Saturday, May 31, 2008

Kes Perceraiana Beego

Saya tidak percaya pada Beego: Intan

Oleh Siti Nurazlinee Azmi

Sabtu, 31 Mei 2008

Beego bersama Roshidah ketika di luar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon drama Puteri, Beego memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, beliau mengambil suntikan cegah kehamilan sehari sebelum bernikah kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan.


Intan Shahira Mohd Shahru, 27, berkata beliau memberitahu bapanya mengenai kebimbangannya untuk berkahwin dengan Beego beberapa hari sebelum majlis pernikahan.

Bagaimanapun, bapanya menganggap ia hanya perasaan gemuruh biasa dan mengarahkannya supaya meneruskan majlis seperti ditetapkan.

Intan Shahira Mohd Shahru

Malah, plaintif turut memberitahu Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, mengenai keengganannya untuk bersuamikan defendan yang dianggap tidak bertanggungjawab sehingga beliau terpaksa menggunakan wang sendiri, selain berhutang dengan bank untuk majlis perkahwinan mereka.

"Saya tidak percaya padanya (Beego) kerana defendan tidak mahu merubah perangainya, malah saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri dan berhutang sehingga RM74,000 untuk majlis perkahwinan.

"Namun, defendan memujuk dan berkata bahawa beliau akan berubah," katanya menjawab soalan peguam syarienya, Marlina Amir Hamzah ketika perbicaraan permohonan fasakhnya terhadap Beego, semalam.

Permohonan yang difailkan pada 28 April lalu itu didengar di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin.

Intan berkata, kesan daripada suntikan cegah kehamilan beliau mengalami kesan sampingan, termasuk haid tidak teratur selama empat bulan dan sakit perut.

"Saya tetap mengambil suntikan, walaupun sebelum itu doktor menerangkan mengenai kesan sampingan yang mungkin saya hadapi, termasuk sukar mendapatkan zuriat.

"Perkahwinan ini berlangsung atas kehendak bapa kerana tarikh nikah sudah hampir ketika saya memberitahu yang saya tidak mahu berkahwin," katanya.

Intan turut diwakili Wan Ahmad Zaffran Wan Kamaruddin, manakala Beego ditemani ibunya, Roshidah Elias, 49, dan ahli keluarga, diwakili peguam syarie, Md Nor Md Din.

Beliau mendakwa memfailkan permohonan cerai kerana berasakan suaminya tidak bertanggungjawab, panas baran dan terlalu mengongkong serta disebabkan perkahwinan itu dia berhutang dengan bank, selain wang simpanannya habis.

"Malah, duit hantaran RM20,000 adalah duit pinjaman yang dibuat atas nama saya dan terpaksa menggunakan simpanan bagi membeli barang hantaran untuk kedua-dua pihak berjumlah RM11,000, tidak termasuk pembayaran untuk cincin, gelang, pakaian pengantin, fotografi dan rakaman video.

"Saya juga menggunakan duit saya untuk membayar wang pendahuluan hotel untuk majlis persandingan sebanyak RM8,000," katanya.

Beliau berkata, mereka berdua membuat pinjaman dua bulan sebelum berkahwin kerana defendan tidak mempunyai wang untuk majlis perkahwinan mereka.

Perbicaraan bersambung 3 Jun ini.

Terdahulu, dalam prosiding berasingan di mahkamah lain, Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan permohonan nusyuz (ingkar) yang difailkan Beego, 22 Februari lalu.

petikan Berita Harian


Intan Shahira pinjam RM30,000 untuk hantaran

KUALA LUMPUR 30 Mei - Isteri pelakon Beego, Intan Shahira Mohd. Shahru mendakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa beliau terpaksa membuat dua pinjaman bank berjumlah RM30,000 untuk dijadikan wang hantaran dirinya sendiri dan membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan di pihak pengantin lelaki.

Intan Shahira, 27, berkata, dia juga terpaksa menggunakan wang bonus tahunan berjumlah RM40,000, wang pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM11,000 dan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM10,000 untuk membiayai majlis perkahwinan mereka.

Beliau yang bekerja sebagai pakar perunding sumber manusia dengan gaji bulanan RM9,000 berkata, beliau membuat pinjaman RM20,000 dengan HSBC Bank Bhd. dan RM10,000 lagi dengan RHB Bank Bhd. setelah Beego memberitahu dia tidak mempunyai wang untuk berkahwin.

Menurutnya, wang pinjaman dan simpanannya turut digunakan untuk membiayai pembelian barang-barang hantaran perkahwinan, cincin perkahwinan serta majlis perkahwinan yang diadakan di Hotel Palace of The Golden Horses pada 12 Januari lalu.

''Keseluruhan perbelanjaan di hotel itu sebanyak RM30,000 ditanggung oleh saya sendiri,'' katanya sambil menambah suaminya langsung tidak mengeluarkan wang bagi membiayai majlis di hotel tersebut.

Selain itu, Intan Shahira berkata, beliau yang membayar pakaian pengantin berjumlah RM19,600 daripada pereka Jovian Mandagie, kos fotografi dan pengambaran video sebanyak RM5,000 serta bunga-bungaan sebanyak RM350 pada majlis itu.

Intan Shahira berkata demikian pada perbicaraan kes tuntutan fasakh (cerai) yang dikemukakan olehnya terhadap Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zain.

Pasangan itu bernikah pada 28 Disember tahun lalu dan rumahtangga mereka hanya mampu bertahan selama empat bulan. Beego sendiri sempat mendampingi isterinya selama 10 hari sahaja.

Melalui dua pinjaman bank tersebut, menurut Intan Shahira, beliau terpaksa membayar pinjaman keseluruhannya berjumlah RM74,000 selama tujuh tahun.

Jelasnya, pinjaman itu dibuat atas nama beliau kerana Beego tidak boleh membuat pinjaman bank.

Terdahulu, Intan Shahira memberitahu, beliau membuat tuntutan fasakh kerana merasakan suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab dan akibat perkahwinan itu, beliau telah berhutang dengan bank serta duit simpanannya turut habis.

Dakwanya, beliau tekad untuk bercerai setelah Beego dirasakan tidak menghargainya kerana sanggup menolaknya daripada katil semasa mengejutkannya daripada tidur untuk menemaninya membuat bank draf bagi wang hantaran pada 24 Disember tahun lalu.

''Saya telah buat pinjaman untuk dijadikan wang hantaran saya sendiri, setidak-tidaknya defendan bangun pagi untuk mengikut saya membuat bank draf itu,'' katanya sambil menahan sebak.

Sebaliknya, katanya, dia terpaksa pergi sendirian ke bank dengan membawa wang tunai RM20,000 yang dimasukkan ke dalam sampul surat.

Menceritakan lebih lanjut, Intan Shahira berkata, seminggu sebelum pernikahan, beliau telah memberitahu bapanya beliau tidak mahu berkahwin tetapi bapanya menyatakan beliau merasa demikian kerana mengalami darah gemuruh.

''Saya ada beritahu bapa saya tidak bersedia (berkahwin) kerana defendan tidak mahu mengubah perangainya yang tidak bertanggungjawab, panas baran, terlalu mengongkong dan tiada persefahaman dengan saya,'' katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, bapa beliau tetap mahu meneruskan perkahwinan itu kerana tarikh pernikahan semakin hampir dan tidak mahu memalukan keluarga kedua-dua pihak.

Sehari sebelum bernikah, katanya, beliau bersama seorang sepupunya telah pergi ke sebuah klinik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru untuk mendapatkan suntikan mencegah kehamilan tanpa pengetahuan sesiapa.

Jelasnya, beliau bertindak demikian kerana mendakwa Beego tidak bertanggungjawab untuk menjaganya apatah lagi sekiranya mereka mempunyai anak nanti.

Dalam keterangannya, Intan Shahira turut memberitahu, beliau tinggal di Kondominium Seri Maya di Setiawangsa, di sini bersama ibunya dan Beego turut menetap di situ beberapa minggu sebelum mereka bertunang.

Perbicaraan bersambung pada 3 Jun ini.

petikan Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...