Monday, August 22, 2011

Kaji mansuh 1 tol



HULU LANGAT: Keluh kesah penduduk di sini dan sekitarnya dibebani dua tol di jajaran Lebuhraya Cheras-Kajang kendalian syarikat konsesi Grand Saga Sdn Bhd mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kunjungannya ke kawasan kejiranan berkenaan semalam, Najib memberitahu akan mengarah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol itu berikutan membebankan penduduk.

Katanya, tuntutan itu walaupun disuarakan secara terbuka menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz, beliau tidak boleh membuat sebarang pengumuman terus tanpa melalui kajian menyeluruh.


“Sebabkan ini ada implikasi kewangan yang besar saya tidak boleh umum (buat keputusan terus)...kalau terus umum mungkin boleh dapat tepukan hebat (rakyat di sini) barangkali (boleh) runtuh khemah ini.

“Tapi sebagai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya perlu mengkaji dulu perkara ini sedalamnya...tunggulah apabila masa sesuai nanti, akan kita umumkan.

“Apapun, saya akan arahkan Menteri Kerja Raya (Shaziman) kaji perkara ini dan bawa ke jemaah menteri untuk dikaji selanjutnya jika boleh kita tangani mengenai masalah tol,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor di Dataran Usahawan dan Masjid Hishamuddin Alam Shah Batu 14, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Johan yang juga Ketua Umno Hulu Langat.


Johan ketika berucap menyuarakan beberapa permintaan penduduk yang mahu masalah kesesakan diatasi termasuk isu dua tol di kawasan berkenaan dalam jarak dua kilometer dengan kadar tol sekitar RM2.00.

Beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan menaik taraf Hospital Kajang berusia lebih 100 tahun yang tidak mampu lagi menampung kepadatan penduduk mencecah 1.2 juta orang.

Menjawab itu, Najib berkata, kerajaan akan sentiasa dan terus berusaha melakukan yang terbaik bagi memberi keselesaan serta kesenangan kepada rakyat keseluruhannya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim dan warga emas selain penyampaian komputer riba 1Malaysia serta menyempurnakan pelancaran Dataran Usahawan.

Najib turut solat Isyak dan Tarawih di Masjid Jamek Kampung Pasir Baru, Semenyih, dekat sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...