Tuesday, June 10, 2008

Harga Minyak Malaysia Kini Antara Yang Termahal


PADA hari Sabtu, 7 Jun, akhbar The Star menyiarkan berita bertajuk “PM: Get true picture of global oil price hikes” (PM: Dapatkan gambaran sebenar mengenai kenaikan global harga minyak.)

Kata Abdullah Ahmad Badawi beliau berharap rakyat jelata memperoleh maklumat yang betul agar dapat memahami apa yang sedang dihadapi negara.

Setiap orang daripada kita, kata Perdana Menteri, mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam keadaan yang mencabar ini.

“Dengan itu, marilah kita menghadapi bersama cabaran ini dengan daya tahan demi kebaikan negara dan generasi akan datang.”

Tetapi rata-rata, reaksi rakyat jelata boleh disimpulkan begini — peranan kerajaan menarik balik subsidi minyak dan menaikkan harga minyak. Tanggungjawab kami adalah menganggung bebannya.

Mengambil ilham daripada seruan Perdana Menteri itu, saya melayari Internet untuk “mendapatkan gambaran sebenar” mengenai kenaikan 41 peratus harga minyak itu.

Sekarang fahamlah saya bahawa akibat kenaikan harga sebanyak 78 sen seliter pada tengah malam Rabu lalu itu, harga petrol kini RM2.70 seliter atau RM10.20 segelen Amerika (US gallon). Dalam Dolar Amerika, ia bersamaan AS$3.12 segelen (AS$0.82 seliter).

(Saya terpaksa mengubah kepada gelen dan Dolar Amerika kerana perangkaan global menggunakan ukuran gelen dan Dolar Amerika. Segelen Amerika bersamaan 3.785 liter. Kadar tukaran adalah RM3.27 kepada satu Dolar Amerika.)

Pada kadar AS$3.12 segelen, harga petrol di Malaysia adalah lebih murah daripada di Amerika Syarikat di mana harganya melepasi AS$4.00 (RM13.0 8) segelen.

Tetapi kita kena ingat Amerika jauh lebih kaya daripada kita. Mengikut Buku Fakta (Fact Book) Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, pendapatan purata berdasarkan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) rakyat Amerika adalah AS$46,000 tahun lalu.

Dalam bahasa yang mudah, jika pendapatan dibahagikan sama rata, setiap orang penduduk Amerika mempunyai kuasa membeli bernilai AS$46,000 berbanding kita sebanyak AS$14,400.

Itu pun bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli sebanyak AS$14,400. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kuasa membeli sebesar itu.

Majoritinya adalah berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah yang paling teruk menderita akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akan dicetuskan oleh kenaikan harga minyak. …more

http://kadirjasin.blogspot.com

Kubica julang BMW Sauber

MONTREAL - Robert Kubica meraih kemenangan sulung Formula Satunya (F1) di Grand Prix Kanada sekaligus merampas kedudukan pendahulu keseluruhan, kelmarin.

Kejayaan manis pelumba BMW Sauber Petronas itu bagaimanapun turut dibantu kesilapan besar Lewis Hamilton yang melanggar belakang kereta Kimi Raikkonen di laluan pit yang kemudiannya menyaksikan kedua-duanya terkeluar.

Ia satu hari yang hebat bagi pasukan BMW Sauber kerana selain memenanginya buat kali pertama dalam 42 perlumbaan, mereka turut menguasai kedudukan 1-2 dengan Nick Heidfeld di tangga kedua, di depan David Coulthard dari Red Bull Racing ketiga.

Kubica melintasi garisan penamat dengan kelebihan 16.4 saat di depan rakan sepasukannya itu seterusnya meraikan kejayaan dengan memeluk setiap orang yang berdekatan selepas keluar daripada keretanya.

Biarpun selepas dua kali menduduki tempat kedua musim ini, Kubica mungkin masih mencari kemenangan sulung seperti itu jika bukan kemalangan mengejut Hamilton di laluan pit.

Hamilton bermula di petak depan bagi tahun kedua berturut-turut di Litar Gilles Villeneuve dan mendahului sehingga kereta keselamatan keluar dan pendahulu berhenti di pusingan 19 daripada perlumbaan sebanyak 70 pusingan. Ia mengikuti

Adrian Sutil yang meletakkan kereta Force Indianya ke rumput di sisi litar.

Raikkonen yang masuk berlumba mengekori Hamilton dengan tiga mata dalam kedudukan kejuaraan dunia, keluar di depan pemandu McLaren, di samping Kubica yang berada di antara Hamilton dan Raikkonen.

Raikkonen dan Kubica berhenti bersebelahan pada satu lampu merah pada hujung lorong laluan dan Hamilton yang meningkatkan kelajuan, melanggar kereta Raikkonen, mematahkan sayap belakangnya. Nico Rosberg kemudian melanggar belakang kereta Hamilton.

Selepas perlumbaan, pegawai mengumumkan bahawa kedua-dua Hamilton dan Rosberg akan dihukum 10 posisi pada petak permulaan pada perlumbaan akan datang, Grand Prix Perancis.

Kedua-dua Hamilton dan Raikkonen dengan pantas memanjat daripada kereta yang rosak itu dan juara dunia dari Finland itu menepuk Hamilton pada helmetnya ketika berjalan melepasinya, menuding ke lampu. Hamilton yang marah dengan dirinya, menolak jatuh beberapa kamera dalam garaj McLaren.

"Dengan tiba-tiba, mereka berhenti. Ia sebenarnya bukan satu insiden perlumbaan, hanya salah satu daripadanya. Ia banyak berbeza daripada anda berlanggar ke tembok. Ia biasa berlaku. Ia lebih suka tiada sesiapa pun terkeluar. Yang akan datang," kata pemandu England itu.

Kubica tidak terjejas dalam nahas laluan lorong itu dan selepas setiap orang di lorong pendahuluan akhirnya membuat hentian pertama mereka, dia mendapati dirinya mendahului dengan baik pada pusingan ke-42.

- AP



KEADAAN kereta pelumba McLaren, Lewis Hamilton (kiri) selepas melanggar kereta pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen di laluan pit pada HGP Kanada di Montreal, kelmarin.
- Reuters

Zakaria pengurus baru Selangor

PETALING JAYA - Zakaria Ab. Rahim, bekas pegawai kanan sumber manusia sebuah syarikat di Johor dan pernah bermain di beberapa kelab amatur Manchester, England, dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak Selangor yang baru - jawatan yang pertama secara sepenuh masa di Malaysia, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Anak jati Keramat, Kuala Lumpur berusia 40 tahun ini yang turut mewakili beberapa pasukan belia Selangor pada 1990-an itu mengetepikan tujuh lagi calon yang disenarai pendek oleh panel penilai Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada April lalu.

Zakaria dilantik secara kontrak dua tahun dan akan mengendalikan bukan sahaja pasukan Liga Malaysia Selangor tetapi juga meliputi Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) dan Piala Belia (Bawah 19 Tahun) serta Akademi FAS dengan tugasan pertama menantinya ialah Piala Malaysia yang bermula esok.

Pelantikannya yang mengisi kekosongan ekoran peletakan jawatan Datuk Satim Diman pada Mac lalu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad di Yayasan FAS, Kelana Jaya, semalam selepas mendapat restu Presiden yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"FAS melantiknya kerana keberanian, keyakinan dan kesanggupannya menyahut cabaran selain cukup meminati bola sepak selain memiliki pelan pembangunan sukan ini. Dia meninggalkan satu jawatan tetap dan bergaji lumayan untuk mengambil risiko dengan tugas yang tidak dijamin kekal malah boleh disingkir jika prestasi buruk," kata Mokhtar yang juga pernah menyandang jawatan pengurus pasukan Gergasi Merah.

Bagi Zakaria, matlamat jangka pendeknya sekarang ialah memperkuatkan pasukan Selangor yang terlepas gelaran naib juara sehingga menduduki tempat keempat Liga Super, Mei lalu dalam menghadapi separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia yang membuka tirainya, bulan ini.

"Saya anak jati Selangor dan hanya kerana melanjutkan pelajaran ke luar negara yang menghalang karier saya sebagai pemain berkembang di negeri ini selepas mewakili pasukan bawah 21 tahun," katanya yang bermain di posisi penyerang dan sayap kanan.

Pernah bermain di 'Liga Ahad' Manchester dengan mewakili dan melatih kelab amatur BWT dan Bank Barclays selama menetap di Manchester, England kira-kira enam tahun, Zakaria berkata, "matlamat jangka panjang saya ialah membawa Selangor berjaya sebagai kelab Asia menerusi Piala AFC seterusnya ke Liga Juara-juara Asia.

"Saya juga percaya dengan latar belakang di Manchester itu, Selangor mampu menghasilkan pemain pasukan kebangsaan dan beraksi di liga Eropah malah jika diizinkan Allah, saya mahu menguruskan skuad negara," katanya yang cukup meminati penyerang legenda, Mokhtar Dahari dan kelab Liverpool.

Rebat dibayar Sabtu - Bayaran RM625 boleh ditunaikan16 hari lebih awal

PUTRAJAYA 9 Jun – Bayaran rebat tunai RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2000cc yang memperbaharui cukai jalan boleh dituntut di pejabat pos mulai Sabtu ini – 16 hari lebih awal daripada tarikh asal pembayaran, yang sebelum ini ditetapkan pada 1 Julai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah mempercepatkan bayaran itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

“Pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan pada bulan April dan Mei lalu boleh mendapatkan bayaran tersebut pada Sabtu ini, di mana-mana pejabat pos.

“Maklumat terperinci mengenai prosedur berkaitan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dalam langkah penstrukturan semula subsidi bahan api yang diumumkan 4 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan b ayaran rebat RM625 yang diberikan kepada pemilik kenderaan yang layak bagi mengimbangi kenaikan harga petrol dan diesel yang dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.

Bayaran RM625 setahun itu hanya terhad kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.

Bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui cukai jalan.

Bayaran tersebut meliputi kenderaan yang cukai jalannya diperbaharui antara 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selaras dengan keputusan kerajaan mengawal perbelanjaan awam, pemotongan sebanyak 10 peratus akan dikenakan ke atas Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 30000 (Aset) di bawah Perbelanjaan Mengurus 2008.

Pada sidang akhbar hari ini, Abdullah menghuraikan secara terperinci langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga petrol dan diesel termasuk memperketatkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, sebahagian besar perbelanjaan melibatkan aktiviti promosi dan kempen juga akan dipotong dengan jumlah sebenar ditentukan oleh Perbendaharaan.

Beliau berkata, pengwujudan jawatan baru perkhidmatan awam dibekukan kecuali jawatan kritikal yang membabitkan secara langsung bidang pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan.

Langkah tersebut, kata Perdana Menteri, juga membabitkan jawatan kritikal yang memberikan perkhidmatan kepada orang ramai khususnya bagi projek-projek yang telah siap seperti sekolah, hospital, klinik, balai polis serta jawatan yang secara langsung dapat menambah kutipan hasil negara.

Langkah penjimatan juga membabitkan larangan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan dan badan berkanun, kata Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu dikecualikan jika penyusunan semula tersebut bertujuan memperkemaskan struktur organisasi tanpa melibatkan jawatan baru atau pengurangan bilangan pekerja.

Mengenai kursus, latihan dan bengkel yang dianjurkan oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk anggotanya, Perdana Menteri berkata, ia perlu dihadkan dan diadakan dengan menggunakan kemudahan sedia ada seperti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Penggunaan kemudahan hotel hanya dibenarkan bagi mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel berskala antarabangsa,” kata Abdullah.

Beliau menambah, penyewaan ruang pejabat baru atau tambahan, perpindahan ke bangunan lain serta pengubahsuaian pejabat sedia tidak dibenarkan.

Perdana Menteri menegaskan, pengawalan perbelanjaan juga membabitkan penangguhan ke atas pembelian aset termasuk kereta, perabot, komputer dan kelengkapan pejabat lain yang belum komited.

“Bagi aset sedia ada, kerja-kerja penyelenggaraan hendaklah dilaksanakan secara optimum supaya menjimatkan tenaga dan mengurangkan perbelanjaan dalam tempoh jangka masa panjang.

“Perbelanjaan bagi bahan-bahan kecil keperluan pejabat termasuk bahan percetakan dan alat tulis hendaklah dikurangkan,” ujar beliau.

Abdullah juga mengingatkan sektor awam supaya mengehadkan majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan atau mesyuarat, penyampaian hadiah serta perasmian bengkel.

Sekiranya perlu diadakan, beliau berkata, pegawai dan ketua jabatan harus memastikan majlis tersebut diadakan pada tahap yang sederhana dan tidak melibatkan perbelanjaan besar serta membazir.

“Perhiasan dan jamuan hendaklah pada tahap sederhana dan majlis seboleh-bolehnya dibuat menggunakan kemudahan sedia ada kerajaan.

“Bekalan pakaian seragam bagi majlis atau upacara pelancaran tidak dibenarkan dan pemberian cenderahati tidak digalakkan, tetapi sekiranya benar-benar perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan dan produk makanan tempatan,” katanya.

Beliau menambah: “Tak payahlah buat kemeja khas semata-mata untuk dipakai pada hari perasmian, satu hari sahaja. Lepas itu, baju itu dah tak boleh dipakai lagi sebab ada tulis macam-macam dan disimpan untuk kenangan sahaja.”

utusan online

Elaun keraian menteri, timbalan dikurangkan 10 peratus

PUTRAJAYA 9 Jun – Elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengurangan elaun itu akan bermula 1 Julai ini.

“Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di pejabatnya di sini hari ini.

Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tugas rasmi menteri-menteri ke luar negara juga akan dihadkan kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa.

Katanya, untuk tugasan itu, menteri hanya layak diiringi tiga orang pegawai kementerian, manakala timbalan menteri hanya dibenarkan membawa tiga orang pegawai.

“Pegawai yang hadir hendaklah terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ketua Setiausaha Kementerian tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara kecuali bagi mesyuarat berjadual tertentu,” katanya.

utusan online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...