Tuesday, March 31, 2009

Najib sah angkat sumpah Jumaat ini - MalaysiaKini

Mar 31, 09 6:40pm

Istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru berlangsung di Istana Negara, Jumaat ini.

Para jemaah menteri telah menerima jemputan untuk menghadiri istiadat pada 10 pagi ini.

Jemputan tersebut turut dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Menurut jemputan tersebut, istiadat tersebut akan berlangsung di Balairong Seri mulai jam 9 pagi.

najib mahathir pak lah umno 2009 agm final day 280309 08Di perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis untuk memaklumkan hasrat melepaskan jawatan perdana menteri.

Perhimpunan agung tersebut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan baru Umno yang diketuai oleh Najib selepas Abdullah enggan bertanding.

Tindakan Abdullah itu ekoran persetujuan antara beliau dengan Najib untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa selepas perhimpunan itu selesai.

Sementara itu, Najib dilaporkan berkata tarikh sebenar peralihan kuasa kepadanya hanya akan diketahui selepas kenyataan rasmi dikeluarkan leh Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Bernama, beliau tidak boleh membuat sebarang ulasan selagi kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

"Ini kena tunggu kenyataan rasmi dululah," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Sin Chew Daily di Petaling Jaya hari ini.

Ketika ditanya mengenai kabinet barunya, Najib berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas acara angkat sumpah jawatan perdana menteri.

Ditanya kemungkinan beliau akan memilih calon yang kalah dalam
pemilihan Umno lepas untuk membarisi kabinetnya nanti, Najib berkata: "Ia belum difikirkan lagi."

Najib yang dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohamad Noah.

Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England.

Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada tahun 1974.

Najib mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London 14 Januari 1976.

Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai ahli Parlimen termuda pada usia 23 tahun.

Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah Malaysia, pada 29 tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib telah berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan. Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.

Pada tahun 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.

Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan. Setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004.

Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.

Tuesday, March 24, 2009

Anwar: Gantung akhbar, gas polis 'ke kancah kuku besi' - MalaysiaKini

Mar 24, 09 2:59pm

Menggantung permit akhbar PKR dan menembak gas pemedih mata terhadap penyokongnya "bakal menjerumus negara ke kancah pentadbiran kuku besi", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ternyata tindakan rakus sedemikian oleh pasukan polis sejurus satelah Suara Keadilan dan Harakah diharamkan (selama tiga bulan) merupakan petanda betapa sistem pemerintahan bawah (Datuk Seri) Najib (Razak) bakal menjerumuskan negara ke kancah ketidakstabilan dan pentadbiran kuku besi," kata penasihat PKR.

Mantan timbalan perdana menteri itu, yang turut berada di tempat kejadian, berkata beliau terpaksa dilarikan ke dalam bilik gerakan untuk mengelak tindakan tersebut yang bermula selepas 9.30 malam.

"Saya diseludup ke bilik gerakan pilihanraya (dekat pentas ceramah) dan berlindung bersama beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat.

"Difahamkan hampir 50 das gas pemedih mata dibedil oleh pihak polis," kata Anwar dalam blognya.

"Tanpa sebarang amaran, polis membedil gas pemedih mata beserta pancutan air. Hadirin lari bertempiaran menyelamatkan diri.

"Namun ia tidak menghentikan pembedilan bertubi-tubi tanpa sebarang belas kasihan terhadap wanita dan kanak-kanak."

Polis Kedah hari ini mengesahkan 31 orang ditahan kerana enggan bersurai selepas diarahkan.

Semua mereka dilaporkan dibebaskan pagi ini selepas keterangan mereka diambil.

Selain beberapa penyokong parti itu dan pendengar, turut ditahan senator Zamri Yusof, ketua staf pejabatnya Ibrahim Yaacob dan pegawai khas menteri besar Kedah, Mohd Ismadi Abd Kadir.

Kementerian Dalam Negeri semalam secara mengejut menggantung serta-merta permit penerbitan dua akhbar berpengaruh itu selama tiga bulan.

Dalam coretan blog yang sama, Anwar mengulangi lagi kecamannya terhadap timbalan perdana menteri dengan menyifatkan kenyataan mengenai perubahan yangg diucapkan di Parlimen baru-baru ini "hanya omongan kosong untuk mengalih perhatian rakyat daripada skandal yang terpalit."

"Jelas, Umno-BN sememangnya dalam keadaan yang sangat terdesak ketika ini. Gelombang kebangkitan rakyat di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai cukup meresahkan mereka," katanya.

Ketiga-tiga kawasan itu akan menghadapi pilihanraya kecil antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Ceramah Anwar di Taman Ria Jaya, Sungai Petami malam tadi bagi memperkenalkan calon PKR S Manikumar yang akan menggalas cabaran parti itu di DUN Bukit Selambau, Kedah.

PKR juga bertanding di DUN Batang Ai, Sarawak; manakala PAS meletakkan bekas menteri besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di kerusi parlimen Bukit Gantang, Perak.

Anwar juga menyeru para penyokongnya agar bertenang dan tidak mudah dibakar dengan sebarang provokasi.

Media internet gagal dapat pas Umno - MalaysiaKini

Mar 24, 09 2:26pm

Sekurang-kurangnya enam media internet, termasuk Malaysiakini, gagal mendapat pas media dari Umno untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu yang bermula hari ini.

Perhimpunan kali ini juga akan menyaksi pemilihan sengit bagi jawatan tertinggi parti - dari timbalan presiden, naib presiden, Majlis Tertinggi serta pucuk pimpinan utama Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Tiada alasan rasmi diberikan mengapa parti itu enggan mengeluarkan kad media kepada pertubuhan berkenaan untuk membuat liputan perhimpunan agung selama lima hari itu.

Selain Malaysiakini, pertubuhan lain yang gagal mendapatkan pas media dari Umno ialah The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review.

Bagaimanapun, Agenda Daily, sebuah portal berita politik berbahasa Melayu mendapat kad media Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini, editornya, Rosli Ismail mengesahkan mereka mendapat kad media untuk membuat liputan perhimpunan agung tahun ini.

Malaysiakini telah mengemukakan permohonan pada 27 Februari lalu dan secara tidak rasmi dimaklumkan semalam bahawa ia telah ditolak.

Difahamkan arahan menolak permohonan tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Mesyuarat telah diadakan untuk menentukan media yang layak diberi kad media dan ia memutuskan untuk menolak permohonan dari enam 'blogger'," kata pegawai media Umno, Abdul Hamid Satar.

Yang anehnya, ada antara mereka, termasuk Malaysiakini, sebelum ini layak mendapatkan kad media rasmi dari Kementerian Penerangan.

Tanpa kad media Umno itu, wartawan Malaysiakini tidak boleh memasuki dewan utama tempat perhimpunan berlangsung atau menghadiri sidang akhbar para pemimpin Umno.

Bagaimanapun, wartawan Malaysiakni masih boleh berada di luar dewan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Selain pemilihan parti, perhimpunan agung Umno kali ini merupakan satu acara penting yang bakal menyaksikan peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysiakini berdepan masalah yang sama sejak beberapa tahun lalu. Wartawannya dilarang membuat liputan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, tetapi ia kemudiannya ditarik balik sejak kira-kira setahun lalu.


Wednesday, March 11, 2009

Sritharan calon PKR di Bukit Selambau? - MalaysiaKini

Mar 11, 09 7:52pm

Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat.

Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.

Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telahpun dihubungi ibupejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.

Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak bertanding di situ.

Ini kerana beliau adalah seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.

Sudah diramalkan

Malah, banyak pihak yang sebelum inipun telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam piliharanraya kecil Bukit Selambau.

Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).

Tiga lagi yang menawar diri ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi ialah R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.

Sunday, March 1, 2009

Sidang tergempar tidak sah, kata Setiausaha DUN Perak - MalaysiaKini

Mar 1, 09 5:29pm

Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.

Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.

Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan
Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa
kerajaan negeri itu.

Keluar notis

Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah.

Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.

Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Abdullah berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan
Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya
mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.

Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."

Kuasa mutlak

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada
waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...