Thursday, July 16, 2009

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'

Penularan wabak selesema A (H1N1) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu "amat membimbangkan", kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Daripada 10 kes yang direkodkan hari ini, semuanya tempatan, sembilan daripadanya daripada kampus cawangan Melaka institusi pengajian tersebut.

"Saya kecewa keadaan di Melaka semakin menular dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican untuk meneliti sendiri perkara tersebut," Liow dipetik berkata.

"Kampus UiTM di Melaka mesti dipantau, dan jika perlu, beberapa fakulti mungkin perlu ditutup buat sementara," katanya seperti laporan laman web The Star.

Semalam, lapan lagi mahasiswa disahkan positif diserang virus selesema A (H1N1), semuanya pernah berhubung dengan mereka yang dijangkiti wabak di UiTM Melaka.

Bagaimanapun Dr Mohd Ismail menyifatkan keadaan di situ "terkawal dan Pusat Kesihatan UiTM sedang mengambil langkah kawalan dan pencegahan."

Kelmarin, enam daripada pelajar institusi pengajian itu disahkan positif, sementara beberapa puluh yang lain masih dikuarantin sejak hujung minggu lalu.

Liow waktu itu berkata satu pasukan kakitangan kesihatan dikerahkan ke UiTM untuk membuat saringan terhadap pelajar untuk mengawal penularan dalam komuniti.

Dengan 10 kes terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan virus A (H1N1) meingkat kepada 835 kes, termasuk 273 kes tempatan.Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail petang ini, daripada 10 kes tersebut, lapan kes menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala dua kes sedang dirawat di hospital, iaitu masing-masing satu kes di Hospital Melaka dan di Hospital Sungai Buloh.

"Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini," katanya.

"Jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang sedang dirawat di hospital seramai 25 orang (atau 3 peratus) manakala sejumlah 105 (13 peratus) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

"Baki 705 (84 peratus) telah sembuh dari jangkitan influenza A (H1N1)."

Tambang teksi, bas sekolah naik

Tambang teksi bagi satu kilometer pertama dinaikkan dari RM2 kepada RM3 mulai 1 Ogos.

Dalam pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Kuala Lumpur hari ini, bagi jarak setiap 115 meter, kadarnya adalah 10 sen.

Kadar lama, kenaikan 10 sen untuk setiap 150 meter.

Teksi yang menunggu penumpang pula, kadar terbaru 10 sen untuk setiap 21 saat berbanding dahulu untuk 45 saat.

Caj tambahan 50 peratus bagi perkhidmatan selepas 12 tengah malam masih dikekalkan tetapi ia dihitung sewaktu penumpang turun, bukan sewaktu memasuki teksi.

Selain itu, kadar tambang bas sekolah berhawa dingin dibenarkan naik sehingga 30 peratus bermula tarikh yang sama, katanya.

Di kawasan bandar, kenaikan tambang dari RM21.10 ke RM27.43 bagi satu kilometer, dan dari RM1.55 ke RM2.02 bagi setiap satu kilometer tambahan.

Tambang bas ekspres pula dinaikkan 2 sen bagi setiap kilometer, manakala tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur akan dinaikkan 25 sen hingga 70 sen mengikut zon-zon tertentu

Chua Jui Meng akan sertai PKR? - MalaysiaKini

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.

Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.

Difahamkan timbalannya, Sia Ka Tuan, dijangka akan memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.

Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewaskan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, ketika ditemui di mahkamah yang mendengar kes liwat terhadapnya, Anwar enggan mengulas mengenai perkara itu.

Katanya, terpulang kepada Chua untuk membuat pengumuman mengenainya.

Difahamkan, PKR bercadang mengadakan satu majlis Sabtu ini untuk "mengalu-alukan" kemasukan Chua menyertai parti itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...