Thursday, August 7, 2008

Mahfuz kecam penahanan pengendali blog Penarik Beca - HARAKAH DAILY

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Aug 07, 08 | 9:15:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengecam tindakan polis menahan pengendali blog Penarik Beca sejak semalam, dan remannya disambung untuk sehari lagi.

Blogger Penarik Beca atau nama penuhnya Abu Bakar Mohd Rashid yang ditahan semalam, dilanjutkan tahanan satu hari lagi.

Tindakan ini kata Mahfuz menunjukkan betapa tidak cekap dan tidak profesionalnya polis dalam mengendalikan kes-kes seperti ini.

"Tindakan polis menahannya di rumah satu perkara yang tidak profesional, kerana polis boleh menghubungi Penarik Beca dan meminta beliau ke balai, ini pernah dilakukan ke atas pengendali web, Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin, dalam kes Penarik Beca polis sepatutnya bertindak seperti kes Raja Petra," ujarnya sebentar tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Mahfuz percaya pengendali blog tersebut adalah seorang yang berani justeru Penarik Beca boleh datang ke balai untuk disiasat tanpa perlu penahanan dibuat.

Mahfuz juga kesal dengan tindakan polis yang tidak memaklumkan isteri mangsa sebab-sebab penahanan dan siasatan.

Mengulas lanjut penahanan itu Mahfuz mempersoal kewajaran polis melanjutkan penahanan Penarik Beca sedangkan sepatutnya pasukan itu boleh menyelesaikan sesi siasatan dalam masa sehari.

"Inikah yang dikatakan polis bersih cekap dan amanah, sedangkan dalam kes ini mereka tidak mampu menyelesaikan siasatan dalam tempoh sehari," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa penahanan tersebut adalah satu tindakan yang dilihat hanya untuk menutup kes tertentu yang akhirnya memangsakan pihak yang melaporkan.

Amat malang sekali jika penahanan sedemikian adalah bersifat untuk melindungi kepentingan pihak tertentu, katanya lagi.

Justeru beliau mendesak polis membebaskan segera tanpa sebarang pendakwaan ke atas pengendali blog terbabit.

Terdahulu, isteri pengendali blog terbabit, Salwa Abdul Samad mengesahkan kepada Harakahdaily suaminya ditahan untuk sehari lagi.

Menurut Salwa, suami beliau ditahan sepasukan empat orang anggota polis sejak kira-kira jam 11 malam Rabu, 6 Ogos di kediaman mereka di Taman Koperasi Polis dekat sini.

Peguam beliau, Mohamed Hanipa Maidin mengesahkan, Abu Bakar dibawa ke pejabat Bahagian Jenayah Perdagangan untuk disoalsiasat di bawah Akta Hasutan.

"Suami menghubungi saya, memberitahu beliau dilanjutkan tempoh tahanan untuk satu malam lagi, katanya polis hendak bersembang-sembang.

"Beliau dibawa ke mahkamah untuk dilanjutkan tahanan reman, tetapi ramai kawan-kawan yang menunggu tidak dapat berjumpa dengannya," kata Salwa. - mks. _

Liwat: Dr. Muhamad buat akuan bersumpah, pertahan hasil periksa Saiful -mStar Online

07-08-2008 06:47:25 PM

KUALA LUMPUR: Dr. Muhamad Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, doktor pertama yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, pula mengeluarkan akuan bersumpah dengan mempertahankan hasil pemeriksaannya ke atas bekas pembantu peribadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ia merupakan akuan bersumpah ketiga melibatkan isu kontroversi dalam negara sejak dua bulan lalu, selepas dua yang sebelum ini berkaitan dengan kes pembunuhan wanita Mongolia.

Sambil menegaskan beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr. Muhamad Osman, rakyat Myanmar berkata, Saiful pada peringkat awal telah diserah untuk menemui seorang doktor wanita.

Bagaimanapun oleh kerana Saiful mahu dia hanya diperiksa doktor lelaki, dia diserahkan kepada Dr. Muhamad Osman.

"Melalui pengalaman saya, saya telah berhadapan dengan banyak kes yang serupa, yang diadu oleh pesakit (Saiful) dan oleh itu, saya telah menjalankan pemeriksaan yang sesuai ke atas pesakit dan saya telah merekodkan penemuaan-penemuaan saya dalam fail pemeriksaan perubatan standard hospital," kata beliau dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Ogos lalu.

Akuan bersumpah itu ditandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Mohd. Annuar Mohd. Salleh.

Dalam akuan bersumpah itu, beliau mengakui mempunyai status penduduk tetap Malaysia dan tinggal di B-24-3, Menara City One Condominium, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Beliau memperoleh kelulusan perubatan daripada Institute of Medicine 2, University of Rangoon pada 1977.

Dr. Muhamad Osman berhijrah ke Malaysia pada 1995 dan berkhidmat dengan RISEAP sebagai Pegawai Perubatan dan kemudian dengan HIKMAH (Harakah Islamiah) di Sarawak sebagai Pegawai Perubatan sehingga 1999, di Hospital Universiti (2000 hingga 2007) dan Hospital Pusrawi sejak awal tahun ini.

Katanya, Saiful telah diliwat oleh seseorang.

Kata Dr. Muhamad Osman, kemudiannya beliau difahamkan fail pemeriksaan perubatan ke atas Saiful telah disebarkan dalam media dan internet.

"Saya terkejut dan hairan apabila mengetahui fail perubatan dengan kandungan yang sama tanpa sebarang pindaan ditemui dalam media," katanya lagi.

Kata Dr. Muhamad Osman, beliau mengetahui sebaran laporan hasil pemeriksaan itu selepas mula bercuti.

Dr. Muhamad Osman bercuti selama dua minggu dan sepatutnya kembali kerja pada Isnin lalu tetapi pengurusan Hospital Pusrawi memaklumkan beliau tidak kembali melaporkan diri sehingga semalam.

"Untuk rekod, bagaimanapun, saya ingin mengesahkan bahawa saya perdirian teguh dengan penemuan-penemuan saya (ke atas Saiful)," katanya.

Pada minggu lalu, Hospital Pusrawi menjelaskan Dr. Muhamad Osman hanya melakukan pemeriksaan biasa terhadap Saiful tetapi bukan aspek yang berkaitan liwat.

Malah, pusat perubatan swasta itu turut menafikan ia pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi mengenai laporan perubatan Saiful yang mengadu telah diliwat Anwar.

Pengarah Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob berkata, Dr. Muhamad Osman merupakan seorang pegawai perubatan am yang bertugas di klinik kemalangan dan kecemasan hospital itu dan bukannya seorang doktor pakar.

“Dr. Mohamad Osman telah menasihatkan pesakit Saiful supaya diperiksa lanjut oleh doktor pakar di hospital kerajaan.

“Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan liwat,” kata beliau.

Pusrawi melahirkan pandangan selepas kelmarin laporan perubatan yang tidak disahkan daripada hospital itu mendedahkan pemeriksaan ke atas Saiful, empat jam selepas beliau membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun, didakwa tidak mempunyai bukti berlakunya perbuatan liwat.

Dalam akuan bersumpah itu, Dr. Muhamad Osman memberitahu, beliau tidak tahu siapa yang membocorkan laporan pemeriksaan ke atas Saiful.

Katanya lagi, pada awal bulan lalu, beliau telah dikunjungi seorang pegawai polis bernama ASP Rosmi Mat Derus dari Cawangan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

"Saya telah ditemu siasat dan disoal berkaitan dengan perkara-perkara menyentuh pemeriksaan perubahan pesakit (Saiful), yang saya telah memberikan kerjasama yang baik," katanya.

Kenyataan itu ditulis dengan tangan dan apabila ia ditaip beberapa fakta yang tidak dibincangkan telah disertakan dalam kenyataan yang ditaip.

Dr. Muhamad Osman menyebut bahawa beberapa perenggan pada muka terakhir juga telah dimasukkan dalam bahasa Malaysia.

Beliau berkata, pertemuan kedua polis itu disusuli dengan kunjungan DSP Choo dari Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Dr. Muhamad Osman memberitahu, memandangkan keselamatan diri dan keluarganya teracam beliau memutuskan untuk kembali ke Myanmar - kira-kira seminggu selepas kunjungan DSP.

Penulis Blog Ditahan Berhubung Artikelnya Berkaitan Polis - BERNAMA

07 Ogos, 2008 21:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Penulis blog 'Penarik Beca', Abu Bakar Mohd Rashid, 50, ditahan polis malam tadi berikutan artikelnya berkaitan dengan polis dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Pegawai Penyiasat Siasatan Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Supt Victor Sanjos berkata Abu Bakar ditahan pada pukul 10 malam tadi di rumahnya di Taman Koperasi Polis di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Abu Bakar dalam blognya menyiarkan artikel yang memaparkan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diubahsuai serta komennya mengenai kredibiliti Musa, termasuk dakwaan "Musa dikawal kumpulan kongsi gelap Cina," kata Sanjos kepada Bernama di sini Khamis.

Sanjos berkata polis turut merampas satu unit komputer riba untuk siasatan lanjut.

Penulis itu yang ditahan selama dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi akan dibebaskan esok, katanya.

-- BERNAMA

Azalina Menang Tanpa Bertanding Ketua Umno Bahagian Pengerang - BERNAMA

07 Ogos, 2008 21:00 PM

KOTA TINGGI, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Pengerang tanpa bertanding apabila 27 daripada 32 cawangan di bahagian tersebut sehingga hari ini mencalonkannya untuk jawatan tersebut.

Bekas Ketua Puteri Umno itu menerima dua lagi pencalonan daripada Umno cawangan Sening dan Keledang yang mengadakan mesyuarat tahunan mereka hari ini.

Setiausaha Umno Bahagian Pengerang Nizam Ali berkata sehingga kini penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Datuk Harun Abdullah hanya menerima empat pencalonan dan tidak melepasi syarat untuk bertanding ketua bahagian.

"Beliau (Azalina) memenangi jawatan ketua Umno bahagian tanpa bertanding," katanya sambil menambah, Umno cawangan Adela yang turut bermesyuarat hari bagaimanapun mencalonkan Harun.

Untuk bertanding jawatan ketua Umno bahagian, Harun perlu menerima sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan 32 Umno cawangan dalam Bahagian Pengerang.

Umno Bahagian Pengerang mempunyai 32 cawangan, dan sehingga hari ini hanya Umno cawangan Penawar dalam bahagian tersebut yang belum mengadakan mesyuarat tahunan mereka.

-- BERNAMA

Polis Akan Siasat Penyebaran Akuan Bersumpah Dr Mohamad Osman - BERNAMA

07 Ogos, 2008 19:05 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Polis akan menyiasat penyebaran akuan bersumpah Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, pegawai perubatan di Hospital Pusrawi yang melakukan pemeriksaan terhadap Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

"Saya tak nak komen pasal tu (akuan bersumpah)...biar kita siasat," kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Akuan bersumpah bertarikh 1 Ogos itu disiarkan dalam laman blog MalaysiaToday yang menyatakan Dr Mohamed Osman tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohamad Saiful.

Pada 28 Jun lepas, Mohamad Saiful yang mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Dr Mohamad Osman di Hospital Pusrawi.

Dalam laporan perubatannya, doktor itu mendakwa beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.

Pada 30 Julai lepas, pihak Hospital Pusrawi menyatakan Dr Mohamad Osman ada membuat pemeriksaan ke atas Mohamad Saiful, namun beliau tidak membuat pemeriksaan berkaitan liwat.

-- BERNAMA

Anwar Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Liwat Saiful, Dibebas Dengan Bon Peribadi - BERNAMA

07 Ogos, 2008 15:59 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Ketika mebenarkan ikat jamin itu, Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan bahawa ikat jamin dikenakan bagi menentukan kehadiran orang itu.

"Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin," katanya.

Terdahulu, Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah jika mahkamah membenarkan ikat jamin tetapi meminta jumlah ikat jamin ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Anwar diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar adalah serius dan tidak boleh diikat jamin, tetapi mengikut undang-undang, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

Sulaiman Abdullah, yang mengetuai sekumpulan peguam Anwar, memohon hakim menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa mengenakan jumlah yang ditetapkan.

Beliau juga berkata Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan ada kemudian beliau dipilih.

"Dengan perkhidmatannya yang lama kepada negara dan kedudukannya dalam masyarakat serta kerjasama yang beliau berikan kepada polis dan pihak berkuasa semasa siasatan dakwaan liwat ini, Anwar tidak mungkin menghilangkan diri," kata Sulaiman.

Beliau juga berkata Anwar sedia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah tetapi akan memohon mendapatkannya buat sementara jika beliau perlu pergi ke luar negara.

Sebelum membuat keputusannya mengenai ikat jamin, Komathy bertanyakan kepada DSP Jude Pereira, Ketua Siasatan Jenayah Brickfields, sama ada Anwar telah memberikan kerjasama penuh kepada polis semasa siasatan, dan dijawab : "Ya."

Anwar yang berusia 61 tahun Ahad ini dan bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, dituduh meliwat Mohamad Saiful, 23, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu, Anwar menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata: "Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Di pihak pendakwaan, Idrus dibantu Ketua Unit Pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria dan Timbalan Pendakwa Raya Shamsul Sulaiman manakala Anwar dibela sembilan peguam terdiri Sulaiman, R.Sivarasa, Leela Jeyamani Jesuthasan, S. N. Nair, Edmund Bon Tai Soon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam ialah Rajpal Singh dan George Varughese manakala peguam Zamri Idrus pula mewakili Mohamad Saiful.

Sementara, International Federation for Human Rights, Forum Asia and Human Rights Watch diwakili peguam A. Sahadeva, Chan Weng Keng, Ann Chuah Siew Fan and Seira Sache.

Proses pertuduhan itu berjalan lancar walaupun ramai penyokong Anwar berkumpul di perkarangan mahkamah menunggu ketibaannya 25 minit sebelum mahkamah bersidang pada pukul 10.11 pagi dan berakhir pukul 10.35 pagi.

Anwar hadir untuk menghadapi pertuduhan dengan ditemani isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Turut bersamanya ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akil, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding pertuduhan selesai, Anwar berkata beliau menandatangani bon itu.

"Ia tidak libatkan sumber kewangan, dana...dan pasport saya juga masih kekal dengan saya," katanya sebelum meninggalkan kawasan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta pada pukul 11.37 pagi.

S. N. Nair, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, berkata Hakim Komathy telah menggunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar untuk membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.

Polis memulakan siasatan kes ini setelah Mohd Saiful membuat laporan pada 28 Jun lepas dengan mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Anwar, yang menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik, ditahan polis pada 16 Julai lepas di hadapan rumahnya di Bukit Segambut dan dibebaskan dengan jaminan polis sehari selepas keterangannya diambil.

Beliau telah disepina oleh polis semalam untuk hadir di mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan meliwat itu.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 1998, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan tersebut dan dihukum penjara selama sembilan tahun tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas hampir enam tahun dipenjarakan, setelah Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan 2-1, mengetepikan sabit liwat dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

-- BERNAMA

Anwar Dakwa Pertuduhan Liwat Kekurangan Bukti - BERNAMA

07 Ogos, 2008 15:36 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pertuduhan liwat terhadapnya kekurangan bukti dan mempersoalkan kenapa hanya dirinya dituduh dengan kesalahan itu.

Anwar berkata kertas pertuduhan yang dikemukakan hari ini secara jelas menyatakan Mohd Saiful Bukhari Azlan bersetuju melakukan perbuatan seperti didakwa itu dan pendakwaan sepatutnya juga turut mendakwanya.

"Laporan awal Mohd Saiful kepada doktor mendakwa yang beliau telah diserang tetapi laporan polisnya masih belum diberikan kepada kami. Jadi anda tahu kenapa laporan itu masih belum diberikan kepada kami. (Jadi) supaya mereka (pendakwaan) boleh menipu kami," kata Anwar kepada media selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meliwat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Anwar mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merujukkan kesnya itu sebagai rogol, tetapi pertuduhan hari ini menyatakan atas persetujuan.

"Pertuduhan itu bertujuan untuk memalukan saya, tetapi saya tidak malu. Saya melihatnya sebagai permainan politik," katanya dan menurutnya laporan perubatan itu telah disesuaikan untuk memastikan pendakwaan boleh mendakwanya dengan pertuduhan liwat.

Anwar juga berkata beliau gembira dengan keputusan PKR malam tadi untuk meneruskan kempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh walaupun beliau berdepan dengan pertuduhan itu. Penamaan calon ditetapkan 16 Ogos dan pengundian pada 26 Ogos jika ada pertandingan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...