Wednesday, June 15, 2011

Pelarasan harga belum muktamad, KPKK masih bincang dengan Astro

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai depan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang, berkata penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad."Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad.

"Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisa apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat. 

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga. 

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 
 
"Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan pemantauan SKMM didapati Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersil, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersil dalam sehari. 

Katanya, kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro mengikut syarat lesen yang membenarkannya menyiarkan iklan komersil tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran. 

"Kebanyakan iklan di saluran Astro adalah berbentuk promosi saluran-saluran atau rancangan-rancangan Astro lain. 

"Ini tidak dianggap sebagai iklan komersial kerana masa penyiaran tersebut tidak memberi pulangan kepada Astro," katanya. 

Selain itu, beliau berkata kerjaan turut menetapkan syarat lesen Astro untuk menyiarkan Pengumuman Khidmat Awam (Public Service Announcement-PSA) selama satu minit setiap jam siaran di 10 saluran. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...