Friday, August 1, 2008

Harakah lebih murah mulai 15 Ogos

Malaysia Kini
Jimadie Shah Othman | Aug 1, 08 4:53pm

Media rasmi PAS Harakah edisi baru akan menemui pembaca pertengahan bulan ini dengan wajah baru, lebih banyak berita, lebih nipis dan lebih murah.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman memberitahu Malaysiakini, ia akan berada di pasaran pada setiap Isnin dan Jumaat seperti sebelum kekerapannya dikurangkan dua kali sebulan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal 2000.

Harganya kini RM2.50 akan dikurangkan kepada RM2, manakala tebalnya dikurangkan daripada 80 kepada 56 halaman.

harakah and kementerian dalam negeri home affairs ministry permitMenurtunya, edisi baru dijadual dilancarkan secara rasmi ketika muktamar parti itu di Ipoh pada 15 Ogos oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kali ini, Harakah mahu menjadi sebuah akhbar yang betul-betul akhbar," katanya, sambil ketawa kecil.

KDN mengembalikan permit asal organ PAS itu pada 23 Jun lalu selepas lembaga pengarah Harakah memohon sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sebelum pilihanraya umum, jumlah edarannya kira-kira 140,000 naskhah tetapi telah meningkatkan kepada 220,000 naskhah buat masa sekarang.

Ahmad Lutfi berkata, Harakah keluaran baru akan menampilkan reka letak berbeza.

Ditanya sebab PAS mengambil sedikit masa untuk menerbitkannya, beliau berkata tempoh lebih sebulan diambil sejak kelulusan itu bagi membolehkan akhbar itu membuat persediaan.

Lagipun, tambahnya, Harakah tidak menyangka KDN bersedia memberikan keizinan kepada PAS berbuat demikian.

"Sebelum ini kita tidak mohon (permit dua kali seminggu), kita tidak buat rayuan. Tetapi selepas Suara Keadilan (akhbar PKR) mendapat permit, kita mohon (lagi). Tidak sangka dapat," katanya.

Apabila diterbitkan dua kali seminggu, edarannya "mungkin kurang sedikit", kata Ahmad Lutfi.

"Tetapi jika kita dapat kekalkan tidak kurang daripada 150,000, OK, boleh menampung kos," katanya.

Harakah akan menumpukan lebih banyak berita-berita negeri, terutamanya di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, wartawan-wartawan baru akan ditambah untuk membuat liputan di peringkat negeri, katanya lagi.

"Sekurang-kurangnya mesti ada dua orang (wartawan) di setiap negeri," katanya.

Permatang Pauh: Tarikh pilihan raya kecil Rabu, Umno 'tolak' Ezam

mStar Online
01-08-2008 08:46:37 PM

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Tarikh pilihan raya kecil akan ditentukan pada mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan diadakan pertengahan minggu depan - Rabu ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online pihaknya sudah menerima notis makluman mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh hari ini.

"Notis sudah diterima. Kita akan tentukan tarikh pilihan raya pertengahan minggu depan," kata beliau.

Semalam Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang pernah disandangnya dari 1982 hingga 1999, dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan dalam 60 hari lagi.

Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR memutuskan untuk mengosongkan kerusi berkenaan selepas disandang sejak 1999.

Dalam pada itu, Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd. Noor memberitahu Bernama berkata, mesyuarat minggu depan akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Lazimnya penamaan calon diadakan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari selepas writ pilihan raya dikeluarkan.

Dan, jika tempoh berkenaan adalah lapan atau sembilan hari, pilihan raya kecil itu kemungkinan diadakan minggu terakhir bulan ini.

SPR memperuntukkan 13 hari untuk berkempen ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Dr. Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388.

Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno - dari tahun 1982 hingga 1999.

Ezam yakin Anwar menang, Umno Permatang Pauh tidak mahu Ezam

Dalam pada itu, Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata: "Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon."

Kata beliau, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor yang kini menyertai Umno, belum dapat diterima sepenuhnya oleh masyarakat di situ.

Ekoran pengumuman itu, terdapat cadangan supaya Ezam bertanding di situ sebagai calon Barisan Nasional berdasarkan kepada pengetahuan beliau mengenai Anwar.

"Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk memperkenalkan calon
baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal atau tahu," kata Abdul Jalil dipetik Bernama di Butterworth.

Beliau ditanya mengenai orang yang bakal dipilih oleh Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Parlimen Pauh tidak lama lagi.

Beliau berkata, calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.

Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata bahawa sebaik saja selesai pilihan raya umum 8 Mac lepas,
Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.

"Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr. Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi," katanya.

Abdul Jalil berkata, Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi menghadapi kemungkinan ini.

"Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insya-Allah, persediaan kita sudah teratur," katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama parti komponen BN yang lain, "pertembungan" yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.

Abdul Jalil berkata, sejak kawasan itu diwakili Dr. Wan Azizah, penduduk Permatang Pauh "letih" menghadapi karenah pemimpin parti itu yang hanya memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan di kawasan berkenaan.

"Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah.

"Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi," katanya.

Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata, Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.

Persiapan diatur bolehkan Saiful bersumpah isu liwat

mStar Online
01-08-2008 07:15:23 PM

Oleh NURUL AIN HUSSEIN

KUALA LUMPUR: Berikutan selesainya siasatan polis, peguam kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang membuat persiapan bagi membolehkan anak guamnya itu melakukan sumpah dalam waktu terdekat.

“Semuanya masih dalam perbincangan. Kita kena buat majlis akan sumpah ini secara teratur,” kata peguam Zamri Idrus kepada mStar Online sebentar tadi.

Tambah beliau, majlis angkat sumpah perlu dijalankan mengikut lunas-lunas Islam.

“Bukan mudah untuk menjalankannya, kami sedang berusaha ke arah itu,” ujar Zamri yang dilantik sebagai peguam mewaliki Saiful sekiranya kes liwatnya dibawa ke mahkamah.

Kelmarin, Mohd. Saiful melalui peguamnya menegaskan dia akan membuat akuan bersumpah menggunakan al-Quran dalam masa terdekat.

Ditanya bila akan berlangsungnya majlis angkat sumpah yang dikatakan akan dilaksanakan selepas siasatan polis lengkap, Zamri menegaskan, perkara tersebut belum dapat diputuskan lagi kerana beliau belum bertemu dengan Saiful untuk menerangkan berkenaan polis telah melengkapkan siasatan dan kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Ketika dihubungi pagi ini, Zamri berkata, beliau akan berbincang dengan Mohd. Saiful mengenai tarikh tersebut.

Katanya, beliau akan menemui Mohd. Saiful, yang kini diberikan perlindungan polis sejak lebih sebulan lalu, secepat mungkin.

Beliau tidak menemui Mohd. Saiful sehingga pagi ini.

"Saya baru dapat tahu tentang perkara ini semalam, beri saya ruang untuk berjumpa dengan Saiful untuk berbincang lanjut," kata beliau.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, polis telah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan tersebut dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Kelmarin, Mohd. Saiful berkata, dia akan membuat akuan bersumpah menggunakan al-Quran dalam masa terdekat.

Bercakap melalui Zamri, Mohd. Saiful memberitahu, sehingga kini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) belum menghubungi anak guamnya itu berhubung akuan bersumpah.

"Saiful akan bersumpah dan pihak media akan dimaklumkan mengenainya. Buat masa ini biar polis menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan.

"Beliau tetap dengan pendiriannya untuk membuat akuan bersumpah dan beliau melakukannya dengan sukarela, bukan atas paksaan," katanya.

Lori rempuh tujuh kenderaan, dua maut

01-08-2008 05:05:58 PM

KUALA LUMPUR: Dua maut manakala enam lagi parah apabila sebuah lori yang membawa muatan batu merempuh tujuh kenderaan di Lebuhraya Cheras Kajang di sini hari ini.

Selain lori, kemalangan yang berlaku di hadapan pasar raya Giant Taman Connaught pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, melibatkan sebuah MPV, lima kereta dan sebuah motosikal.


REMUK ... Satu daripada tujuh buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Cheras-Kajang dekat Taman Counnought, hari ini.

Mereka yang terbunuh ialah anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras Kpl Mohd Noh Ali, 45, dan pemandu lori Kong Vin Hin, 47.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras Rashid Yahya berkata kemalangan itu dikatakan berlaku apabila sebuah lori muatan pasir yang menghala ke Kajang merempuh sebuah MPV ketika ingin menukar lorong.


Beginilah keadaan sebuah kereta dan sebuah van yang remuk setelah dirempuh sebuah lori bermuatan batu dalam kemalangan ngeri. Selain dua buah kenderaan itu, lima buah kenderaan termasuk sebuah motosikal turut terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan dua orang maut manakala enam lagi cedera parah. foto BERNAMA.

"Lori itu tidak dapat dikawal lalu melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan lima kereta dan sebuah motosikal di laluan bertentangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata Mohd Noh, yang menunggang motosikal dan Kong cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala enam mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan.

Rashid berkata anggota bomba dan penyelamat dari Balai Cheras dan Hang Tuah mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat keduadua mangsa yang tersepit.

Seorang mangsa yang terselamat, Kamarul Azian, 33, berkata kejadian yang mengakibatkan kereta Perodua Kancil miliknya remuk itu berlaku dengan pantas.

Saksi kemalangan, Naresh Kumar, 28, berkata beliau merasakan gegaran kuat ketika menunggang motosikal dan melihat sebuah lori batu merempuh kenderaan jenis MPV berwarna putih.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan kerana batu yang dibawa oleh lori itu bertaburan di permukaan jalan.

Di SEREMBAN, seorang wanita, Lim Yit Sum, 18, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di KM 216, Lebuh Raya UtaraSeremban dekat sini pada kira-kira pukul 6.50 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata Lim yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan sehingga kini pemandu kereta terbabit belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu. BERNAMA

Azmin Ali jadi Ketua Pembangkang

01/08/2008 2:03pm

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali kini disebut-sebut di kalangan anggota Parlimen Pakatan Rakyat untuk mengetuai gabungan ketiga-tiga parti iaitu PKR, Pas dan DAP di Parlimen nanti.

Beliau dijangka mengambil alih peranan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang apabila Parlimen bersidang 18 Ogos nanti setelah Presiden PKR itu meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh semalam.

Sebagai ketua whip Pakatan Rakyat, Mohamed Azmin dilihat sebagai calon yang paling sesuai mengisi kekosongan tempat itu ekoran peletakan jawatan Dr Wan Azizah semalam bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Dewan Pemuda Pas Salahuddin Ayub berkata ia terserah kepada PKR untuk menentukan calon yang akan menjadi Ketua Pembangkang sebelum pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan.

Bagaimanapun, katanya Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak adalah orang yang paling layak memangku jawatan Ketua Pembangkang memandangkan beliau seorang pemimpin kanan dalam PKR.

“Biasa diadakan perbincangan antara ketiga-tiga parti. Tetapi bagi saya sebagai ahli Parlimen, saya menghormati konvensyen... bermakna terus memberi kepada PKR untuk diputuskan,” katanya yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua pula berpendapat perkara itu tidak perlu dibesar-besarkan.

Beliau yang juga anggota Parlimen Batu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai siapa yang layak memangku jawatan Ketua Pembangkang di persidangan Dewan Rakyat tidak lama lagi.

“Kita (PKR) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengisi kekosongan itu (ketua pembangkang). Buat masa sekarang kita tiada cadangan lagi untuk itu (memilih pemangku jawatan),” katanya kepada Bernama.

Anggota Parlimen Jelutong dari DAP, Ooi Chuan Aun berkata tidak timbul perebutan kuasa bagi jawatan ketua pembangkang kerana wujud persetujudan dan persefahaman di kalangan ketiga-tiga parti dalam gabungan itu.

“Seperti biasa peralihan kuasa mestilah kepada orang yang paling kanan iaitu Azmin untuk memangku jawatan Ketua Pembangkang sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Anwar selepas dia menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu nanti. Dia (Azmin) dilihat calon yang paling sesuai buat masa ini,” katanya. — BERNAMA

Ng Yen Yen Bimbang Tidak Dapat Sokongan Perwakilan Lelaki Dalam Perhimpunan Agung

01 Ogos, 2008 20:17 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen yang telah menyatakan hasrat bertanding jawatan tertinggi parti Oktober ini, melahirkan rasa bimbang tidak mendapat sokongan daripada perwakilan lelaki dalam perhimpunan agung nanti.

Justeru, Dr Ng berkata beliau akan berusaha mendapatkan pandangan perwakilan lelaki sebelum membuat keputusan tentang jawatan mana yang harus beliau tandingi.

"Ini penting kerana 80 peratus perwakilan dalam perhimpunan agung nanti terdiri daripada lelaki," katanya selepas menyampaikan sijil kepada peserta program penjagaan kanak-kanak di Wisma MCA di sini.

Dr Ng yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau belum membuat keputusan sama ada hendak bertanding jawatan presiden, timbalan presiden atau naib presiden.

"Saya memang berminat untuk bertanding salah satu daripada ketiga-tiga jawatan tersebut. Buat masa sekarang saya perlu membuat satu kajian yang teliti untuk mendapat pandangan daripada anggota perwakilan lelaki.

"Sebab ini adalah kali pertama dalam sejarah MCA ada seorang wanita yang berminat bertanding untuk jawatan tinggi, saya nak tengok bolehkah mereka terima saya, (tapi) pada pandangan saya, mereka boleh (terima)," katanya.

Dr Ng berkata setakat ini beliau mendapat sokongan penuh daripada MCA Kelantan yang ingin beliau bertanding antara tiga jawatan tertinggi dalam pemilihan parti.

Katanya, beliau baru memulakan lawatan kerja ke Kelantan dan yakin akan mendapat sokongan daripada MCA negeri yang lain setelah membuat lawatan ke MCA seluruh negara.

Dr Ng berkata beliau berharap dapat mengubah tradisi MCA yang jawatan tertinggi sentiasa disandang oleh lelaki dan menegaskan bahawa ahli politik wanita boleh meringankan beban ahli politik lelaki.

"Saya yakin akan diberi peluang untuk bertanding jawatan tertinggi tersebut," kata beliau.

-- BERNAMA

Harga Runcit Petrol Diselaras Berkuatkuasa 1 Sept, Kata Abdullah

01 Ogos, 2008 18:47 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Berkuatkuasa 1 Sept ini, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan dan subsidi akan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata harga runcit petrol akan ditetapkan pada 1 haribulan setiap bulan.

"Kerajaan juga menjamin bahawa harga runcit petrol tidak akan melebihi RM2.70 seliter pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah berkata kerajaan membuat keputusan itu setelah mengkaji secara teliti kebelakangan ini harga minyak mentah yang menunjukkan trend menurun.

Selasa lepas, harganya ialah US$122 setong berbanding harga purata bagi Jun US$132 setong, dan kerajaan menanggung subsidi petrol sebanyak 64 sen seliter.

Harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong ketika kerajaan menstrukturkan semula subsidi minyak pada 5 Jun dengan subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter.

Menjelang 8 Jun, harga minyak mentah meningkat secara mendadak kepada US$139 setong.

Abdullah berkata walaupun harga petrol sepatutnya dinaikkan sebanyak 40 sen seliter, kerajaan telah membuat ketetapan untuk mengekalkan harga petrol dan memberi jaminan pada 11 Jun bahawa harga petrol tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

-- BERNAMA

Tarikh Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Ditentukan Rabu Depan

01 Ogos, 2008 16:35 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu depan antaranya untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor memberitahu Bernama bahaw SPR telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anggota Parlimen kawasan itu hari ini daripada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang, meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Kamaruzaman berkata bahawa mesyuarat pada Rabu itu nanti akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Dalam pilihan raya 8 Mac lepas, Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388.

Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno.

-- BERNAMA

BN Belum Tentukan Calon Untuk Permatang Pauh, Kata Najib

BERNAMA
01 Ogos, 2008 15:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) masih belum membincangkan soal calon yang akan bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Soal pencalonan perlu mengikut prosedur di mana perbincangan di peringkat perhubungan negeri dan bahagian perlu dibuat dahulu sebelum pucuk pimpinan membuat keputusan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai soal calon boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

"Bila-bila pun kita boleh bincang, tidak perlulah kita beritahu bila," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan biasiswa AmanahRaya kepada pelajar-pelajar yang akan mengikuti program Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, di sini hari ini.

Najib mengulas cadangan pihak tertentu agar bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor diletakkan untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh berikutan peletakan jawatan oleh penyandang kerusi itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, semalam.

Ezam yang kini merupakan anggota Umno dilaporkan sebagai bersedia untuk bertempur dengan Penasihat PKR itu habis-habisan tidak kira sama ada beliau dicalonkan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh atau sebaliknya. Najib menyifatkan keputusan Wan Azizah untuk meletakkan jawatan bagi membuka laluan kepada Anwar untuk bertanding sebagai cuba membawa masalah Anwar kepada rakyat khususnya pengundi di Permatang Pauh.

"Tuduhan itu (liwat) dibuat oleh pegawai khas dia sendiri bukan oleh kerajaan dan ada cara-cara untuk selesaikan tanpa perlu membawa perkara ini kepada rakyat. Tetapi dia tidak pilih cara tersebut, (sebaliknya) pilih untuk bawa perkara ini kepada rakyat. Dia dah ambil keputusan dan kita akan hadapinya," katanya.

Najib berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh bagi pilihan raya kecil itu.

"Ini bukanlah untuk saya putuskan, SPR yang akan membuat keputusan, apa yang saya sendiri inginkan tidak penting, apa jua keputusan SPR kita akan akur dan akan membuat persiapan yang perlu," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak berasa tergugat dengan pilihan raya kecil itu.

Ditanya sama ada kemenangan BN di Permatang Pauh akan menamatkan percubaan politik Anwar, Najib berkata adalah mudah untuk meramalkan keputusan mana-mana pilihan raya.

"Segala-galanya boleh berlaku dalam pilihan raya kecil itu... yang nyata beliau telah membuat perkiraan dengan bertanding di kawasan pilihan rayanya sebelum ini, yang ketika ini diwakili isterinya. Kawasan pilihan raya yang mampu memberikan beliau peluang untuk menang," katanya.

Mengakui bahawa persaingan mungkin sengit, Najib bagaimanapun berkata BN akan melakukan yang terbaik untuk merampas semula kerusi berkenaan.

-- BERNAMA

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS

HARAKAH DAILY
Nyza Ayob dan Intan Abdullah

Thu | Jul 31, 08 | 4:34:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh. - mns_

Ptg Pauh 'agak sukar' bagi BN

MALAYSIA KINI
Jul 31, 08 10:35pm

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengakui Permatang Pauh kubu kuat PKR dan "pilihanraya kecil ini agak sukar bagi BN."

Koh, yang juga pemangku presiden Gerakan, berkata analisis BN telah meramalkan kira-kira sebulan yang lalu bahawa perkara ini akan berlaku.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, bekas ketua menteri itu, menambah kerusi parlimen tersebut "memang merupakan kubu kuat Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu pada 2004 walaupun ketika itu populariti BN berada di kemuncaknya."

"Memang telah djangka beliau akan memilih Permatang Pauh.

"Kerusi-kerusi lain yang disebut hanya satu taktik untuk mengelirukan. Pilihan raya kecil ini agak sukar bagi BN.

"Kami perlu berjuang dalam pilihan raya kecil ini dengan jujur, secara terhormat dan dengan penuh rendah hati. BN Pulau Pinang perlu melakukan yang terbaik.

"Hanya dengan cara itu kami akan mendapat penghormatan dan sokongan orang ramai," Koh dilaporkan berkata.

Sementara itu, setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata peluang calon BN memenangi kerusi itu adalah cerah berikutan rakyat telah sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela nasib mereka.

"Insya Allah Umno boleh menang. Rakyat sekarang dah tengok sendiri macam mana Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak membuat kerja," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar pada pilihan raya kecil itu kelak.

"Akhirnya Anwar memilih tempat yang sesuai untuk beliau dan sebelum inipun Anwar pernah bertanding di situ.

"Bagi saya, di mana sahaja Anwar bertanding, kami akan memberikan sokongan yang padu," kata Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut Bernama lagi, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas lusa untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon dalam pilihanraya kecil itu.

Pengerusinya Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

"Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu," katanya seperti dilaporkan.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

"Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.

'Saiful tidak diperiksa berkaitan liwat'

MALAYSIA KINI

Abdul Rahim Sabri | Jul 30, 08

Hospital Pusrawi hari ini menjelaskan pegawai perubatannya Dr Mohamed Osman Abdul Hamid "tidak memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan berkaitan dengan liwat".

"Dr Mohamed Osman pegawai perubatan Hospital Pusrawi tidak memeriksa pesakit berkenaan berkaitan dengan sodomi," kenyataan hospital itu dipetik.

Dalam kenyataan lima perenggannya, hospital itu juga berkata ia tidak pernah mengeluarkan secara rasmi dokumen pesakit berkenaan seperti yang diedarkan dengan meluas di internet sejak kelmarin.

Ia juga menyatakan Dr Mohamed Osman juga bukan seorang doktor pakar, tetapi seorang pegawai perubatan di klinik kemalangan dan kecemasan Hospital Pusrawi.

"Dr Mohamed Osman telah menasihatkan pesakit itu Mohd Saiful supaya diperiksa lanjut oleh doktor pakar di hospital kerajaan," kata hospital itu.

hospital pusrawi saiful bukhari sodomy allegations pc 300708 01"Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan sodomi."

Kebocoran laporan pemeriksaan tersebut dianggap oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai "bukti" bahawa dakwaan terhadapnya "tiada asas" dan "bermotifkan politik."

Dalam sidang media di hospital itu, pengurus besarnya Wan Mahmood Wan Yaacob (foto, kanan) tidak menolak kemungkinan salinan laporan itu sahih dengan berkata "ia kelihatan sama (dengan salinan asal)."

"Salinan asal ada dengan saya," katanya apabila ditanya beberapa kali kesahihan salinan yang kini disebarkan di internet sejak kelmarin. "Nampak sama tapi tidak sama."

Beliau menambah, Hospital Pusrawi sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran laporan tersebut.

"Tujuan siasatan dalaman, pertama sekali kita mahu sahkan apa yang yang dikeluarkan itu sama dengan apa yang ada pada kita.

"Kedua, kalau betul, kita hendak tengok siapa yang berkemungkinan membocorkan laporan sehingga menyebabkan maklumat tersebut dapat kepada pihak ketiga

saiful bukhari pusrawi hospitalWan Mahmood menjelaskan, doktor yang memeriksa Mohd Saiful kini sedang bercuti selama dua minggu dan dijangka kembali bertugas pada Isnin depan.

Dr Mohamed Osman, tambahnya, mula berkhidmat di Hospital Pusrawi awal tahun ini.

Pengarah perubatan Dr Kamaruddin Ahmad (foto, berbaju putih) di sidang media yang sama berkata Dr Mohamed Osman "seorang doktor yang baik" dan "kewibawaannya tidak dipertikaikan."

Jelasnya, Mohd Saiful pada mulanya mengadu mengalami masalah perut dan kesukaran membuang air besar.

Selepas diperiksa oleh seorang doktor wanita, kata Dr Kamaruddin lagi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman dan kemudian mengadu diliwat.

Menjelas lanjut isu tersebut, Wan Mahmood berkata terdapat dua gaya tulisan tangan di laporan pemeriksaan kesihatan Mohd Saiful kerana dua doktor terlibat.

"Memang ada dua tulisan. Dua tulisan ini saya difahamkan, tulisan pertama, pesakit datang dan hendak berjumpa dengan doktor. Dia dirujuk kepada doktor perempuan yang bertugas pada hari itu.

"Tetapi apabila doktor perempuan ambil kenyataannya (Mohd Saiful) sedikit, sudah tiba waktu untuk pemeriksaan selanjutnya, beliau serahkan kepada doktor lelaki (Dr Mohamed Osman)," katanya.

Rebat Tunai Boleh Dituntut Melalui Online

BERNAMA
31 Julai, 2008 22:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rebat tunai bagi subsidi petrol yang diagihkan melalui Pos Malaysia Berhad (PMB) kini boleh dibuat melalui online.

Transaksi itu boleh diakses di www.posonline.com.my dan pilihan itu adalah bagi melengkapkan tuntutan rebat tunai yang ada sekarang yang boleh dibuat di semua pejabat pos di seluruh negara, kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Melalui online, pemilik kenderaan mempunyai pilihan untuk menerima tuntutan dalam bentuk kiriman tunai atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka, kata kenyataan itu.

Bagi kiriman wang, ia mengambil masa tujuh hari bekerja mulai daripada tarikh tuntutan itu dibuat bagi Pos Malaysia membuat penghantaran kepada alamat surat menyurat pemilik kenderaan.

Kenyataan itu berkata bagi mereka yang memilih rebat itu dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing, mereka akan menerima wang itu dalam tempoh tiga hari daripada tarikh tuntutan itu.

Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan bagi mengurangkan beban orang ramai berikutan kenaikan harga bahan api itu.

Pemilik kenderaan berkuasa 2000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.

Pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan rebat itu sehingga 31 Mac tahun depan.

-- BERNAMA

PKR Mahu Umno Letak Mohamad Ezam Tentang Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:55 PM

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta UMNO supaya meletakkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor menentang penasihat parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata UMNO patut meletakkan Mohamad Ezam bertanding di kawasan itu berikutan kesediaannya bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana kawasan Parlimen.

"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, katanya selepas majlis ramah mesra bersama media di sini hari ini.

Minggu lepas, Anwar membayangkan akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Anwar, 60, hari ini mengumumkan beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen kawasan itu berkuat kuasa hari ini.

Dr Wan Azizah, 55, yang juga Ketua Pembangkang di PArlimen adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili Anwar.

Di PULAU PINANG, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas Sabtu ini untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil itu.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu, "katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu juga cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.

-- BERNAMA

PAS, DAP Ikrar Bantu Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- PAS dan DAP menerima keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil di situ.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata kedua-dua parti Pakatan Rakyat itu akan mengerahkan jentera parti masing-masing untuk memastikan kemenangan Anwar, yang juga Penasihat PKR.

Mereka mengakui telah dimaklumkan berhubung keputusan Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Dr Wan Azizah, 55, mengumumkan keputusannya pada persidangan akhbar di ibu pejabat PKR hari ini, yang turut dihadiri Anwar dan anaknya Nurul Izzah, Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu adalah sesuatu yang baik dan bijak.

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu.

Kami juga mengalu-alukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya kepada Bernama.

Berhubung kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata PR membincangkan sama ada kekosongan itu perlu diisi sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Mahfuz berkata Dr Wan Azizah telah menunjukkan ketokohan sebagai anggota Parlimen dan Ketua Pembangkang yang berwibawa.

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena, yakin Anwar akan mendapat sokongan penduduk di Permatang Pauh.

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan," katanya.

"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh," kata Kit Siang ketika dihubungi.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad ketika ditanya mengenai tindakan Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, berkata: "Sesungguhnya..., itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang."

Dr Mahathir berkata demikian pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Sementara itu di TUMPAT, Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh sebagai mengkhianati rakyat.

Ng, yang juga berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tindakan itu dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Minda Insan di sini, hari ini.

Di PULAU PINANG, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid juga sependapat dengan Ng.

"Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.

"Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Dr Wan Azizah itu adalah lambang kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.

Katanya perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.

"Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar)," katanya.

-- BERNAMA

Siasatan Kes Liwat Anwar Ibrahim Selesai: Syed Hamid

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:18 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya adalah menjadi prosedur pihak polis untuk menyerahkan kertas berikut kepada pejabat Peguam Negara sebaik sahaja proses siasatan selesai dilakukan.

"Saya difahamkan bahawa proses siasatan telah selesai, dan kertas itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. Terpulang kepada pejabat Peguam Negara untuk menentukan bentuk dakwaan yang akan diambil," katanya.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata beliau tidak diberitahu mengenai isi kandungan kertas siasatan tersebut.

"Saya bukan pihak yang bertanggungjawab dengan siasatan itu, bagaimana saya boleh tahu. Sebagai menteri, saya tidak campur tangan dalam siasatan," katanya.

Mengulas ura-ura polis akan menahan Anwar hari ini, Syed Hamid berkata semua pihak hendaklah membiarkan perkara tersebut berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Biarlah ia berlaku mengikut proses. Undang-undang kita menetapkan bahawa Anwar tidak bersalah sehingga beliau dibuktikan (bersalah). Tiada dakwaan setakat ini terhadapnya," katanya.

-- BERNAMA

Pemuda MIC Kembali Pulih, Kata Ketua Baru

BERNAMA
31 Julai, 2008 17:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pemuda MIC, yang dilanda krisis kepimpinan sejak beberapa bulan lepas, kini sudah pulih selepas pelantikan penyandang jawatan di peringkat kebangsaan dan negeri, kata ketua barunya T. Mohan hari ini.

Katanya kesemua pemimpin baru Pemuda telah mengadakan mesyuarat exco pertama dan semua bersetuju untuk melupakan masalah yang melanda sayap MIC itu dan berusaha dengan semangat jitu untuk menjadikan pergerakan itu lebih relevan.

"Peranan pertama kita adalah untuk menarik kira-kira 5,000 ahli baru. Kita tidak lihat matlamat ini sukar dicapai. Kami juga mengadakan sesi percambahan idea di Cameron Highlands hujung minggu lepas dan maklum balas yang diterima amat menggalakkan.

"Kita akan mengadakan pejabat pentadbiran sendiri dan bilik latihan untuk melahirkan pemimpin muda di tingkat tujuh ibu pejabat MIC di sini," katanya pada sidang media di sini..

Mohan menjelaskan bahawa dengan pelantikan pemimpin Pemuda, Majlis Penasihat Pemuda MIC yang diketuai oleh bekas timbalan ketua Pemuda, S. Ramis akan terus memainkan peranan sebagai badan penasihat sayap itu.

Pemuda MIC dilanda krisis sejak beberapa bulan lepas selepas Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), menasihatkan bekas pemimpin yang telah mencapai umur 41 supaya berundur dari memegang jawatan walaupun tempoh perkhidmatan mereka belum berakhir.

Keputusan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin termasuk Ketua Pemudanya S. A. Vigneswaran meletakkan jawatan dan keluar parti.

Mohan juga berkata presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu telah bersetju dengan pelantikan pemegang jawatan dalam Pemuda kebangsaan dan peringkat negeri.

Sementara itu, Samy Vellu telah diberi taklimat oleh Yayasan Tekun Nasional mengenai skim pinjaman pembangunan usahawan muda kaum India berjumlah RM3 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Usahawan muda diberi pinjaman antara RM500 hingga RM10,000. Peminjam perlu berusia di bawah 40 tahun serta mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat dan permohonan pinjaman akan diproses dalam tempoh 14 hari.

SENARAI PEMIMPIN PEMUDA KEBANGSAAN DAN NEGERI

----------------------------------------------

Pemuda MIC Kebangsaan:

Ketua: T.Mohan

Timbalan:S. Murugesan

Setiausaha: C. Shivarraaj

Penolong Setiausaha: R. Vengadasalam

Setiausaha Eksekutif: M. Nitesh

Bendahari: S. Ganesan

Ketua Penerangan: T.M.Selvam

Ketua Pemuda MIC Negeri:

M. Yogeswaran (Selangor), B. Pannier Selvam (Johor), S.K. Suresh (Kedah), M. Suresh (Pulau Pinang), G. Shanmugiavallo (Perak), G. Shanker (Kelantan), G. Padmanathan (Wilayah Persekutuan), P.Shanmugam (Melaka), K Murali (Negeri Sembilan), G. Ramesh (Pahang), Dr Hari Ram (Perlis), M. Taren Sunil (Sabah), P. Ramachandran (Terengganu).

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...