Monday, September 1, 2008

Bola sepak: Thaksin jual Man City - UTUSAN ONLINE

01/09/2008 7:02pm

LONDON 1 Sept. – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra telah menjual kelab Liga Perdana England, Manchester City kepada Kumpulan Abu Dhabi, lapor sebuah laman web perniagaan Asia Barat semalam.

Kumpulan Abu Dhabi United (ADUG) yang menjalankan pembangunan dan pelaburan telah melengkapkan perjanjian lewat malam Ahad lepas bersama Thaksin.

Bagaimanapun terma-terma kewangan tidak dinyatakan.

Perbincangan telah diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Hydra Properties, Sulaiman Al Fahim, yang mewakili ADUG untuk barisan kepimpinan baru kelab England itu.

– AP

Imam Saiful kembali tugas esok Zahid tunggu laporan Jakim, Jawi - MSTAR ONLINE

01-09-2008 04:14:37 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya kini menunggu laporan lengkap mengenai kedudukan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi - yang menjadi saksi upacara bersumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan - ekoran penglibatannya dalam membantu 'berkempen' pilihan raya kecil Permatang Pauh minggu lalu.

Kelmarin Ramlang memberitahu mStar Online bahawa beliau akan kembali bertugas esok selepas bercuti hampir seminggu.

"Buat masa ini (sehingga hari ini) saya masih belum dapat apa-apa maklumat lanjut mengenai perkara ini.

"Saya perlu tunggu laporan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dahulu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua laporan itu nanti akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita tak boleh nak putuskan apa-apa keputusan lagi sekarang. Tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas mesyuarat itu nanti," katanya.

Ditanya apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Ramlang, beliau enggan mengulas lanjut.

Ramlang yang menjadi saksi angkat sumpah Mohd Saiful yang didakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak apabila muncul di Permatang Pauh dengan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Beliau muncul di tiga ceramah dihadiri Anwar dua hari sebelum hari pengundian.

Beliau turut mendakwa 'dipaksa' oleh pihak atasan untuk menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu mStar Online cuba mendapatkan maklum balas Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Abdul Malek Salleh namun beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut.

"Maaflah, saya baru balik dari mengerjakan umrah. saya belum menerima laporan rasmi lagi.

"Tunggu saya masuk kerja esok, kemudian baru saya boleh beri komen," katanya yang hanya mengetahui perkara ini setelah dimaklumkan oleh beberapa orang rakan.

Surcaj 30 peratus, jerat pengguna miskin untuk beraya - HARAKAHDAILY

Saidah Hairan
Mon | Sep 01, 08 | 6:02:15 am MYT

Barangkali kerajaan boleh juga menjadikan Mydin sebuah pasaraya atau gedung perniagaan yang terkenal dengan barangan murah sebagai konsultan mereka untuk menjaga kepentingan orang ramai.

Konsep mengurangkan harga dengan meningkatkan kuantiti jualan yang banyak diamalkan oleh pasaraya besar seperti juga saingan penerbangan seperti Air Asia menarik lebih ramai pengguna dengan jualan tiket murah.

Walaupun margin keuntungan kecil yang diperolehi daripada harga barang tetapi keuntungan tetap tinggi berdasarkan peningkatan kuantiti jualan atau pertambahan jumlah pengguna.

Berdasarkan kepada kaedah tersebut kenapa perlu kerajaan membenarkan pengusaha bas menaikkan surcaj 30 peratus keatas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri depan?

Tidakkah kerajaan sedar peningkatan berkali ganda pengguna pengangkutan bas setiap kali menjelang raya dan lepas raya? Peningkatan mendadak tersebut sudah tentu menguntungkan pengusaha bas malah ia dikira bonus kerana ia turut sama meningkatkan pendapatan syarikat bas.

Bas merupakan pengangkutan awam paling murah. Orang miskin menjadi pengguna utama kerana tidak berkemampuan membeli kenderaan peribadi.

Golongan wanita juga merupakan pengguna utama pengangkutan awam tersebut kerana tidak ada keberanian membawa kereta atau motorsikal.

Begitu juga dengan remaja yang belum berkemampuan memiliki kenderaan peribadi menjadikan bas keutamaan pengangkutan mereka.

Persoalannya kenapa kerajaan merestui syarikat bas memasang jerat kepada pengguna pengangkutan awam? Apakah kerajaan dan penguasaha bas sepakat mengambil kesempatan diatas keadaan terdesak pengguna bas?

Kerajaan melakukan kesilapan besar menaikkan harga minyak sehingga 40.6 peratus petrol dan diesel sebanyak 63.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan inflasi meningkat 8 peratus pada Julai lalu dan kebobrokan ekonomi yang sukar untuk dipulih.

Kesan kenaikan harga minyak menyebabkan kenaikan alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan ikut turut naik.

Walaupun kerajaan menurunkan 15 sen seliter petrol dan 5 sen seliter diesel tetapi kemusnahan ekonomi yang telah parah tadi menyukarkan penurunan harga barangan berlaku.

Sebaliknya kesilapan kerajaan itu mahu diletakkan diatas bahu pengguna bas. Malah mereka seolah bersekongkol dengan pengusaha bas menjerut leher pengguna dalam masa orang ramai terdesak untuk pulang ke kampung menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga.

Tidak adakah cara lain bagi kerajaan mengatasi masalah tersebut? Kenapa harus pengguna menjadi mangsa yang kedua selepas menjadi mangsa pertama iaitu kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak?

Kenapa kepentingan pengguna tidak diambil kira? Bagi tiket perseorangan ia tidak menjadi masalah tetapi fikirkan tentang pengguna miskin yang berkeluarga?

Sebagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh penulis blog, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar:

1. Tambang Ipoh ke Shah Alam = RM15.00

2. Surcaj 30% = 30% x RM15 = RM4.50

3. Jumlah =RM 19.50 (seorang)

Menurut beliau, katakan seorang itu mempunyai tiga orang dewasa dan dua orang kanak-kanak, berapakah surcaj yang perlu mereka tambah?

Sudah tentu tambang bas mereka melebihi harga minyak dan tol bagi sebuah kenderaan untuk ke destinasi yang sama.

Bagi tambang kanak-kanak pula, harga mungkin diberi separuh bagi syarikat besar seperti Tranasional tetapi syarikat bas lain tetap mengenakan harga dewasa bagi kanak-kanak.

Alasan yang diberikan ialah bas tambahan tetapi sebenarnya mereka mahu mengaut keuntungan dan kesempatan daripada pengguna dan keluarga yang terdesak mahu pulang ke kampung.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata kadar surcaj, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15 Sept ini, langkah sementara sebelum kementeriannya membuat keputusan kenaikan kadar tambang.

"Pelaksanaan surcaj ini adalah bagi membantu pengusaha bas ekspres mengurangkan kos operasi selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas serta keluhan daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Tindakan kerajaan itu cukup membebankan rakyat yang mahu pulang ke kampung bertemu sanak saudara pada hari raya akan datang.

Rakyat sering mendengar pakar motivasi keluarga meminta umat Islam pulang sebulan sekali atau kalau tidak berkemampuan mereka boleh pulang setahun sekali terutama hari raya untuk menjenguk ibu bapa dan saudara mara di kampung.

Dengan cara ini ia meningkatkan saliratulrahim sesama insan dan ikatan persaudaraan yang boleh memberi keharmonian kepada masyarakat, kampung, negeri dan negara.

"Ibu bapa bukan mengharapkan wang tetapi kerinduan untuk melihat anak-anak mereka," kata-kata yang sering diluahkan oleh para motivasi di media elektronik dan cetak.

Jika dikenang kata-kata pakar motivasi rupanya minyak naik boleh juga putus saudara. Hilang keharmonian sebaliknya bertambah tekanan.

Maka menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membetulkan keadaan tersebut.

Kementerian tersebut perlu ingatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi supaya jangan terlalu fikirkan keuntungan hingga lupa tanggungjawab sosial yang akhirnya membawa kemusnahan keluarga dan masyarakat.

Rakyat mahu pulang ke kampung untuk realisasikan apa yang diingini oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga, tetapi kenapakah kementerian usahawan mengambil kesempatan?

Dalam blog yang lain penulisnya ada membuat komen berikut: "Jika pengusaha bas mengeluh, kami sebagai pengguna juga mengeluh dengan kenaikkan yang agak tinggi ini iaitu 30 peratus. Bukankah kerajaan telah menurunkan harga diesel? Bukankah harga diesel bagi pengusaha bas adalah jauh lebih murah?

Kami juga merasai keperitan hidup dengan kenaikkan pelbagai kos namun mengapa keluhan kami tidak diambil kira berbanding dengan keluhan pengusaha bas?

Ingin saya cadangkan, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin terhadap kedua belah pihak iaitu pengguna dan pengusaha, adalah lebih baik jika kenaikkan tersebut hanya berkadar 15 peratus sahaja.

Seperti yang saya katakan, kita juga faham nasib si pengusaha bas tetapi siapakah yang faham akan nasib kami yang cukup terbeban ini."

Lim Sokong Cuti Umum 16 Sept Untuk Lima Negeri Ditadbir Pakatan Rakyat - BERNAMA

01 September, 2008 14:04 PM

PULAU PINANG, 1 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan menimbang cadangan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 Sept setiap tahun dijadikan cuti umum untuk lima negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai memperingati hari pembentukan Malaysia.

"Perkara ini akan dibincangkan dulu dengan exco kerajaan negeri kerana ia akan melibatkan operasi pihak industri di negeri ini," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng kepada selepas pada ceramah umum mengenai 'Enzim Sisa Makanan Menyelamatkan Dunia Kita' di Pasar Awam Tanjung Bungah di sini hari ini.

Cadangan cuti umum untuk lima negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan itu dibuat oleh Anwar pada majlis kesyukuran sempena kemenangan beliau pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan cuti umum pada 26 Ogos lepas sempena pilihan raya kecil berkenaan.

"Kalau kita hendak ambil 16 Sept sebagai cuti umum mungkin pada tahun depan," kata Lim.

Beliau berkata kerajaan pusat sepatutnya menjadikan 16 Sept sebagai cuti umum.

Lim juga bersetuju dengan cadangan badan bukan kerajaan untuk melakukan eksperimen enzim sisa makanan di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

Beliau berkata enzim sisa makanan itu berupaya membersihkan kawasan dan sungai tercemar akibat pembuangan sampah isi rumah, kilang dan premis perniagaan.

Enzim yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti kulit buah-buahan mampu menyahtoksin kotoran yang terkandung dalam air.

"Ia mampu menjaga ekosistem dan sekaligus memelihara alam sekitar kerana enzim ini diperbuat dari sisa bahan organik," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...