Friday, April 16, 2010

‘Tuan Muda’ mohon maaf, janji tidak ulangi perbuatan

KUANTAN 16 April – Remaja yang menyamar sebagai “Tuan Muda Pahang” telah menghantar surat memohon maaf serta akujanji kepada pihak Istana Pahang untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

Setiausaha Sulit Istana Abdul Aziz di sini, Left. Kol. (B) Nor Hashim Abdul Aziz berkata, surat permohonan maaf serta akujanji berkenaan diserahkan sendiri remaja berusia 17 tahun itu semalam.

"Dalam surat itu, remaja terbabit menyatakan rasa kesal dengan perbuatannya, dia juga memohon maaf kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta semua anggota kerabat dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

"Remaja itu juga mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu seorang diri dan atas kehendaknya sendiri tanpa pengetahuan saudara-maranya yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Remaja itu, kata Nor Hashim, juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media untuk mengelak sebarang spekulasi. – Bernama

Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (berbaju Melayu jingga), penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Pada majlis ini, Aziz juga menyampaikan watikah pelantikan sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Sibu kepada Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng (kiri).

Beliau berkata Wong mempunyai pengalaman dalam mengendalikan beberapa pilihan raya umum di Sibu dan akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus daripada beberapa jabatan kerajaan negeri di Sarawak.

Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

PM: MIC perlu menang di Hulu S'gor

MIC, yang sekali lagi diberi kepercayaan bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, perlu menang dalam pilihan raya kecil di situ 25 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata MIC perlu membuktikan yang ia sebuah parti nasional yang berkhidmat bukan saja untuk masyarakat India tetapi juga untuk semua kaum.

"Saya memutuskan (P) Kamalanathan (sebagai calon BN) ialah untuk memenuhi kehendak pengundi tempatan. Ia bermakna apa pandangan rakyat mengenai calon yang sesuai menjadi wakil parlimen (diutamakan).

"Ini yang menjadi perhitungan pertama kerana kawasan Hulu Selangor ini kawasan BN. Kita pinjamkan kepada PKR sementara waktu. Sudah sampai masanya tempoh pinjaman ini ditamatkan dan kembali kepada BN.

"Sebab itu kita mesti letak calon yang boleh menang," kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia di Washington sebelum meneruskan lawatannya ke New York.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Ketua Penerangan MIC PKamalanathan, 44, sebagai calon BN untuk bertanding di situ. Penamaan calon akan diadakan esok.

Najib berkata, walaupun Datuk G Palanivel tidak dipilih semula menjadi calon, tetapi beliau tetap mengiktiraf segala sumbangan timbalan presiden MIC itu.

"Saya tetap iktiraf Datuk G Palanivel sebab dia banyak memberi sumbangan sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri (sebelum ini)," katanya.

Palanivel merupakan ahli parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR yang meninggal dunia 25 Mac lepas akibat barah otak.

Mengenai pemilihan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR kali ini, Najib berkata: "Semua orang kenal Zaid. Tak perlu saya ulas."

Mengenai lawatannya ke Washington, perdana menteri menyifatkannya sebagai yang "paling berhasil" terutama, kerana menurut beliau, sentimen Washington terhadap Kuala Lumpur telah berubah.

Katanya, beliau melihat perubahan sentimen tersebut bukan sahaja pada Presiden Barack Obama dan pentadbirannya tetapi juga di Capitol Hill iaitu dalam kalangan senator serta ahli Kongres dan juga dalam kalangan ahli peniagaan Amerika Syarikat .

Isnin lepas, Najib telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama semasa menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...