Thursday, March 31, 2011

Dr Asri: Poco-poco harus, bukan haram

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbeza pandangan dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memutuskan bahawa tarian poco-poco haram.

Beliau berhujah, semua urusan harian manusia, termasuk tarian, adalah harus diamalkan kecuali terdapat dalil yang jelas mengharamkannya.

NONEBagaimanapun, tambahnya, jika terdapat unsur yang tidak baik, perkara itu hendaklah ditapis dengan membuang unsur yang buruk, bukan mengharamkan perkara itu secara menyeluruh.

"Atas asas ini, pada pandangan saya, tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah," katanya yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian berkenaan sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain dan pemujaan roh.

Pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

NONEDalam kenyataan pada Selasa malam, Dr Mohd Asri juga menegaskan, masyarakat Islam hendaklah tahu tentang keluasan Islam, apatah lagi dalam masyarakat yang serba rencam hari ini.

"Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam," katanya.

Menurut Dr Mohd Asri lagi, jika pengharaman dibuat berdasarkan asal-usulnya yang tidak islamik, ia akan mewujudkan kecenderungan pengharaman pelbagai lagi aktiviti seperti Tai Chi, Taekwondo dan senaman Qiqong.

Beliau bagaimanapun menegaskan menghormati pandangan Harussani dan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian tersebut dan cuma memberikan pandangan berbeza.

Malek Noor masuk ICU rebah semasa main bola

Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor, dimasukkan ke sebuah hospital di Ipoh malam tadi selepas sesak nafas semasa menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak.

Malek, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di Ipoh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Malek, yang menjadi penjaga gol, rebah secara tiba-tiba selepas lima minit perlawanan bermula, kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Amal Menteri Besar Datuk Azhar Ahmad.

Perlawanan berkenaan menemukan pasukan pilihan menteri besar Perak dengan pasukan Lagenda Negara yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan seperti K Gunalan, Hassan Sani, Karim Pin, Khalid Ali, Shahrin Majid, Ahmad Yusof, Shukor Salleh dan Bakri Ibni.

Malek, yang mewakili pasukan Lagenda Negara, pada mulanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai.

"Kita sama-samalah berdoa supaya beliau cepat sembuh," kata Azhar.

Perlawanan persahabatan itu adalah antara bekas pemain kebangsaan era 60-an hingga 90-an menentang pasukan veteran Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pasukan Lagenda Negara menang 1- 0 pada perlawanan itu hasil jaringan Sharin Majid.

Pasukan Menteri Besar dibarisi beberapa bekas pemain Perak seperti Azizul Abu Haniffa, Ramli Talib, A. Elangovan, Roafandi Yusof, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Kok Heng dan P. Umaparam.

Lebih 1,000 penonton menyaksikan perlawanan itu. Sebanyak RM10,000 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Shuib akui terima ancaman bunuh

Anggota ketiga kumpulan yang menamakan diri mereka 'Datuk T' - Datuk Shuib Lazim mengaku bertanggungjawab di sebalik tayangan video seks baru-baru ini yang menujukkan aksi seorang pemimpin kanan pembangkang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

NONE"Saya bertanggungjawab sepenuhnya berhubung video ini,” katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi.

Sebelum ini, ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kanan) mendakwa Shuib yang juga bendahari PERKASA dan bapa saudaranya, tidak terlibat dengan video itu.

"Masa kami turun dalam lif. Dia (Shuib) kata, Pak Njang juga tidak percaya," dakwa Johari, Khamis lalu.

Namun, Shuib yang dihubungi semalam berkata segala-galanya yang didedahkan sebelum ini adalah betul.

"Saya tahu ia (video itu) adalah kebenaran. Saya tahu semua ini adalah betul dan sebab itu saya sertai kumpulan Datuk T. Jika tak betul, saya tak akan setuju,” katanya.


Lindung boss

Ditanya mengenai dakwaan Johari yang menafikan peranannya, Shuib berkata ahli parlimen itu mungkin membuat kenyataan tersebut kerana ingin “melindungi bossnya”.

NONERakaman video 22 minit itu ditayangkan kepada beberapa wartawan terpilih pada 21 Mac lalu oleh seorang lelaki misteri yang menamakan dirinya 'DatukT'. Selang beberapa hari, Datuk T diperkenalkan sebagai kumpulan tiga anggota yang terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Shuib (kiri).

Bagaimanapun Shuib tidak hadir pada sidang akhbar Rabu lalu dan ini menimbulkan spekulasi bahawa mungkin beliau menyertai secara tidak rela.

Shuib, yang suaranya menunjukkan keletihan ketika perbualan telefon juga berkata beliau ada menerima ancaman bunuh.

Namun, beliau menolak laporan New Straits Times, semalam yang mendakwa beliau secara sukarela mengenakan tahanan rumah ke atas dirinya. Katanya, beliau masih keluar dari rumah.

NONE"Polis hanya beritahu saya supaya berhati-hati,” katanya sambil menafikan juga beliau diberi perlindungan polis.

Shuib juga berkata polis telah mengambil keterangannya sebanyak dua kali, yang terbaru adalah dua hari lalu.

Beliau berkata masih menghuni di rumahnya di Kuala Lumpur tetapi bergurau bahawa beliau akan 'bersembunyi' di kampung halamannya di Sungai Petani, tidak lama lagi.

"I nak sembunyi dah. I dah nak lari,” katanya sambil bergelak.

MB: Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco

Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

NONEBeliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...