Thursday, August 4, 2011

Pengundi P Pinang lonjak 32,000 dalam 3 bulan

Cardozas Says:
Malaysia ni memang hebat. Semua benda naik, even jumlah pengundi pun naik. Hebat! Yang masalahnya, gaji je yang tak naik-naik.


Artikel daripada Malaysia Kini







Berikutan dakwaan bahawa lebih 1,500 penduduk tetap dibenarkan mendaftar dalam senarai tambahan pemilih terbaru, Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini mendakwa jumlah pengundi di negeri itu telah melonjak dengan mendadak sebanyak 32,000 orang dalam hanya tiga bulan.

Seramai 1,400 undi pos dimasukkan ke dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Maung, yang kini diwakili oleh exco kerajaan negeri itu, Abdul Malik Kassim dari PKR.

Antara 2008 hingga 2010, kerusi majoriti Melayu itu menyaksikan peningkatan sebanyak 2,200 pengundi.

Kebanjiran pengundi itu didedahkan hari ini dalam sidang akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang turut dihadiri oleh Abdul Malik dan Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman.

Pada masa lalu, kata Lim, biasanya akan ada pertambahan kira-kira 10,000 pengundi baru, tetapi peningkatan tiga kali ganda itu "mencurigakan" dan menimbulkan kebimbangan "mungkin berlaku penipuan".

"Pilihan raya umum semakin hampir. Jika pertambahan pengundi adalah 200 hingga 400, ia boleh diterima, tetapi kini terdapat pertambahan sebanyak tiga kali ganda (jumlah tersebut). Macam mana nak menang?" soalnya.

Hantu lapar undi

Lim berkata pertambahan jumlah pengundi berlaku dalam tempoh tiga bulan, sambil menyentuh tentang dakwaan mengenai 'Mismah' dan lebih 1,500 penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi.

"Dalam dunia ini, kita telah mi segera, tetapi di Malaysia, kami mempunyai pengundi segera," kata Lim berseloroh.
"Bulan ini adalah bulan hantu lapar untuk orang Cina, tetapi apa yang kita lebih takut ialah pengundi hantu," katanya.

Lim mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana keengganannya untuk menyiasat kes-kes tersebut atau mengambil tindakan.

JPN: Tiada rakyat asing dapat kewarganegaraan pintas


KUALA LUMPUR 4 Ogos — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang rakyat asing bernama Mismah telah diberi taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam setelah mendapat taraf Penduduk Tetap.

Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said dalam kenyataan di sini berkata, mengikut rekod, Mismah telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982 dan diluluskan taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Jan 2011.


Beliau berkata, kewarganegaraan Malaysia itu diberi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu warga asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.

Jariah berkata, sejak 9 April 2009 hingga 1 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menimbang sebanyak 72,334 pemohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, dan sebanyak 29,290 daripada jumlah itu telah diluluskan.


Angka itu merupakan sebahagian 219,000 permohonan yang telah berjaya diselesaikan kementerian itu.

Kes lain termasuk 31,449 permohonan untuk Penduduk Tetap, 108,906 permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan 6,311 permohonan di bawah program My-Daftar. — Bernama

Keratan anggota badan manusia ditemui


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Badan manusia yang dikerat kepada beberapa bahagian dijumpai dalam dua beg plastik di Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang dekat sini semalam.

Beg plastik yang mengandungi keratan tangan dan kaki itu ditemui di atas siling tandas sebuah unit pangsapuri yang tidak dihuni sejak 10 tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, polis bergegas ke pangsapuri berkenaan selepas menerima aduan penduduk yang menemui kaki kiri manusia di anjung pangsapuri itu pada pukul 2 petang.

"Bahagian badan manusia itu dipercayai dipotong dengan objek tajam sebelum dibungkus dengan plastik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut di pangsapuri itu, polis dengan dibantu Unit Patalogi Hospital Ampang menemui usus dan perut manusia dalam mangkuk tandas dalam unit itu.
Polis menemui bahagian lain tubuh manusia yang telah dipotong di atas siling bilik air berkenaan, katanya.

Amiruddin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa, yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lepas. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...