Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Friday, July 25, 2008

Mengesan surat Batu Puteh milik M'sia

Malaysia Kini
Jul 25, 08 2:12pm

Seorang ahli Persatuan Sejarah Negeri Johor sedang menjelajah ke seluruh negeri itu untuk mengesan sepucuk surat yang berusia 164 tahun yang membuktikan bahawa Batu Puteh adalah hak Malaysia.

Surat tersebut ditulis pada tahun 1844 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John Butterworth, kepada Sultan dan Temenggong Johor.

Surat tersebut begitu penting kerana ia bukan sahaja menyentuh permohonan pihak British untuk membina rumah api di Batu Puteh, tetapi ia turut membuktikan hak negara.

linggiu reservoir johor dam 280207 zaaba abdul samadZaaba Abdul Samad memulakan misinya itu sejak dua tahun lalu. Beliau telah menemui waris-waris keturunan Temenggong Muar yang masih tinggal di Muar dan Segamat serta waris keturunan Kesultanan Johor dengan harapan untuk mengesan surat tersebut.

"Saya turut menemui pelbagai individu yang mendakwa mereka mempunyai pelbagai dokumen bersejarah tetapi malangnya sehingga kini masih gagal menemui surat terbabit," katanya kepada Bernama.

Bulan lalu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan terus berusaha mencari bukti-bukti bagi membuktikan haknya terhadap Batu Puteh walaupun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei lalu memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak ke atas batuan tersebut.

Wisma Putra telahpun diarahkan supaya berusaha kembali untuk mengesan surat oleh Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1844 itu, dengan harapan penemuannya akan membantu Malaysia membuka semula kesnya terhadap Batu Puteh.

ICJ yang bersidang di The Hague, Belanda, turut memutuskan bahawa Malaysia berhak ke atas Terumbu Karang Tengah manakala hak terhadap Terumbu Karang Selatin pula akan ditentukan di mana perairannya terletak.

Usaha sukarela

pulau batu putih pulau batu puteh 230508Bagi Zaaba, walaupun usahanya selama ini belum menunjukkan sebarang hasil, tetapi ia tidak pernah melemahkan semangatnya daripada terus menjelajah ke
seluruh Johor untuk mengesan surat berkenaan.

Sambil menyifatkan usaha sukarelanya itu sebagai tidak lebih suatu tanggungjawab seorang rakyat kepada negaranya, beliau berkata, sehingga kini beliau belum terfikir untuk menamatkan inisiatifnya itu.

"Walaupun Batu Puteh itu hanya merupakan batuan yang terletak di tengah-tengah laut, tetapi ia adalah hak milik kita semua (rakyat Malaysia dan Johor) dan usaha perlu dilakukan untuk memastikan ia (Batu Puteh) kekal milik kita semua," katanya.

Zaaba berkata beliau sehingga kini masih lagi menerima maklumat daripada pelbagai sumber di Johor tentang dokumen-dokumen bersejarah termasuk surat pada 1844 yang dipegang oleh beberapa individu.

Bagaimanapun, menurut Zaaba, oleh kerana beberapa sebab tertentu, beliau menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa surat penting 1844 oleh Gabenor Butterworth yang beribu pejabat di Singapura pada ketika itu, masih disimpan di republik itu ketika ini.

Satu daripada sebab di sebalik keyakinannya itu adalah kerana Singapura yang diperintah oleh British, menerusi muzium dan arkibnya, telahpun mempunyai sistem simpanan dan penjagaan dokumen-dokumen yang baik pada ketika itu, katanya.

Beliau juga berkata satu usaha juga perlu dilakukan untuk bertemu dan meminta bantuan daripada waris-waris Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura untuk mengesan surat itu.

Menurutnya beliau dimaklumkan bahawa waris keturunan Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura masih menyimpan pelbagai dokumen bersejarah yang berkemungkinan boleh membantu Malaysia menuntut semula haknya terhadap Batu Puteh.

Sunday, June 15, 2008

Sejarah Jambatan Kota

Oleh Amad Bahri Mardi


JAMBATAN Kota menjadi antara mercu kebanggaan bandar Kota Tinggi.

Sejak pembinaan jambatan sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan Kota Tinggi berkembang maju

BANDAR Kota Tinggi yang dikenali sebagai Bandar Pelancongan Bersejarah, pernah menjadi ibu negeri kerajaan Johor Lama kira-kira 400 tahun lalu.

Bandar yang unik dan menarik itu menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah termasuk tinggalan bangunan lama, makam diraja, kota pertahanan dan peristiwa bersejarah, selain jambatan paling penting yang merintangi Sungai Johor di tengah-tengah bandar berkenaan.


Seperti bandar utama lain dunia, kebanyakan pusat bandar dipisahkan, dikelilingi atau disempadani oleh sungai, begitu juga bandar Kota Tinggi, pusat bandarnya dipisahkan Sungai Johor yang dicantumkan dengan 'Jambatan Kota'.


Sungai Johor adalah sungai yang menjadi laluan utama peniaga dan pedagang sejak pemerintahan Sultan Johor Kedua, Sultan Alauddin Riayat Syah pada 1528. Pada mulanya sungai itu digunakan baginda untuk memudik ke Pekan Tua sehinggalah ia menjadi laluan utama dan menjadi sibuk ketika kerajaan British bertapak di Kota Tinggi selepas membina balai polis pada 1819.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Kota Tinggi, Mustafa Abu Bakar, 64, berkata penduduk ketika itu berurusan menggunakan sampan dan bot.

PEMBINAAN jambatan konkrit dimulakan pada 1962.

Bagaimanapun, katanya sekitar 1930-an, sebuah jambatan buat kali pertama dibina menghubungkan kedua-dua belah tebing Sungai Johor untuk menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perkampungan menghala ke arah Johor Bahru.

Melalui jambatan itu, katanya penempatan di sebelah bandar dan pesisir sungai seperti Kampung Makam, Kampung Kelantan, Kampung Panti dan Kampung Jawa dapat berhubung lebih mudah ke kawasan arah sebelah balai polis, termasuk ke Kampung Tembioh, Kampung Seri Lalang dan Kampung Batu 25.

Beliau berkata, pembinaan jambatan itu juga, hari demi hari menamatkan era penggunaan perahu dan sampan kecil untuk menyeberangi sungai itu saban hari.

"Sejak pembinaan jambatan bertentangan balai polis sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan bandar ini turut berkembang maju," katanya.

JAMBATAN kayu dibina oleh kerajaan British.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, tiada satu pun nama khusus diberikan kepada jambatan itu, namun, penduduk bandar ini sudah biasa menyebut dan menggelarnya sebagai Jambatan Kota.

Dari segi sejarah pembinaan, jambatan itu dibina kerajaan British berasaskan besi, sekali gus membolehkan kenderaan berat termasuk kenderaan berat tentera British melaluinya.

Selepas kira-kira 10 tahun digunakan, British mengebom jambatan itu bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada Disember 1941. Tentera Jepun dijangka melalui bandar Kota Tinggi untuk mara ke Johor Bahru dan Singapura.

Bagaimanapun, andaian British itu meleset apabila tentera Jepun melalui pekan Endau, Mersing kemudian terus ke Johor Bahru dan tidak memasuki Kota Tinggi. Oleh itu, tindakan British mengebom jambatan adalah satu kesilapan.

Pada zaman pemerintahan Jepun, mereka membina jambatan sementara pada Februari 1941 yang jambatan berasaskan besi terapung. Ia berlantaikan papan serta tong minyak dan hanya boleh digunakan untuk laluan pejalan kaki dan basikal saja.

Ketika British kembali memerintah, mereka mendirikan jambatan kayu dan digunakan hingga 1961. Selama kira-kira 15 tahun, jambatan kayu itu menjadi penghubung penduduk di antara kedua belah pinggir sungai dan menjadi nadi penghubung penting menjana kemajuan bandar Kota Tinggi.

Bagaimanapun, pada 1962, jambatan kayu dirobohkan dan digantikan dengan jambatan konkrit yang pembinaannya siap pada 1963.

"Kedudukan jambatan konkrit yang ada sekarang dibina di lokasi baru, berbanding jambatan asal yang dibina bertentangan dengan Balai Polis Trafik Kota Tinggi," katanya.

Jambatan merentasi Sungai Johor itu sehingga kini sentiasa menjadi sebutan, fokus dan rujukan kepada beberapa peristiwa, malah ia menjadi satu daripada mercu tanda kepada bandar ini.

Ketika banjir besar melanda Kota Tinggi pada Januari 2007, jambatan itu menjadi fokus media seluruh negara, apabila gambar dari udara jambatan yang hampir tenggelam itu dipapar hampir semua media arus perdana.

Sebelum itu, banjir besar beberapa kali melanda kawasan ini termasuk pada 1956 dan 1969, ketika ini fokus media juga bertumpu kepada jambatan berkenaan yang membuktikan ia adalah mercu kedudukan bandar ini.

Selain menjadi tumpuan pemancing setiap hujung minggu, Jambatan Kota juga menjadi sasaran ditampal poster dan bendera pada pilihan raya. Ia juga menjadi garis permulaan acara sukan air dan sebagainya. Paling penting, jambatan ini pernah menjadi sebutan selepas kejadian misteri yang berlaku sekitar 1960-an.

Kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki yang dikatakan berketurunan Bentan tiba-tiba mengalami muntah-muntah sebaik melintasi jambatan itu. Namun, apabila ia berpatah balik dan tidak memasuki kawasan bandar Kota Tinggi, keadaannya kembali sembuh dan tidak mengalami muntah-muntah lagi.

Info: Jambatan Kota

  • 1962 - Jambatan kayu dirobohkan dan digantikan dengan jambatan konkrit yang pembinaan siap pada 1963.

  • Menteri Kerja Raya, Datuk V T Sambanthan merasmikan jambatan itu.

  • Antara mercu tanda utama bandar Kota Tinggi sekarang adalah Dataran Kota, Bangunan Sultan Iskandar, Tugu Kota dan Keris.

  • Menara Jam Besar juga pernah dibina di sini pada 1960 terletak di Jalan Lombong.

  • Tarikan sejarah di bandar Kota Tinggi iaitu Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Bendahara Tun Habib, Makam Laksamana Bentan, Kota Touhid dan Muzium Kota Tinggi.
  • 03-03-1997 - Kipas helikopter patah sebelum terhempas

    Oleh Mohd Azis Ngah
    azis@bharian.com.my


    GAMBARAN daripada udara tempat nahas helikopter di kebun getah di Kampung Atong, Kuala Lipis, Pahang.

    Nahas helikopter di hutan Kuala Lipis korbankan tokoh korporat bekas pengerusi DRB-HICOM, isteri dan juruterbang

    MAC lalu, genap 11 tahun negara kehilangan tokoh korporat yang juga Pengerusi Kumpulan DRB Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang.

    Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada tarikh 3.3.1997 yang dianggap sebagai 'Triple Three Tragedy' kerana membabitkan tiga angka tiga, iaitu berlaku pada hari ketiga di bulan tiga dan mengorbankan tiga nyawa.

    Selain Yahaya, dua lagi mangsa ialah isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.


    Helikopter Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, Terengganu.

    Yahaya dan isteri dikatakan ingin pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibunya yang sakit, tetapi malang umurnya tidak panjang kerana dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan pulang.

    PASUKAN penyiasat menjalankan siasatan di kawasan nahas.

    Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, kali terakhir dilihat menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam sebelum nahas.

    Ketika dalam penerbangan, enjin pesawat malang itu dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu mengakibatkan tekanan terhadap struktur kipas.

    Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan siasatan mendapati kipas utama helikopter patah sebelum pesawat terhempas. Tiga daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.

    Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.

    JENAZAH mangsa dibawa untuk pengkebumian.

    Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.

    Helikopter buatan Itali, Agusta A 109E, dengan nombor pendaftaran 9M-DRB dikatakan jatuh menjunam dan berkecai bertaburan di kawasan kebun getah.

    Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan DRB.

    Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal menemui mayat berkenaan.

    Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1 pagi di bawah serpihan helikopter itu.

    Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain. Pasukan mencari dan menyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan.

    Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu. Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.

    Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.

    Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Sebelum itu, satu daripada kipas helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.

    Sebelum kejadian, Yahaya adalah antara tokoh perniagaan Asean yang diundang menghadiri `Sidang Kemuncak Perniagaan Asean' pertama di Jakarta, Indonesia yang dijangka diadakan seminggu selepas tarikh nahas.

    Pada 3 Mac 2001, Mahkamah Koroner memutuskan tiada sebarang unsur niat jahat, perancangan atau sabotaj oleh mana-mana pihak dalam nahas helikopter itu dan tidak dapat menentukan punca sebenar menyebabkan kemalangan.

    Inkues selama 32 hari itu bertujuan menentukan punca tragedi, sebab kematian mereka bertiga, dan sama ada kematian dan nahas itu disebabkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau khianat.

    Kronologi kejadian:

  • 10.45 malam - Helikopter Agusta A 109E milik Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd berlepas dari pangkalan helikopter di Segambut, Kuala Lumpur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Kuala Terengganu jam 11.52 malam.

    *
  • 11.07 malam - Pada kedudukan 49 batu nautika ke arah 039 darjah magnetik, helikopter itu kelihatan berpusing sedikit ke kanan.

  • 11.11 malam - Helikopter itu kelihatan mengarah 090 darjah dari kedudukannya yang lalu.

  • 11.15 malam - Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan Subang dan hilang dari skrin radar. Pusat Kawalan Udara dimaklumkan mengenai keadaan itu.

  • 11.25 malam - Polis Pahang menerima laporan mengenai kemalangan pesawat Agusta-109 itu yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Atong di Jerangsang, Benta, 41 kilometer dari Kuala Lipis.

    Gerakan mencari dimulakan

  • 12.05 tengah malam - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dimaklumkan polis mengenai nahas itu dan bergegas ke tempat kejadian.

  • 1 pagi - Mayat mangsa dan bangkai pesawat ditemui. Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis.

  • 9.52 pagi - Semua mayat diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Hospital Kuala Terengganu untuk pemeriksaan forensik.

  • 10.50 pagi - Semua jenazah tiba di Hospital Kuala Terengganu.

  • 2.05 petang - Jenazah Mejar (B) Azlizan dibawa ke padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk diterbangkan dengan helikopter Nuri ke kampungnya di Batu Pahat untuk pengebumian.

  • 2.30 petang - Jenazah Yahaya dan isteri dihantar ke rumahnya di Marang dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk pengebumian.
  • Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...