Showing posts with label Utusan. Show all posts
Showing posts with label Utusan. Show all posts

Friday, October 14, 2011

Sultan Kedah diisytihar Yang di-Pertuan Agong yang baru


KUALA LUMPuR 14 Okt - Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuat kuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini. — Bernama

Wednesday, September 28, 2011

Facebook hina Agong: SKMM ambil tindakan


KUALA LUMPUR 28 Sept. — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman web sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran ‘Makcik Hajjah Siti Al-Wuzara’.

Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Rais kepada pemberita di sini hari ini.

"Maklumat mengenai keluarganya sudah diperolehi dan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu,” katanya, sambil menambah identiti individu berkenaan dikenal pasti dengan bantuan pihak berkuasa.

Menteri itu berkata oleh kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana ‘berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa’.

Bagaimanapun, Rais berkata, SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.


Menurutnya, individu terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang jika dia pulang ke tanah air. — Bernama

Saturday, September 3, 2011

Jurukamera BernamaTV maut


Allahyarham Noramfaizul

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, malam ini.

Wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersil untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.

Khairulanuar seperti dipetik oleh Bernama berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Sementara itu, menurut wartawan Utusan Malaysia, Metra Syahril Mohamed yang mengikuti misi kemanusian tersebut ketika dihubungi lewat malam tadi memberitahu, selain jurukamera
BernamaTV, jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan juga terkena tembakan dan cedera di bahu.

Menurut Metra, mereka ditembak oleh pihak yang tidak diketahui yang dipercayai menyasarkan tentera Kesatuan Afrika (AU).

Tambahnya, kesemua wakil media diarahkan untuk mengemas pakaian dan barang keperluan masing-masing.

Kesemua wakil media yang menyertai misi tersebut pada 28 Ogos lalu dijangka pulang ke tanah air pada 8 September ini dan kemungkinan akan pulang lebih awal malam ini atau esok pagi (waktu tempatan).

Tuesday, August 16, 2011

Genting beri ganjaran besar kepada pengarah pada 2010


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Genting Bhd. menerajui senarai pembayaran besar sebanyak RM111.48 juta kepada lembaganya, naik 21 peratus daripada RM92.11 juta sebelumnya.

Syarikat itu juga mempunyai ganjaran tertinggi antara RM106.65 juta hingga RM106.70 juta bagi seorang pengarah tunggal, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menamakan siapa pengarah tersebut.

Eksekutif atasan yang tersenarai ialah pengerusi eksekutif merangkap ketua eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.

Menurut kaji selidik tahunan “Pengarah Yang Dibayar Paling Tinggi” majalah perniagaan itu, syarikat tersenarai membayar ganjaran besar kepada pengarah mereka tahun lepas berbanding 2009 susulan keadaan persekitaran ekonomi yang bertambah baik.

Bagaimanapun, sesetengah syarikat mengurangkan ganjaran kepada lembaga pengarah mereka tahun lepas, termasuk CIMB Group Holdings Bhd.

Bank kedua terbesar itu membayar RM18.51 juta atau kurang 13 peratus kepada ahli lembaganya dan ganjaran rendah kepada pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.

Beliau menerima RM12 juta tahun lepas berbanding RM14.5 juta pada 2009.
IOI Corporation Bhd berada di tempat kedua dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.29 juta, kata Malaysian Business.

Sementara itu, dengan tiga syarikat — YTL Corp, YTL Power International dan YTL Cement — Tan Sri Yeoh Tiong Lay menerima gabungan ganjaran sebanyak RM13.10 juta.

Apa yang menarik, daripada 630 syarikat, 95 syarikat dengan kerugian besar masih memberi ganjaran kepada pengarah mereka dengan pembayaran yang tinggi.

Kaji selidik itu menyenaraikan sejumlah 630 syarikat dengan ganjaran sebanyak RM300,000 ke atas seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.

Daripada jumlah ini, hanya sebilangan kecil syarikat yang telus dalam menyatakan ganjaran sebenar kepada eksekutif-eksekutif utama mereka. - Bernama

Tuesday, August 9, 2011

Kakitangan awam dapat bonus raya

PUTRAJAYA: Sebanyak 1.27 juta kakitangan awam akan mendapat duit raya apabila kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang dibayar pada pertengahan bulan ini. 

Selain itu, kerajaan mengumumkan berita gembira untuk 590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500.

Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Pembayaran bonus dan Bayaran Khas Kewangan itu membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.


“Kerajaan berharap ia meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan serta membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. 

Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” katanya.

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 30 Ogos ini. Ini adalah kali ketiga berturut-turut penjawat awam dan pesara mendapat duit raya. Pada tahun lalu dan 2009, kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada kedua-dua kumpulan itu sebelum 1 Syawal.

Kali terakhir kerajaan membayar bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam adalah pada September dan Disember 2008. 

Sementara itu, Najib yang bercuti sejak 1 Ogos lalu selepas menjalani pembedahan ‘Arthoscopic’ di lutut kiri memulakan tugasnya pagi semalam.

Beliau yang tiba di pejabatnya di bangunan Perdana Putra kira-kira jam 9.40 pagi kelihatan ceria dan sihat sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dibenarkan bertugas selepas doktor berpuas hati dengan proses penyembuhannya.

Kecederaan lama Perdana Menteri berulang selepas menendang bola ketika merasmikan pertandingan futsal di Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya pada Mei lalu. Bagaimanapun, doktor menasihatkan beliau mengehadkan aktiviti harian pada waktu ini sehingga pulih sepenuhnya.

Selain melaksanakan tugas pejabatnya, Perdana Menteri hadir pada majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet di kediaman rasminya di Seri Perdana petang semalam. 

Monday, August 8, 2011

Tanah runtuh: 7 maut, 2 cedera


KUALA LUMPUR 8 Ogos - Operasi menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands ditamatkan pada jam 1.30 pagi tadi apabila tiga mayat terakhir berjaya dikeluarkan menjadikan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu seramai tujuh orang semuanya dan dua mangsa yang cedera.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang semalam itu, tiga buah rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya manakala dua lagi rumah berdekatan mengalami kerosakan kecil. - Utusan

Thursday, August 4, 2011

JPN: Tiada rakyat asing dapat kewarganegaraan pintas


KUALA LUMPUR 4 Ogos — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang rakyat asing bernama Mismah telah diberi taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam setelah mendapat taraf Penduduk Tetap.

Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said dalam kenyataan di sini berkata, mengikut rekod, Mismah telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982 dan diluluskan taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Jan 2011.


Beliau berkata, kewarganegaraan Malaysia itu diberi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu warga asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.

Jariah berkata, sejak 9 April 2009 hingga 1 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menimbang sebanyak 72,334 pemohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, dan sebanyak 29,290 daripada jumlah itu telah diluluskan.


Angka itu merupakan sebahagian 219,000 permohonan yang telah berjaya diselesaikan kementerian itu.

Kes lain termasuk 31,449 permohonan untuk Penduduk Tetap, 108,906 permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan 6,311 permohonan di bawah program My-Daftar. — Bernama

Keratan anggota badan manusia ditemui


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Badan manusia yang dikerat kepada beberapa bahagian dijumpai dalam dua beg plastik di Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang dekat sini semalam.

Beg plastik yang mengandungi keratan tangan dan kaki itu ditemui di atas siling tandas sebuah unit pangsapuri yang tidak dihuni sejak 10 tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, polis bergegas ke pangsapuri berkenaan selepas menerima aduan penduduk yang menemui kaki kiri manusia di anjung pangsapuri itu pada pukul 2 petang.

"Bahagian badan manusia itu dipercayai dipotong dengan objek tajam sebelum dibungkus dengan plastik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut di pangsapuri itu, polis dengan dibantu Unit Patalogi Hospital Ampang menemui usus dan perut manusia dalam mangkuk tandas dalam unit itu.
Polis menemui bahagian lain tubuh manusia yang telah dipotong di atas siling bilik air berkenaan, katanya.

Amiruddin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa, yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lepas. - Bernama

Wednesday, August 3, 2011

Surat cuti tanpa gaji ditarik balik, bayar gaji minimum

PUTRAJAYA 3 Ogos – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam hari ini memberi jaminan kepada lebih 400 pekerja Dawama Sdn Bhd (Dawama) bahawa mereka masih terikat dengan syarikat percetakan itu dan surat cuti tanpa gaji yang dikeluarkan kepada mereka ditarik balik.

Beliau berkata, ini kerana tindakan Dawama yang mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji adalah tidak sah di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, Dawama dinasihatkan melakukan pemberhentian sementara dengan perlu membayar gaji minimum sebanyak 12 hari sebulan sementara melakukan penstrukturan semula syarikat itu.

Pekerja yang terbabit pula boleh bekerja di tempat lain sehingga kemelut syarikat itu selesai kelak, katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.

""Di dalam perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheik Mohd, Dawama bersetuju membayar gaji minimum sebanyak 12 hari bagi sebulan sehingga syarikat itu meneruskan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menstruktur semula dan memulihkan pernigaan,” katanya. – Bernama

Saturday, July 30, 2011

Palanivel dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden MIC G. Palanivel selepas beliau mengumumkan perlantikan Palanivel sebagai menteri penuh diperhatikan oleh S. Samy Vellu (kanan) di Perhimpunan Agung MIC ke 65 di PICC di Putrajaya semalam. Utusan/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 30 Julai — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

"Sekarang MIC perlu melakukan tugasnya dengan baik dan kami (kerajaan) boleh melakukannya dengan baik untuk menunjukkan keikhlasan kami. Selaras dengan komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat India, saya mengusulkan untuk menjadikan G.Palanivel sebagai menteri penuh,” katanya.

Sebelum ini, Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lepas. Pada pilihan raya umum Mac 2008, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. — Bernama

Lelaki gagal tukar nama kepada perempuan meninggal dunia

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya, beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam beliau berkata, doktor mengesahkan anaknya mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ”unstable angina with cardiogenic shock”.

Katanya, Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. – Bernama

Friday, July 8, 2011

Perhimpunan BERSIH: 58 jalan sekitar KL ditutup, dilencong

KUALA LUMPUR 8 Julai – Berikut adalah 58 jalan yang ditutup atau dilencongkan sepanjang perhimpunan haram Bersih esok:
1. Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur/Istana Baru
2. Jalan Sungai Besi/susur bulatan Sungai Besi dari arah Seremban
3. Bulatan Sungai Besi
4. Jalan Sungai Besi/Bulatan Pudu
5. Bulatan Pudu/Jalan Pudu
6. Bulatan Pudu/Jalan Pasar
7. Jalan Kajang/Bulatan Sungai Besi
8. Jalan Chan Sow Lin/Jalan Tun Razak
9. Jalan Cochrane/Jalan Tun Razak (Jalan Pasar)
10. Jalan Tun Razak/Kondo Ezora
11. Kondo Ezora/susur Jalan Sultan Ismail, Jalan Imbi
12. Bulatan Kampung Pandan
13. Jalan Selatan
14. Susur Jalan Tun Razak/Bukit Bintang
15. Lampu isyarat Jalan Tun Razak/Jalan Bukit Bintang
16. Jalan Kampung Pandan/persimpangan bertingkat ke PD 92
17. Jalan Tun Razak/Jalan Kia Peng
18. Jalan Tun Razak/Jalan Eaton
19. Jalan Tun Razak/Persiaran Stonor
20. Jalan Tun Razak/Lorong Kuda
21. Jalan Tun Razak/susur Jalan Ampang (Esso)
22. Jalan Tun Razak/Jalan Ampang
23. Jalan Tun Razak/Megan Phileo
24. Jalan Tun Razak/Jalan Yap Kwan Seng
25. Jalan Tun Razak/Terowong KLCC
26. Jalan Tun Razak/Perkeso
27. Jalan Tun Razak/Jalan Raja Muda Abdul Aziz
28. Jalan Tun Razak/Parking IJN
29. Jalan Tun Razak/Bangunan IJN Baru
30. Jalan Tun Razak/Padang Bola HKL
31. Susur Tun Razak/Bulatan Pahang
32. Bulatan Pahang
33. Jalan Genting Klang/terowong Bulatan Pahang
34. Jalan Pekeliling/Stesen Bas Pekeliling
35. Susur Pekeliling/Jalan Ipoh
36. Jalan Ipoh/Jalan Rahmat
37. Jalan Tun Razak/Jalan Tun Ismail
38. Jalan Tun Razak/susur Jalan Kuching
39. Jalan Tun Razak/susur PWTC (Sekolah Maxwell)
40. Jalan Tun Ismail/susur Jalan Kuching (susur Kiblat)
41. Jalan Tun Ismail/Jalan Putra
42. Jalan Putra/Jalan Raja Laut
43. Jalan Pahang/Jalan Raja Muda Abdul Aziz/Jalan Tuanku Abdul Rahman
44. Jalan Mahameru/susur Parlimen
45. Jalan Duta / Susur Jalan Parlimen
46. Jalan Mahameru / Susur Parlimen (Muzium Negara)
47. Jalan Mahameru/susur Wisma Tani
48. Jejambat Wisma Tani
49. Jalan Mahameru/susur Carcosa
50. Susur Jalan Damansara/Jalan Travers
51. Jalan Bangsar/Jalan Travers
52. Jalan Travers/Jalan Damansara (Balai Travers Lama)
53. Jalan Kl Sentral/Muzium Negara
54. Jalan Klang Lama/Lebuh Raya Persekutuan
55. Jalan Klang Lama/Salak Expressway (pusingan U)
56. Lebuh Raya Persekutuan/Jalan Syed Putra
57. Susur Jalan Tun Sambanthan/Jalan Sulaiman
58. Jalan Sulaiman (KTM) – Utusan

Wednesday, July 6, 2011

Anak Sosilawati sebak beri keterangan

SHAH ALAM 5 Julai - Anak ketiga Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini tidak dapat menahan sebak apabila ditunjukkan gambar ibunya untuk tujuan pengecaman.

Saksi pendakwaan ke-11 itu juga sempat memandang tajam ke arah empat tertuduh yang didakwa membunuh Sosilawati semasa berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Erni, 22, memberitahu, dia mengenali Kamarudin Shamsudin yang merupakan pembantu peribadi merangkap pemandu ibunya selain menyifatkan lelaki itu merupakan seorang yang baik, suka berjenaka dan mengambil berat.

Dia juga mengesahkan membuat dua laporan polis pada 31 Ogos dan 2 September tahun lalu berhubung kehilangan Sosilawati selepas disuruh oleh kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana yang mengambil tanggungjawab menjaga adik-beradik mereka yang lain ketika itu.

Sementara itu, guru di sebuah sekolah rendah di Kuala Lipis, Pahang, Khairul Izwan Ismail, 30, pula memberitahu, dia menerima panggilan daripada Kamarudin yang merupakan bapa saudaranya pada pukul 5 petang, 30 Ogos 2010.

Katanya, dia dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan akan singgah bermalam di rumah bapa saudaranya itu pada hari tersebut.
'
'Dia hendak tahu di mana lokasi saya dan menyuruh saya menelefonnya apabila sampai di Kuala Lumpur. Saya ada bergurau dan sempat bertanya dia berada di mana, dia kata berada di Banting,'' jelas saksi.

Kakak Kamarudin, Zaidah Shamsudin, 52, yang turut memberi keterangan pula mengesahkan membuat laporan polis berhubung kehilangan adiknya selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 2 September tahun lalu.

Gelagat saksi 'warnai' perbicaraan

Anak mangsa, Erni Erinawati Sofia (kiri) ditemani Erni Dekritawati Yuliana (kanan) hadir pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

SHAH ALAM 5 Julai - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada hari kedua di Mahkamah Tinggi di sini hari ini boleh dikatakan agak menarik terutamanya ketika sesi soal balas oleh barisan pembelaan.

Antara saksi pendakwaan yang menarik perhatian ialah jurugambar dari Cawangan Foto Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat, Lans Koperal Mohd. Fairol Awad dan bekas juruwang Fazz Enterprise Sdn. Bhd., Zurayina Jemaat.

Fazz Enterprise merupakan tempat Sosilawati dan pemandunya, Kamarudin Shamsudin dilihat membeli pelbagai jenis kerepek dan kuih raya sebelum hilang.

Mohd. Fairol yang merupakan saksi pendakwa keenam yang pada mulanya kelihatan tenang ketika pemeriksaan utama dilihat 'hilang ingatan' terutamanya ketika disoal oleh peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon dan Amer Hamzah Arshad.

Ini kerana, sepanjang sesi soal balas, saksi tersebut dilihat banyak mendiamkan diri seolah-olah sedang memikirkan sesuatu sehingga Manjeet pada satu ketika terlupa akan soalannya sendiri kerana terlalu lama menunggu.

Saksi berkenaan juga menjawab 'tak ingat' sebanyak lapan kali sepanjang sesi soal balas.
Amer Hamzah pula akibat terlalu lama menunggu jawapan, mengulangi soalan beberapa kali sehinggakan soalannya yang terakhir berhubung individu yang bertanggungjawab memilih gambar-gambar sebagai bukti di mahkamah turut disertakan dengan pilihan jawapan.

''Soalan saya senang sahaja. Siapa pegawai yang beri arahan tentang pemilihan gambar? Ini saya bagi pilihan jawapan: (A) Cif Inspektor Govindan. (B) Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob. (C) DPP (Timbalan Pendakwa Raya) Ishak. (D) Tiada di atas,'' ujarnya.

Tindakan peguam yang mewakili tertuduh ketiga, R. Matan, 21, dalam kes itu memasukkan nama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dalam pilihan jawapan itu membuatkan Ishak terkejut dan secara spontan berkata ''Eh, apa pula ni?''

Reaksi tersebut menyebabkan mereka yang hadir termasuk Hakim Datuk Akhtar Tahir tertawa.
Amer Hamzah sekali lagi menarik perhatian apabila beliau 'mengagumi' saksi pendakwa ketujuh, Zurayina, 27, yang disifatkan seorang pekerja yang rajin, tidak curi tulang dan suri rumah yang baik sehingga tidak ada masa untuk membaca akhbar mahupun menonton televisyen kecuali pada hari cuti.

Sedangkan saksi itu pada pemeriksaan utama oleh pendakwa raya menyatakan dia mengenali Sosilawati melalui majalah Wanita yang dibacanya antara dua hingga tiga kali seminggu.

''Saya cadangkan pada awak, apa yang awak tahu tentang kereta yang dibawa oleh Datuk Sosilawati adalah melalui media. Sebab awak tidak keluar dari kedai, awak ada di bahagian belakang kedai. Awak tidak nampak Datuk Sosilawati tiba dan meninggalkan kedai,'' tegas peguam itu.

''Saya tak baca apa-apa. Masa kerja mana boleh baca apa-apa. Balik rumah saya uruskan hal rumah tangga, hal anak-anak, masak. Tak ada tengok tv, tak baca surat khabar,'' jawab wanita terbabit yang agak kelihatan tidak senang dengan asakan Amer Hamzah.

Sementara itu, Manjeet yang sebelum ini agak tegas ketika menyoal balas saksi-saksi, dilihat menggunakan pendekatan yang lebih lembut ketika menyoal balas Suzana Radin Pangit, 39, iaitu isteri kepada pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad.

Peguam terbabit sebelum memulakan soal balas turut memohon maaf terlebih dahulu kepada wanita itu sekiranya ketika bertanyakan soalan dia merujuk kepada Noorhisham sebagai 'your late husband' (arwah suami awak) atau 'you missing husband' (suami awak yang hilang).

Beliau bagaimanapun tidak menggunakan mana-mana istilah itu sepanjang sesi soal balas.

Sikap Noorhisham berbeza – Isteri

SHAH ALAM 5 Julai – Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada tiga mangsa yang dibunuh bersama-sama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu bahawa suaminya itu enggan menyatakan di mana dia berada pada pukul 8 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Suzana Radin Pangat, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, suaminya juga kedengaran seperti sedang tergesa-gesa apabila segera mematikan talian telefon tanpa memberitahu lokasi dia berbuka puasa serta juadah yang dimakan seperti 
kebiasaan semasa menghubunginya.

‘‘Saya tanya dia berbuka puasa di mana, dia tidak jawab. Tidak sempat cakap apa-apa, dia sudah matikan telefon.

‘‘Seperti biasa kalau dia telefon, saya akan tanya berbuka di mana dan makan apa. Saya tidak ingat berapa lama kami bercakap tetapi sekejap sangat.

‘‘Biasanya kalau telefon, dia juga akan cakap berada di mana. Tetapi pada hari kejadian, dia tidak beritahu, ia satu kelainan,’’ kata isteri kepada pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru itu.

Suzana yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff serta semasa disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Menurut saksi pendakwaan kelapan itu, beliau juga merasa marah apabila Noorhisham memberitahu tidak dapat pulang selama tiga hari untuk membantu menyelesaikan masalah Sosilawati ketika bercakap melalui telefon setengah jam sebelum suaminya dikatakan dibunuh.

Dia bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lima minit kemudian kepada Norhisham yang berbunyi: ‘Kenapa awak sanggup nak bantu orang lain tetapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari.’

Suzana mengakui, dia turut tidak menjawab panggilan telefon Noorhisham beberapa minit kemudian kerana sedang marah dan tidak dapat menerima tindakan suaminya pada ketika itu.

Dia hanya cuba menghubungi suaminya semula semasa bangun untuk bersahur pada pukul 3 pagi keesokan hari tetapi tidak berjaya.

‘‘Selepas berbuka puasa, suami telefon dan beritahu dia tidak boleh pulang tiga hari sebab ada hal. Saya tanya kenapa, dia kata hendak cuba selamatkan Sosilawati. Kamal (Kamaruddin) ugut Sosilawati sebab ada gambar tidak elok hendak disebarkan. Jadi dia dan Ahmad Kamil terpaksa bantu dalam hal ini.

‘‘Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf banyak-banyak dengan saya. Dia kata, dalam masa tiga hari, dia akan balik dan ceritakan segalanya. Bila saya tanya dia di mana dia tidak jawab dan terus matikan talian,’’ katanya sambil menangis.

Terdahulu, Suzana memberitahu, Noorhisham memakai baju korporat CIMB berwarna hijau dan memakai jam tangan jenama Longines hadiah daripada bank tersebut, semasa menghantarnya di pejabat pada pukul 8 pagi.

Jelas saksi, suaminya ketika itu memberitahu dia akan ke Banting pada waktu petang bersama-sama Ahmad Kamil atas urusan perniagaan Sosilawati.

Pada prosiding hari ini, Suzana turut mengecam jam tangan Longines dan telefon bimbit Blackberry Bold hitam kepunyaan suaminya. Perbicaraan bersambung esok.

Bandar Pusat Jengka jadi “Bandar Tun Abd Razak” Khamis ini

KUALA LUMPUR 5 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengisytiharkan Bandar Pusat Jengka, Pahang dikenali sebagai Bandar Tun Abdul Razak sempena dengan sambutan Hari Peneroka Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan majoriti penduduk di kawasan tersebut adalah kalangan warga Felda yang telah berusaha dan memajukan kawasan rancangan itu.

"Ia juga adalah selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bahawa selain membasmi kemiskinan... Felda juga ingin mewujudkan kawasan-kawasan bandar yang sebelum ini tidak pernah difikirkan setiap orang dan ia merupakan satu manifestasi.

"Selain Bandar Pusat Jengka, Pahang... kita juga sedia maklum bahawa Felda telah membangunkan beberapa bandar antaranya Felda Jaya Trolak, Perak, Felda Jaya Mempaga, Bentong, Pahang, Felda Jaya Raja Alias, Negeri Sembilan dan Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor.

“Ini membuktikan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak menjadikan kawasan pedalaman menjadi bandar melalui Felda, semakin memperlihatkan kemajuannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Bernama

Tottenham Hotspur pilih Malaysia sebagai pangkalan di Asia

PETALING JAYA 5 Julai - Malaysia dipilih sebagai pangkalan Kelab Liga Perdana England (EPL), Tottenham Hotspur dalam meningkatkan program pembangunan bola sepaknya di rantau Asia.

Duta kelab berkenaan, Gary Mabbutt berkata, program yang dijalankan dengan usaha sama syarikat Football Focus Asia itu, akan menggilap pemain bola sepak berpotensi di negara ini dan juga Asia.

"Menerusi program ekstensif ini, yang bakal membawa jurulatih Tottenham ke Malaysia, bola sepak akan dibangunkan setaraf standard EPL, dari peringkat akar umbi, bagi menjana kejayaan sukan berkenaan di Malaysia bagi tahun-tahun akan datang.

"Alangkah bagusnya jika kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia yang pertama beraksi dalam EPL dan bermain untuk Tottenham,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Tottenham Hotspur Membangunkan Bola Sepak Malaysia di sini hari ini. - Bernama

Sunday, June 26, 2011

8 lelaki pakai baju bertulis Bersih ditahan

KUALA LUMPUR 26 Jun — Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini pagi tadi kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis “Bersih 2.0” dalam tulisan jawi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.

"Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amiruddin berkata, kesemua mereka kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka.

Difahamkan kesemua mereka yang dipercayai penyokong parti pembangkang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi. - Bernama

Wednesday, June 1, 2011

Media Prima mungkin ambil alih Bernama TV

PETALING JAYA 1 Jun — Media Prima Bhd tidak menolak kemungkinan memiliki satu lagi stesen televisyen atau mengambil alih Bernama TV sebagai sebahagian daripada pelan pembesarannya.

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Dikongsi dan Rangkaian Televisyen, Datuk Kamal Khalid berkata, syarikat itu gembira jika dapat mengendalikan lebih banyak stesen televisyen.

"Tetapi, tanpa kemungkinan itu, kami akan cuba bekerjasama dengan syarikat lain seperti Telekom Malaysia Bhd untuk menggunakan kesemua kaedah penyampaian alternatif bagi menjangkau para pelanggan kami,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Emas Channel 104 di sini hari ini. - Bernama

Saturday, May 21, 2011

Lima kanak-kanak terperangkap dalam tanah runtuh

KUALA LUMPUR 21 Mei – Sebuah rumah anak yatim di Felda Semungkus, Batu 14, Hulu Langat, ditimbus runtuhan tanah yang dipercayai terletak di tebing sebuah bukit hari ini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kajang berkata, kejadian berlaku pukul 2.30 petang itu mungkin melibatkan lima mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam bangunan.

Katanya, setakat ini, tiga mangsa telah berjaya diselamatkan oleh pasukan tersebut dengan yang terakhir pada pukul 3.38 petang. – Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...