Wednesday, May 27, 2009

Krisis PPP: Perbalahan penyokong Kayveas, Murugiah berterusan

BEKAS Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan (kiri) dan bekas Bendahari Agung, S Muthu Lingam melihat dokumen perlembagaan parti pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. Mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Senator Datuk T Murugiah sebagai Presiden parti. --fotoTHE STAR oleh ONG SOON HIN

KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), S. Muthu Lingam mempertikaikan kesahihan dokumen yang dihantar oleh Presiden parti, Datuk M Kayveas ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwa hilang kerana disabotaj.

Muthu Lingam yang meletak jawatan Mei tahun lalu berkata, sepanjang menyandang jawatan Bendahari Agung, beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berkaitan kewangan parti.

Justeru beliau menyifatkan penyediaan dokumen oleh Kayveas yang dikatakan untuk melengkapkan laporan tahunan parti itu sejak tujuh tahun lalu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

"Selama empat tahun memegang jawatan itu bermula tahun 2004, saya belum pernah melihat sebarang dokumen serta akaun yang sah dihantar ke ROS.

"Lebih mendukacitakan, saya tidak dibenarkan sama sekali menyediakan atau melihat dokumen yang telah disediakan oleh Datuk Kayveas sebagai Presiden serta tidak pernah menandatangani sebarang cek atau penyata bank," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan; Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Dr N S Srivalli serta kira-kira 20 ahli yang lain.

Semalam, Kayveas berkata, pihaknya akan menghantar beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan tahunan parti itu ke pejabat ROS hari ini selepas mendapati terdapat kehilangan beberapa dokumen dari ROS, dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.

Muthu Lingam berkata, beliau telah beberapa kali mengutarakan rasa tidak puas hati berhubung tugas yang tidak dapat dilaksanakannya itu, namun Kayveas meminta beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan kewangan parti itu.

"Bukankah menjadi tugas Bendahari Agung menyediakan laporan (kewangan).

"Jawapan yang sering diberikan adalah, sebagai seorang Presiden, beliau (Kayveas) tahu apa yang patut dilakukan dan meminta saya agar tidak terlalu memasuki urusan kewangan PPP dan ini sekali gus bertentangan dengan peruntukan tugas seorang Bendahari Agung yang digariskan dalam perlembagaan parti," katanya.

Dalam sidang media yang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Senator T Murugiah sebagai Presiden itu, Muthu Lingam mencabar Kayveas supaya membuktikan kenyataan yang dibuat beliau hari ini tidak benar.

Sementara itu, Ellan berkata, beliau kesal dengan dakwaan Kayveas berhubung beberapa dokumen PPP yang hilang daripada ROS kerana kenyataan itu sekali gus seolah-olah mengatakan ROS tidak mempunyai prosedur dan kawalan keselamatan yang longgar.

Ellan yang digantung daripada PPP oleh Kayveas kerana menghadiri Perhimpunan Agung (EGM) Ahad lalu berkata, beliau kesal dengan kenyataan Kayveas dalam satu laporan akhbar yang mengatakan mereka ada berjumpa dan Ellan meminta digantikan bagi jawatan itu atas alasan sakit sedangkan pada hari yang sama, beliau telah digantung tugas.

"Saya ke Putrajaya pada Ahad lepas untuk menyokong EGM PPP bagi membolehkan Murugiah dipilih sebagai Presiden PPP setelah undi tidak percaya terhadap Kayveas dan bukannya memohon cuti," katanya.

Siswi saman UiTM selepas dicabul

Jimadie Shah Othman | May 27, 09 12:43pm

Seorang pelajar wanita mengambil tindakan undang-undang terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas dakwaan cuai susulan insiden mencabul kehormatan yang dialaminya tahun lalu.

Pelajar itu, 21, didakwa mengalami trauma yang serius sehingga menangguhkan pembelajaran selepas didatangi seorang lelaki di bilik mandi asrama di kampus itu menjelang subuh, 28 November lalu.

Dalam percubaan rogol itu, lelaki terbabit didakwa menyentuh bahagian sulit pelajar berkenaan, yang tidak didedahkan identitinya.

pas khalid samad pc on uitm student molested case 270509 01Pelajar kampus induk di Shah Alam itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan bergelut dan menjerit sekuat hati.

Identiti suspek, yang berselur pendek dan bercoli hitam ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi, tidak dapat dicam.

Siswi itu membuat aduan polis pada hari kejadian di balai polis Seksyen 6, Shah Alam.

Tindakan saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam melalui Hanipa Maidin, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, yang bertindak sebagai peguam pelajar berkenaan.

Dalam saman itu, UiTM sebagai defendan didakwa cuai menangani masalah keselamatan di universiti itu.

Hanipa berkata, jumlah ganti rugi yang dipohon tidak ditetapkan, sebaliknya pelajar itu menyerahkan kepada mahkamah bagi menentukannya.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menerima aduan ibu siswi berkenaan hadir bersama peguam itu dalam sidang media di Shah Alam pagi ini.

Siswi dan keluarganya bagaimanapun tidak hadir.

Menyifatkan tindakan siswi berkenaan sebagai jalan terakhir, Hanipa tetap berharap perkara itu boleh diselesaikan secara baik.

"Kita bawa ke mahkamah bukan untuk wang, tetapi kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi," katanya.

Katanya, pihaknya memohon penjelasan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM pada penghujung Januari lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Kita ingat hendak selesaikan secara baik, tetapi UiTM tidak memberikan sebarang respons," katanya.

Sementara itu, Khalid pula mempersoalkan sikap universiti berkenaan kerana "bertindak seolah-olah tidak bersalah" sedangkan menjadi tanggungjawabnya menjaga keselamatan pelajar.

"Bila perempuan itu menjerit pun masih tak ada orang keluar. Dan saya boleh katakan, hendak masuk (ke dalam universiti) pun mudah, hendak keluar pun mudah.

"(Mangsa) terpekik, terlolong macam itu pun tak ada apa-apa. Maksudnya, apa jenis keselamatan yang disediakan oleh universiti untuk menjaga pelajar?" katanya.

ROS siasat segera 'dua presiden' PPP

May 27, 09 4:20pm

Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan menyiasat segera status mesyuarat agung luar biasa PPP yang menimbulkan krisis dua presiden parti komponen BN itu.

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil dipetik berkata laporan siasatan akan diserahkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum mesyuarat agung PPP, 7 Jun ini.

Perdana menteri semalam mahu menyemak status PPP sebelum bersedia hadir merasmikan perhimpunan parti tersebut.

"Kita sedang siasat. Kena buat secepat mungkin. Seperti yang perdana menteri mahukan perkara itu diselesaikan dengan segera," katanya kepada Bernama hari ini.

Md Alias berkata pihaknya bukan sahaja perlu mengkaji daripada segi
undang-undang berhubung kemelut dalaman PPP itu tetapi juga perlu mendapatkan maklumat lain sebelum membuat keputusan.

Mengenai Presiden PPP Datuk M Kayveas yang mahu menemui ROS hari ini bagi menyerahkan beberapa dokumen mesyuarat tahunan parti yang hilang, Md Alias berkata beliau hanya tahu mengenainya di dalam akhbar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataannya semalam berhubung status Kayveas yang masih kekal presiden PPP dengan alasan telah memberi penjelasan terperinci.

Semalam, Md Alias berkata ketika ini Kayveas masih kekal presiden sah PPP selagi ROS belum membuat keputusan mengenai siasatan membabitkan dakwaan Kayveas dan penentangnya yang dipecat Datuk T Murugiah bahawa masing-masing presiden PPP.

Md Alias dipetik berkata, semua jawatan dalam PPP bersifat status quo dan tiada masalah bagi parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada awal bulan depan.

Ahad lepas, Murugiah yang juga timbalan nenteri di Jabatan Perdana Menteri dipilih sebagai presiden baru dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti yang diadakan di Putrajaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...