Friday, May 30, 2008

Ku Li Cadang Pemilihan Pemimpin Umno Semua Peringkat Melalui Undian

KOTA BAHARU, 30 Mei (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan pemilihan pemimpin semua peringkat dalam Umno termasuk presiden ditentukan oleh semua anggota parti melalui undian.

Beliau berkata cara sedemikian akan dapat mengembalikan maruah Umno yang tercalar selepas pilihan raya umum Mac lepas apabila pemimpin yang ada sebenarnya bukan merupakan pilihan semua anggota parti.

"Kita kembalikan kuasa kepada rakyat dengan mereka dibenarkan memilih ketua di semua peringkat melalui undian atau mekanisme lain yang difikirkan perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Ke-6 Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Cawangan Negeri Kelantan (Mubarak) di sini, Jumaat.

Tengku Razaleigh yang juga anggota Parlimen Gua Musang berkata Umno yang mempunyai keanggotaan 3.4 juta itu perlu diberi kuasa menentukan pemimpin mereka di semua peringkat melalui undian sama ada peringkat cawangan, bahagian dan peringkat tertinggi.

Beliau juga mencadangkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri ditentukan oleh ketua-ketua bahagian di negeri masing-masing dan bukannya presiden parti.

"Tentu mereka akan memilih orang yang berkelayakan bukan orang yang tidak tahu selok belok negeri terbabit.

"Jadi sebagai ahli parti saya rasa bertanggungjawab mencadangkan perkara itu kepada parti untuk dijadikan asas ke arah mengembalikan maruah Umno," katanya.

Cadangan berkenaan pernah dikemukakan oleh Tengku Razaleigh menjelang pemilihan agung Umno pada 2004.

Mengenai Mubarak, beliau berkata pengalaman luas anggotanya yang telah banyak berjasa wajar dimanfaatkan untuk kepentingan parti.

-- BERNAMA

Penduduk Bandar Mahkota Cheras Boleh Guna Jalan Pintas Sehingga Mahkamah Buat Keputusan

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Penduduk Bandar Mahkota Cheras boleh menggunakan jalan pintas menuju ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuh Raya Cheras-Kajang sehingga mahkamah memutuskan mengenai tembok penghadang yang dibina oleh syarikat konsesi lebuh raya itu Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet pagi tadi untuk kebaikan semua pihak.

"Selepas mahkamah membuat keputusan pihak kementerian akan melihat semula dan membuat semakan sekiranya keputusan yang dibuat itu boleh menjejaskan penduduk," katanya kepada pemberita ketika melawat jalan pintas yang mencetuskan kekecohan itu, Jumaat.

Pada 12 Mei lalu Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Bandar Mahkota Cheras bagi mendapatkan perintah injunksi menghalang Grand Saga membina semula tembok penghadang di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras. Difahamkan kes tersebut akan disebut semula pada 25 Jun depan.

Mohd Zin berharap perkara itu akan dapat diselesaikan melalui proses perundangan dan meminta penduduk supaya bersabar dan mematuhi undang-undang.

"Beri saya masa..saya akan fikirkan cara untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Mohd Zin berkata Grand Saga juga telah bersetuju untuk tidak membina semula tembok penghadang itu sehingga kes mahkamah selesai.

Beliau berkata sehingga keputusan mahkamah dibuat, Grand Saga boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan mengikut perjanjian konsesi sehingga boleh menjangkau RM9,000 sehari (RM270,000 sebulan atau lebih RM3.5 juta setahun).

Justeru, katanya sebarang keputusan mengenai isu itu perlu mengikut arahan kabinet kerana ia melibatkan kos yang tinggi dengan tempoh konsesi yang panjang iaitu selama 20 tahun.

Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal dipecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula oleh penduduk setempat.

Ketegangan terus berlaku sehingga tercetus insiden terbaru Selasa lepas apabila penduduk bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang cuba menghalang tembok itu dirobohkan untuk kali ketiga sehingga menyebabkan beberapa orang cedera termasuk seorang jurugambar sebuah akhbar.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...