Wednesday, April 20, 2011

Tiada arahan naikkan cukai tanah UUM - Azizan

ALOR SETAR 19 APRIL : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sebaliknya beliau berkata, dakwaan yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta yang betul.
Azizan berkata kerajaan negeri terdahulu UMNO BN memberikan rebat cukai selama 3 tahun, kepada UUM yang membolehkan IPTA itu membayar cukai dengan kadar RM100'000 setahun.

"UUM diberikan rebat dari Januari 2006 hingga Disember 2008 - perlu bayar RM100,000 dari RM1.7 juta," katanya. 

Sebaik sahaja tempoh rebat itu tamat, UUM terpaksa membayar kadar cukai itu mengikut apa yang telah ditetapkan UMNO BN sebanyak RM1.7 juta setahun.

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Kedah, gagasan itu sekadar meneruskan apa yang diwariskan dari zaman pemerintahan UMNO BN.

Azizan menjelaskan pemberian rebat cukai tanah kepada UUM, kerajaan negeri kerugian hampir RM1.6 juta setahun.

Azizan menambah, UUM pernah memohon agar kerajaan negeri menyambung rebat cukai itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

Beliau berkata UUM boleh membuat rayuan, namun rayuan itu perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Tidak semestinya kita akan luluskan permohonan UUM," katanya lagi. 

Azizan juga berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

UUM juga diberi pilihan untuk berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. 

Kerajaan negeri dibawah pimpinannya telah menurunkan cukai tanah- tanah milik kerajaan antara 35 peratus hingga 75 peratus.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun.

Mengulas isu bekalan air yang tidak mencukupi di UUM, Azizan menasihatkan UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

Azizan berkata setiap hari Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan bekalan air dikawasan lain lima dan 10 juta liter sahaja.

Senator tepis dakwaan naikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda
SHAH ALAM 19 APRIL : Dakwaan bahawa kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda ditepis Senator Muhamad Yusof Husin. 

Muhamad Yusof berkata hakikat yang tidak dapat disembunyikan adalah 3 tahun kebelakangan ini UUM menerima rebat cukai yang diberikan kerajaan negeri tatkala itu, UMNO BN.
Rebat itu membolehkan UUM membayar cukai tanah pada harga RM100'000 setahun.Bagaimanapun sebaik sahaja tempoh 3 tahun itu tamat, UUM terpaksa kembali membayar cukai tersebut pada kadar RM1.2 juta setahun.

Untuk rekod, nilai cukai tersebut ditetapkan kerajaan UMNO BN.   

"Menteri Besar pada ketika itu, Mahathir Khalid telah membuat keputusan dalam mesyuarat exco, dimana rebat ini akan diberikan selama tiga tahun iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008, ini bermaksud UUM pada ketika itu hanya perlu membayar RM100,00 setahun cukai tanah kepada kerajaan negeri Kedah," katanya.

Muhamad Yusof berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang semberono menuduh kerajaan negeri menaikan cukai UUM sehingga 10 kali ganda berbanding ketika negeri itu ditadbir oleh UMNO BN.

Muhamad Yusof menjelaskan, UUM telahpun membayar cukai RM1.2 juta bagi tahun 2010.

Namun untuk tahun 2011, pengurusan UUM bukan sahaja enggan membayar cukai tersebut, malah mendakwa kerajaan negeri menaikan cukai tanah tersebut sebanyak 10 kali ganda. 

"Pihak saya dimaklumkan bahawa UUM telah pun membayar cukai berkenaan iaitu sejumlah RM1.2 juta setahun pada tahun 2010, dan pada tahun 2011 ini mereka (UUM) mendakwa tidak mahu membayar kerana kenaikannya sehingga 10 kali ganda dan ini adalah satu fakta yang tidak benar," ujarnya lagi

Muhamad Yusof berkata jika UUM tidak berkemampuan untuk membayar nilai cukai tanah tersebut, pihak pengurusan  sepatutnya memohon agar dikurangkan kadar bayaran ataupun memohon agar disambung pemberian rebat cukai tanah daripada kerajaan negeri Kedah.

"kalau sekirannya UUM yang dibawah kerajaan pusat tidak mampu untuk mambayar cukai tanah, apa salahnya kalau UUM sekali lagi membuat rayuan, merayu kepada kerajaan negeri yang ada bagi mendapatkan rebat untuk ia dipertimbangkan, dan bukannya mengeluarkan kenyataan cukai tanah dinaikkan 10 kali ganda," katanya.

Kedah naikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan PAS Kedah yang menaikkan kadar cukai tanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda iaitu daripada RM150,000 sebelum 2008 kepada RM1.8 juta, pada tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau juga kecewa kerana kerajaan PAS Kedah gagal menyelesaikan kekurangan bekalan air di UUM sejak setahun lalu yang kini semakin serius.

Berikutan itu, pengurusan UUM terpaksa membelanjakan sehingga RM90,000 sebulan bagi menyewa lori dan mengangkut air bersih untuk memenuhi keperluan harian lebih 20,000 pelajar di universiti berkenaan.

“Sebelum ini (ketika Barisan Nasional) memerintah Kedah, memang mereka tidak mengenakan cukai tanah yang terlalu tinggi, tetapi selepas pembangkang mengambil alih, mereka mengenakan cukai lebih 10 kali ganda.

“Saya ingat ini sesuatu yang tidak membantu usaha kerajaan memartabatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kerajaan PAS Kedah cuba mengaut untung daripada IPTA yang bermatlamat untuk membangunkan modal insan bagi memastikan negara berkembang maju dan bersaing dengan negara lain.

“Ini adalah sesuatu yang pada saya tidak menggambarkan kefahaman kerajaan negeri pembangkang mengenai kepentingan pembangunan IPTA. Dulu Selangor pernah menolak cadangan kita mahu menubuhkan kampus UiTM (Universiti Teknologi Mara), kini Kedah mengenakan cukai tanah 10 kali ganda,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran untuk mengikuti Program Khas Pasca Siswazah kepada 10 Ahli Parlimen di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Antara Ahli Parlimen terbabit ialah Ahli Parlimen Tenggara, Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong, Johor), Hanim Samuri (Ledang), Datuk Abdul Rahman Bakri (Sabak Bernam), Datuk Ismail Abd Muttalib (Maran), Datuk Md Sirat Abu (Bukit Katil), Datuk Lilah Yasin (Jempol), Datuk Sapawi Amat Wasali@Ahmad (Sipitang) dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Program berkenaan turut disertai Ahli Parlimen dari Indonesia Asmawati Marzuki Alie.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, pada awal tahun ini untuk berbincang isu air dan merayu pengurangan bayaran cukai tanah terbabit.

Bagaimanapun, Dr Mohamed menegaskan UUM belum menerima maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar Kedah berhubung perkara ini.

“Ketika berjumpa Menteri Besar, beliau berkata beliau akan cuba menyelesaikannya, tetapi sampai sekarang saya masih menunggu jawapannya,” katanya
- Berita Harian

Projek RM50 juta untuk kroni kendali emel 1Malaysia!

Hebat! Berbelanja RM50 juta bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan. Dengan pelbagai penyedia perkhidmatan emel percuma seperti Yahoo! Gmail, Hotmail dan lain-lain, kini kerajaan 1Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan.
Pengguna akaun Internet seperti Streamyx, Jaring telah lama diberikan akaun emel percuma pun, jarang-jarang menggunakan 'emel rasmi' berkenaan, sebaliknya menggunakan emel percuma seperti Hotmail, Yahoo!, Gmail dan lain-lain. Emel @1Malaysia kononnya akan digunakan bagi urusan menghantar bil dan sebagainya.
Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan emel 1Malaysia? Untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?
Lebih meragukan, kontrak bagi menyediakan perkhidmatan emel bertindan (redundant) 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan! RM50 juta duit Rakyat dileburkan kepada sebuah lagi syarikat kroni!
Terkini: Kira-kira jam 12:30 pagi (20 April 2011) sebentar tadi, DS Najib telah memberikan penjelasan ringkas melalui Facebook dan Twitter beliau...
Waduh.. pemurahnya syarikat berkenaan membelanjakan RM50 juta untuk menyediakan perkhidmatan emel. Daripada mana sumber kewangan syarikat berkenaan? Adakah syarikat ini dengan sukarela berbelanja sehingga RM50 juta tanpa mengharapkan sebarang pulangan atau pun keuntungan? Perniagaan apa namanya ini Datuk Seri? Jangan-jangan projek ala-Indah Water.. kos kendalian ditanggung oleh Rakyat sebagai pengguna. Apabila Rakyat bising, mereka senyap-senyap 'berpakat' dengan pihak berkuasa untuk memasukkan kos kendalian Indah Water di dalam bil utiliti (air) TANPA disedari pengguna. 

RM50 juta untuk projek emel 1Malaysia
Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Satu syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd akan melaburkan RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan projek berkenaan hari ini berkata, emel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Ditanya sekiranya projek berkenaan akan bertembung dengan perkhidmatan dalam talian lain seperti MyEG, Tricubes berkata projek berkenaan berbeza daripada inisiatif sedia ada.

Ketua pegawai eksekutifnya Khairun Zainal Mokhtar berkata, berbeza dengan perkhidmatan bayaran dalam talian MyEG, perkhidmatan melibatkan email baru itu akan melibatkan penghantaran notis dan bil.

Satu keterangan yang diperolehi media berhubung projek berkenaan menyebut, Projek Emel 1Malaysia juga akan menyediakan perkhidmatan untuk menyemak bil dan bayaran.

Khairun berkata, syarikat berkenaan akan memiliki portal dan infrastruktur emel berkenaan sebaik saja ia siap pada Julai.
- Malaysia Kini

BN Beri Projek E-Mail RM50 Juta Kepada Syarikat Bermasalah
KUALA LUMPUR 19 APRIL : Tricubes Berhad, syarikat yang meraih kontrak perkhidmatan emel 1 Malaysia bernilai RM50 juta  dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan berkemungkinan dilucutkan dari Bursa Malaysia.

Meskipun menghadapi permasalahan sebegitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan firma berkenaan diberi kontrak lumayan untuk menyediakan khidmat emel rasmi antara rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan kerajaan, lapor Malaysian Insider.

Ramai pihak menyifatkan langkah itu sebagai membazir kerana sebilangan besar masyarakat yang celik komputer sudah pun memiliki e-mail peribadi.

Mereka juga mempersoalkan keselamatan maklumat peribadi dalam sebarang transaksi menerusi e-mail 1Malaysia itu.

Justeru mereka menolak projek e-mail 1Malaysia dan mempertikaikan kenapa ia diberi kepada sebuah syarikat yang dipantau oleh Bursa Kuala Lumpur.

Tricubes sebelum ini diberi amaran dan diletakkan di bawah status Nota Bimbingan Keselamatan 3 oleh Bursa Malaysia (GN3) tahun lalu.

Sebagai Syarikat GN3, Tricubes perlu memberikan laporan kewangan kepada Bursa setiap bulan serta melantik penaja sehingga ia bukan lagi berstatus GN3.

Menurut laporan itu jika syarikat (Tricubes) gagal berbuat demikian, mereka boleh digantung dan disingkirkan dari papan oleh Bursa Malaysia.

Sumber Bursa juga menyatakan, sehingga 1 April lalu, Tricubes masih dalam proses meguruskan aliran kewangannya dan 'tiada sebarang perkembangan besar' yang memungkinkan status GN3 syarikat itu ditarik balik.
- TVSelangor News

Yang memiliki akaun Facebook, bolehlah menyertai:

1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email


Belum ada cadangan naikkan harga RON95

Kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.90 seliter dan belum bercadang untuk menaikannya, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim meminta rakyat mengetepikan khabar angin mengenai kenaikan bahan api itu.

petrol price hike before increase panic consumers 040608 02"Setakat saya menjawab ini belum ada lagi keputusan untuk menaikkan harga RON95. Jadi khabar-khabar itu kita ketepikan dan Yang Berhormat semua boleh maklumkan (kepada rakyat) setakat ini kerajaan masih mengekalkan harga sedia ada," katanya menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang yang ingin tahu apakah benar kerajaan akan menaikkan harga RON95 serta kenapa perlu dinaikkan sedangkan rakyat beranggapan kenaikan harga minyak mentah dunia di pasaran antarabangsa mendatangkan keuntungan kepada negara, dan sekiranya harga perlu dinaikkan apakah mekanisme untuk kerajaan menerangkan alasan itu kepada rakyat.

Rohani berkata walaupun peningkatan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dilihat menguntungkan, harga runcit di pam masih lagi ditentukan oleh kerajaan yang terpaksa menanggung subsidi lebih tinggi.

Beliau berkata peningkatan harga minyak mentah dunia telah mengakibatkan tanggungan subsidi kerajaan meningkat kepada RM14 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion untuk tahun ini.

Berhubung mekanisme untuk memaklumkan kepada rakyat sekiranya kerajaan perlu menaikkan harga bahan bakar itu, Rohani berkata ia adalah strategi yang biasa di bawah rasionalisasi harga. 

"Kalaulah nanti betul ada kenaikan, kerajaan akan membuat yang terbaik dan jika ada kenaikan sekalipun, ia tidak akan ketara sebab kerajaan mempunyai formula yang akan digunakan untuk pastikan rakyat tidak akan terbeban," katanya.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...