Showing posts with label KITA. Show all posts
Showing posts with label KITA. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

Parti KITA sasar singkir PKR, DAP di Kedah

Cardozas says:-


Patut tukar tajuk "Parti KITA sasar tak hilang deposit dalam PRU 13"




Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah menyasar untuk merampas semua kerusi yang disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Pengerusinya, Zamil Ibrahim berkata parti itu bakal bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Kita akan bertanding untuk 12 kerusi DUN iaitu Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Gurun, Bukit Selambau, Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Bakar Arang, Sidam, Kuala Ketil, Lunas dan Kulim.

"Enam kerusi Parlimen pula ialah Alor Setar, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Manifesto Parti KITA Kedah hari ini.

Beliau berkata semua kawasan itu berpotensi untuk menang berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, yang menyaksikan kebanyakan pengundi gemar beralih arah, dan bukan kawasan tradisi.

"Misalnya di Bukit Selambau dan Pantai Merdeka, kita lihat Pakatan Rakyat pernah menang dan Barisan Nasional (BN) pun pernah menang... ia menunjukkan kawasan ini tidak pernah tetap," katanya.

Zamil juga berkata KITA ingin memberi peluang kepada rakyat memilih parti
yang mampu bekerja keras memandangkan mereka masih tidak berpuas hati dengan
pemerintahan Pakatan Pembangkang ketika ini.

"Tidak semua sokong Pakatan Pembangkang, dan kita yakin rakyat rasa bosan, meluat dan ada juga yang simpan dendam dengan BN, jadi dengan pembabitan KITA pada PRU ke-13 nanti, ia menjadi pilihan ketiga untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata KITA Kedah menghantar resume kira-kira 20 calon kepada pusat bagi mengenal pasti mereka yang layak bertanding pada PRU akan datang.

Zamil berkata pihaknya akan memastikan tiga bangsa menjadi calon KITA Kedah pada PRU ke-13 bagi membuktikan parti itu adalah berbilang kaum.

- Bernama

Monday, September 26, 2011

Bekas pemimpin KITA lapor ROS

Dua bekas pemimpin kanan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung tindakan tatatertib ke atas mereka yang didakwa dibuat dengan tidak mengikut perlembagaan parti.

Bekas setiausaha pusat KITA, Abdul Latif Tambi berkata, aduan rasmi itu akan dibuat esok berhubung pemecatan jawatannya, yang dibuat melalui seorang setiausaha kerja yang dilantik presiden, Datuk Zaid Ibrahim.

"Abdul Latif berkata, terserah kepada jabatan (ROS) untuk ambil tindakan sewajarnya," kata Abdul Latif dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, aduan yang akan dibuat itu akan mengaitkan enam perkara dalam perlembagaan KITA yang didakwa telah dilanggar melalui tindakan pemecatannya itu.

Beliau turut mendakwa, tindakan ke atasnya itu tidak sah memandangkan surat penggantungannya itu ditandangatani oleh setiausaha kerja, Masrum Dayat, yang didakwa masih masih belum menjadi ahli KITA.

Abdul Latif juga mendakwa, tuduhan salahlaku disiplin yang dibuat ke atasnya – pembocoran maklumat parti dan menghasut pemimpin meninggalkan parti – juga tidak benar dan merupakan satu fitnah.

"Saya juga tidak pernah diberi kesempatan untuk membela diri, sebaliknya terus diberi surat penggantungan selama enam bulan," katanya dalam satu sidang media petang ini.

Tambahnya, langkah itu menujukkan bahawa parti itu tidak lagi mengamalkan kebebasan bersuara seperti yang dipromosi sebelum ini apabila KITA ditubuhkan pada Januari lalu.

Beliau yang menyertai Zaid Ibrahim ke dalam parti KITA selepas keluar daripada PKR, dituduh berbuat demikian dengan ahli jawatankuasa pusatnya, Muhammad Firdaus Christopher yang dituduh mengepalai usaha itu.

Muhammad Firdaus turut digantung keahlian selama enam bulan, melalui sepucuk surat yang diterimanya daripada Masrum bertarikh 13 September lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Latif mendakwa, Zaid sendiri telah mengakui bahawa Masrum masih belum menjadi seorang ahli KITA, melalui satu e-mel yang diterima daripada presiden parti itu pada 14 September lalu.

Dalam e-mel itu juga, Zaid antara lainnya berkata Abdul Latif tidak dapat mengikuti arahannya untuk memberikan kata laluan untuk selenggaraan laman web parti.

Muhammad Firdaus pula antara lainnya dituduh menyerang parti dan memburuk-burukkan Zaid melalui tulisan di laman Twitter danFacebook.

Beliau yang sebelum ini menjadi setiausaha politik Zaid, juga dituduh mengatur pertemuan bersama pemimpin parti untuk menggulingkan presiden parti itu.

Muhammad Firdaus dalam sidang media sama berkata tuduhan berkenaan timbul ekoran satu pertemuan yang dirancang untuk dilakukan sebelum ini bersama seorang pemimpin jawatankuasa pusat, KS Kottapan.

Muhammad Firdaus berkata, beliau mengatur pertemuan itu bagi mengadakan perbincangan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat Kottapan.

Wednesday, September 21, 2011

Parti Kita Sedang Bergolak Panas


KUALA LUMPUR: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), yang ditubuhkan Januari lepas, kini bergolak apabila ramai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu mengecam hebat tindakan "tidak beretika dan tidak mengikut perlembagaan" Presiden Datuk Zaid Ibrahim memecat anggota CWC baru-baru ini.
Tindakan memecat tiga anggota CWC setiausaha pusat Abdul Latif A. Tambi, bendahari Rashid Azad Khan dan anggota CWC Muhammad Firdaus Christopher dikatakan dibuat tanpa sebarang sebab kukuh dan hanya menerusi surat tidak rasmi iaitu hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Dalam satu e-mel kepada Bernama pada Rabu, seorang anggota CWC parti itu, Mohd Zahrein Zakariah berkata beliau akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa parti sebagai saluran undang-undang untuk mendesak Zaid meletak jawatan.
"Presiden telah menyimpang jauh daripada matlamat parti ditubuhkan. Tidak ada pergaduhan dalam KITA cuma ada mereka yang memutuskan untuk bercanggah dengan prinsip parti ditubuhkan dan ini termasuklah ketua parti Zaid Ibrahim.
"KITA bermatlamat menjadi parti pembangkang utama di Malaysia, dan kami tetap teguh dengan pendirian itu serta menjadi tanggungjawab saya menentang tindakan Zaid baru-baru ini yang berlawanan dengan prinsip parti," katanya. KITA ditubuhkan Januari lalu selepas Zaid keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lepas, dan menyertai parti yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.
Zaid didakwa menggantung keanggotaan Muhammad Firdaus kerana kenyataannya bersabit langkah parti itu memotong belanjawan operasinya manakala pemecatan Abdul Latif kerana dia enggan memberikan kata laluan laman sesawang KITA kepada presiden.
Semasa dihubungi Bernama, Muhammad Firdaus mendakwa ia bukan bersabit dengan belanjawan parti tetapi hanya satu helah mahu mengalihkan perhatian terhadap isu sebenar berhubung cara mana parti itu diuruskan.
"Zaid selalu membuat keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan anggogta lain dalam CWC," katanya.
Dalam satu e-mel lain, anggota CWC dan penyelaras KITA Wilayah Persekutuan Dr Rajaratnam Gopal Pillai berkata Zaid tidak mahu mendengar nasihat daripada CWC dan anggota peringkat bawah.
"Ini kerana sifatnya yang angkuh dan enggan bertolak ansur dalam soal cara menguruskan parti KITA. Saya selalu menasihatinya supaya mendengar rungutan anggota parti," katanya.
"Dia tidak mahu mendengar pandangan anggota-anggota CWC yang lain dan jika keadaan ini berterusan lambat laun parti ini akan lebur dari dalam. Tindakannya memecat anggota parti baru-baru ini menimbulkan persoalan tentang niat sebenar perjuangan politik beliau," kata Dr Rajaratnam.
Katanya ramai berpendapat sekiranya masalah dalaman parti tidak diselesaikan segera, KITA tidak mampu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Sunday, August 21, 2011

KITA Letak Calon Di Selangor, Kelantan: Zaid Ibrahim


KOTA BARU: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) bercadang meletakkan calon di Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya Datuk Zaid Ibrahim.
Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak dapat menentukan jumlah calon dan kerusi yang akan ditandingi di kedua-dua negeri itu.
"Setakat ini, kita hanya mengenal pasti dua negeri iaitu Selangor dan Kelantan untuk diletakkan calon KITA dalam pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada orang kurang upaya di sini, Ahad.
Bekas Anggota Parlimen Kota Baharu itu berkata beliau sendiri belum dapat menentukan sama ada akan bertanding di kawasan Parlimen itu atau di luar Kelantan.
Menyentuh cadangan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini, Zaid berkata semua pihak harus memanfaatkan penubuhan badan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan mana-mana pihak.
Pembangkang juga tidak harus membuat tuntutan tidak munasabah dalam mengutarakan perasaan tidak puas hati dengan perjalanan proses pilihan raya di negara ini, sehingga tidak ada jalan penyelesaian, katanya lagi. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...