Sunday, June 7, 2009

M'sia Tewaskan England Pada Perlawanan Pembukaan

JOHOR BAHARU, 7 Jun (Bernama) -- Malaysia yang memulakan kempen kejohanan Piala Hoki Dunia Remaja dengan bergaya apabila berjaya menewaskan England 1-0 dalam perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, hari ini.

Selepas berhempas pulas mencari jaringan, skuad negara akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi penyerang, Faizal Shaari yang mendapatkan gol tunggal negara pada minit ke-31 menerusi pukulan sudut penalti.

Gol Malaysia yang diletakkan bersama-sama England dalam saingan kumpulan C membuatkan kira-kira 3,500 penyokong yang memenuhi stadium bersorak gembira untuk tidak berputih mata pulang dengan hampa.

Turut hadir menyaksikan perlawanan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim.

Skuad bimbingan K.Rajan terus menggandakan asakan sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, namun peluang yang ada masih tidak mampu menjelmakan gol tambahan sedang pasukan lawan turut bertungkus lumus untuk mencari gol penyamaan.

Rajan yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkata kemenangan tersebut menjadi penyuntik kepada anak didiknya untuk bertemu Korea Selatan dalam saingan kumpulan yang sama esok.

"Permainan hari ini sesuatu yang mencabar dan kemenangan diharap menambahkan keyakinan anak didik saya untuk beraksi esok," katanya.

Kapten, Khairul Anuar Md Isa turut mengharapkan kejayaan menentang England hari ini menjadi pemangkin kejayaan esok.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan C, Korea mula menunjukkan belang selaku pencabar utama dalam kejohanan itu apabila membelasah Amerika Syarikat 7-0.

Terdahulu, dalam saingan Kumpulan A, Pakistan menunjukkan kekuatan apabila berjaya menewaskan Rusia 7-2 manakala Belgium pula menang 5-1 menewaskan Mesir.

-- BERNAMA

Belum Ada Keputusan Berhubung Kedudukan Murugiah, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau masih belum membuat keputusan berhubung kedudukan Senator T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib berkata beliau akan berbincang dengan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas di samping berpandukan cadangan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum memutuskan mengenai kedudukan bekas anggota Majlis Tertinggi PPP itu dalam Kabinet.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-56 PPP di sini hari ini, Najib berkata beliau akan membuat keputusan itu apabila tiba masanya dengan panduan daripada interpretasi ROS berhubung isu PPP.

"Seperti yang anda maklum, kedudukan Datuk Murugiah dalam kerajaan adalah hak mutlak Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, kami sedar bahawa kami beroperasi berdasarkan sistem parti. Jadi, biarlah saya menyelesaikan dulu kedudukan beliau terutama sekali dalam PPP.

"Saya tahu beliau telah pun dipecat tetapi ia perlu diteliti oleh ROS sama ada pemecatan itu dilakukan mengikut prosedur. Susulan daripada itu saya akan membuat keputusan," kata Najib.

Kayveas dan Murugiah terbabit dalam pertelingkahan sengit untuk kepimpinan parti selepas Murugiah "dilantik" Presiden PPP dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu yang diadakan di Putrajaya pada 24 Mei. EGM itu bagaimanapun dianggap tidak sah oleh Kayveas.

Khamis lepas, ROS berkata Kayveas adalah Presiden PPP yang sah buat masa ini sementara menunggu siasatan ke atas pihak berkepentingan dalam PPP.

Mengenai Murugiah, Najib berkata beliau (Murugiah) bukanlah seorang yang menentang Barisan Nasional (BN), sebaliknya amat menyokong dasar dan kepimpinan BN dan jika ROS mendapati struktur semasa PPP sebagai tidak sah, maka beliau akan menjadikan pandangan itu sebagai panduan.

Pada sidang akhbar sama, Kayveas menyatakan PPP tidak lagi akan menggunakan perkataan 'kaum' bagi menunjukkan lelaki dan wanita daripada kalangan kaum yang berbeza kerana percaya ia boleh mewujudkan rintangan antara masyarakat di Malaysia.

"PPP akan berhenti menggunakan perkataan kaum. Parti ini tidak akan dikenali sebagai parti pelbagai kaum atau parti bukan berasaskan kaum. Ia akan dikenali sebagai Parti Untuk Semua Rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan perkataan kaum bagi membezakan rakyat Malaysia dalam apa jua bentuk," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pandangan Kayveas itu, Najib berkata: "Apa-apa pandangan parti komponen kita bawa ke Kabinet. Memang kita ada pemikiran untuk melihat semula tetapi ada juga bentuk yang perlu bagi peruntukan kaum ada juga yang tidak perlu."

Mengenai isu Ambalat, yang diperbesar-besarkan oleh media Indonesia dengan mendakwa tentera laut Malaysia dilihat berada di perairan yang kaya dengan minyak dan gas itu, Najib berkata tiada perkembangan terbaru berhubung isu itu dan ia masih dalam perbincangan.

"Ini satu isu yang rumit, sebab itulah kita masih berunding dengan Indonesia. Ia memakan masa, bukan mudah untuk selesaikan isu Ambalat," katanya.

-- BERNAMA

Murugiah berterima kasih kepada PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah, satusatunya wakil Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam kerajaan, hari ini berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terus mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau.

Beliau menyatakan demikian semasa mengulas kenyataan Najib pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung ke56 PPP bahawa Murugiah sentiasa menyokong kerajaan dan oleh itu beliau boleh terus menyandang jawatannya sehinggalah isu berkenaan diselesaikan.

Najib berkata demikian bagi merujuk kepada pemecatan Murugiah daripada PPP oleh Datuk M. Kayveas, yang diiktiraf sebagai presiden parti itu yang sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pemecatan itu meletakkan Murugiah pada kedudukan tidak menentu kerana beliau tidak menjadi anggota manamana parti. Kumpulan dalam PPP yang diketuai Kayveas mahu Murugiah digantikan oleh orang mereka.

Murugiah memberitahu Bernama: "Selagi saya masih Timbalan Menteri, saya beri jaminan kepada Perdana Menteri bahawa saya akan turun padang dan bekerja keras, termasuk pada hari cuti saya, bagi menarik masyarakat India kembali menyokong Barisan Nasional."

Beliau berkata perhimpunan agung parti itu hari ini tidak sah dan kebanyakan yang menghadirinya bukan anggota PPP.

"Saya mendapat maklumat bahawa kebanyakan yang menghadirinya adalah kanak-kanak sekolah, pelajar maktab dan pekerja kilang," katanya.

Murugiah menegaskan bahawa pada mulanya, beliau tidak berhasrat mencabar kedudukan Kayveas sebagai presiden parti.

"Saya hanya ingin bertanding jawatan naib presiden, tapi Kayveas merosakkan rancangan saya apabila beliau dengan sewenangwenangnya memecat saya, tanpa memberi peluang untuk saya membela diri," katanya.

Murugiah juga mendakwa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 24 Mei, yang memilihnya sebagai presiden PPP, sah kerana ia diadakan mengikut perlembagan parti.

Beliau seterusnya berkata selain mengadakan pemilihan setiap lima tahun, PPP juga perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan, tetapi ini tidak dilakukan.

Beliau berkata mesyuarat agung tahunan parti itu kali terakhir diadakan pada 21 Okt 2007 dan sepatutnya ia diadakan pula pada 21 April tahun ini.

"Oleh kerana ia tidak diadakan, maka parti ini sepatutnya mengadakan satu EGM bagi membolehkan satu pemilihan baru diadakan, memandangkan mandat bagi jawatankuasa lama sudah tidak sah lagi.

"Inilah sebabnya beberapa anggota parti yang prihatin memanggil EGM, di mana saya telah dipilih sebagai presiden baru bagi menggantikan Kayveas," katanya.BERNAMA

USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

Irwan Muhammad Zain
Sun | Jun 07, 09 | 12:01:12 pm MYT

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno. - mns_


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...