Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Thursday, May 5, 2011

Kematian Osama dilihat sebagai konspirasi

HAH ALAM – Keengganan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bukti kematian Osama Laden dilihat sebagai konspirasi untuk menunjukkan kejayaan memburu beliau.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Mohd Nor Yazid berkata, sehingga kini, AS masih menyiarkan gambar lama Osama. ”Adakah beliau tidak dimamah usia? Keputusan DNA (Asid Deoksiribonukleik) pula diperolehi terlalu cepat.

“Pengumuman pembunuhan Osama pada dasarnya untuk tutup kekalahan AS melancarkan perang ke atas Afghanistan di mana kuasa besar itu tidak pernah menang selama ini,” katanya semalam.

Menurutnya, khabar kematian Osama tidak meninggalkan kesan kepada kerajaan dan dunia luar kerana AS dan sekutunya sahaja yang melabelkan Osama sebagai pengganas.

Sementara itu, Penyelaras Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohd Afandi Salleh berkata, masyarakat dunia masih lagi sukar mempercayai berita kematian Osama.

“Melihat situasi ini, apa sahaja AS cakap, tidak mudah dunia mempercayainya kerana selama ini, banyak maklumat diterima tidak benar. Bukan isu Osama sahaja tetapi krisis Iraq turut diragui.

Monday, April 18, 2011

Hina Sultan Kelantan dalam Facebook

SHAH ALAM – Polis diminta bertindak tegas terhadap kenyataan berbaur hasutan seorang individu di laman sosial ‘Facebook’ yang didakwa menghina Sultan Kelantan dan rakyat negeri itu.

Perantau Kelantan di sini, Izwan Abdul Hadi mewakili seluruh rakyat Kelantan di Lembah Klang berkata, polis diminta memandang serius isu yang boleh mencetuskan provokasi kenegerian, kedaulatan raja dan perkauman kerana kesemua perkara itu adalah sangat sensitif dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, individu yang didakwa dari Perak itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan melampaui batas sehingga menyentuh ketua negeri terutama raja atau sultan, sedangkan ia hanya perlawanan bola sepak (merujuk kepada kekalahan Kelantan kepada Perak Selasa lalu).

“Kami benar-benar kesal dengan kenyataan dia sebab itu hanya sukan dan permainan, janganlah keterlaluan. Jangan membusukkan negeri Perak dengan tindakan seperti itu sebab kami juga mempunyai ramai kenalan dari Perak. 

“Dia kena ingat Perak pun bernaung di bawah Raja Melayu, janganlah menghina Raja Melayu negeri lain. Saya juga berharap perkara ini mendapat perhatian Majlis Raja-Raja Melayu demi kebaikan seluruh rakyat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama Kelab Penyokong Kelantan FA, Ultras Kelantan, Kelab Anak-anak Kelantan Di Perantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.

Izwan berkata, kemarahan rakyat Kelantan tidak akan tercetus sekiranya tidak ada provokasi kenegerian dan perkauman dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab seperti itu.
Beliau tidak mahu keakraban rakyat Malaysia di negeri Perak dan Kelantan menjadi renggang disebabkan kenyataan itu.

Izwan juga berharap rakyat negeri lain terutama peminat bola sepak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Selasa lalu, Perak menewaskan Kelantan 4-0 dalam perlawanan Liga Super 2011 di Stadium Ipoh, Perak.

Sementara itu di Manjung, Perak, lebih 20 ahli NGO Kelantan di daerah itu berhimpun membantah tindakan individu terbabit.

Mereka turut membuat laporan polis.

Pengerusi Persatuan Anak Kelantan Perantauan (Perakan) Manjung, Muhd Fadzli Saud (gambar) berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan individu itu mencaci rakyat dan Sultan Kelantan.

“Kenyataan itu mungkin boleh mencetuskan perbalahan sesama kita,” katanya.
Wakil Kelab Dikir Barat Seri Perantau, F Azman Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan perbuatan individu terbabit.

“Harap polis ambil tindakan segera,” katanya.

Antara NGO menyertai perhimpunan itu Anak Kelantan TLDM, Kumpulan Dikir Barat Seri Perak, Peniaga-peniaga Kelantan Daerah Manjung dan Kelab Muay Thai Manjung.

Friday, March 25, 2011

Malaysia perlu wujud liga badminton: Chong Wei

BAGI memajukan sukan badminton tanah air, satu liga badminton perlu diwujudkan di negara ini. 

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata dengan adanya liga berkenaan pemain akan lebih kompetitif. 

Menurutnya, beliau sendiri merasai perubahan selepas menyertai liga badminton di China dan Indonesia. 

“Banyak saya pelajari ketika beraksi dalam liga badminton China mahupun Indonesia. Semestinya banyak perbezaan antara liga Indonesia dan China. 

“Contohnya di China penontonnya lebih ramai dan pemain lebih agresif. Liga juga berlangsung selama empat bulan, berbanding Indonesia hanya satu minggu sahaja,” katanya selepas sidang media program amal Hope & Smile, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, Chong Wei yang bersimpati dengan nasib mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun berazam membantu mereka terlibat melalui program Hope & Smile. 

“Idea ini tercetus sebaik saja saya menonton siaran berita televisyen luar negara CNN ketika di Birmingham dan mahu menyumbang sesuatu kepada mereka. 

“Jadi selepas berbincang dengan perunding saya,mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan amal dan saya akan menjemput kawan baik saya Taufik Hidayat supaya orang ramai boleh datang sekali gus menyalurkan sumbangan mereka. 

“Bagaimanapun, Taufik masih belum memberi kata putus. Selain itu, saya juga akan menjemput rakan lain termasuk Hafiz Hashim bagi membantu menjayakan program ini. 

Majlis amal ‘Hope & Smile’ akan diadakan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) pada 2 April dan di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur (3 April). 

Chong Wei turut berbesar hati menyumbang dua raket, jersi hitam dan kuning serta sepasang kasut digunakan ketika menjuarai All England 13 Mac lalu pada acara lelong program amal itu. 

“Saya menyasarkan sebanyak RM1 juta dapat dikumpulkan. Hasil lelongan dan sumbangan akan disalurkan terus kepada mangsa gempa bumi dan tsunami melalui kedutaan Jepun di Malaysia,” katanya.

Monday, February 28, 2011

UMNO punca anak Khir Johari pilih DAP


SHAH ALAM – UMNO sekarang yang dikatakan berbeza dengan UMNO ketika zaman ayahnya membuatkan anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari berjuang bersama DAP sehingga dilantik menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Zairil Khir , 28, berkata, UMNO yang pernah diperjuangkan ayahnya bersama Tunku Abdul Rahman Putra, kini adalah sebuah parti politik yang 'kosong' dan hanya tinggal jasad.
"Saya sendiri amat kecewa melihat keadaan ini. UMNO sering diperalat pemerintah bagi kepentingan peribadi," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam situasi ini, katanya, DAP sebagai parti berbilang kaum sama seperti PKR menganggap perjuangan politik berasaskan sentimen perkauman sudah tidak relevan.

"Kita mahu tumpu kepada politik progresif untuk kebaikan bersama," katanya.

Zairil berkata, beliau sendiri sedar ramai yang memandang serong kepadanya apabila anak kepada seorang pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan memilih untuk berpolitik bersama DAP, bukan UMNO.

“Mereka yang berpandangan demikian tidak berupaya untuk melangkaui rangka pemikiran sempit. DAP ada wakil tertinggi daripada setiap kaum. Dalam sejarahnya, pernah ada Melayu jadi pemimpin DAP. Jelas sekali ini sebuah parti berbilang kaum,” katanya.

Zairil turut menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau guna populariti nama ayahnya sebagai batu loncatan, manakala DAP pula sekadar mahu meraih kemenangan moral apabila anak kepada seorang pemimpin besar UMNO me­nyertai parti itu, malah diberi jawatan tinggi.

“DAP tidak gun nama ayah saya. Media yang gembar-gemburkan isu itu. Namun saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ayah saya seorang daripada pengasas UMNO,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beliau hanya satu watak dalam 'wayang’ kepada DAP untuk menunjukkan parti tersebut berbilang kaum, Zairil menegaskan, pelantikannya bukanlah 'alang-alang' kerana diberi jawatan mencabar.

“Saya bekerja bawah ketua yang sentiasa mempunyai ekspetasi yang tinggi terhadap hasil kerja pegawai-pegawainya,” katanya.

11 pelajar dakwa diraba




AMPANG - Sebelas pelajar perempuan tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa guru disiplin di sekolah itu melakukan gangguan seksual terhadap mereka. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Jummat lalu di dalam bilik guru sekolah berkenaan. 

Mangsa mendakwa guru berkenaan menyentuh di bahagian atas payu daranya dengan alasan mahu memeriksa denyutan nadi sebelum dihukum rotan. 

Guru itu juga dikatakan menyentuh peha pelajar terbabit untuk memeriksa sama ada pelajar itu membawa telefon bimbit. 

Seorang bapa mangsa berkata, anaknya bersama pelajar lain termasuk dua pelajar lelaki dibawa seorang pengawas berjumpa guru disiplin itu kerana kesalahan tidak menghadiri perhimpunan pagi itu. 

“Anak kami ketika itu berada dalam kelas kerana menyiapkan kerja sekolah, namun pengawas berkenaan membawa pelajar terbabit berjumpa guru disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, semalam. 

Dia berkata, anaknya memberitahu kejadian menimpa pelajar perempuan itu berlaku selepas empat guru wanita yang berada dalam bilik guru keluar daripada bilik itu. 

“Kejadian itu hanya menimpa pelajar perempuan, berikutan insiden itu, ibu bapa pelajar mengambil keputusan untuk berjumpa pengetua sekolah itu Isnin ini (hari ini) bagi mendapat penjelasan pihak sekolah,” katanya. 

Sementara itu, seorang mangsa berkata, guru itu juga merakam gambar dada, kaki dan bahagian belakang badan pelajar berkenaan secara sembunyi. 

“Berikutan itu, kami berasa takut dan malu, kami mahu mempertahankan diri kami namun bimbang apa-apa akan berlaku ke atas kami. Disamping itu, kami mendapat tahu guru terbabit merakam gambar kami apabila mendengar bunyi sesuatu daripada telefon bimbit yang dipegangnya,” katanya. 

Jenice Lee berkata, pembantu pejabatnya bersama ibu bapa pelajar berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah. 

“Disiplin di sekolah penting, bukan saja pelajar, malah guru juga harus menunjukkan disiplin yang baik. Pengetua harus menyiasat segara apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah,” katanya. 

Beliau berkata, seorang peguam sudah dihubungi untuk membantu ibu bapa mangsa mengendalikan kes itu, 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih disiasat.

Tuesday, April 6, 2010

Soo Nee dakwa Zul minta wang

ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri, Lim Soo Nee menyifatkan Ahli Parlimen Kulim :Bandar Baharu, Zulkifli Noordin seorang yang gemar memutar belit fakta.

Katanya, Zulkifli sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya, walaupun terpaksa mempergunakan nama pihak ketiga.

“Saya dedahkan perkara ini kerana tidak sanggup lagi melihat rakyat ditipu dengan mudah oleh Zulkifli. Dengan penampilan dirinya itu saya yakin ramai yang sudah terpedaya,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Soo Nee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim berkata, beliau terpanggil untuk mendedahkan rahsia Zulkifli kerana tidak sanggup lagi bersubahat dengan Ahli Parlimen bebas itu, terutama apabila Zulkifli mendakwa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Jika benar beliau ikhlas dan profesional, sepatutnya ketika menerima tawaran itu beliau membuat laporan polis atau mendedahkannya kepada umum. Tetapi kenapa baru sekarang, setelah hampir empat tahun berlalu?” katanya.

Soo Nee berkata, ketika sama-sama berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Zulkifli pernah mengaku menyimpan bukti kes pembunuhan itu, ketika mewakili tertuduh dalam kes terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri, tetapi menarik diri kerana didakwa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam persediaannya membuat pembelaan.

Mengulas mengenai insiden yang dianggapnya menganiayai rakan separti, Soo Nee berkata, Zulkifli pernah menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya pada PRU-12, untuk meminta wang bagi digunakan ketika berkempen dengan menggunakan nama pihak ketiga.

“Mengikut rekod SMS itu, katanya, jentera Pas meminta RM21,000 untuk berkempen dan jika tidak dipenuhi, jentera Pas akan memboikot kempen itu. Katanya, saya hanya perlu tanggung sebahagian kos, iaitu RM7,000,” katanya.

Soo Nee berkata, memandangkan beliau tidak memberi maklum balas kepada SMS itu dengan segera, Zulkifli menghantar SMS kedua, memaklumkan kemarahan pihak terbabit dan meminta beliau memberi sejumlah yang mampu.

“Setelah Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya itu, kebetulan saya terjumpa Yang Dipertua Pas Kulim Bandar Baharu ketika itu, Yaakub Husin dan bertanya mengenai hal itu, tetapi beliau menafikan meminta wang untuk berkempen. Sejak itu, saya tertanya-tanya bagi tujuan apa duit itu diambil oleh Zulkifli?” katanya.:

Dengan pendedahannya itu, Soo Nee mencabar Zulkifli membuat kenyataan balas terhadap semua tindakannya, atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan untuk menegakkan kebenaran.

“Eloklah buat pilihan raya kecil (PRK). Selepas itu kita lihat sama ada penduduk Kulim Bandar Baharu masih menyokong beliau atau sebaliknya,” katanya.

Soo Nee berkata, beliau berani membuat tuduhan ini kerana sehingga kini beliau masih menyimpan bukti, termasuk SMS yang dihantar Zulkifli dua tahun lalu, bertarikh 5 Mac dan 6 Mac.

Sementara itu:, Zulkifli, ketika dihubungi berkata, beliau tidak berminat berbalas kenyataan secara terbuka.

Menurutnya, apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya “tidak perlu diperbesarkan” dan beliau “tidak kisah dengan tuduhan itu”, walaupun tuduhan itu sedikit sebanyak akan mencalar imejnya sebagai seorang pemimpin.

“Saya tidak minat untuk menjawab semua pertuduhan itu secara terbuka.

“Saya tak minat langsung nak komen isu ini. Apa yang saya boleh katakan ialah saya kenal Soo Nee sebagai seorang rakan dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.:

”Saya minta dia jaga kawasan dia dengan elok supaya dapat jadi calon pada masa akan datang.

“Biarlah apa dia nak kata. Saya tetap dengan pendirian saya, tak mahu berbalas kenyataan tentang isu yang dibangkitkan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...