Monday, June 9, 2008

Syabas tolak terma, syarat akujanji air percuma

09/06/2008 5:45pm

KUALA LUMPUR 9 Jun — Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) hari ini menolak terma-terma dan syarat-syarat pembayaran yang dijanjikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri Selangor berhubung pemberian 20 meter padu air percuma.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan berkata setelah menelitinya, SYABAS tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada SYABAS dengan serahan tangan pagi ini.

Surat penolakan SYABAS itu telah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Ruslan berkata SYABAS tidak bersetuju dengan akujanji itu yang mencadangkan pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor oleh KDEB siap sepenuhnya September depan.

Katanya cadangan KDEB itu secara langsung menjejaskan aliran tunai SYABAS dan boleh menjejaskan operasi syarikat itu.

Ruslan berkata SYABAS berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di negeri itu.

"Oleh itu, cadangan balas SYABAS ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada SYABAS perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut,” katanya.

Katanya kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan SYABAS terpaksa menghentikan program pemberian air percuma itu.

Ruslan berkata SYABAS akan meneruskan dengan pengeluaran bil-bil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter padu air yang dijanjikan kerana SYABAS tertakluk kepada perjanjian konsesi seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat.

— BERNAMA

Shahidan enggan tunduk pada tekanan

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tidak sekali-kali akan tunduk pada tekanan pihak tertentu yang mahu beliau mengosongkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

Beliau mendakwa mendapat sokongan penuh daripada Pergerakan Pemuda Umno dan Wanita Umno negeri serta dua lagi bahagian lain di Perlis iaitu di Kangar dan Padang Besar.

“Mengapa pula saya perlu letak jawatan? Pemuda dan Wanita negeri sokong saya. Kangar dan Padang Besar juga sokong saya terus pegang, jadi mengapa ada orang suruh saya letak jawatan?

“Siapa dia hendak suruh saya letak jawatan?” katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas gesaan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu, Ameir Hassan agar beliau mengosongkan jawatan itu agar boleh diambil alih oleh menteri besar yang baru..

Ameir minggu lalu berkata, Shahidan sepatutnya tidak menentang tradisi Umno iaitu sesiapa yang menjadi Menteri Besar patut menyandang jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negari dan Pengerusi Barisan Nasional negeri.

Ini, katanya, bagi memudahkan pentadbiran kerajaan yang perlu berkait rapat dengan parti-parti politik dari kerajaan yang memerintah.

Shahidan bagaimanapun mempertikai kedudukan Md Isa yang tidak mengetuai mana-mana bahagian Umno di negeri itu sedangkan mengikut tradisi, jawatan itu hanya disandang oleh seorang ketua bahagian.

Shahidan adalah ketua Umno Bahagian Arau.

Gesaan Amier itu dilihat mungkin sebagai pembuka jalan baginya untuk bertanding menentang Shahidan pada pemilihan Umno bahagian Oktober depan.

Amier, seorang peguam, baru-baru ini telah pun menyatakan hasrat beliau untuk bertanding merebut jawatan yang disandang Shahidan itu.

Beliau juga adalan Naib Ketua Umno bahagian itu antara 1993 dan 1996.

http://www.mstar.com.my

Terengganu juara Sukma XII

KUALA TERENGGANU - Tuan rumah sudah boleh meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia XII hari ini apabila mendominasi kedudukan teratas pungutan pingat emas, mengatasi Raja Sukma, Selangor dengan mengumpul 59 emas sehingga semalam.

Lebih manis, pungutan emas itu turut disumbangkan acara paling popular, bola sepak selepas Terengganu menundukkan Perlis 5-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Sekalipun jika Selangor berjaya memenangi tiga pingat emas terakhir yang ditawarkan hari ini, ia belum mampu mengatasi tuan rumah kerana negeri itu hanya menutup saingan semalam dengan 53 emas.

Emas terakhir yang bakal menjadi rebutan hari ini adalah lumba basikal 150km lepas beramai-ramai lelaki individu, angkat berat atas 105kg lelaki dan sepak takraw antara regu lelaki.

Empat emas Terengganu semalam disumbangkan oleh silat, dua daripada acara tinju, manakala satu masing-masing menerusi ragbi dan bola sepak, sekali gus membolehkan tuan rumah melepasi sasaran 40 pingat emas .

Selain kilauan 59 emas, tuan rumah juga turut menerima 39 perak dan 46 gangsa yang disumbangkan melalui beberapa acara sepanjang Temasya ini berlangsung.

Daripada 59 emas yang diperoleh, acara kenu menjadi penyumbang tertinggi pingat Terengganu apabila menggondol kesemua 14 emas dan empat perak.

Lonjakan Terengganu di tangga teratas terus berlaku apabila acara berbasikal, olahraga dan pencak silat turut menyumbangkan 19 emas sehinggakan Selangor terpaksa akur di tangga kedua walaupun pernah merasai kedudukan pertama Sukma XII selama sehari pada 7 Jun lepas dengan 41 emas.

Dengan kejayaan Terengganu itu bermakna, tuan rumah berjaya menghalang penguasaan Selangor yang digelar Raja Sukma yang menguasai Sukma sebanyak enam kali berturut-turut sejak 1996.

Sementara itu gimnas Wilayah Persekutuan, Brenda Yap mencuri tumpuan sehari sebelum temasya ditutup apabila menggondol empat lagi emas dalam acara gimrama, sekali gus menyapu bersih kesemua lima emas yang ditawarkan dalam acara ini.

Atlet Olimpik, Bryan Nickson Lomas pula membantu Sarawak muncul juara keseluruhan acara terjun apabila menambah emas kelapan negeri itu dalam 10m platform lelaki, manakala seorang lagi penerjun Sarawak, Elizabeth Jimie memenangi emas 3m papan anjal wanita.

‘Saya mungkin ditentang’

JOHOR BAHRU 8 Jun – Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak menolak kemungkinan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi akan dicabar pada pemilihan peringkat bahagian Ogos ini.

Syed Hamid yang mengakui tentang desas-desus tersebut berkata, beliau turut mendengar terdapat beberapa pemimpin bahagian juga menyokong calon yang bakal menentangnya pada pertandingan itu nanti.

“Itu biasa dalam dunia politik dan orang boleh fikir macam-macam.

“Pada saya yang penting, keputusan terpulang kepada ahli dan cawangan dan pada waktu ini mesyuarat belum bermula maka terlalu awal untuk menjangka perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Beliau ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi akan dicabar oleh bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Daeng Malik, 52, pada pemilihan akan datang.

Pemilihan peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai ini manakala peringkat bahagian pada bulan Ogos.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi yang disandang Syed Hamid pernah dicabar oleh bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, Roslaili Ali pada pemilihan tahun 2004 yang menyaksikan Syed Hamid menang dengan hanya 31 undi.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, beliau mahu mengambil sikap tunggu dan lihat dalam hal tersebut kerana tarikh pemilihan masih jauh dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

“Perkara ini tidak perlu heboh-heboh kerana apabila tiba masanya, barulah kita tahu yang sebenarnya,” ujar beliau.

Ditanya kemungkinan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Asiah Md. Arif turut berpihak kepada Daeng, Syed Hamid berkata: ‘‘Terpulang kepada mereka kerana ia adalah hak mereka sebab kedua-duanya pun kuat juga.”

Namun bagi beliau, apa yang penting ialah UMNO di peringkat bahagian atau cawangan perlu diperkukuhkan lagi untuk membela orang Melayu.

“Persoalan kalau-kalau...saya rasa ini tidak perlu diulas lanjut pada waktu ini,” katanya.

utusan online

‘Sedia dicabar Yunus’

KUALA KLAWANG 8 Jun – Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, beliau sedia dicabar oleh Timbalannya, Datuk Yunus Rahmat bagi jawatan tersebut pada pemilihan bahagian akan datang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, ini kerana pencabarnya itu sememangnya mempunyai hak untuk bertanding tetapi caranya perlulah berlandaskan kepada prinsip moral.

Menurutnya, semua pihak sepatutnya membiarkan pertandingan berlangsung tanpa sebarang provokasi atau dengan cara memburuk-burukkan sesama sendiri.

Katanya, ia selaras dengan hasrat semua pihak dalam parti yang tidak mahu sebarang pertandingan membawa kepada perpecahan parti.

‘‘Saya yakin ahli-ahli UMNO kini matang dalam membuat keputusan untuk memilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan di Dewan Majlis Daerah Jelebu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasrat Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada pemilihan akan datang.

Rais berkata, beliau akan mematuhi suara orang ramai dan menurutnya kesibukan beliau sebagai Menteri Luar menyebabkan beliau tidak berkesempatan untuk berkempen.

Sementara itu, beliau yang turut menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO berkata, UMNO perlu berani melakukan perubahan drastik termasuk memansuhkan sistem kuota pencalonan.

“Pada masa ini, saya melihat sistem ini tidak akan dihapuskan kerana setakat ini hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya yang menyuarakan perkara berkenaan,’’ katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kuasa yang selama ini ditunjangi UMNO akan luntur berdasarkan cara mentadbir yang lebih profesional di lima negeri dikuasai pembangkang.

“UMNO boleh mengharungi masa depan yang lebih meyakinkan namun sekiranya parti masih di takuk lama, saya khuatir kuasa yang sedia ada di tangan kita semakin luntur,’’ katanya.

UTUSAN ONLINE

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...