Saturday, July 30, 2011

Palanivel dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden MIC G. Palanivel selepas beliau mengumumkan perlantikan Palanivel sebagai menteri penuh diperhatikan oleh S. Samy Vellu (kanan) di Perhimpunan Agung MIC ke 65 di PICC di Putrajaya semalam. Utusan/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 30 Julai — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

"Sekarang MIC perlu melakukan tugasnya dengan baik dan kami (kerajaan) boleh melakukannya dengan baik untuk menunjukkan keikhlasan kami. Selaras dengan komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat India, saya mengusulkan untuk menjadikan G.Palanivel sebagai menteri penuh,” katanya.

Sebelum ini, Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lepas. Pada pilihan raya umum Mac 2008, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. — Bernama

Lelaki gagal tukar nama kepada perempuan meninggal dunia

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya, beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam beliau berkata, doktor mengesahkan anaknya mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ”unstable angina with cardiogenic shock”.

Katanya, Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...