Monday, February 14, 2011

Raja Arshad Canselor baru Unisel, Ismail Adam Pro-Canselor

SHAH ALAM 14 Feb. – Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Tan Sri Raja Arshad Tun Uda dilantik sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) yang baru berkuat kuasa 21 Feb ini.

Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang pada 20 November lepas mengumumkan berundur daripada jawatan itu apabila tempoh pelantikannya tamat pada 5 Februari.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, turut berkuat kuasa 21 Februari ini ialah pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam sebagai Pro-Canselor.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, pelantikan kedua-dua tokoh itu juga adalah sebahagian usaha menjenama dan menambah baik Unisel.
Raja Arshad juga adalah Pengarah Khazanah Nasional, Pengarah Sime Darby Berhad, anggota Panel Kajian Semula Pencukaian, Pengarah Pro-Canselor Unisel, 
Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales.
Ismail pula yang mengetuai JPA sejak 2004, pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan. – Bernama

Menteri minta KDN batalkan permit konsert Mohsen Namjoo

SEPANG 14 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit konsert penyanyi Iran, Mohsen Namjoo yang dijadual Jumaat ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini kerana kata beliau, siasatan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan lagu-lagu penyanyi itu mempunyai unsur-unsur yang menghina al-Quran dan agama Islam.

"Dikhuatiri jika diteruskan (konsert) itu boleh menimbulkan ketidakharmonian masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kumpulan terakhir pelajar Malaysia dari Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) KL hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata siasatan Jakim itu adalah susulan laporan polis yang dibuat Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mengenai konsert tersebut.

Zulkifli dalam laporannya meminta pihak berkuasa menyiasat bagaimana penyanyi itu dibenarkan membuat persembahan di negara ini sedangkan beliau secara terbuka menghina Islam. - Bernama

Sultan Ahmad Shah terima pencalonan

PETALING JAYA - Sultan Ahmad Shah bersedia bertanding untuk jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang kini disandang oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sejak 1996.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, semalam mendedahkan yang baginda ada menerima tawaran pencalonan tersebut bagi menjawat jawatan penting itu.

"Saya ada menerima pencalonan untuk menyandang jawatan sebagai Presiden, jika AFF mahukan saya berkhidmat, maka saya bersedia untuk menerimanya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF di Wisma FAM di sini, semalam.
Menurut Sultan Ahmad Shah, jawatan tersebut bakal diiringi dengan tanggungjawab yang besar bagi membangunkan bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, baginda enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan tersebut kerana ia masih lagi di peringkat cadangan.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut mengumumkan Jawatankuasa Kewangan FAM telah bersetuju menambah jumlah peruntukan bagi geran pasukan-pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Namun, saya tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang yang akan kita salurkan buat masa ini," titah baginda yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM sebelum majlis tersebut berlangsung.

Baginda menjelaskan, bagi memastikan prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk membelanjakan sejumlah peruntukan bagi membolehkan perlawanan persahabatan dapat diadakan dengan lebih kerap terutamanya beraksi di luar negara.
Sultan Ahmad Shah turut mendedahkan FAM bersedia untuk mengkaji secepat mungkin berhubung rayuan bagi meningkatkan jumlah elaun pengadil.
Pada mesyuarat itu juga, FAM telah melantik seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai Bendahari Kehormat FAM. Beliau merupakan presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).
Sebelum ini, jawatan pemangku bendahari dipegang oleh V. Ampega.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...