Monday, April 6, 2009

Mahathir tidak lupa Anwar di Bkt Gantang - MalaysiaKini

Apr 6, 09

Tun Dr Mahathir Mohamad mencecahkan kaki di kawasan parlimen Bukit Gantang pada hari akhir kempen pilihanraya kecil di situ dengan membidas bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak ada orang yang saya angkat (begitu tinggi), angkat sehingga dia sampai ke langit, tinggal sikit lagi sahaja (untuk jawatan perdana menteri), tapi (dia) tidak tahan, tidak boleh tunggu, nak juga bagi saya jatuh cepat-cepat," katanya.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 01"Jadi, orang yang semacam ini kalau kita angkat, kita akan dapat nasib macam sayalah. Sampai dia naik atas, dia tendang jatuh semua tangga-tangga."

Merujuk penyisihan yang dialaminya dalam era pentadbiran penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan perdana menteri itu bagaimanapun tidak meneruskan kecamannya.

Beliau hanya berkata "kita tahulah siapa orang yang saya cakap ini."

"Bila dia (Anwar) pergi tempat ini, dia jadi orang ini. Bila dia pergi tempat lain, dia jadi orang lain. Dia sokong orang India, tapi kalau dia pergi tempat lain, jumpa orang Melayu, dia kata orang India ini jahat," katanya.

"Demikian juga bila jumpa orang Cina, oh orang ini, orang itu jahat, (mereka) tidak layan langsung kehendak orang Cina. Ini tidak benar."

Anwar juga ditempelak berhubung usahanya menumbangkan kerajaan persekutuan pada 16 September lalu.

Ucapan Dr Mahathir di Batu 2.5 Jalan Simpang dalam kawasan parlimen itu lebih kurang 40 minit disiarkan secara langsung melalui TV1 mulai kira-kira jam 11 pagi.

Selain menggesa pengundi menyokong calon BN Ismail Saffian - yang kemudian tampil berdiri di sebelahnya dan tangannya dijulang oleh tokoh Umno itu - Dr Mahathir turut membidas calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya "patik mohon derhaka" kepada Sultan Perak.

Dengan mengakui kesilapan BN meletakkan "calon luar", Datuk Azmi Zabidi yang juga bendahari Umno, pada pilihanraya umum lalu, Dr Mahathir berkata: "bukan tidak ada bakat di sini, ada."

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 02"Saya tidak mahu mengata sangat kepada parti lawan, ... tidak payahlah, semua sudah tahu, siapa dia parti lawan, semua sudah tahu, ... ada yang derhaka pun ada," katanya, disambut jeritan para penyokongnya.

"(Mengajuk kata-kata Mohammad Nizar:) 'saya pohon derhaka'. Cukup special. Tidak pernah dengar perkataan ini sejak (peristiwa) Sultan Mahmud mangkat dijulang, inilah kali pertama kita dengar," katanya di depan kira 2,000 orang.

"Mujurlah dia tidak ada tombak nak sula. Inikah orang nak jadi pemimpin kita?

"Kalau tidak bersetuju (kepada raja), kita tidak bersetuju, OK. Tapi jangan sampai kata mohon menderhaka. Wah, bukan main, besar."

Dr Mahathir juga mendakwa Mohammad Nizar, sewaktu menjadi menteri besar Perak, memperkenalkan dasar pemberian tanah kepada komuniti Cina untuk mempopularkan dirinya sendiri dan bukan jujur untuk membantu masyarakat.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 03Dalam perhimpunan tersebut, beliau juga menyeru kepada ahli dan penyokong Umno yang telah meninggalkan parti itu agar kembali bersama parti itu.

Dr Mahathir juga menyatakan keyakinan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baru, sambil menceritakan bagaimana bapa presiden Umno itu pernah menerima borang keahliannya pada awal 1970-an selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman.

Bekas presiden Umno itu juga meminta rakyat menolak demonstrasi dengan alasan ia tidak membawa sebarang manfaat untuk memajukan negara.

Selepas acara pagi ini, Dr Mahathir dijadual turun berkempen kira-kira 3 petang ini di DUN Bukit Selambau yang menyaksikan persaingan calon PKR S Manikumar dan S Ganesan (BN) bersama 13 lagi calon bebas.

Gantung: Harakah rugi RM400,000 - MalaysiaKini

Ali Bukhari Amir | Apr 6, 09 4:16pm

Walaupun lega dengan penarikan balik penggantungan Harakah pada Jumaat lepas, tetapi sidang pengarangnya tetap kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengakibatkan ia mengalami kerugian besar.

Akhbar dwi-mingguan PAS itu - terbit setiap Isnin dan Jumaat - gagal diterbitkan selama tiga keluaran sejak arahan itu dikuatkuasakan serta-merta 23 Mac lalu.

Menurut satu sumber akhbar itu, selain kerugian RM300,000 hasil jualan akhbar, ia juga kehilangan RM100,000 pendapatan iklan dalam tempoh tersebut.

Sumber yang sama menyebut, ia juga mengalami kerugian setelah mencetak 50,000 keping pelekat dan 30,000 poster kempen 'Bebaskan Harakah' bagi membantah tindakan KDN itu.

PAS melancarkan Hujjah mulai Jumaat lepas sebagai menggantikan Harakah - hari yang sama perdana menteri baru Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penarikan balik arahan kementerian tersebut.

Selepas pengumuman itu, tabloid politik berusia 22 tahun itu diterbitkan seperti biasa mulai hari ini - dengan ketebalan 56 halaman dan harga kekal RM2 senaskhah.

Akhbar baru PAS itu dicetak lebih 100,000 naskhah, termasuk untuk menghadapi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang yang ditandingi calonnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Selang 12 jam sebelum pengumuman mengejut Najib itu, KDN merampas Hujjah, yang tidak mempunyai permit penerbitan, di beberapa tempat di seluruh negara.

Kira-kira 1,300 naskhah tabloid politik itu dirampas di Bukit Mertajam, sementara pegawai kementerian itu merampas filem reka bentuk akhbar tersebut di syarikat percetakannya di Shah Alam.

Maklumat lengkap rampasan di tempat-tempat lain belum diperolehi, kata sumber kepada Malaysiakini.

Walaupun kerajaan telah membatalkan tindakannya terhadap Harakah, tetapi kempen untuk kebebasan media alternatif akan diteruskan, kata pengarang berita Harakah Tarmizi Mat Jam.

"Semua pihak mesti sedar bahawa tindakan Najib baru-baru ini bukanlah pembaharuan, ia hanya tindakan politik.

"Dan, itu bukanlah tindakan politik yang bijak," katanya.

PAS ramal bolot 60% undi menewaskan calon BN di Bukit Gantang

Petikan daripada PAS ramal bolot 60% undi menewaskan calon BN di Bukit Gantang

PAS dan BN masing-masing merasa calon mereka menang di Parlimen Bukit Gantang berdasarkan perkembangan terakhir menjelang hari mengundi esok, lapor Muda Mohd Noor dari Malaysiakini.

PAS meramalkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menang dengan mendapat 60 peratus sokongan pengundi, termasuk sokongan padu pengundi kaum Cina yang berjumlah kira-kira 15,000 orang.

Umno pula mendakwa kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membantu berkempen calon BN, Ismail Saffian pagi tadi akan menarik sokongan pengundi Melayu serta pengundi atas pagar.

Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa ketika dihubungi hari ini berkata, Mohamed Nizar yang juga menteri besar Pakatan di Perak, boleh menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,000 undi.

"Kedudukan terkini ialah Datuk Seri Mohd Nizar mendapat sokongan padu dari pengundi kaum Cina. Majoriti pengundi Cina bersama kita... trend sekarang sama dengan pilihanraya umum 8 Mac lalu.

“Pengundi Cina kata Mohamed Nizar akan menang sehingga 5,000 undi tetapi saya berpendapat tidak sampai sebanyak itu,” katanya kepada Malaysiakini. Norazli juga menegaskan, pengundi Melayu yang menyokong bekas ahli Parlimen Roslan Saharum dalam pilihanraya umum lalu, akan terus mengundi Mohd Nizar esok.

“Tiada tanda-tanda mereka akan mengundi calon BN. Kita akan dapat apa yang diperolehi sebelum ini,” katanya. Menurutnya, kehadiran Dr Mahathir tidak memberi kesan besar kepada sokongan untuk PAS di kalangan pengundi Melayu. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang, Mohd Saadin Yusof pula berkata, ramai pengundi Cina yang akan mengundi Ismail, esok.

“PAS tidak akan dapat apa yang mereka perolehi dalam pilihanraya umum lalu kerana mereka akan mengundi BN. Maklumat ini berdasarkan risikan yang kita lakukan di kalangan pengundi Cina di sini (Bukit Gantang),” katanya.

Mohd Saadin juga berkata, pengundi atas pagar menyebelahi calon BN kali ini. Katanya, dalam pilihanraya umum lalu, BN tidak mendapat sokongan dari pengundi atas pagar. Bagaimanapun, beliau tidak tahu jumlah pengundi atas pagar itu tetapi mengatakan ia ramai.

“Orang Melayu akan lebih ramai mengundi Ismail kerana mereka marah dengan hubungan Mohd Nizar dan pemimpin DAP terutama sekali Nga Kor Ming. Satu lagi, penyokong Adun Changkat Jering, Osman Jailu yang sebelum ini mengundi PAS akan menyokong Ismail.

“Osman sendiri turut membantu calon BN. Ini bermakna undi untuk Mohd Nizar akan berkurangan berbanding yang diperolehi oleh Roslan Saharum,” katanya.

S'gor tuntut pulangkan RM9.9 juta wang Balkis - MalaysiaKini

Apr 6, 09 1:36pm

Kerajaan negeri Selangor meminta Jabatan Insolvensi memulangkan RM9.9 juta dana milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kepadanya.

Ini kerana dana tersebut merupakan hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Ahmad.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor menulis surat rasmi kepada jabatan tersebut hari ini untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan dana RM9.9 juta milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).

Surat bertarikh 6 April dihantar melalui pejabat peguam yang telah dilantik.

Dalam surat itu, katanya, kerajaan negeri antara lain meminta pengesahan jika benar Jabatan Insolvensi sedang mengendali dana tersebut.

Minggu lalu, pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Selangor, Tairah Yusof telah memberitahu siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) bahawa wang tersebut sedang dikendalikan oleh Jabatan Insolvensi.

"Jika benar dana tersebut ada dalam pengendalian Jabatan Insolvensi Malaysia, (maka) kerajaan negeri Selangor meminta agar dana tersebut diberi dan diamanahkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan sewajarnya.

"Perlu ditegaskan di sini, kerajaan negeri Selangor mempunyai tanggungjawab terhadap dana RM9.9 juta tersebut memandangkan dana tersebut adalah, antara lain, hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri," katanya.

Tambahan pula, tegas Nik Nazmi, mengikut nasihat undang-undang yang diberi kepada kerajaan negeri, pembubaran Balkis adalah salah di sisi undang-undang.

Kerajaan negeri Selangor berharap Jabatan Insolvensi akan bersikap profesional dalam mengendali kes ini dengan memberi pengesahan yang diperlukan secepat mungkin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...