Saturday, March 19, 2011

DUN Sarawak bubar Isnin ini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan Isnin ini, dan notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.


Sehubungan pembubaran itu, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam masa 60 hari.

Khabar angin juga bertiup kencang bahawa hari pengundian akan jatuh pada 16 April. Bagaimanapun masih belum jelas bilakah tarikh penamaan calon dijalankan kerana ia bergantung kepada tempoh berkempen.

Menurut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh untuk hari penamaan dan penamaan calon.

Bagaimanapun, dijangkakan tempoh berkempem selama lapan hari berdasarkan amalan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Dalam pilihan raya pada Mei 2006m BN hilang lapan kerusi kepada pembangkang. Enam dimenangi DAP dan masing-masing satu untuk PKR dan bebas.

Kit Siang: S'wak bakal pelengkap tsunami 2008

Pilihan raya negeri yang bakal diadakan akan menjadi "kemuncak" yang melengkapkan tsunami politik yang melanda pilihan raya umum 2008 di semenanjung Malaysia, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, DAP yang mempunyai enam kerusi DUN di Sarawak telah membuat persiapan rapi bersama rakan komponen dalam Pakatan Rakyat untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya tidak mahu meramal berapa kerusi kita boleh menang, Namun, pilihan raya Sarawak 2006 menandakan satu permulaan untuk perubahan yang diikuti oleh tsunami politik di Semenanjung pada tahun 2008. 

"Kali ini kami berharap ia akan menjadi kemuncak tsunami politik untuk perubahan Malaysia khususnya di Sarawak," kata Lim.

Lim juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tempoh berkempen yang "lebih daripada seminggu' dengan mengambil kira saiz negeri yang terbesar di Malaysia itu dan masalah logistik untuk menyampaikan mesej di kawasan luar bandar.

"Kita harap tempoh yang cukup diberikan untuk berkempen, bukannya hanya satu minggu kerana ini tidak munasabah dan tidak adil. Namun ini yang kita khuathir kerana (kita tahu) SPR bukannya satu badan yang bebas seperti yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menyifatkan pilihan raya negeri Sarawak sebagai detik yang paling penting untuk masa depan anak negeri itu.

Dominique: Kali ini berlainan
"Inilah masa untuk membuat perubahan. Perubahan ini bukan untuk kami, tetapi untuk anda sekalian," kata Khalid kepada wakil-wakil penduduk Penan dari Baram, Sarawak.

Manakala ADUN Padungan Dominique Ng - satu-satunya wakil PKR dalam DUN Sarawak - yakin Pakatan mampu mengubah landskap politik Sarawak bersandarkan sentimen politik .

Beliau berkata Pakatan Rakyat tidak lagi menampilkan diri sebagai pembangkang semata-mata tetapi sebagai sebuah gagasan yang mampu mengubah nasib penduduk Sarawak, jika diberi mandat.

"Kali ini agak berlainan kerana kita akan bertanding di semua 71 kerusi DUN Sarawak dan kita harap kali ini kita boleh bawa perubahan yang terbesar sekali di Bumi Kenyalang iaitu untuk membebaskan Sarawak daripada BN," kata beliau.

BN kini menguasai 63 kerusi di DUN Sarawak , dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu pimpinan Taib menang 35 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) 12 kerusi.

Dua parti komponen lain dalam BN Sarawak, iaitu Parti Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.

Pakatan Rakyat pula mempunyai tujuh kerusi, enam daripadanya dimiliki DAP enam dan satu lagi oleh PKR. Parti Cinta Malaysia (PCM) memiliki satu kerusi.

DUN Sarawak bubar Isnin ini, umum Taib

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, demikian diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Katanya, beliau sudah menyampaikan notis mengenai pembubaran itu kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng baru-baruini.



"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan
pengundian," katanya pada persidangan akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di
Lapangan Antarabangsa Kuching di sini.

Pengumuman Taib itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri.
DUN Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini,
turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau 
bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana
tidak dapat dilaksanakan.

Ditanya sama ada penyerahan pentadbiran negeri kepada kepimpinan baru dijangkakan pada pertengahan penggal, beliau berkata, perkara itu mungkin.

"Ia mungkin. Saya harap semua orang akan bersetuju," kata Taib.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping sudah diminta oleh pucuk pimpinan BN supaya mengetuai jentera pilihan raya negeri.

Ketika mengulas isu yang sama, Najib berkata, Taib memerlukan sedikit masa untuk
memastikan siapa penggantinya yang boleh menjamin kestabilan dan kekuatan BN dan
kerajaan akan berterusan.

"Saya cakap secara (terus) terang bahawa Taib dan saya dah ada persefahaman
bahawa apa yang penting ialah peralihan secara tersusun dan teratur," katanya.

Dalam menentukan tidak berlaku sebarang pengolakan, beliau berkata Taib,
yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta supaya
mengetuai pilhan raya pada kali ini.

"Bila sampai pada masa yang sesuai Taib akan memaklumkan kepada saya," kata
Pengerusi BN itu.

Semalam, Taib memberitahu pemberita supaya tunggu sehari lagi untuk beliau
membuat pengumuman berkaitan pilihan raya negeri selepas spekulasi mengenai
pembubaran dewan undangan negeri semakin memuncak berikutan pertemuan beliau
dengan Yang Dipertua Negeri. 

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri
selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong
Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak 
(SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang
pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, menghadiri
pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini. - BERNAMA

Adeno: seorang lagi pelatih Pulapol dimasukkan ke ICU HKL

KUALA LUMPUR 19 Mac — Seorang lagi pelatih Inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus ”Adeno”.

Pelatih itu dimasukkan ke ICU kira-kira 8.30 pagi tadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih Konstabel lelaki dan dua pelatih Inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga semalam.

Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih Inspektor lelaki, 11 pelatih Inspektor wanita dan empat pelatih Konstabel lelaki, manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang.
Untuk maklumat lanjut, anggota keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas Pulapol. — Bernama

Rakyat M'sia selamat diri atas bukit di Sendai

Seorang rakyat Malaysia di Sendai, Jepun terpaksa menyelamatkan diri dan keluarganya di atas sebuah bukit yang berhampiran selama lima hari dan berkongsi makanan dengan ratusan keluarga Jepun
yang lain.

"Nasib baik saya ada bawa sedikit makanan semasa melarikan diri ke atas bukit. Bila makanan sudah habis, orang-orang di situ memberikan makanan mereka kepada kami.

"Kami berkongsi apa yang ada, sebab kami tidak boleh keluar dari bukit itu. Kemudiannya apabila keadaan dirasakan selamat, baruah kami pergi ke Tokyo untuk pulang ke Malaysia," kata Yeoh Lian Chun, 29, seorang jurubahasa di sebuah kilang mesin di Sendai.

Beliau bersama keluarganya adalah antara rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini dari Tokyo.

Yeoh dan isterinya warga China, Chang Miao, 29, anak-anak mereka Yeoh Yun Ci, 3, dan Yeoh Hao Han, 11 bulan, tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH 89 pada pukul 5 petang tadi.

Yeoh dari Sungai Petani, Kedah menyifatkan pengalamannya menghadapi gempa bumi dan tsunami yang berlaku di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu sebagai menakutkan dan sukar dilupai.

"Bila amaran tsunami dikeluarkan, semua pekerja keluar dari kilang. Saya terus memandu ke rumah saya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Saya memang takut tentang keselamatan keluarga saya. Dari rumah saya terus membawa anak isteri saya ke tempat yang agak tinggi.

"Saya tidak berani bawa kereta lagi, jadi saya dan isteri membawa kedua-dua anak kami dengan berlari sekuat yang boleh ke tempat bukit yang saya anggap selamat.

"Saya hanya fikir untuk selamatkan anak dan isteri saya sahaja sebab mereka adalah segala-galanya bagi saya," katanya.

Yeoh yang bekerja sebagai jurubahasa selepas menamatkan pengajian selama lima tahun di Jepun berkata selepas keadaan dirasakan selamat barulah beliau dan keluarganya keluar dari kawasan bukit itu untuk ke Tokyo dengan menaiki bas sebelum pulang ke Malaysia.

Beliau juga tidak tahu dengan keadaan kilang tempatnya bekerja serta nasib rakan-rakannya kerana tidak dapat menghubungi mereka.

"Saya juga tidak tahu apa terjadi pada rumah saya," katanya.

Yeoh dan kelurganya juga disahkan bebas daripada kesan radiasi akibat kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi.

Yang turut pulang ialah Nabilah Ibrahim, 26, yang mengikuti pengajian peringkat Phd di Universiti Tohoku dalam jurusan Medical Ultrasonic Electronic.

Ketika kejadian beliau bersama rakan-rakannya sedang berada di dalam makmal perubatan dan meluru keluar dari bangunan makmal itu sebaik menyedari gegaran berlaku.

Bank Negara catu kad kredit

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan beberapa peraturan drastik bagi pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Peraturan baru itu dijangka memberi kesan kepada lebih 480,000 pemilik kad kredit di negara ini yang berada dalam segmen pendapatan itu.
Antara syarat yang dikuatkuasakan serta-merta itu ialah kadar kelayakan gaji minimum bagi setiap permohonan baru kad kredit dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.
Pada masa yang sama, mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun hanya dibenarkan memiliki kad kredit daripada dua buah bank sahaja.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jika seseorang itu mempunyai kad kredit daripada banyak bank, individu itu perlu memilih dua bank sahaja dan membatalkan kad kredit yang lain menjelang akhir tahun ini.
"Kepada mereka yang terpaksa membatalkan kad masing-masing di bawah syarat ini, mereka diberi masa dua tahun untuk melangsaikan baki kredit tanpa sebarang syarat daripada bank," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, syarat umur sekurang-kurangnya 21 tahun untuk memohon kad kredit dikekalkan.

BNM menyemak semula syarat permohonan dan pemilikan kad kredit bagi mengelak orang ramai terjerumus dalam kancah hutang. - Gambar hiasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...