Tuesday, March 31, 2009

Najib sah angkat sumpah Jumaat ini - MalaysiaKini

Mar 31, 09 6:40pm

Istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru berlangsung di Istana Negara, Jumaat ini.

Para jemaah menteri telah menerima jemputan untuk menghadiri istiadat pada 10 pagi ini.

Jemputan tersebut turut dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Menurut jemputan tersebut, istiadat tersebut akan berlangsung di Balairong Seri mulai jam 9 pagi.

najib mahathir pak lah umno 2009 agm final day 280309 08Di perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis untuk memaklumkan hasrat melepaskan jawatan perdana menteri.

Perhimpunan agung tersebut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan baru Umno yang diketuai oleh Najib selepas Abdullah enggan bertanding.

Tindakan Abdullah itu ekoran persetujuan antara beliau dengan Najib untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa selepas perhimpunan itu selesai.

Sementara itu, Najib dilaporkan berkata tarikh sebenar peralihan kuasa kepadanya hanya akan diketahui selepas kenyataan rasmi dikeluarkan leh Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Bernama, beliau tidak boleh membuat sebarang ulasan selagi kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

"Ini kena tunggu kenyataan rasmi dululah," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Sin Chew Daily di Petaling Jaya hari ini.

Ketika ditanya mengenai kabinet barunya, Najib berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas acara angkat sumpah jawatan perdana menteri.

Ditanya kemungkinan beliau akan memilih calon yang kalah dalam
pemilihan Umno lepas untuk membarisi kabinetnya nanti, Najib berkata: "Ia belum difikirkan lagi."

Najib yang dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohamad Noah.

Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England.

Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada tahun 1974.

Najib mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London 14 Januari 1976.

Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai ahli Parlimen termuda pada usia 23 tahun.

Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah Malaysia, pada 29 tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib telah berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan. Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.

Pada tahun 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.

Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan. Setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004.

Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...