Thursday, December 25, 2008

Isma Guna Dikir Barat Sebagai Cara Kempen - BERNAMA

25 Disember, 2008 19:11 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) -- Peniaga getah sekerap dari Rantau Panjang, Kelantan yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan, Isma Airfath Hassanuddin mahu menjadikan hiburan sebagai cara kempen dalam pilihan raya itu.Isma Airfath, 38, berkata, dengan mengadakan persembahan kebudayaan termasuk dikir barat dan konvoi bermotor menggantikan ceramah politik, ia dapat mengurangkan ketegangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya."Tak perlu berceramah... kita buat dikir barat, pertunjukan pentas untuk raih pengundi. Saya yakin minda pengundi di Kuala Terengganu dah cukup terbuka," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Isma Airfath, yang tiba dari Rantau Panjang bersama konvoi kereta mini dan van antik Vokswagen di Taman Batu Buruk petang ini, percaya cara sedemikian dapat mengelakkan sebarang kejadian seperti rusuhan seperti yang berlaku di Kuala Ibai pada pilihan raya umum lepas.Katanya selama ini kempen pilihan raya di negara ini sering berlaku dalam suasana tegang dan beliau berpendapat sudah sampai masanya keadaan itu ditukar dengan melakukan kempen secara santai.-- BERNAMA

Airod Diberi Tanggungjawab Baiki Pesawat C-130H Hercules - BERNAMA

25 Disember, 2008 17:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Airod, syarikat pakar dan peneraju utama Malaysia dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, diberi tanggungjawab membaik pulih sebuah pesawat C-130H Hercules miliki Derco Aerospace Incorporation yang terhempas di Gafsa, Tunisia 12 tahun lalu.Pengurus Program Baikpulih pesawat itu, Azriman Yahaya berkata, Airod berjaya mendapat tender bagi membaik pulih pesawat tersebut pada November 2007."Sebanyak 12 syarikat termasuk Airod telah bersaing untuk mendapatkan tender ini. Akhirnya Airod berjaya memperolehinya kerana pengalaman dan kepakaran yang sedia ada pada kumpulan kami."Selain Malaysia, antara negara yang bertanding untuk mendapatkan tender ini ialah Singapura, Perancis dan Portugal," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Airod di Lapangan Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.Beliau berkata pesawat itu dilerai kepada beberapa bahagian untuk diangkut ke Malaysia menggunakan sebuah kapal laut dan kapal itu tiba di Pelabuhan Klang semalam. Kerja meleraikan pesawat itu mengambil masa kurang dari sebulan membabitkan pakar Airod dan Derco.Menurut Azriman kerja membaik pulih akan bermula pertengahan Januari dan dijangka mengambil masa setahun."Pesawat ini telah terbiar selama 12 tahun di sebuah kawasan padang pasir di sana (Tunisia). Pesawat terbabit remuk di bahagian kepala akibat terbabas dan melanggar hujung landasan."Kapal laut yang mengangkut pesawat C-130H itu mengambil masa 23 hari untuk sampai ke Pelabuhan Klang dan dari situ, 11 treler digunakan untuk mengangkutnya ke Pusat Operasi Airod di Subang."Pesawat C-130H merupakan pesawat pertama dari luar negara yang akan dibaik pulih oleh Airod dan ini merupakan satu sejarah buat kami kerana sebelum ini Airod hanya membaik pulih pesawat yang ada dalam negara," kata Azriman.Derco Aerospace Incorporation adalah sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Milwaukee, Amerika Syarikat.-- BERNAMA

Wednesday, December 24, 2008

Umno mengkhianati saya..., kata Zahar - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Dec 24, 08 4:44pm

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim berkata, beliau tidak mengkhianati Umno, tetapi sebaliknya Umno yang mengkhianatinya.

“Orang Melayu hanya mendapat projek yang kecil sahaja kerana projek besar diberi kepada kroni yang boleh memberi wang semula kepadanya,” katanya.

Zahar berkata, beliau tidak kesal meninggalkan Umno kerana orang Melayu meluat dengan kepimpinan termasuk di Selangor.

“Bagaimana Tan Sri Muhammad Muhd Taib boleh menjadi menteri, ketua penerangan Umno dan Senator, tidak ada orang lain lagikah yang layak.

“Para pemimpin Umno sudah tidak ada kualiti, orang yang terlibat dengan politik wang, boleh menjadi menteri,” katanya.

Zahar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Zahar (foto, tengah) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad

Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau mendakwa, Muhd Taib bersama tujuh atau lapan ketua Umno bahagian di Selangor telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meminta supaya beliau (Muhd Taib) dilantik sebagai ketua perhubungan Umno baru Selangor, menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Tak calon Mat Taib


Zahar mendakwa, Muhd Taib telah menyalahkan Dr Mohd Khir di atas kekalahan teruk (Barisan Nasional) di Selangor.

"Hubungan saya dengan Tan Sri Muhd Taib sudah renggang," katanya.

Beliau mendakwa, satu ketika dulu, beliau yang mempertahankan Muhd Taib apabila menteri besar Selangor ketika itu, meminta Tan Sri Muhd Taib tidak dicalonkan bertanding dalam pilihanraya.

Zahar juga mendakwa, banyak kesilapan yang dilakukan oleh Muhd Taib dalam Umno.

"Kerana itu, bahagian saya - Petaling Jaya Selatan (PJS) - tidak mencalonkan beliau (Muhd Taib) untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

"Dia (Muhd Taib) marah saya kerana saya bercakap bahagian PJS tidak akan mencalonkan beliau, semasa berada di rumah Muhd Taib," katanya.

Sebab itulah, dakwa Zahar, Muhd Taib mensabotaj mesyuarat Pemuda Umno PJS, tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

Ketika diminta mengulas tawarannya pejabatnya kepada PAS, Zahar berkata, bangunan tersebut adalah miliknya.

Serah pejabat Umno


Beliau mendakwa kesemua pekerja di pejabat Umno bahagian tersebut, juga turut menyertai PAS bersamanya.

"Setiap hari, sekurang-kurang terdapat lima orang pekerja di pejabat tersebut," tambahnya.

Kini, katanya, pejabat tersebut telah menjadi pejabat PAS dan pekerja PAS juga akan turut ditempatkan di situ.

Mengenai dakwaannya bahawa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa Umno bahagian turut menyertai PAS, Zahar berkata, Umno PJS kini berdepan dengan masalah besar ekoran tindakan mereka itu.

Kira-kira 70 orang menghadiri majlis tersebut, dan sebahagian daripadanya difahamkan adalah ketua cawangan dan AJK berkenaan.

Zahar juga meminta ahli-ahli PAS di kawasan berkenaan supaya jangan memandang serong niatnya untuk menyertai PAS.

"Niat saya adalah untuk membantu parti (PAS) dan orang-orang Melayu, khususnya di Petaling Jaya Selatan," katanya.

Pada masa ini, katanya, Umno PJS memberi sumbangan bulanan sebanyak RM150 seorang kepada orang miskin di kawasan tersebut, selain bantuan makanan seperti gula, beras dan minyak.

Zahar berkata memandangkan beliau yang membiayai sumbangan dan bantuan tersebut, maka ianya akan diteruskan walaupun beliau kini bersama PAS.

Isu Eurocopter

Ditanya mengapa beliau memilih PAS, Zahar berkata: "Ia kerana PAS adalah satu-satunya parti (orang) Melayu".

Ditanya mengapa beliau bertindak meninggalkan Umno selepas mendapat kemewahan dari parti tersebut, Zahar berkata: "Mula-mula saya masuk parti (Umno), saya sudah pun ada sebuah kereta mercedes".

Mengenai kes Eurocopter, Zahar berkata beliau mahu mendedahkan lebih banyak bukti mengenai penyelewengan kes Eucopter tetapi sukar berbuat demikian kerana ia membabitkan pegawai kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

"(Bagaimanapun) saya juga tidak tahu adakah kandungan pendedahan tersebut tertakluk dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tambahnya.

Zahar berkata, beliau adalah jurucakap kepada tiga syarikat yang memasuki tender untuk mendapatkan kontrak tersebut.

“Mereka anggap saya jurucakap kerana mereka tidak berani bersuara. Kita marah kerana penender membayar RM1 juta untuk memasuki tender, sedangkan kerajaan telah menetapkan syarikat yang memperolehi tender tersebut,” katanya.

Zahar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan pembelian Eurocopter semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai.

Pemuda Umno diingat jaga disiplin di KT - MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Dec 24, 08 12:24pm

Anggota Pemuda Umno yang akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu,
diingatkan supaya menjaga displin dan jangan menimbulkan sebarang kekecohan, terutama pada hari penamaan calon pada 6 Januari depan.

"Jangan cepat melatah, jangan buat hal," kata Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika dihubungi Malaysiakini.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highlands pada 28 November lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi pilihanraya kecil pada 17 Januari.

Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga timbalan menteri dalam negeri, telah dipilih sebagai calon BN.

Sebaliknya, Abdul Rahman mahu jentera Pemuda Umno menerangkan kepada rakyat isu-isu yang relevan dengan orang Melayu sepanjang kempen pilihanraya tersebut.

Pemuda BN, katanya, akan membantu calon BN berkempen terutama di kawasan bandar Kuala Terengganu.

Ini kerana, katanya, ramai pengundi di kawasan bandar itu terdiri daripada kaum Cina dan India.

Berkampung di KT

Abdul Rahman berkata, semua Pemuda Umno negeri telah diarahkan supaya menghantar anggotanya turun berkempen dalam pilihanraya kecil tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan bilangan anggota Pemuda untuk berkampung sepanjang kempen pilihanraya tersebut.

"Kita memang sudah bersedia dari segi logistik dan isu-isu yang hendak dibawa. Persediaan Pemuda mantap.

"Dari segi tenaga (kerja berkempen) kita tak ada masalah," kata Abdul Rahman.

Katanya, pemimpin Pemuda di Kuala Terengganu cukup berpengalaman dalam beberapa pilihanraya kecil, termasuk ketuanya, Badrol Hisham Zaki.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf, dengan majoriti 628 undi.

Calon PAS

Manakala PAS pula akan mengumumkan nama calonnya pada 1 Januari depan.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Sehubungan itu, Abdul Rahman yang juga ahli parlimen Tuaran menjelaskan kerusi parlimen tersebut amat penting kepada Umno dan Barisan Nasional kerana ia menjadi titik perubahan untuk mengukur prestasi Umno.

Ditanya mengenai peluang Wan Farid untuk memenangi seterusnya mengekal kerusi parlimen itu, beliau berkata, walaupun yakin boleh menang tetapi "kita kena berhati-hati sebab hari terakhir pun boleh jadi isu".

"Kita yakin menang, cuma jangan ada masalah pada saat-saat terakhir," tambah Abdul Rahman sambil menegaskan bahawa mengekalkan kemenangan lebih sukar daripada mencapai kemenangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...