Sunday, April 24, 2011

MIC sedia terima semula trio anti-Samy Vellu

Semua ahli MIC yang telah disingkir atau mengundur diri sebelum ini akan diterima kembali dan dikekalkan jawatan mereka, tetapi dengan bersyarat, kata Presiden MIC Datuk G Palanivel.

Beliau berkata mereka yang telah disingkirkan diberi tempoh selama 30 hari bermula esok untuk mengemukakan surat rayuan bertulis kepada parti.

Keputusan untuk memberi peluang kali kedua itu, katanya diputuskan oleh anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) pada mesyuarat malam ini.

"Ahli-ahli yang kita dah singkir dari parti selepas Mac 2008, CWC telah memutuskan untuk memberi peluang kepada semua yang telah disingkir, dipecat atau keluar untuk kembali semula menganggotai parti.

"Dan jika mereka dipilih pada pilihan raya parti pada September 2009 yang lalu, mereka berhak untuk mendapat kembali jawatan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat itu.

Beliau memaklumkan pemberian semula jawatan itu tidak menjadi masalah kerana jawatan-jawatan mereka masih lagi kosong dan belum diisi oleh sesiapa.

Mengenai trio anti-Samy Vellu yang dipecat dari parti pada tahun lepas, kerana mendesak bekas presiden parti itu meletak jawatan, beliau berkata mereka turut akan diterima semula.

Trio itu termasuk bekas anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, Kumar Aamaan dan K P Samy serta bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat, V Mugilan.

Penerimaan mereka semula secara terbuka itu, katanya bertujuan untuk memperkuatkan lagi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...