Friday, August 22, 2008

Harga petrol RON97 turun 15 sen - MALAYSIAKINI

Aug 22, 08 5:27pm

Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter berkuatkuasa esok.

Pada masa ini, harga minyak petrol RON97 adalah RM2.70 seliter.

Manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Harga diesel pula diturunkan 8 sen, daripada RM2.58 kepada RM2.50 seliter.

Penurunan harga bahan bakar itu berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan hari ini.

bm version fuel petrol diesel price hike reduction 220808

Berikut adalah kenyataan penuh

Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan Julai 2008.

Sehubungan itu, Kerajaan ingin mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen iaitu daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter.

Pada masa yang sama, harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter. Harga-harga berkenaan ditentukan dengan mengambil kira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos 2008 hingga 21 Ogos 2008, serta penetapan subsidi 30 sen seliter, untuk kedua-dua RON97 dan RON92.

Di samping itu, Kabinet juga mengambil keputusan untuk mengurangkan harga runcit diesel sebanyak 8 sen seliter, iaitu daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.

Berdasarkan harga RM2.50 seliter ini, subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan untuk diesel ialah sebanyak 50 sen setiap liter. Pelarasan harga runcit petrol dan diesel ini akan berkuatkuasa mulai esok, 23 Ogos 2008.

Sebagaimana yang diumumkan hari ini, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Julai 2008 berbanding Julai 2007 meningkat pada kadar 8.5 peratus.

Adalah menjadi harapan Kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan Kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.

Pada 1 Ogos 2008, Kerajaan telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.

Namun, formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter. Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter.

Anwar 'diserang' bekas orang kuatnya... MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Aug 22, 08 3:17pm Seorang lagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim `menyerang' penasihat PKR itu, dalam kempennya membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

saidatul badru tun said keruakBekas Naib Presiden PKR, Saidatul Badru Said Keruak berkata, negara akan menjadi huru-hara jika Anwar berkuasa atau menjadi perdana menteri.

Ketika berkempen membantu calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, beliau berkata, jangan sesekali memberi kemenangan kepada Anwar dalam pilihanraya kecil ini.

Saidatul Badru berkata, beliau sangat kecewa cara Anwar mengendalikan PKR dan mendakwa, pemimpin pembangkang itu mahu membalas dendam kepada orang Sabah.

"Saya tidak tahu sebabnya, tetapi dia menawarkan jawatan pengerusi PKR negeri kepada Jeffrey Kitingan yang sebelum ini dipegang oleh orang Islam," katanya.

Ketika ditemui di Seberang Jaya semalam, Saidatul Badru berkata, sepatutnya Anwar mengambil daya usaha menyatukan umat Islam di seluruh negara dan bukannya membiarkan ia terus berpecah.

Tidak bertanding

Katanya, atas alasan itu, beliau mengambil keputusan meninggalkan PKR dan kembali ke pangkuan Umno sebulan lalu.

Semasa bersama PKR, beliau pernah menjadi pengerusi perhubungan negeri dan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar dalam pilihanraya umum 2004

Bagaimanapun, anak bekas ketua menteri Sabah itu tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.

Semalam bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor turut berkempen membantu calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ezam berkata, beliau berceramah siang malam sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu untuk mendedahkan siapakah Anwar sebenarnya.

Pilihanraya Permatang Pauh menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Anwar, Arif Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Arif nafi, PKR mahu SPR batal kelayakan calon BN tanding - MSTAR ONLINE

22-08-2008 09:43:03 PM
Oleh G. MANIMARAN

PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) telah membayar duit kepada bukan pekerja jentera pilihan raya, yang menurut parti itu satu bentuk rasuah, dan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Berdasarkan laporan media hari ini (akhbar bahasa Cina), Arif Shah mengaku membayar duit kepada mereka yang bukan merupakan pekerja jentera pilihan raya.

"Membayar duit kepada mereka yang bukan pekerja adalah satu bentuk rasuah walaupun Arif Shah mengatakan ia bertujuan mendapatkan maklumat.

"Justeru, kami mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) siasat perkara ini dan membatalkan kelayakan beliau bertanding," kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua beliau pada sidang media harian di sini pagi ini.

Kempen pilihan raya kecil masuk hari ketujuh hari ini.

Tian Chua berkata, pengakuan Arif Shah dalam akhbar sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun Arif Shah yang ditemui mStar Online selepas sidang media itu memberitahu, beliau tidak pernah berbuat demikian.

"Saya tidak bayar sesiapa. Saya sendiri pun tiada pekerja jentera. Jentera pilihan raya pula diuruskan oleh Umno Bahagian (Permatang Pauh).

"Dana saya terhad, macam mana saya hendak bayar jika saya tiada pekerja jentera," kata beliau.

Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata, beliau ada berhubung dengan jentera pilihan raya Bahagian Permatang Pauh yang mengumpulkan maklumat daripada mereka yang bukan merupakan jentera pilihan raya.

"Mungkin mereka bayar, saya tidak tahu. Tapi bukan saya yang bayar," katanya.

Antara maklumat yang diperoleh ialah sentimen pengundi dan masalah yang mereka hadapi ketika tempoh berkempen, untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Maklumat seumpama itu dikumpulkan oleh jentera pilihan raya Permatang Pauh dan disalurkan kepada beliau setiap hari untuk tindakan susulan.

Jelas Tian Chua, maklumat yang diperoleh menunjukkan Arif Shah membayar antara RM100 dan RM500 setiap pekerja.

Beliau tidak pasti berapa pengundi yang telah dibayar setakat ini.

Jika ditanya sama ada SPR boleh membatalkan kelayakan serta-merta sebelum 26 Ogos, beliau berkata, peruntukan undang-undang adalah jelas dan sepatutnya SPR berbuat demikian.

"Melainkan Arif Shah menafikan laporan akhbar. SPR perlu menyiasat perkara ini dan batalkan status calon Arif Shah," katanya lagi.

Kata Tian Chua pihaknya telah memaklumkan kepada badan pemantau pilihan raya, Mafrel dan aduan rasmi akan dikemukakan kepada SPR esok.

Kerajaan Negeri Perak Mahu BPR, Media Mohon Maaf Dalam Tempoh 24 Jam - BERNAMA

22 Ogos, 2008 19:09 PM

IPOH, 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak hari ini memberi tempoh 24 jam kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang telah mencemarkan nama baik dua anggota Exconya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang media bersama selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang dengan meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang telah membuat dan menyiarkan laporan mencemarkan nama baik dua anggota Exco berkenaan.

Hadir sama di sidang media itu ialah Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Nga Kor Ming serta kedua-dua Exco terbabit.

Sementara itu, Ngeh berkata BPR dalam kenyataan kepada media mengatakan seorang daripada Exco yang ditahan terlibat dalam rasuah membabitkan RM100,000 untuk satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini serta rasuah seks.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata dua anggota Exco kerajaan negeri Perak yang dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan tidak perlu digantung tugas bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya penggantungan tugas kedua-dua Exco itu tidak perlu kerana dakwaan mereka terbabit dalam kes berkenaan tidak dibuktikan.

"Kita akan benarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan mengikut ketetapan dan fitrahnya. Kita tidak akan menghalang proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata tidak ada peraturan dalam perkhidmatan kerajaan yang menetapkan mereka yang ditahan reman berhubung sesuatu kes perlu digantung tugas.

Katanya pentadbiran kerajaan negeri juga tidak terjejas dengan penahanan reman dua anggota Exco berkenaan, sebaliknya mereka masih meneruskan tanggungjawab dan menghadiri mesyuarat mingguan kerajaan negeri hari ini yang berlangsung mulai 10 pagi selepas dibebaskan.

"Kita akan meneruskan kerja-kerja kita sebagaimana yang diberikan mandat oleh rakyat negeri Perak untuk kita mentadbir dan kita mahu menyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa kerajaan negeri tetap melawan dan menentang apa-apa elemen rasuah serta apa-apa sahaja penyalahgunaan kuasa," katanya.

Semalam Mahkamah Tinggi di sini membebaskan seorang anggota Exco kerajaan negeri dan empat yang lain yang ditahan reman oleh BPR manakala hari ini seorang lagi anggota Exco dibebaskan daripada tahanan reman yang dikenakan terhadapnya.

BPR menahan enam lelaki iaitu dua anggota Exco, dua ahli perniagaan, seorang anggota Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang berumur antara 30 dan 57 tahun berhubung kes berkenaan.

Siasatan kes itu turut melibatkan rasuah seks.

Dalam sidang akhbar berasingan, dua anggota exco kerajaan negeri Perak yang dikaitkan dengan kes itu menuntut media yang mengeluarkan laporan berhubung kes rasuah itu menarik balik kenyataan berkenaan serta menyiarkan kenyataan memohon maaf selain membuat penjelasan bagi membersihkan nama mereka dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya permohonan maaf terbabit tidak dilakukan dalam tempoh 24 jam, mereka akan memfaikan saman sebanyak RM100 juta kepada pihak berkenaan.

-- BERNAMA

Rumah Pengendali Blog Malaysia Today Diserbu Polis - BERNAMA

22 Ogos, 2008 18:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Rumah pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, pagi ini diserbu polis berhubung siasatan akuan berkanun seorang doktor Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang didakwa membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekumpulan polis menggeledah rumahnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada pukul 8 pagi ini dan meninggalkan kediaman tersebut dua jam kemudian.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen yang diyakini dapat membantu siasatan.

Difahamkan, penulis blog kontroversi itu akan disiasat polis selepas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Pada 1 Ogos lepas, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, seorang warganegara Myanmar dikatakan telah memfailkan akuan bersumpah mempertahankan laporan perubatannya yang mendapati Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat.

Mohd Saiful telah diperiksa oleh Dr Osman sebelum membuat laporan polis pada 28 Jun mendakwa dirinya telah diliwat Anwar.

-- BERNAMA

Harga Petrol Dan Diesel Turun Mulai Sabtu, Umum Abdullah - BERNAMA

22 Ogos, 2008 17:49 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Harga diesel dan petrol akan turun antara lapan sen dan 22 sen seliter mulai Sabtu, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Harga runcit diesel akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter, katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Harga baru bahan api itu ditentukan dengan mengambilkira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos hingga 21 Ogos serta penetapan subsidi 30 sen seliter manakala subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel berdasarkan harga baru itu ialah sebanyak 50 sen setiap liter.

"Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru," katanya.

Abdullah berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan lepas.

Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan lepas berbanding Julai 2007, yang diumumkan hari ini, meningkat pada kadar 8.5 peratus.

"Adalah menjadi harapan kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa," katanya.

Pada 1 Ogos, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.

Namun, Perdana Menteri berkata formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter.

Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter, katanya.

Pada 5 Jun lepas, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.

Ketika itu, harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong. Selepas itu harga minyak mentah dunia terus melonjak dan ada ketikanya mencecah sehingga US$140 setong.

Bagaimanapun, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend penurunan sejak awal bulan ini.

Kenyataan itu tidak menyebut purata harga minyak mentah dunia antara 1 Ogos hingga 21 Ogos.

Mengikut rekod, harga minyak mentah dunia adalah sekitar US$115 setong minggu lepas dan semalam harganya US$121 setong.

Dengan pengumuman baru itu, peratusan harga petrol RON97 turun sebanyak 5.5 peratus, petrol RON92 sebanyak 8.4 peratus dan diesel sebanyak 3.1 peratus.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...