Thursday, April 1, 2010

Influenza: Tiga sekolah di Langkawi diarah tutup

01/04/2010 7:54pm

LANGKAWI 1 April - Tiga buah sekolah di Langkawi diarah ditutup kerana terdapat pelajarnya mengalami simptom demam, batuk dan selesema seperti influenza.

Jurucakap Pejabat Kesihatan Langkawi berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, yang diarah ditutup sejak Selasa manakala Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup semalam, dengan kedua-duanya dijadual dibuka semula pada Ahad ini.

Sebuah lagi sekolah, iaitu Sekolah Menengah Teknik Langkawi yang diletakkan dalam pengawasan oleh Jabatan Kesihatan turut diarah ditutup hari ini sehingga Isnin, katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya seramai 208 pelajar dari tiga sekolah berkenaan menerima rawatan kerana mengalami simptom itu.

Beliau berkata mereka dirawat mengikut prosedur biasa sebagai pesakit luar dan tiada kes serius berlaku semasa rawatan itu dibuat.

Pihaknya masih menunggu keputusan sampel yang diambil daripada pelajar yang terkena jangkitan, yang diuji di makmal Hospital Sungai Buloh, Selangor, sama ada ia berkaitan dengan jangkitan Influenza A (H1N1) atau tidak.

Sementara itu, Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi mengeluar arahan kepada 28 buah sekolah menengah dan rendah di Langkawi bagi meningkatkan program pencegahan di kalangan pelajar masing-masing

Calon Hulu S'gor: Zaid antara dipanggil Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

Rombakan kabinet: Soi Lek membisu idamannya

Presiden baru MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata beliau belum dapat menyatakan nama anggota parti itu yang akan disyorkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk diberi jawatan menteri.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau akan menyediakan senarai berkenaan hanya selepas Perdana Menteri menetapkan tarikh untuk bertemu dengannya.

Bercakap kepada pemberita selepas meraikan menteri dan timbalan menteri daripada MCA pada majlis jamuan tengah hari di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, beliau berkata bahawa mereka ini seharusnya menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Chua menggesa mereka agar tidak terpengaruh oleh spekulasi media tentang kedudukan masing-masing.

MCA mempunyai empat menteri dan tujuh timbalan menteri dalam pentadbiran kerajaan sekarang.Tidak hadir

Tidak hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk, Seri Ong Tee Keat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng.

Pada pemilihan MC
A Ahad lalu, Chua mengalahkan Ong dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting bagi bagi menerajui parti itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha pula dikalahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pertandingan bagi jawatan timbalan presiden manakala Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen mengekalkan jawatan naib presiden.

Ditanya sama ada beliau akan ditawarkan jawatan menteri, Chua berkata: "Saya akan maklumkan kepada anda."

Chua, yang menang dengan majoriti 68 undi, berkata beliau mengutamakan perpaduan parti berbanding kepentingan lain.

"Perkara paling penting adalah perpaduan parti, bukan jawatan Kabinet. Saya mahu tumpukan kepada MCA dan menyatupadukan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengenai pemilihan Kong bagi mengetuai jentera pilihan raya MCA bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Chua berkata Kong orang paling layak bagi tugas itu memandangkan kawasan Parlimen berkenaan mempunyai 17,000 pengundi Cina.

"Ini bukan soal sama ada ia adalah peluang bagi beliau untuk membuktikan kemampuan diri. Ini satu tanggungjaab baginya," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...