun tidak diketahui bila beliau akan kembali bertugas, tambah sumber.

Menurut Ahmad Nizam, Ramlang kini sedang "tunggu dan lihat" perkembangan selanjutnya sebelum memutuskan untuk meneruskan tugasnya.

Peguam itu menambah, imam itu bimbang akan keselamatannya berdasarkan senario politik semasa "seperti misteri kehilangan penyiasat persendirian P Balasubramaniam" selepas mendedahkan akuan berkanunnya 2 Julai lepas.

Ahmad Nizam berpendapat penjelasan Ramlang atas pentas PKR malam 24 Ogos lalu "menyebabkan kredibiliti Mohd Saiful", yang mendakwa diliwat Anwar, jatuh.

Dalam penjelasannya, Ramlang berkata beliau diarahkan oleh "orang atasannya" untuk hadir di majlis sumpah laknat di tempatnya bertugas 15 Ogos, sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil tersebut.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata seseorang penjawat awam yang terlibat dalam kempen pilihanraya melanggar peraturan kerajaan.

"Bagaimanapun Jakim akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penglibatan beliau dalam perkara ini," beliau dipetik berkata.

"Kita juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada imam berkenaan. Kalau ada bukti yang menunjukkan beliau terlibat secara langsung kita rujuk dengan lembaga disiplin."

Lewat petang ini, Malaysiakini difahamkan Ramlang telah dimaklumkan oleh rakan-rakannya kelmarin bahawa kemungkinan beliau dikenakan tindakan.

Dua anggota polis difahamkan ke masjid tempat beliau bertugas untuk menemuinya.

Bagaimanapun sehingga kini tiada pihak mengesahkannya.

Dalam pilihanraya yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dengan PKR, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Sementara calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan apabila memungut hanya 92 undi.

Sumpah laknat 'senjata makan tuan' - MALAYSIAKINI

Aug 27, 08 2:18pm

Sumpah laknat dalam isu liwat yang dimainkan oleh BN dengan rancak bagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat "senjata makan tuan", kata seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).

Mengulas keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh semalam yang dimenangi dengan majoriti besar oleh penasihat PKR itu, Dr Sivamurugan Pandian dilaporkan berkata isu sumpah ditolak pengundi kerana "masyarakat kampung sudah muak dengan cerita seperti itu".

Isu itu mula dimainkan melalui media dan ceramah BN apabila Mohd Saiful Bukhari Azlan secara mengejut berbuat demikian sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kerusi parlimen itu 16 Ogos lalu.

Rakaman acara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan itu juga dilaporkan ditayangkan di bilik-bilik gerakan BN, selain ucapan-ucapan menyindir Anwar berhubung isu salah laku seks itu yang kini sudah dihadapkan di mahkamah.

Selain faktor itu, lapor Bernama lagi, beberapa punca lain BN tewas lebih buruk semalam termasuklah kerjasama dalam pakatan BN, strategi media dan isu yang diketengahkan, serangan peribadi terhadap calon lawan serta faktor luaran yang menjejaskan rentak sokongan rakyat kepada gabungan 14 parti komponen itu.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Sementara calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan apabila memungut hanya 92 undi.

Menurut agensi berita itu, Dr Sivamurugan berkata jentera BN dilihat lambat "bangkit" untuk menangani kempen dan serangan pembangkang khususnya daripada PKR.

Tambahnya, perebutan jawatan pemimpin Umno di bahagian Permatang Pauh yang tidak pernah berkesudahan membuatkan penduduk di kawasan itu bosan kerana merasakan hak dan keinginan mereka diketepikan.

Ahli akademik USM menyarankan pemimpin BN mendengar suara hati rakyat dan apa yang mereka mahukan, dan bukannya memaksa kehendak mereka terhadap orang ramai.

Mengapa Anwar gagal dikuburkan? - MSTAR ONLINE

27-08-2008 07:45:42 PM
Oleh G. MANIMARAN

(ANALISIS): "Kita Menang, We Won". Begitulah tajuk kenyataan akhbar yang dipaparkan dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tengah malam tadi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu awal pagi tadi telah menuju ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan susulan melangkah ke Parlimen esok - premis yang beliau tinggalkan 10 tahun lalu. Majlis angkat sumpah dijadual berlangsung pagi esok.

Sehingga September 1998 beliau berada di kerusi nombor dua barisan hadapan di bahagian blok kerajaan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bertentang mata dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng.

Esok, kedudukan Anwar akan berubah di Dewan Rakyat yang landskapnya lebih meriah dan ceria berbanding satu dekad lalu.

Beliau pula akan mengetuai barisan pembangkang - bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan itu masih berada di Parlimen, tetapi Anwar akan mengepalai mereka di Parlimen bertentang mata dengan barisan kerajaan. Inilah politik! Tiada sesuatu yang kekal dalam arena politik negara.

Perkara ini juga seringkali disentuh oleh Anwar ketika ceramah kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. "Pada 26 Ogos kita menang, insya-Allah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sudah bersetuju untuk melantik saya menjadi Ketua Pembangkang dan 28 Ogos saya masuk Parlimen, 29 Ogos Perdana Menteri membentangkan Bajet (2009), saya akan duduk bertentangan mata dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya akan duduk tengok, tak tutup mata... ," kata Anwar dalam beberapa ceramah yang diikuti sepanjang 10 hari kempen di Permatang Pauh. Pasti beliau telah mengulangi perkara yang sama dalam ceramahnya yang tidak sempat dijejaki.

Berdasarkan tinjauan mStar Online yang dibuat, Anwar khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun melakukan kerja-kerja asas bagi memastikan beliau kembali ke Parlimen dari dulu lagi. Maklumat yang diperoleh menunjukkan Anwar sudah pun merancang untuk kembali bertanding di Permatang Pauh selepas beliau keluar penjara empat tahun lalu.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada salah satu ceramahnya minggu lalu, Anwar ada menyebut bahawa isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sudah pun meminta yang beliau harus bertanding semula di Permatang Pauh.

Jadi, ia menunjukkan Dr. Wan Azizah hanya menjadi "penjaga" atau "caretaker" kerusi berkenaan yang disandang Anwar dari 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Larangan tidak boleh memegang jawatan politik dan bertanding telah membataskan beliau daripada bertanding sehingga April lalu. Pilihan raya umum diadakan 8 Mac, lima minggu lebih awal sebelum larangan itu berakhir.

Strategi untuk Anwar bertanding dan memenangi kerusi berkenaan telah disusun rapi sejak setahun lalu sebagai tambahan apa yang telah dibuat sejak April 2004. Pendek kata langkah untuk membolehkan Anwar kembali sebagai Ahli Parlimen telah dilakukan dengan terperinci dan tersusun. Pemerhatian ke pusat-pusat operasi PKR juga menunjukkan situasi tersebut.

----------------------------------------------------------------------------
JADUAL KEPUTUSAN


Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) : 31,195 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258
Keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail (PKR)
Undi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi

----------------------------------------------------------------------------

Kedua, modal politik bahawa Permatang Pauh memerlukan anak tempatan juga tidak dapat mengatasi bakal kemenangan Anwar. Umno Permatang Pauh sejak awal lagi menekankan pihaknya mahu anak tempatan diberi peluang untuk menjadi calon kali ini.

Mengambil kira Anwar juga dilihat sebagai anak tempatan, walaupun lahir di kawasan Cherok Tok Kun, kelebihan faktor anak tempatan tidak membantu calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah disumbangkan dengan undi dalam jumlah yang banyak.
Sebagaimana dikatakan tadi, Anwar juga seringkali menyebut "ini kawasan saya, jangan datang ke sini kata nak kuburkan saya." Salah satu kain rentang di kawasan Mengkuang, berhampiran kawasan Pusat Penjumlahan Undi, menyebut "Ini Wilayah Anwar Ibrahim".

Ketiga, persepsi personaliti yang telah berjaya dibentuk oleh Anwar dan pasukan strategi pilihan raya sepanjang empat bulan yang lalu menjadi faktor penentu kemenangan besar Anwar.

Di peringkat nasional Anwar telah digambarkan sebagai pemimpin negara, bukan lagi sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh semata-mata. Perkara ini telah ditekankan di Permatang Pauh sejak sebelum hari penamaan calon. Pastinya ia telah disemai lebih awal lagi. Pencabar terdekat beliau, Arif Shah juga seorang pemimpin yang kerja kuat tetapi beliau tidak berupaya untuk mengatasi persepsi disusun Anwar - "Harapan Baru Untuk Malaysia". Sama ada orang percaya pada persepsi itu ataupun sebaliknya, sama ada mereka yakin ataupun sebaliknya, pengundi-pengundi Permatang Pauh memberikan undi kerana persepsi ini. Sepatutnya Umno menggunakan platform peralihan kuasa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 2010 sebagai asas untuk meraih undi!

Penduduk Permatang Pauh sudah diberikan satu gambaran undi kepada Anwar bukan setakat memilih seorang Ahli Parlimen tetapi memberi undi untuk mengetuai kerajaan baru yang disebut-sebutkan oleh Anwar sejak selepas pilihan raya umum ke-12. DAP menggunakan moto "beri satu undi, anda dapat dua undi" yang merujuk kepada dua jawatan iaitu kerusi Ahli Parlimen dan juga jawatan yang lebih tinggi - yang dimaksudkan ialah kedudukan Perdana Menteri.

Anwar menyasarkan 16 September ini sebagai tarikh membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan. Selepas kemenangan malam tadi beliau masih mengulangi sasaran tersebut.

Tanggapan sedemikian telah memikat pengundi untuk terus mengekalkan Anwar meskipun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turun sendiri gelanggang dan menyenaraikan janji pembangunan dan bantuan yang bakal diberikan kepada penduduk Permatang Pauh.

Di sebalik persepsi itu, Anwar pula telah menggunakan isu-isu nasional semasa, yang utamanya ialah kesan kenaikan harga minyak yang berkait rapat dengan kehidupan seharian, untuk meraih sokongan. Arif Shah menggunakan isu bersifat lokal yang gagal menarik perhatian banyak pihak khususnya pengundi dari Dewan Undangan Negeri Penanti dan Permatang Pasir yang masih-masih merupakan kubu PKR dan PAS. Hampir 90 peratus kawasan itu bergerak kepada Anwar.

Keempat, Pakatan Rakyat telah memperlihatkan kerjasama praktikal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil ini, yang secara kebetulan diadakan di negeri yang kini dikuasai pembangkang. Walaupun pembangkang juga menunjukkan kecacatan hubungan dan kerjasama tetapi ia tidak mampu untuk menghalang kemenangan Anwar. Masing-masing parti mengetahui dan menyedari kelebihan dan kekurangan komponen Pakatan Rakyat tetapi ia dilupakan buat sementara waktu untuk menjayakan kemenangan. Malah ini masa bagi semua komponen Pakatan Rakyat untuk menunjukkan mereka mempunyai sumbangan dalam menentukan kejayaan Anwar dan ia penting dalam proses perundingan kuasa kelak jika Pakatan Rakyat mencapai sasaran 16 September.

Kelima, masalah dalaman Bahagian Umno Permatang Pauh, walaupun cuba dinafikan banyak pihak, tetapi telah menjadi kekuatan dan kelebihan kepada pembangkang untuk dieksploitasikan dalam bentuk undi. Malah ada yang mendakwa wujud sabotaj dalam Umno untuk menggagalkan Arif Shah daripada menang. Masalah dalaman ini membawa kepada kegagalan menyusun strategi dengan berkesan dengan menembusi kubu pembangkang, sebaliknya pembangkang memasuki beberapa kawasan dalam kubu Seberang Jaya yang dipimpin wakil rakyat Umno iaitu Arif Shah.

Keenam ialah isu liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak membantu menghakis populariti Anwar. Sebaliknya sentimen 1998/99 masih berulang di Permatang Pauh. Isu itu menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa orang ramai. Anwar mendapat undi simpati tambahan kali ini.

Empat hari sebelum pengundian Arif Shah yang ditemui mStar Online menafikan dakwaan jentera Anwar bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menang selesa dengan majoriti 15,000 undi. Apabila diaju soalan itu kata beliau: "Saya tidak fikir begitu."

Kata beliau, kini (sehingga hari itu) sokongan kepada beliau dan BN sedang melalui arah aliran peningkatan. "Kini (Jumaat lalu) sokongan kepada saya sudah melepasi 41 peratus walaupun beberapa hari yang lalu ada penurunan sedikit dan saya pasti ia akan meningkat dalam sehari dua ini, tidak mustahil untuk memperoleh lebih 50 peratus," katanya.

Pada hari yang sama Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim berkata, "kami tidak bercakap mengenai angka (tahap peratusan), tetapi campur tolak kemungkinan akan memperoleh majoriti yang baik (berbanding 8 Mac)."
Jentera Anwar telah meletakkan sasaran awal untuk memperoleh majoriti 20,000 undi.

Parlimen bahagian Permatang Pauh terdiri daripada 58,459 pemilih iaitu 40,619 orang atau 69.49% merupakan pengundi Melayu, Cina (14,360; 24.56%), India (3,390; 5.79%) dan lain-lain (280; 0.13%).

Anwar turun gelanggang dengan banyak kelebihan. Hakikatnya BN memahami aspek ini. Kerana kelebihan itu beliau sanggup bertanding lebih-lebih lagi Permatang Pauh, tidak di tempat lain ketika berhadapan dengan isu liwat.

Kelebihan-kelebihan ini telah menggagalkan misi untuk mengkuburkan Anwar di Permatang Pauh.

Jakim: Ramlang boleh dikena tindakan tatatertib - MSTAR ONLINE

27-08-2008 12:14:36 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi (gambar) boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kempen pilihan raya Permatang Pauh yang berakhir semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata penjawat awam yang terlibat dengan program kempen pilihan raya adalah bercanggah dengan peraturan kerajaan.

"Bagaimanapun Jakim akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penglibatan beliau dalam perkara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dua hari lalu Ramlang yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul memberi kejutan dengan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Ramlang muncul di Masjid Perda di Permatang Pauh yang turut dihadiri Anwar juga mendedahkan bahawa beliau 'dipaksa' menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful.

Wan Mohamad menjelaskan Jakim akan menggunakan prosedur biasa untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi membantu siasatan.

"Kita juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada imam berkenaan.

"Kalau ada bukti yang menunjukkan beliau terlibat secara langsung kita rujuk dengan lembaga disiplin," katanya.

Ditanya kemungkinan perkhidmatan Ramlang akan ditamtkan atau ditukarkan, beliau enggan mengulas lanjut.

"Kita perlu tunggu keputusan lembaga disiplin sama ada kes ini berat atau ringan," katanya.

Ramlang dilantik oleh Jakim sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Abdullah dan Najib punca BN tewas - Ku Li -HARAKAHDAILY

Irwan Muhammad Zain
Wed | Aug 27, 08 | 1:04:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) -Selepas mengalami kekalahan dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, Umno terus bergolak dan mengalami keretakan yang serius.

Di kalangan pemimpin mereka saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain akibat dari kekalahan itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberikan alasan kelemahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil tersebut.

Bekas Presiden parti Semangat 46 dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebaik saja keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan berkata, cebisan-cebisan kredibiliti Perdana Menteri dan Timbalannya yang berbaki selepas 8 Mac kini hilang semuanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kepimpinan Umno bukan hanya ditolak oleh rakyat tetapi turut ditolak oleh ahli Umno sendiri di mana jumlah undi yang diterima oleh calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah adalah jauh lebih rendah berbanding keahlian Umno di kawasan tersebut.

Selain itu katanya, punca kekalahan itu juga disebabkan oleh jentera kempen BN terlalu lemah berbanding Pakatan Rakyat yang penuh motivasi.

Kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim katanya merupakan isyarat jelas kepada Abdullah selaku Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Pengerusi BN bahawa Perdana Menteri itu tidak mempunyai kredibiliti untuk terus mentadbir negara.

Lebih teruk lagi kata beliau, situasi ini amat merbahaya kepada negara dan tidak boleh diteruskan kerana Abdullah tidak mempunyai kredibiliti yang diperlukan bagi mengekalkan kestabilan negara.

Beliau seterusnya menyeru agar ahli-ahli Umno bersatu hati menuntut perubahan dalam pucuk pimpinan parti itu. - mks. _

Arif Shah tidak bertanding Ketua Bahagian Permatang Pauh - UTUSAN

27/08/2008 6:28pm

BUKIT MERTAJAM 27 Ogos – Bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah hari ini mengumumkan pendiriannya tidak akan bertanding dalam pemilihan jawatan ketua bahagian itu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun Arif Shah tidak menjelaskan alasan mengapa beliau berbuat demikian sebaliknya hanya berkata beliau tidak mahu mengganggu proses pemilihan ketua bahagian.

``Saya tidak mahu ganggu proses pemilihan UMNO kali ini. Oleh itu, saya mengumumkan tidak akan bertanding sama ada jawatan ketua bahagian atau jawatan lain,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini. - Utusan.

Hujan Lebat Lebih Tiga Jam Menyebabkan Kesesakan Teruk Di Kuala Lumpur - BERNAMA

27 Ogos, 2008 21:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Hujan lebat lebih tiga jam sejak pukul 3 petang, menyebabkan kesesakan teruk dan banjir kilat di kebanyakan kawasan di bandaraya ini.

Kebanyakan jalan utama terjejas termasuk Jalan Mahameru, Bangsar, Jalan Tun Perak, Cheras, Jalan Sg Besi, Jalan Ampang dan Jalan Kuching.

Kesesakan jalan raya yang teruk juga dilapor berlaku di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya KL-Seremban, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak dan Puduraya.

Jurucakap bilik operasi banjir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata paras air di Sungai Klang dan Sungai Gombak meningkat kira-kira dua meter dalam masa kira-kira sejam selepas hujan.

"Kami mula menerima panggilan pada pukul 3 petang daripada orang ramai yang melaporkan mengenai banjir kilat dan kami telah menghantar pasukan kami ke kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, jurcakap bilik kawalan Trafik Jalan Bandar berkata anggota polis trafik ditugaskan di kawasan terlibat bagi mengawal keadaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah pula berkata anggota bomba dan penyelamat dihantar ke kawasan yang terjejas untuk mengepam air keluar.

Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Pahang mendapati berpuluh-puluh bas penumpang dan kenderaaan terkandas sepanjang Jalan Tun Razak, terutama berhampiran hentian bas Pekeliling menuju ke pusat bandar.

Muhammad Jamal Abdullah, 35, seorang pengguna yang terkandas dalam kesesakan itu berkata kesesakan teruk seumpama itu berikutan hujan lebat adalah perkara biasa.

"Saya tersekat di sini selama sejam dan kenderaan bergerak sangat perlahan. Saya rasa pihak berkuasa berkenaan perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Ini bukanlah kali pertama," katanya.

-- BERNAMA

Berita Kemenangan Anwar Turut Dapat Perhatian Akhbar Indonesia - BERNAMA

27 Ogos, 2008 14:40 PM

JAKARTA, 27 Ogos (Bernama) -- Berita mengenai kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh malam tadi turut disiarkan oleh akhbar-akhbar utama di sini, termasuk Media Indonesia yang menyiarkannya di muka depan hari ini.

Mengiringi berita muka depan itu, Media Indonesia menyiarkan gambar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang bersongkok tersenyum dan mengangkat ibu jari ketika sedang memasukkan kertas undi ke dalam peti undi.

Dengan memetik laporan agensi berita asing, akhbar itu menyebut, "Kemenangan ini membuatnya kembali ke Parlimen. Jalan menuju kerusi perdana menteri pun semakin terbuka."

Akhbar Republika pula menyiarkan ringkasan di muka depannya di bawah tajuk 'Umno: Kami Kalah' dan beritanya di halaman 11 pula memetik pengakuan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai berkata: "Ya, tentu saja kami kalah. Kami memang 'underdog' dalam pertarungan ini."

Muhammad juga dilaporkan menyangkal kemungkinan Anwar untuk mengambil alih pemerintahan sekarang kerana jika pembangkang ingin membentuk kerajaan mereka harus mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas memperolehi hanya 92 undi.

Akhbar Kompas yang memetik laporan agensi-agensi berita asing, turut menyiarkan berita kemenangan Anwar di muka sembilannya beserta kronologi Anwar bermula dari pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

-- BERNAMA

Anwar Ibrahim Angkat Sumpah Sebagai Anggota Parlimen Esok - BERNAMA

27 Ogos, 2008 10:55 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen esok, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin mengumumkan perkara itu sebelum memulakan sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

"Keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dah pun keluar dan keputusannya berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi beliau akan mengangkat sumpah esok," katanya.

Beliau berkata segala urusan angkat sumpah dan aturan mesyuarat akan dimaklumkan kepada dewan kemudian.

PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.

Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas mendapat hanya 92 undi.

Sebanyak 447 undi rosak.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...